Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
45,335
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

SEBULANtelah berlalu. Sejak dari hari dia pengsan di kedai itu, Zafri langsung tidak menjejaki kakinya di kedai Zamir. Malu untuk bersua dengan pekerja-pekerja di situ. Kenapalah dia pengsan setelah melihat darahnya sendiri. Memang betul, sejak dia kenal dengan Dina, kejadian yang pelik-pelik berlaku. Pertama, motornya dicalar. Kemudian, dahinya dijahit dan kini tuan rumah pula datang membawa berita. Dia terpaksa keluar dari rumah yang disewanya kerana anak tuan rumah mahu tinggal di situ. Dia diberi notis dua minggu. Gila! Mana nak cari rumah sesingkat itu.

Puas dia bertanya pada kawan-kawannya, akhirnya dengan bantuan Zamir, dia berjaya juga mendapat rumah sewa yang baru di Taman Pantai. Walaupun agak jauh dari tempat kerjanya, tapi buat sementara waktu dia terpaksa bersetuju.

Hari ini dia akan mengangkut barang-barangnya. Nama sahaja dia bujang, tapi hampir satu lori juga barang-barangnya. Memang dia suka membeli barang-barang kelengkapan rumah. Setelah memberikan alamat kepada pemandu lori itu, Zafri bergerak sendiri dengan menunggang motosikalnya. Keretanya dipandu Zamir.

“PENAT gila aku. Nasib baik ada mat-mat bangla ni. Kalau tidak, jenuhlah nak angkat dengan susun barang-barang ni,” rungut Zafri. Badannya direbahkan ke atas sofa.

Zamir begitu juga. Demi sahabatnya, dia langsung tidak menjenguk ke kedai.

“Tak kisah ke kau nak duduk sorang-sorang ni?” tanya Zamir.

“Lagi mahu tanya ke? Pernah ke kau kenal dengan housemate aku? Tak pernah kan? Aku ni memang jenis tak boleh nak duduk dengan oranglah. Lagipun, kau kan tahu mak bapak aku kadang-kadang nak datang. Kalau aku sewa dengan kawan-kawan, susahlah sikit.”

“Untunglah kau. Kiri kanan rumah anak dara. Jemu belah sini, boleh jenguk belah sana. Aku pun boleh tumpang sekaki.”

“Sekaki aje, sebelah lagi kaki kau macam mana?”

“Sebelah lagi aku kena tinggal kat rumah, jadi peneman bini aku.”

Zafri ketawa besar mendengarnya.

“Itulah kau, cepat sangat nak kahwin. Tengok macam aku ni, enjoy aje. Ini tidak, awal-awal dah galak nak bernikah. Nak ke mana pun payah, kaki kena tinggal sebelah.”

“Kau tak tahu nikmatnya berumah tangga, Zaf. Balik rumah, sejuk hati tengok anak dengan bini. Cuti-cuti, bawak anak bini pergi jalan. Bukan macam kau. Kau ni bila nak kahwin Zaf? Tak puas lagi ke kau nak enjoy.”

“Kahwin tak ada dalam kamus hidup aku. Buat sakit kepala aje. Macam ni senang. Kalau jemu, cari lain. Kalau kahwin, dah jemu bukan boleh nak cari lain, cari bala bolehlah.”

“Sampai bilalah kau nak guna prinsip macam ni? Kesian kat mak ayah kau, Zaf. Kempunanlah dia orang nak timang cucu.”

“Itulah kau, nama aje kawan aku. Apa kau ingat, kalau aku nak kahwin pun, mak ayah aku nak terima ke dia orang ni? Susah tau nak jadi menantu Puan Suhaila. Silap hari bulan, perang menantu mertua pula. Biarkanlah, bagi mak aku carilah senang. Perempuan sekarang susah tau nak cari yang boleh buat bini,” terang Zafri.

“Jadi, kau nak kahwin jugaklah. Tadi kau cakap tak ada dalam kamus hidup. Cakap berbelitlah kau ni. Rasanya kalau jumpa ular dengan kau, baik aku ketuk kau dulu.”

“Iya ke? Aku ada cakap macam tu ke tadi?” Zafri pura-pura bertanya.

“Buat-buat lupa pula. Apa kau ada bela hantu raya ke? Kaulah yang cakap, siapa lagi,” marah Zamir. Geram bila dipermain-mainkan Zafri.

“Jangan marah, Mir. Siapa yang tak nak kahwin? Kucing tepi jalan pun, kalau boleh nak kahwin. Inikan pula aku. Insan yang sempurna akal dan fizikal, tampan lagi bergaya. Apalah kau tanya soalan macam tu.”

“Malas aku nak layan kau. Ni, apa hal piza tak sampai-sampai lagi ni. Dah tahap kebulur aku kat rumah kau ni,” rungut Zamir lagi. Perutnya yang tidak diisi dari pagi, mula memainkan lagu keroncong.

“Sabar. Sabarlah, Mir. Kejap lagi sampailah tu. First delivery piza kat Malaysia. Mana boleh sampai lambat. Lagipun, tak sampai setengah jam. Kalau lebih setengah jam, kita dapatlah piza percuma nanti. Jimat duit aku,” ujar Zafri sambil menjeling.

SELESAI makan, Zamir terus pulang ke rumah. Tinggallah Zafri sendirian. Waktu semakin meningkat senja. Zafri masih lagi di pekarangan rumah, meninjau-ninjau kawasan sekeliling. Di melihat di sebelah kanan rumahnya.

