Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
45,464
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

ZAFRI beriringan dengan Lisa menuju ke parkir motor. Rabaklah juga poketnya kerana menurut segala kehendak Lisa. Mujurlah Lisa dikategorikan sebagai wanita yang cantik dan menawan. Kalau tidak, jangan haraplah dia hendak mengikut segala permintaan wanita itu.

“Zaf, lepas ni kita nak ke mana?” tanya Lisa dengan manja.

Zafri melirik matanya.

“Zaf ingat nak baliklah, Lisa. Nak kemaskan barang. Lusa Zaf dah nak balik kampung. Iyalah, nak tolong keluarga berpindah.”

“Alah, berapa hari Zaf nak balik. Jangan lama-lama tau. Lisa rindu.” Lisa merengek bagaikan anak kecil. Lengan Zafri diulas-ulasnya.

“Tiga empat hari aje, kita calling-calling ya, sayang,” pujuk Zafri. Kembang hidungnya cuba mengatur ayat.

“Ni apa hal pulak dengan motor aku ni?” Zafri baru perasan tangki motornya bercalar-calar. Motor itu dibelek dengan perasaan yang berdebar

“Mangkuk ayun mana yang buat lukisan kat sini? Dia ingat motor aku ni dinding ke apa? Boleh buat mural kat sini!” marah Zafri lagi.

“Kenapa marah-marah ni, Zaf. Marah Lisa ke?”

“Hisy, mana ada. Zaf bukan marah Lisa. Ni, tengok ni. Tadi tak ada kan?”

“Entahlah, mana Lisa tahu.”

“Tak ada. Tadi memang tak ada. Siapa pula yang khianat buat calar-calar ni? Suka hati mak bapak dia aje. Ni yang aku nak marah ni.” Muka Zafri merah padam. Menahan marah di jiwa. Nasib baik depan Lisa, kenalah tunjuk yang baik-baik sahaja. Kalau tak, sah-sah terhambur segala kata makian dari mulutnya.

“Perkara kecil aje tu, nanti cat lain ya,” pujuk Lisa.

“Perkara kecil? You tahu tak, motor ni buah hati I tau. Banyak jasa motor ni tau. Ini bukan perkara kecil. I rela kena ketuk daripada tengok orang ketuk motor ni. You tahu apa?”

Kali ini Zafri sudah geram. Hal motornya bukan hal yang boleh dibuat main. Segala yang berlaku pada motornya bukan hal yang kecil.

“Ni yang nak marah-marah Lisa ni kenapa? Takkan pasal motor ni pun nak naik angin. Lagipun, bukan salah Lisa.” Suara Lisa agak meninggi.

“Bukan marah, tapi nak beritahu, lain kali pasal motor ni jangan anggap perkara kecil. Motor ni nyawa I tau.”

“Kalau dah tahu macam tu, simpan aje dalam rumah. Nyawa konon.”

“Ni mesti kerja mat rempit ni. Bengong betullah. Kalau nak melukis pun, lukislah kat kertas lukisan. Ini tidak, motor kita juga dicalarnya. Kurang asam betul,” rungut Zafri sambil membelek-belek motornya.

Naik pilu hatinya bila dilihat calaran-calaran yang berceloreng di motornya itu.

“Cepatlah, panas ni tau. Balik nanti beleklah motor ni sampai tengah malam. Sekarang ni Lisa nak balik.” Dengan cuaca yang panas terik, boleh lagi Zafri melayan jiwanya.

“Kejaplah, kesian kat dia ni. Selama ni dia dah banyak berjasa kat Zaf. Kalau aku tahu siapa yang buat ni, memang sakitlah mamat tu.”

“Ni nak balik ke tak nak ni? Kalau tak, Lisa balik naik teksi aje.” Suara Lisa semakin keras.

“Okeylah, jom.” Akhirnya Zafri mengalah dengan muka yang masam.

Enjin motor dihidupkan. Motor itu berjalan dengan perlahan, keluar dari pekarangan tempat membeli-belah itu. Hati Zafri terus menyumpah-nyumpah. Marah kepada Lisa dan juga penconteng motornya.

“MANA motor kau, Zaf?” tanya Zamir kepada temannya itu.

“Bengkel,” jawab Zafri dengan lemah. Bengangnya bukan main kalau hal itu bersangkutan dengan motornya.

“Rosak ke?”

“Taklah. Aku pergi sembur cat.”

“Aik, kan elok lagi cat tu. Habis tu macam mana nak pergi konvoi tu? Bukan konvoi tu esok?”

“Tu yang aku hangin tu. Mangkuk betullah mamat tu. Kalau aku dapat, sah-sah 44 hari dia meraung kat wad kecemasan.” Zafri berkata dengan geram.

Kalau diikutkan, esok dia dan kawan-kawan ‘sepermotoran’ akan menuju ke selatan tanah air. Pada Lisa dia memberitahu yang dia akan balik kampung. Tipu sunat. Jatuhlah sahamnya jika konvoi dengan mengusung awek. Kurang-kurang dalam perjalanan itu dapatlah dia ‘mengail’ barang seorang dua gadis. Nampaknya itu semua hanya tinggal impian.

“Yang kau ni pun, pergilah konvoi tu dulu. Lepas balik dari konvoi, baru kau pergi cat. Apa da...” ujar Zamir lagi.

“Kau ni tak fahamlah dengan jiwa aku. Aku tak bolehlah. Kalau kau luka kat tangan, takkan kau nak tunggu esok baru kau nak balut. Mesti masa tu juga kau nak letak minyak gamatlah, plasterlah. Macam tu juga dengan aku. Lihat calar-calar kat motor tu, rasa macam hati aku kena calar tau.”

“Teruk sangat ke calar tu?” tanya Zamir lagi.

“Mahunya tak. Kalau kau tengok pun boleh mengalir air mata tau,” ucap Zafri dengan penuh perasaan.

“Habis tu, kau mengalirkan air mata tak?”

“Aku cakap kau, bukan aku. Aku kategori maco, tak mainlah air-air mata ni. Air mata kucing ni aku layan,” jawab Zafri sambil menghirup air mata kucing di hadapannya.

Zamir mencebikkan mulutnya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.