Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
193,437
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

HARI Selasa, Dian dan Zamil tiba di Port Dickson kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Mereka singgah menjamu selera di restoran di bandar Port Dickson sebelum mendaftar masuk ke hotel.Sengaja tidak mahu makan di hotel kerana teringin merasa masakan kampung.

Dian cukup suka dengan masak lemak daging salai, masakan orang Negeri Sembilan yang popular. Apabila sesekali berpeluang menikmatinya, memang dia makan sepuasnya. Kalau makan di tempat lain, memang rasanya tidak sama.

Zamil tersenyum melihat isterinya yang laju sahaja menyuap nasi. Rupanya Dian ini memang kaki makan betul. Ingatkan masakan Siam sahaja yang dia suka, rupanya tolak kayu dan batu sahaja. Apa pun yang dihidangkan, berselera sahaja dia makan. Ikan masin pun dia kata sedap! Tidak terkata Zamil dibuatnya.

Tiba-tiba kedengaran seorang kanak-kanak bersuara. “Ayak teh ada? Adik nak yang sejuk...” pintanya.

Dengar loghat dia bercakap, sah dia datang dari utara. Nampaknya dia dan keluarganya menghabiskan cuti sekolah di Port Dickson juga.

“Ayak teh tak ada dik… ayak tepung ada la!” Sengaja pelayan restoran mengusiknya.

Meledak ketawa Zamil sebaik mendengarnya. Dia memang tidak dapat menyembunyikan rasa kelakar dengan usikan itu.

Dian pula cuba menahan dirinya dari ketawa. “Abang, dahlah. Tak baik ketawakan orang,’ tegur Dian sambil menjelingnya yang masih ketawa berdekah-dekah.

Zamil segera menutup mulutnya. Memang sudah agak lama dia tidak ketawa begini. Geli sungguh hatinya. Sekilas dia menoleh ke arah adik tadi. Kasihan pula apabila melihat dia monyok sahaja. Pasti sahaja sudah merajuk apabila diusik begitu.

Setelah selesai menjamu selera, mereka terus menuju ke hotel. Zamil berasa lega sangat. Bagus juga idea adik-adiknya menghadiahkan pekej bulan madu ini kepada mereka. Tidaklah dia tercari-cari tempat yang sesuai.

Mereka macam tahu-tahu sahaja dia tidak suka berjalan jauh. Walaupun hotel ini tidaklah istimewa sangat, dia tetap sukakannya. Pemandangannya memang cantik. Terasa nyaman sekali apabila bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tidak sangka pula dia boleh terlelap tidak berapa lama selepas dia merebahkan dirinya di atas katil.


SEJAK sampai tadi, mereka berdua memang tidak keluar darisuite bulan madu ini. Zamil tidak pernah jemu memandang Dian. Namun, dia pula yang terpaksa mengenepikan rasa rimasnya. ‘Alahai suamiku ni… hendak marah pun tidak jadi,’ keluhnya.

Zamil juga tidak bosan duduk sahaja dalam bilik sambil menonton televisyen. Bulan madu apa kalau begini gayanya? Dian suka berjalan-jalan dan pergi membeli-belah walaupun tidak membeli sangat. Dia tunggu juga kalau-kalau suaminya itu mengajaknya keluar namun hampa.

“Duduk dalam bilik saja ke bulan madu kita?” tanyanya sambil memegang lengan suaminya.

“Bulan madu adalah privasi untuk kita berdua,” jawab Zamil sambil merenung lembut wajah isterinya.

“Jomlah pergi pasar malam ke, jalan-jalan cari makan ke. Bosan tau tak, asyik menghadap muka abang saja,” cadang Dian.

“Banyak masa lagi nak buat semua tu,” balas Zamil pula.

“Siap-siaplah cepat. Dekat jalan besar sana ada pasar malam. Kalau abang tak nak pergi, Dian pergi sendiri saja.” Dia memang tidak boleh kalau asyik memerap di dalam bilik sahaja.

“Abang ni membosankan Dian ke?”

Pertanyaan Zamil buat dia rasa serba salah pula.“Maaf, bukan itu maksud Dian…” tuturnya.

“Habis tu?” tanya Zamil seakan merajuk pula.

“Yalah, kalau asyik duduk dalam bilik saja, baik kita duduk berehat dalam bilik di rumah.Free of charge, tak payah bayar apa-apa,” jawab Dian kemudian sengaja tarik muka dua belas.

“Yalah, sayang… tak payahlah buat muka dengan abang.” Sudahnya Zamil bersetuju juga.

Wajah Dian terus berubah ceria.“Nanti kita jalan-jalan di pantai jugak, ya?” ajaknya dengan riang.

Dian begitu seronok sekali pergi ke pasar malam berhampiran hotel penginapan mereka. Memang tidak ada apa yang hendak dibeli sangat namun, dia rasa gembira merasai suasana hiruk-pikuk di situ. Walaupun baru pukul 6.00 petang, orang semakin ramai membanjiri pasar malam ini.

