Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
193,361
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

DIAN ABU BAKAR. Sekilas Zamil memandang bisnes kad bakal isterinya yang diberikan oleh ayahnya. Entah kenapa hatinya jadi sejuk apabila ayahnya tetap mengejutkannya untuk bersolat subuh bersama-sama dengannya.

Begitu pun semasa bersarapan, tidak ada apa yang dibualkan. Ayahnya seakan berbicara dengan bahasanya yang tersendiri agar dia memikirkan semula keputusannya.

Sebelum ayahnya beredar, dia mengeluarkan sesuatu dari poket baju melayunya. Kemudian meninggalkannya di atas meja. Tiada kata pesanan buatnya, namun dia faham sendiri permintaan tanpa suara ayahnya.

Dia kembali memandang bisnes kad kepunyaan Dian. Rupanya bukan calang-calang menantu yang ayahnya pilih. Tetapi, bagaimana seorang jurutera projek boleh menyerahkan masa hadapannya kepada keluarga untuk menentukannya? Padahal dirinya sering menentukan dari A sampai Z, agar bangunan yang dibina mengikut spesifikasi dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Sesuatu yang agak menghairankan apabila hendak membina rumah tangga sendiri, boleh pula menyerahkannya kepada keluarga. Siapa yang hendak berkahwin sebenarnya? Diri gadis itu atau keluarganya?

Tiba-tiba dia ingin mengenali gadis yang bernama Dian ini. Pendek sahaja namanya. ‘Jangan orangnya rendah dan rendang sudah,’ desisnya kemudian turut tersenyum.

Tanpa sedar, jari-jemarinya telah mendail nombor telefonnya.Untuk apa, dia pun tidak pasti. Biarlah mulut berbicara dengan sendirinya. Begitu lebih telus.

“Assalamualaikum...” Kedengaran satu suara yang begitu asing di telinganya.

“Waalaikumussalam,” balasnya, sedikit gugup.

“Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

“Saya Zamil, awak Dian ke?” soalnya walaupun cukup yakin dengan siapa dia berbicara.

“Er… Zamil? Saya kenal awak ke?” Lembut sekali suaranya ketika bertanya.

“Pastinya keluarga awak sudah beritahu awak pasal saya,” jelasnya sedikit sinis.

“Oh, Zamil! Maaf, ingat siapa tadi.”

“Hmm… apa yang awak tahu pasal saya?” soalnya, ingin juga tahu cerita di sebelah sana.

“Nak cakap macam mana, ya?” soal Dian pula.

“Cakap sajalah, tidak ada apa yang perlu diselindung,” ujarnya.

“Yang saya tahu, keluarga awak berhajat meneruskan perkahwinan kita dan keluarga saya pula tiada halangan,” terang Dian.

“Semudah itu awak dan keluarga awak membuat keputusan?” soalnya sedikit pelik.

“Apabila sudah ada yang sudi menerima kita seadanya, kenapa pula kita harus menolaknya?” soal Dian balik.

“Takkanlah macam itu sahaja? Masakan awak tak ada pilihan sendiri?” Tiba-tiba bicara Dian membuat dia ingin sekali mengatur pertemuan dengan gadis itu.

“Apa maksud awak berkata begitu?” tanya Dian.

“Yalah, awak tak kenal saya,” ujarnya menduga Dian.

“Bagi saya pula, sudah pasti awak dan keluarga awak telah mengenali saya barulah masuk meminang. Masakan main masuk sahaja rumah orang?” ujar Dian pula.

“Boleh kita berjumpa?” tanyanya.

“Untuk apa?”

“Kalau saya kata yang saya tak kenal awak dan tak pernah berjumpa dengan awak, awak nak kata apa?” tanyanya.

“Pulak? Habis tu, sekarang ni awak nak buat apa?”

“Sebab itulah saya telefon awak. Saya rasa kita perlu berjumpa sebelum terlambat,” cadangnya.

“Terlambat?” Kedengaran suara Dian seperti terkejut.

“Yalah, yang jadi pengantin nanti adalah kita.Yang akan melalui semua ini adalah kita. Bukan orang lain dan bukan juga keluarga kita,” terangnya.

“Kalau sudah begitu, kenapa keluarga awak masih mahu meneruskannya?” tanya Dian.

“Saya langsung tidak diberitahu pasal hal ini. Ayah saya hanya memberitahu saya setelah semuanya diuruskan,” jelasnya tanpa berselindung.

“Macam tu pulak?” Kini suara Dian sudah berubah nada. Mungkin terkejut dengan penjelasannya.

“Awak tau tak, saya sendiri sampai demam-demam memikirkannya,” ujarnya tanpa rasa segan.

“Bila awak nak berjumpa dengan saya?” tanya Dian.

