Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
77,819
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

Bab 8

Dear mama, I truly miss you. Cetus hati Cahaya. Dia memandang ke dada lautan. Air laut tampak berkilau, bagaikan dihampar dengan sejuta kristal sewaktu membias cahaya mentari terik. Cahaya duduk atas akar-akar pokok yang berjuntai. Dia menguis kakinya di atas pepasir, membunuh waktu yang dirasakan terlalu panjang.

Ah, waktu terlalu panjang apabila hatinya dihurung sedih! Sayang, dalam panjangnya waktu, dia tidak ketemu ubat mujarab untuk mengubatkan luka di hatinya. Lukanya belum jua sembuh-sembuh. Malahan setiap kali dia menatap wajah papa, luka itu seakan berdarah semula. Dia teringat betapa terseksanya mama meneruskan hidup tanpa ditemani suami tercinta.

“Ouch, sakit!” jerit Cahaya sewaktu kakinya tersepak sesuatu yang tertanam dalam pepasir yang dikuis.

Cahaya terus bangun dari duduknya, memanjat atas juntaian akar pokok. Dia takut kalau-kalau yang melanggar kakinya tadi ketam atau kala jengking sesat. Setelah yakin yang keadaan di sekitarnya selamat, barulah Cahaya turun semula. Dia mengorek pepasir tempat dia menguis dengan kaki tadi. Sebuah botol kaca berbentuk bintang dikeluarkannya.

“Papa cakap jangan buka botol sebarangan tepi pantai. Tapi, semua yang papa cakap selalu salah. Papa selalu tipu aku, tipu mama, tipu Mak cik Latifa. Buat apa aku nak percayakan papa lagi? Dia selalu cakap lain tapi buat lain,” ngomel Cahaya sendirian.

Cahaya melabuhkan botol tadi ke atas riba. Lama dia memerhatikan botol itu sebelum mengambil keputusan untuk membukanya, memeriksa sendiri isinya. Barangkali ada sesuatu yang penting di dalamnya.

Nampak macam okay,” luahnya lagi.

Cahaya memusingkan penutup botol dengan hati-hati. Manalah tahu kalau-kalau ada genie dalam persis cerita Aladdin terbang keluar. Pasti dia akan terpengsan di situ juga. Dalam benaknya diracun curiga. Tetapi semangat ingin tahunya yang menebal menghapuskan rasa takut sejenak. Dengan lafaz Bismillah, dia memusingkan penutup botol buat kali terakhir sebelum ia terbuka.

“Surat,” ucap Cahaya sambil mengeluarkan satu gulungan kertas yang tersimpan di dalam botol. Kertas yang bergulung itu dibukanya.


Buat Cahaya,

Assalammualaikum. Saya harap satu hari nanti awak akan kembali ke sini, di tempat pertemuan kita dulu. Awak mungkin sudah lupakan saya. Tapi saya selalu mengingati bidadari yang selamatkan saya dari laut. Bidadari yang hulurkan saya sekuntum senyuman dan tatkala saya tatap wajahnya, semua masalah saya lari dari uncang fikiran.

Mungkin awak bencikan saya kerana kebodohan saya dulu, Cahaya. Tetapi saya tetap mahu berterima kasih kepada awak. Awak telah ubah seluruh hidup saya. Awak beri peluang kedua untuk saya teruskan hidup. Awak mengingatkan saya yang hidup ini terlalu rapuh dan saya perlu menghargai tiap detik yang dianugerahkan ALLAH. Terima kasih atas peringatan awak pada saya, Cahaya.

Siapa gerangan awak dan dari mana awak datang, saya tak tahu jawapannya. Namun, TUHAN hantarkan awak di saat nyawa saya di hujung tanduk. Di saat saya tiba ke permulaan kepada pengakhiran hidup saya. You’re my angel, Cahaya. My beautiful angel. Tanpa awak, saya takkan jadi Ilham yang sekarang. Saya teringin sangat nak jumpa awak lagi. Saya nak ucap terima kasih dan beritahu awak betapa besarnya perubahan yang awak bawa ke dalam hidup saya.

