Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
193,043
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

ESOK paginya, Dian bersarapan bersama keluarga Zamil. Semuanya ada termasuk Ida dan adik bongsu Zamil, Achik. Walaupun terasa sedikit kekok, begitu pun dia rasa gembira dapat berkumpul dengan keluarga barunya.

“Zamil bila masuk kerja?” tanya Pak Karim kemudian sambung makan.

“Awal tahun hadapan baru masuk kerja, ayah,” jawabnya.

“Lamanya cuti kahwin…” sampuk Ida pula.

“Dah cuti memang banyak. Lagipun abang kan, bos? Suka hati abanglah,” jawabnya.

“Kak Dian?” tanya Ida sambil memandang kakak iparnya.

“Samalah,” jawabnya yang turut tersenyum.Dia memang hendak menghabiskan baki cutinya.

“Amboi, sehati sejiwa nampak?” usik Achik pula.

“Okeylah kalau macam tu. Bolehlah Idaconfirmkan pakej bulan madu tu,” ujarnya dengan gembira.

“Pakej bulan madu?” soal Zamil terkejut. Dian juga sama terkejut.

“Kita orang memang hendak beri hadiah pakej bulan madu kepada abang dan akak. Apa kata lusa korang bertolak? Hari ini Ida boleh uruskan semuanya,” cadang Achik.

Zamil pandang Dian. Dian pandang Zamil balik. Dia masih tidak pasti hendak jawab apa. Buat masa ini mereka berdua sebenarnya malas hendak ke mana-mana.

“Macam mana Kak Dian?” tanya Ida.

“Kak Dian okey aje,” jawabnya kemudian meneruskan suapan tanpa memandang suaminya. Rasanya itulah jawapan terbaik yang patut diberikan.

Zamil mengangkat kening. Tidak sangka dengan jawapannya.

“KATA tak nak pergi ke mana-mana? Macam mana boleh ubah fikiran pulak?” tanya Zamil ketika mereka berehat di bilik.

“Takkanlah Dian nak hampakan keluarga abang,” jawabnya perlahan. Tangannya ligat sahaja mengemas pakaiannya kemudian terus digantung ke dalam almari.

Zamil mengerut dahi mendengar alasan yang dia berikan. “Dian ikhlas ke tidak, menerima hadiah tu?” tanyanya sambil merenung wajah isterinya.

“Siapalah kita hendak tentukan keikhlasan seseorang. Kalau nak tunggu ikhlas baru nak buat sesuatu, rasanya Dian tak ada di sini,” jawabnya.

Zamil terdiam dan cuba merenung jawapan yang diberikan. “Hmm… sampai sana kita nak buat apa, ya?” soalnya yang tiba-tiba teruja pula untuk pergi berbulan madu. Padahal sebelum ini tak terfikir pun. Dia memang mahu berkenalan dan beramah mesra dengan Dian dahulu. Selepas itu baru berbincang hendak pergi ke mana.

“Sampai sana nanti barulah fikir. Fikir sekarang pun bukan boleh terus sampai ke sana,” jawab Dian bersahaja.

“Kenapa Dian selalu ambil mudah sahaja sesuatu perkara itu?” tanyanya.

“Buat apa nak susah-susah? Nanti diri sendiri jugak yang sakit kepala,” jawab Dian pula.

“Senangnya hidup Dian,” komennya.

“Abang nak ke Dian membantah dan marah-marah sebab keluarga abang sibuk-sibuk pasal bulan madu kita?” tanyanya sambil pandang Zamil.

“Mestilah abang tak nak Dian buat macam tu,” jawabnya.

“Dah tu, buat apa tanya lagi?”

“Cuma abang rasa pelik saja,” komennya lagi.

“Apa yang terjadi kepada kita sekarang ini adalah kehendak hati kita. Jadi, teruskanlah hidup ini selayaknya. Permudahan segala urusan dan jangan menyusahkan,” jelas Dian.

Zamil cuba memahami kata-kata isterinya. ‘Agaknya sebab itu jugak diri ini begitu mudah jatuh cinta kepadanya,’ desisnya kemudian tersenyum.

“Lepas zuhur nanti kita pergi ke rumah Dian, ya?” pintanya. Dia memang kena balik juga kerana masih ada pakaian dan barangannya yang belum dibawa.

“Takkanlah baru sehari tinggal dengan abang, dah rindu dengan keluarga Dian?” Sengaja Zamil hendak mengusik.