“Hari Ahad minggu hadapan, boleh?” cadangnya.

“Nak berjumpa di mana?”

“Bila tiba waktunya saya akan beritahu awak.” Sebenarnya dia juga masih tercari-cari di mana tempat yang paling sesuai untuk bertemu.

“Okeylah kalau macam tu,” putus Dian.

“Awak marah ke?” Dia cuba menduga perasaannya. Tiba-tiba rasa bersalah pula.

“Nak marah apa?” soal Dian pula.

“Yalah, setelah tahu cerita sebenarnya.”

“Untuk apa saya marah?”

“Hmm… tak apalah. Kita berjumpa nanti,” ujarnya mengakhiri perbualan.

“Okey,” balas Dian.

Setelah memutuskan talian, fikiran Zamil melayang jauh. Tiba-tiba dia rasa aneh pula setelah mendengar suara Dian. Kenapa tanpa melihat wajahnya, dia seakan dapat menggambarkan bagaimana rupanya?

Ini yang buat dia tidak sabar untuk berjumpa dengannya.‘Suaranya kedengaran tenang sahaja. Aduhai… apa yang tidak kena dengan diri ini?’ Kini dia tertanya-tanya pula.

“Apa yang abang menungkan?” Tiba-tiba Ida yang entah datang dari mana menegurnya.

“Buat terkejut abang saja!” sungutnya.

“Fikir pasal Kak Dian ke?” duga adiknya.

“Pandai aje Ida ni,” tingkahnya tetapi tetap berlagak selamba.

“Yalah, takkan hari cuti begini masih fikir pasal kerja pulak?” balas Ida.

“Kalau pasal Dian pun, buat apa Ida hendak sibuk-sibuk?” soalnya.

“Jadi betullah? Bila abang nak berjumpa dengan Kak Dian?” Kini Ida beria-ia pula hendak tahu.

“Insya-ALLAH hujung minggu hadapan.” Mahu pula dia berterus terang dengan adiknya.

“Seronoknya… Ida ikut sekali, boleh?” pintanya. Tiba-tiba dia pun teruja sama, mengalahkan abangnya.

“Buat apa?” soalnya, pelik.

“Ida pun nak kenal jugak dengan bakal kakak ipar. Hendak tahu jugak bagaimana orangnya.”

“Jangan nak mengada-ngada.”

“Abang ni… teruklah. Tak sporting langsung!” keluh Ida.

“Abang ada hal penting untuk berbincang, bukan nak berdating,” balasnya. Dia ada perkara mustahak yang ingin diselesaikan, adiknya hendak menyibuk pula.

“Itu berdatinglah namanya…” ujar Ida pula. ‘Apalah abang aku yang seorang ini,’ gumamnya.

“Tak kisahlah Ida nak kata apa. Duduk saja di rumah dan jangan nak kacau daun pulak.”

“Hampeh punya abang!” Tiba-tiba dia rasa geram pula dengan abangnya.

“Yang hendak berkahwin abang, yang Ida sibuk sangat ni kenapa?” soalnya geram.

“Sebab Kak Dian ini adalah pilihan ayah, pasti istimewa orangnya. Itu yang Ida hendak tahu sangat,” ujar Ida.

“Mana Ida tahu Dian ini istimewa?” Sengaja dia bertanya.

“Orang tua selalunya nampak apa yang orang muda macam kita ini tidak nampak,” terangnya.

“Hmm… yalah tu,” balasnya meskipun di hatinya tetap tertanya-tanya, istimewakah dia?

“Tak percaya sudah!” Akhirnya Ida bangun menuju ke biliknya. Berehat di bilik lagi bagus dari bertekak dengan abangnya.

Zamil buat tidak dengar sahaja sambil memberi tumpuan pada rancangan televisyen yang disiarkan. Tersenyum dia melihat muka monyok Ida yang tidak berpuas hati.

MALAM-MALAM begini memang nyaman sekali duduk di beranda. Terasa lapang fikiran Dian walaupun seharian penat bekerja. Ayahnya awal-awal lagi telah pergi ke masjid. Selepas isyak nanti baru dia balik.

“Jadi ke hendak berjumpa dengan Zamil tu? Kata tak payah berjumpa?” tanya Puan Anim sambil menghampiri anak gadisnya.

“Dah orangnya ajak berjumpa, apa salahnya bertentang mata? Nanti tak adalah saspens sangat,” jawabnya.

“Hmm… ada-ada sajalah Dian ni.”

“Takut jugak nak berjumpa dengan Zamil ni. Dengar suaranya macam serius sahaja orangnya,” komennya. Tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati pula apabila mengingatkan pertemuan dengannya nanti.

“Pandai pulak Dian menilainya?” soal ibunya.