Setelah membeli sedikit makanan, mereka berdua balik semula ke hotel. Kemudian terus ke tepi pantai dan menikmati makanan yang dibeli. Sepanjang perjalanan menyusuri pantai, Zamil diam sahaja.

Dian pula hanya mengikut sahaja ke mana suaminya melangkah.Tangannya memang sentiasa dipegang kemas oleh Zamil. Seandainya dia berjalan sambil tidur pun boleh sahaja. Sudahlah malam tadi tidur lewat menemani suaminya yang tidak boleh tidur.

Kini suaminya memeluk erat pinggangnya pula. Walaupun sebenarnya rasa tidak selesa, dia biarkan sahaja. Tidak bebas hendak bergerak sebenarnya namun, semua itu membuat dia rasa Zamil sayang kepadanya.

“Kini abang betul-betul sayangkan Dian. Bukan cuba-cuba nak sayang,” ujar Zamil sambil merenungnya.

Dian hanya tersenyum mendengarnya. Tidak dinafikan dia rasa lebih yakin dan rasa seperti dilindungi. ‘Cepat sungguh Zamil ini sayang kepadaku. Diri ini sudah mula sayangkah?’ Dia tertanya sendiri.

Zamil pandang lagi wajah Dian. Sungguh, dia tidak pernah berasa suasana indah begini. Hari ini dia berpeluang menikmatinya bersama wanita yang telah mencuri hatinya.Biarpun Dian seakan tidak selesa tetapi, dia berasa cukup bahagia.

Dia suka sangat mengusik dan membuat Dian geram. Yalah, apa lagi yang boleh dia lakukan untuk mengenali isterinya dengan lebih rapat? Sedar kadang-kadang Dian bagai menahan geram tetapi tetap berlagak selamba kerana mahu menjaga hatinya.

Deruan ombak yang singgah di tepian pantai amat mengasyikkan. Pada awalnya mereka merancang melihat matahari terbenam sambil duduk di tepi pantai. Tetapi, tiba-tiba Zamil sakit perut pula. Terpaksalah mereka tengok dari bilik sahaja. Mujur juga bilik mereka menghadap ke arah laut. Dapat jugalah menikmati saat indah matahari terbenam.

Sebenarnya bukanlah tidak pernah tengok langsung. Cuma kali ini lebih bermakna kerana bersama orang tersayang. Benarkah? Sekali lagi soalan itu menerjah ke minda Dian.

Biarlah rasa sayang itu datang sendiri dan dia tidak mahu memaksanya. Begitu lebih indah. Cepat atau lambat bukan persoalannya, yang penting rasa sayang itu datang dari hatinya yang tulus.


SELEPAS bersarapan di hotel, Zamil membawa Dian mengunjungi gerai yang menjual barangan kraf tangan. Sejak semalam lagi Dian memintanya membawanya ke sana. Dian memang berminat dengan barangan kraf tangan. Andai ada yang berkenan di hati, bolehlah dijadikan buah tangan atau perhiasan di rumah.

Mereka begitu asyik meneliti barangan di situ. Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan kehadiran seseorang wanita bersama anaknya di hadapan mereka.

“Abang Mil? Ke mana abang menghilang selama ini?” marah wanita yang entah dari mana munculnya.

Dian tergamam, Zamil apatah lagi. Wajahnya juga telah berubah warna.

“Awak ni siapa? Saya tak kenal awak pun,” tanya Zamil, terkejut. Sekejap dia memandang wanita itu, sekejap dia memandang Dian pula.

“Ooo… pura-pura tak ingat siapa saya, ya?” perli wanita itu.

“Tolonglah, saya tak pernah pun berjumpa dengan awak sebelum ini,” ujar Zamil meninggikan suaranya.

“Mudahnya awak melupakan saya. Mentang-mentang dah ada perempuan lebih cantik daripada saya,” ujar wanita itu pula.

“Astaghfirullahalazim… saya tak nak bergaduh dengan awak. Saya tak kacau awak jadi, tolong jangan kacau saya,” rayu Zamil cuba mengawal keadaan.

“Senangnya awak cakap. Awak dah rosakkan saya sampai lahir budak ni. Ingat saya akan lepaskan awak begitu sahaja?” ugut wanita itu pula.

“Dian, jom kita pergi. Tak kuasa nak layan perempuan gila ni,” ajak Zamil sambil menarik tangannya.

“Tak apa, nanti saya akan cari awak sampai ke lubang cacing,” ujar wanita itu. Peliknya dia hanya melihat sahaja Zamil dan Dian berlalu dengan muka kerut seribu.

Zamil yang tidak mempedulikan kata-kata wanita itu terus bergerak pantas menuju ke keretanya. Dian juga terpaksa memanjangkan langkah apabila Zamil bagai mengheretnya. Sudahnya tiada apa yang sempat dibeli.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.