Saya harap awak ada di sini. Saya harap saya boleh cakap benda ni secara bersemuka. Tapi, saya langsung tak tahu di mana nak cari awak.

Ilham.

“Siapa dia ni?” soal Cahaya sendirian.

* * * * * *

Esoknya…

Pagi jangan datang lagi. Aku belum bersedia untuk bersengkang mata, memandang duniaku yang masih belum disinari mentari. Biarkan aku mengerekot di bawah kepompong selimut. Biar dingin menyucuk sampai ke tulang. Biarkan. Aku belum bersedia menyambut pagi. Kerna bagiku dunia ini masih kosong. Kosong tanpa Cahaya. Kosong tanpa teman untuk menerangi hari suramku.

“Ilham, wake up!”

“Yes, ibu,” sahut Ilham sambil memaksa diri menolak selimut.

Epilog hatinya mati sendiri. Dia mengesot turun ke katil, ke bilik air untuk mandi dan berwuduk sebelum tunduk menyembah-Nya. Selepas selesai, dia menukar pakaian kepada kemeja putih dan slack hitam dan turun ke bawah, menuju ke meja makan. Rossa sudah sedia menanti dengan Haji Tajuddin.

“Lepas syif nanti terus balik kan, Ilham? Ke ada rancangan nak ke mana-mana?” soal Rossa. Dia menuangkan air ke dalam gelas sebelum menghulurkannya kepada Ilham.

Ilham mengambil air yang dihulurkan Rossa lalu meneguknya sekali.

“Lepas syif nak ke Port Dickson, jalan-jalan,” balas Ilham sebelum bersalaman dengan ibu dan ayahnya.

Ilham sempat mencapai sandwich yang disiapkan mama dan memasukkannya ke dalam mulut sebelum melangkah ke pintu. Dia tidak sempat untuk duduk di meja makan, takut terlambat. Kakinya dilolos ke dalam kasut kulit warna hitam.

Pergi dulu,” ucap Ilham sambil melangkah ke kereta. Cara dia menarik daun pintu depan membuatkan Tajuddin mengeluh sekejap.

“I know,” potong Rossa sebelum suaminya membuka mulut. Dia sudah tahu soalan apa yang mahu Tajuddin ajukan kepadanya.

“Dah tanya?” soal Tajuddin.

I dah tanya dah dia. Dia cakap yang dia straight. Dia tak minat dengan lelaki. Dia hanya kawan baik dengan Azriq,” jelas Rossa.

“Semua orang bercakap, sayang. Dia rapat sangat dengan Azriq tu. Dia tu umur dah lanjut tapi masih single,” cetus Tajuddin yang dibuai risau.

“Come on, sayang. Bagilah dia masa lagi. Dia tu kan doktor, selalu sibuk kerja,” pujuk Rossa.

“Masa apa lagi? Lepas Warda pergi, dia memang tak pernah ada perempuan lain lagi. Kawan-kawan lelaki dia tu semua pelik-pelik belaka. Awak tengoklah dia, ada masa dia ke dapur tolong awak masak, mengemas. Tak serupa budak lelaki lain,” utara Tajuddin, risau bukan kepalang.

Apatah lagi apabila mengenangkan sifat Azriq yang memang suka berhias. Keningnya sendiri seakan sudah dicantas. Kekadang bibirnya kelihatan dicalit gincu. Bapa mana yang tidak risau kalau lelaki seperti itu rapat dengan anak lelaki tunggalnya. Apatah lagi apabila mendapat tahu yang Azriq sengaja ambil cuti untuk menghantarkan bekalan makanan kepada anaknya di hospital.

“Macam mana kalau dia suka perempuan lain,” ujar Rossa, juga untuk menyedapkan hatinya sendiri. Dalam banyak-banyak doktor dan jururawat muda di hospital, mana mungkin tak ada seorang pun yang mampu menggugat hati Ilham.