“Bolehlah sikit-sikit. Tetapi selalunya tak betul jugak penilaian yang dibuat,” jawabnya sambil mengingat kembali perbualan dengannya.

“Yalah, bagus jugak Dian berjumpa dengannya. Dapat jugak kenal-kenal, nanti taklah kekok sangat.”

“Pak Karim tu, kawan ayah yang mana, ibu? Dian tak ingat langsunglah,” tanyanya inginkan kepastian. Sudahlah dengan anaknya dia tidak pernah berjumpa, ayahnya pun dia tidak kenal juga.

“Dia pernah datang sini semasa kita buat kenduri kesyukuran hari tu. Dian tu memang, bukan nak tengok orang sekeliling dan beramah mesra,” ujar ibunya pula.

“Kalau mak cik-mak cik, bolehlah Dian bertegur sapa. Ini kawan ayah, takkanlah Dian nak lebih-lebih pulak,” balasnya.

“Tak apalah, Dian jangan risau. Pak Karim ni pun macam ayah jugak. Baik dan mudah mesra orangnya,” beritahu ibunya.

“Harap-harap anaknya begitu jugak.”

“Insya-ALLAH. Sebagaimana acuan, begitu jugalah kuihnya,” ungkap Puan Anim.

“Kalau tiba-tiba kuih tu Dian tak suka, nak buat macam mana?” tanyanya pula.

“Kalau kurang manis, tambahlah gula. Mesti Dian sukalah,” ujar Puan Anim dengan yakinnya.

“Itu kata ibu, Dian tak suka manis-manis. Nanti senang dapat penyakit,” balasnya pula.

“Apa susahnya? Cecah sahaja dalam kopi, kuranglah manisnya.” Pandai sahaja Puan Anim hendak mematahkan hujah anaknya

.

“Sebenarnya Dian rasa tak sedap hati, ibu,” adunya kemudian bangun dan duduk di sebelah ibunya.

“Biasalah andai Dian ada perasaan itu. Jangan bimbanglah. Macam yang ibu pernah cakap, ayah takkan serahkan Dian kepada sembarangan orang.” Puan Anim cuba menyakinkan anaknya.

“Jujurnya Dian tetap ragu-ragu dengan keputusan Dian sendiri,” akuinya.

“Janganlah begitu. Berdoalah selalu, insya-ALLAH semuanya akan baik-baik sahaja,” pesan Puan Anim sambil memeluk bahunya.

“Aduhai, Dian macam tak percayalah ibu…” keluhnya.

“Berjumpa dengan Zamil nanti, jaga tingkah laku,” pesan Puan Anim.

“Itu ibu jangan risau, Dian sememangnya seorang yang bersopan santun. Takut Zamil tu yang buat Dian gelabah,” ujarnya. Memang ini bukan kali pertama dia berdating, tetapi tetap rasa berdebar-debar.

“Hendak gelabah buat apa? Relaks sahajalah,” balas Puan Anim.

“Kalau dia tanya macam-macam, bagaimana?”

“Jawab sejujurnya…”

“Boleh tak kalaucover-coversikit?” tanyanya.

“Tanya ibu pulak? Pandailah Dian nanti. Paling penting jadi diri sendiri,” pesan ibunya lagi.

“Yalah, Dian akan ikut cakap ibu. Jadi diri sendiri dan tidak berpura-pura,” ujarnya sambil merenung kata-kata sendiri.

‘Hai!Bagaimanalah orangnya? Cara dia bercakap macam ada yang tidak kena. Janganlah pekara yang sama berulang lagi.’ Hatinya berbicara.

Sebenarnya dia malas hendak berfikir yang bukan-bukan. Lebih tepat lagi dia tidak mahu membayangkan kemungkinan-kemungkinan yang akan menimpa dirinya. Sebagai insan biasa, dia hanya menyerah segalanya kepada ALLAH Yang Maha Kuasa.Apa pun keputusan yang akan Zamil buat, dia akan terima.

Dia hanya akan mengikut alur yang akan dia corakkan. Andai lurus, mudahlah dia untuk menyusurnya. Jika bengkang-bengkok, terpaksalah dia bersusah payah menempuhnya. Dia amat berharap agar Zamil tidak membuat keputusan yang tidak-tidak. Majlis pernikahan mereka sudah tidak berapa lama lagi.

Begitu pun, dia tetap berdoa semoga Zamil cukup matang membuat keputusan yang turut melibatkan pihak lain. Dia tidak mahu menghampakan harapan keluarga tersayang. Dia tetap percaya, kasih dan sayang boleh dipupuk andai itu yang dimahu.‘Bolehkah aku jatuh cinta dan bercinta lagi?’ Hatinya berbisik.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.