Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
193,340
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

DALAM kereta, Zamil rasa dadanya bagai hendak pecah. Sedari tadi udara yang disedut bagai tersekat di kerongkong. Setelah melepasi lampu isyarat, dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Dia memang sudah tidak boleh meneruskan pemanduan. Dia kena tenangkan dirinya dengan segera. Nanti tidak pasal-pasal lain pula jadinya.

Dian memandang Zamil dengan seribu persoalan di kepalanya. Hendak bertanya tetapi tidak jadi kerana takut suaminya itu marah pula. Sudahnya masing-masing melayan perasaan sendiri dan senyap sahaja.

Zamil masih cuba membawa dirinya untuk bertenang. Fikirannya melayang kepada wanita tadi. ‘Abang Mil? Ah! Kamil, Jamil, Syamil pun orang panggil Mil. Kebetulan saja tu,’ pujuk hatinya.

Dalam masa sesingkat ini, berbagai pula yang berlegar di fikirannya. ‘Siapa pulak perempuan itu sampai tuduh aku pernah rosakkan dirinya? Jumpa pun tak pernah, alih-alih marahkan orang pulak,’ gumamnya.

Antara mereka masih lagi sepi. Dian melemparkan pandangan ke luar tingkap. Sebenarnya dia turut terkejut dengan insiden tadi. Seperti Zamil, dia juga sedang cuba mententeramkan hatinya.

Kalau pun tidak begitu ketara, perasaan curiga tetap datang menyapa. Bohonglah kalau dia tidak rasa apa-apa langsung. Begitu pun, dia tidak mahu membebankan dirinya dengan memikirkan yang bukan-bukan.

“Kenapa Dian diam?” tanya Zamil sambil menoleh sebelahnya.

Dian senyap sahaja. Dia bagai tidak mendengar pertanyaan suaminya.

“Dian…” panggil Zamil lagi sambil menyentuh bahunya.

“Abang panggil Dian ke?” soalnya.

“Taklah, abang nak telan Dian,” gurau Zamil, cuba menggembirakan dirinya sendiri.

“Sebenarnya abang nak cakap apa?” tanyanya dengan tenang walaupun perasaan di hati masih lagi berkocak.

“Dian percaya ke apa yang perempuan tu cakap?” tanya Zamil sambil memandang isterinya.

“Kenapa abang tanya?” soalnya.

Sumpah! Abang tak kenal pun siapa perempuan itu. Jumpa dia pun tak pernah,” ujar Zamil.

“Yalah…” jawabnya pendek.

“Apa yang yalah?” tanya Zamil kehairanan.

“Yalah tu adalah respons kepada apa yang abang cakap sebentar tadi,” balasnya. Padahal dia memang tak tahu nak kata apa.

“Percayalah, abang tidak akan buat perkara terkutuk itu,” ujarnya bagi membela dirinya. Dia tidak mahu Dian salah sangka terhadapnya.

“Semua orang ada sejarah silam dan tidak lepas dari melakukan kesilapan. Apa yang penting kita mahu berubah dan bertaubat,” tuturnya lembut tetapi sedikit sinis.

“Dian macam sindir abang saja,” ujar Zamil bagai tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

“Dian tak sindir, Dian hanya cakap apa yang ada di minda,” balasnya.

“Tetapi Dian bercakap macam tidak percaya kepada abang.” Sengaja Zamil menduga isterinya.

“Dian ada cakap begitu ke?” soalnya pula. Kini dia juga memandang suaminya.

“Memang tak. Tetapi cara Dian cakap, macam Dian tak percayakan abang,” ujar Zamil sedikit keras. Memang itu yang dia rasa apabila melihat reaksi isterinya.

Dian senyap semula, tidak tahu hendak balas apa. Juga tidak mahu memanjangkan perkara ini.

“Dian tak marah?” tanya Zamil. Nada suaranya telah berubah lembut. Dia turut memegang tangan isterinya.

“Nak marah apa?” ujarnya. Kini dia tunduk sahaja.

“Yalah, perempuan tu siap mengaku anak tu adalah anak abang lagi,” beritahunya. Masakan Dian tidak mengesyaki apa-apa.

“Apabila tengok muka budak itu, memang macam Zamil junior,” jawab Dian sejujurnya tetapi entahlah. Rasanya mata dia tidak salah tengok.

“Abang tanya Dian marah ke tidak, bukan suruh komen wajah budak tu,” Tiba-tiba dia tinggikan semula suaranya. ‘Muka budak tu macam aku ke?’ Dia tertanya sendiri. Tadi tidak sempat pula hendak memandangnya.