“Kalau boleh, Dian langsung tak nak berpisah dengan mereka.Tetapi nak buat macam mana, kan? Terpaksalah mengenepikan semua perasaan yang dirasa apabila sudah bersuami ni.”

“Janganlah cakap macam tu. Kecil hati abang apabila Dian cakap begitu. Andai Dian rasa rindu, bila-bila saja hendak berjumpa keluarga Dian pun abang izinkan,” ucapnya.

“Betul ni?” Gembira sungguh Dian mendengarnya.

“Ya, sekarang pun abang boleh hantarkan, tetapi kena bagi upahlah dulu.” Lebar senyuman Zamil memandang isterinya.

“Banyaklah abang punya upah. Dahlah! Dian nak berjumpa Ida sekejap.”

“Buat apa?” tanya Zamil.

“Adalah…” jawabnya sambil tersenyum.

“DIAN,” panggil Zamil sambil merenung wajah isterinya. Tidak jemu dia mengulang hobi barunya, meneliti setiap inci wajah isterinya bagai tidak puas-puas.

“Hmm…” balas Dian dengan berdehem apabila tersedar diri sedang direnung Zamil. ‘Macam baru keluar dari hutan dan tak pernah tengok spesies lain,’ gumamnya.

“Kenapa isteri abang diam sahaja?”

“Hisy… abang ni, boleh tak jangan pandang Dian macam tu? Dian tak suka la,” marahnya. Geram pula apabila melihat gelagat Zamil, mujur di dalam bilik sendiri.

“La… abang nak pandang isteri abang, masakan tak boleh?” soalnya.

“Nak pandang tu pandanglah tapi jangan macam nak telan orang,” marah Dian lagi.

“Kalau nak telan pun apa salahnya,” jawabnya selamba.Suka dia apabila dapat menyakat isterinya.

Dian membaling kusyen kecil ke muka suaminya. Zamil tertawa kerana dapat mengelak.

“Kakak dan abang tersayang… malam sudah larut, tak tidur lagi ke?” jerit Ida yang melalui hadapan pintu bilik mereka setelah turun mengambil air mineral di dapur.

“Tengok, kan dah ada yang menegur.Buat malu saja,” ujar Dian geram.

“Alah, itu mesti Ida. Peduli apa abang. Suka hati abanglah nak buat apa pun tengah-tengah malam ni.” Sengaja dia cakap kuat-kuat supaya adiknya dengar.

Ida yang mendengarnya hanya menggeleng kemudian masuk ke biliknya.

“Abang ni teruklah,” marahnya sambil mencubit Zamil.

“Betullah apa yang abang cakap,” balasnya sambil menggosok bahagian yang kena cubit. Terasa sakit juga cubitan manja isterinya.

“Habis, isteri abang ni tak payah nak rehat dantidur ke? Ingat sehari suntuk nak layan abang sorang?” Geram betul dia dengan Zamil ini.

Dia yang tidak boleh tidur, selepas itu mahu orang lain temankan pula. Tidak diturut kehendaknya, mulalah merajuk. Kalau sudah orang tua yang merajuk, memang buruklah. Itu yang dia tidak mahu tengok.

“Nanti selepas balik bercuti, kita pindah ke rumah abang di Putrajaya, ya,” ujar Zamil.

“Abang ada rumah di Putrajaya ke?” tanyanya, tidak pula dia tahu.

“Town housedi Presint 16 tetapi tak banyak barang. Nanti kita belilah sikit-sikit,” ujarnya sambil memegang tangan Dian. Kali ini entah apa yang dibeleknya, Dian pun malas hendak ambil tahu.

“Tak apalah nanti senang nak kemas,” balas Dian pula.

“Duduk sana seronok sikit. Tak ada siapa nak sibuk kita tidur lewat ke apa ke,” tutur Zamil.

“Dian okey saja.”

“Isteri abang ni memang! Semuanya okey,” ujar Zamil. ‘Jangan nanti ada yang hendakkan suaminya dan dia kata ambillah, sudah!’ desisnya dalam hati.

“Abang dahlah, Dian mengantuk sebenarnya,” ujarnya sambil menarik lembut tangannya.

“Yalah,” ujar Zamil. Dia juga mahu tidur kerana esok mereka akan bertolak ke Port Dickson. Memanglah tidak sejauh mana, namun dia kena tidur juga agar tidak mengantuk ketika memandu.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.