“Perempuan mana dia nak pun saya tak kisah. Kalau dia nak menikah sekarang, saya sanggup keluarkan duit. Yang saya kisah tu kalau dia nakkan lelaki,” ucap Tajuddin, sekali lagi mengingatkan perkara yang digeruninya.

“Abang…” panggil Rossa dalam nada lemah, mahu menghentikan topik yang sering Tajuddin ungkit-ungkit.

Benarkah tuduhan jiran-jiran mereka? Rossa sendiri tidak tahu meskipun dia ibu Ilham. Kekadang dia takut untuk tahu, risau kalau kenyataan sebenar akan meruntunkan jiwanya. Tetapi, jauh di sudut hati, dia berdoa agar TUHAN menjauhkan anaknya dari khilaf itu. Sejak kecil, Ilham tak pernah dididik agar menduakan TUHAN, mempersoalkan takdir yang telah menjadi ketetapanNya.

Ilham diajar agar redha, agar menerima qada dan qadar. Ilham selalu diingatkan tentang dunia selepas mati, balasan untuk mereka yang menyimpang dari landasan TUHAN. Tegakah anak lelaki tunggalnya itu berpatah arang dengan cinta yang berteraskan kekeliruan, cinta yang dilaknat Maha Pencipta. Tegakah dia?

“Kalau boleh, saya pun tak nak percaya. Tapi, saya takut kalau benda ni betul, yang,” luah Tajuddin sambil mencapai tangan Rossa.

Rossa gumam.

“Dia cakap tak. Saya percayakan dia. Dia anak yang baik, yang taat. Saya percayakan dia, bang. Mungkin dia masih tunggu Warda. Dia kan dah biasa membesar dengan Warda dari kecil,” tegas Rossa.

“Kita beritahu dia Warda dah mati,” ungkit Tajuddin.

“Tapi, kita tahu Warda masih hidup. Dia dah pulih, bang. Kalau satu hari nanti dia nak pulang ke sini,” balas Rossa, bertemankan sejuta harapan.

“Warda dah lama di Canada. Dia dah lupakan semuanya di sini. Dia dah berkorban. Dia sanggup suruh kita semua cakap dia dah mati supaya Ilham dapat teruskan hidup macam orang normal. Takkan sekarang, bila dia dah sembuh, kita harapkan dia pulang ke pangkuan Ilham?” ujar Tajuddin.

“Tapi, kalau Warda sendiri yang mahu pulang?” duga Rossa.

“Anak-anak kita dah besar, Rossa. Biarlah mereka buat keputusan tentang jodoh sendiri. Asalkan Ilham pilih perempuan, saya tak kisah dengan siapa pun dia nak menikah,” balas Tajuddin.

“Nanti saya tanyakan Mulia, ya?” soal Rossa.

Tajuddin menghabiskan sisa airnya di dalam cawan. Kemudian, dia menggelengkan kepalanya sekali. Memang dia tahu Rossa dan Mulia dua orang sahabat karib yang tak dapat dipisahkan. Tetapi, itu tidak bermakna mereka boleh memaksa anak-anak mereka bersatu hanya kerna mereka mahu berbesan.

“Awak tau Warda anggap Ilham macam abang dia,” balas Tajuddin.

Rossa mengeluh.

“Itu dulu, bang. Masa tu dia masih kecil. Mungkin dia belum bersedia untuk terima Ilham,” ucap Rossa, masih menyimpan harapan.

“Kalaupun dia sudah bersedia untuk terima Ilham, awak rasa hati anak lelaki awak tu masih tak berubah? Dah sepuluh tahun. Awak kena ingat tu. Jangan pandai-pandai mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh. Bagi Ilham, Warda tu dah mati. Macam mana awak nak bangkitkan orang yang dah mati dari kubur?” tempelak Tajuddin.

Rossa terdiam.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.