“Kenapa nak marah-marah pulak?” tanya Dian sambil mengerut dahi. Pelik sungguh dia dengan Zamil ini. Sekejap berlembut, sekejap berkasar pula.

“Maaf, abang tak sengaja. Dian adalah isteri abang malah, dengan Dian pun abang tak pernah nak buat perkara tak senonoh.Masakan abang telah rosakkan anak dara orang?” jelasnya. Dia berharap isterinya akan katakan sesuatu.

“Sebab itu Dian diam saja. Tidak rasa nak marah, tidak rasa apa-apa pun,” jawabnya perlahan. ‘Benarkah?’ Hatinya berbisik.

“Alhamdulillah… terima kasih kerana mempercayai abang,” ucap Zamil.Seketika dia memejamkan matanya.

“Kita nak berkelah di tepi jalan ni ke?” Saja Dian hendak melawak. Tadi dia memang terkejut juga apabila tiba-tiba kena serang begitu. Nasib baik dirinya tidak mudah melatah.

“Boleh tak kita keluar sekejap?” cadang Zamil sambil membuka pintu kereta. Dia ingin mententeramkan debaran di dadanya yang masih berombak.

Dian turut keluar untuk menghirup udara segar. Kemudian dia menuju ke bawah pokok teduhan yang ada di situ. Dapatlah dia berlindung dari sinaran matahari.

Perlahan-lahan, Zamil juga menghampiri isterinya. Tiba-tiba dia meraih Dian ke dalam pelukannya.

Dian kaget dengan tindakan Zamil, namun terpaksa berlagak selamba dan membalasnya. Tindakan suaminya itu menguis curiga yang turut datang di hatinya. Walaupun di hadapannya dia cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang dirasa.

Seketika Zamil mengucup keningnya kemudian baru melepaskan pelukan. Entah apalah orang akan kata apabila melihat mereka sebegitu di tepi jalan raya.

Buang tabiat apa? Tetapi Zamil tidak kisah. Dia bukan peluk orang lain, dia peluk isterinya sendiri. Suka hati dialah hendak buat apa pun. Kini dia tersenyum sendiri dan berasa amat lega.


ESOKNYA mereka bersiap-siap untuk bertolak balik. Dian pun tidak tahu hendak kata apa tentang percutian bulan madunya ini. Rasa tidak seronok langsung. Membazir sahaja adik iparnya keluar duit menghadiahkan pekej bulan madu ini kepada mereka.

Tidak payah ke mana-mana dan duduk di rumah sahaja lagi baik. Itulah yang dia rasa. Selepas insiden itu, suaminya bagai tidak tahu hendak membawanya ke mana-mana. Patutnya bawalah dia berjalan-jalan ke tempat pelancongan. Paling tidak melawat tempat bersejarah.

Tidaklah dia rasa bosan sangat. Ini, apabila dia buat muka merajuk baru Zamil hendak membawanya keluar. Mujur juga dia ada membeli beberapa majalah untuk dibaca di bilik. Habis semua benda dibacanya termasuk iklan-iklan sekali.

“Dian nak singgah di mana-mana?” tanya Zamil sambil mengemas pakaian dan barangannya.

Dian pula awal-awal lagi sudah siap berkemas. Sememangnya mereka berdua membawa beg pakaian masing-masing. Lebih mudah begitu.“Nak singgah di mana?” tanyanya.

“Abang cuma terfikir hendak mencari barang untuk rumah kita. Boleh jugak kalau nak singgah di Nilai 3,” cadangnya.

“Lain kali sajalah. Lagipun dah nak tengah hari. Panas-panas begini tak selesa nak membeli-belah.”Dian beralasan. Sebenarnya dia memang sudah tiadamood langsung.

“Betul ni? Nanti kita dah nak pindah ke rumah abang di Putrajaya tu.”

“Tak apalah. Perlahan-lahan nanti kita belilah.”

“Isteri abang ni, kenapa?” tanyanya apabila mendapati Dian tidak ceria langsung.

“Dian okey, tak ada apa-apalah,” jawabnya.

“Dian masih teringatkan perempuan tu ke?” duga Zamil.

“Abang ni… Dian dah lupakan pasal perempuan tu. Yang abang ungkit lagi, kenapa?” Dia memang sudah terlupa terus pasal hal itu. Kini langsung terimbau semula.

“Okeylah kalau begitu,” ujar Zamil. Dia juga mahu melupakan dan menganggapnya tidak pernah berlaku

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.