“Hantu punya Zamir. Dia cakap rumah anak dara sebelah ni. Anak dara apa, pondan rupanya,” bisik Zafri sendiri.

Kebetulan penghuni rumah sebelah itu keluar mengangkat pakaian di ampaian. Sekali tengok memang tergoncang juga imannya melihat lenggok manja yang diperlihatkan. Sekali dia berpaling, ambik kau. Halkum jelas kelihatan di leher. Tergesa-gesa Zafri masuk ke dalam rumah. Pintu di kunci.

“Helo. Helo.” Ada suara yang terjerit-jerit di luar rumahnya.

Zafri menjenguk ke luar. Alahai, lelaki yang tak berapa nak menjadi itu tadi sedang memanggilnya. Zafri mendiamkan diri, tetapi dia naik rimas bila yang memanggil tidak henti-henti memanggil. Akhirnya dia keluar juga.

“Hai, baru pindah ke?” tanya lelaki yang memakai legging berwarna merah jambu. Bajunya agak sendat. Bauan harum menusuk hidungnya.

“Err, dah setahun dah saya duduk sini,” jawab Zafri.

Apa punya soalan. Dah sah-sahlah dia baru berpindah kat sini, lagi mahu tanya. Sambungnya dalam hati. Yang bertanya tadi hanya ketawa, menampakkan barisan gigi yang putih.

“Lawaklah awak ni. Nama saya Shasha. Awak?”

“Shasha? Ni nama dalam kad pengenalan ke ni?” soal Zafri. Dia memang agak berbulu dengan spesies yang dah macam jellyfish.

Shasha hanya menjeling. Nampak sangat muka menyesal kerana cuba beramah mesra dengan jiran barunya itu.

“Kenapa pula awak nak tanya nama saya dalam kad pengenalan, nak buat bini ke?” tanya Shasha selamba.

Zafri ketawa mengekek. “Isy, awak ni, tahulah kita kat akhir zaman, janganlah sampai nak kahwin sejenis pula, betul tak?”

Shasha sudah menarik muka. Hajat hati yang ingin berkenalan, terbantut di situ.

“Okeylah, saya banyak kerja. Bye.”

Bye. Kalau senang kita sembang lagi,” balas Zafri.

Selepas Shasha masuk ke dalam rumah, Zafri masih lagi ketawa. Lucu rasanya bila melihat Shasha yang baru dikenalinya merajuk.

“Shasha konon. Entah-entah nama dia Suparjo. Dunia, dunia... Yang lelaki gila nak jadi perempuan, yang perempuan gila nak jadi lelaki. Nasib baiklah aku ni normal. Kalau tak, haruslah nama aku jadi Zafrina.” Zafri ketawa sendiri.

“ADA orang baru kat sebelah rumah kita ni, Maya.” Irdina bersuara. Kepala dijengukkan ke luar tingkap.

“Haahlah. Siapa erk? Kita suruh Anum siasat nak? Anum kan wartawan. Dia bab siasat-menyiasat ni memang suka.”

“Agak-agaklah Maya. Anum kalau siasat kes pembunuhan ke, kes pecah rumah ke, dia naklah, tapi takat kes macam ni, nak ke dia?” ujar Maya sambil ketawa.

“Mungkin orang baru kahwin kot. Biar aje. Esok kita tanya Kak Sha, dia mesti tahu punyalah, dia kan reporter tak bertauliah,” sambung Maya kemudiannya.

“Jadi ke awak nak ke Sabah esok, Maya?”

“Apa pula tak jadi. Terpaksalah awak. Saya ni junior, kenalah pergi. Awak pakailah kereta saya sepanjang saya kat sana. Seminggu tu.”

“Emm... awak ni Maya, awak nak suruh saya kena saman ke? Lesen pun tak ada. Nanti tak pasal-pasal makin kaya PDRM.”

“Itulah, dulu masa saya suruh awak ambil lesen, awak tak nak? Kalau tak, bolehlah awak guna anak badak saya tu.”

“Tak apa, bulan depan saya nak ambil lesen. Jangan susah hati, bukan takat anak badak awak, anak pelanduk Anum pun saya boleh bawak nanti. Yang Anum ni kenapa tak balik-balik lagi ni? Lambatnya hari ini dia balik.” Irdina merungut-rungut.

“Anum tu banyak kerjalah tu. Malam ni awak nak masak apa Dina? Malam ni giliran awak kan? Buat lupa ke?”

“Mana ada lupa. Malam ni kita makan western food. chicken chop ala Dina.”

“Pandai ke?”

“Awak ni, Maya, saya kan kerja kat kedai makan, hampir penuh dah ilmu masakan di dada ni. He... He... He... Tapi kalau tak sedap, jangan marah erk.”

“Tak kira, nak marah juga. Apa lagi, jomlah kita masak. Dah nak masuk pukul 8.00 malam dah ni. Nanti Anum balik lapar pula.”

Irdina menyinsingkan lengan bajunya. Semangat untuk masak malam ini berkobar-kobar. Memang dia minat memasak. Ada sahaja resipi baru yang dicubanya.

Tugasan memasak hanya dilaksanakannya dan Maya. Tugas Anum sebagai wartawan membataskannya daripada memasak. Tetapi, jika ada kelapangan, Anum turut akan turun ke dapur.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.