Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
77,815
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13

Bab 13


Dear, Cahaya.

Assalammualaikum. Terima kasih sebab balas nota saya. Saya tak pernah lupakanCahaya. Mungkin secara fizikal, kita dah berubah. Mungkin saya tak boleh cam Cahaya lagi kalau kita berselisih bahu. Tetapi, kenangan dulu masih saya ingat jelas. Dari saat pertama Cahaya bawa saya keluar dari dada lautan, saya tahu, saya takkan boleh lupakan Cahaya buat seumur hidup saya. Sudah seminggu saya menanti di sini tetapi Cahaya tak juga singgah. Mungkin Cahaya sudah pergi sekali lagi. Tapi, saya akan setia menunggu Cahaya kembali.

Hidup tak selalu indah, penuh dugaan dan halangan. Tiap orang punya kisah sendiri, rasa perit dan sakit yang kita tahan di dalam bengkung dada. Hari ini, saya didatangi oleh dugaan yang baru. Teman saya, teman baik yang saya sangka akan menemani perjuangan saya sampai ke Raudhah, baru meluahkan isi hatinya pada saya. Saya terkejut dan dalam masa yang sama saya kecewa.

Sesungguhnya saya tak mampu menerima hubungan terlarang yang dilaknat Allah itu. Bagaimanakah saya tergamak menyintai seorang lelaki sedangkan telah TUHAN ciptakan manusia dalam keadaan yang sempurna sifat untuk berpasangan, lelaki dan perempuan? Saya buntu.

Saya keliru, Cahaya. Saya sendiri tak tahu apa yang saya rasakan sekarang. Siapa yang lebih bodoh? Dia yang menyintai seorang lelaki bergelar temannya? Atau saya yang menyintai seorang gadis yang sudah 10 tahun tidak saya temui?

Saya akan pergi mencari teman saya, mencari jawapan di mana khilafnya persahabatan yang saya hulurkan selama ini. Tetapi, sebelum saya pergi, tak kira apa pun yang akan berlaku nanti, saya mahu membuat pengakuan, Cahaya.

Sebenarnya saya sudah jatuh hati pada awak, Cahaya, sejak saat pertama saya lihat awak, di saat saya berada di antara hidup dan mati. Sejak hari itu, saya tak pernah melupakan awak. Saya pernah menyangkakan awak seorang bidadari. Saya tahu awak tak punya rasa yang sama tapi saya akan bersabar menanti andai TUHAN merestui rasa yang saya pendam selama sepuluh tahun ini.

Ilham

Gila ke kau ni? Kau ingat aku ni bodoh sangat?” soal Cahaya meskipun tak ada insan lain di sisinya kala itu. Dia tak mampu menghalang dirinya dari berbicara seorang diri, menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Jatuh hati. Cinta. Kasih. Sayang. Rindu. Ungkapan rasa cinta sesama manusia tak segah rasa yang sama buat Maha Pencipta. Cahaya tahu itu. Hingga kini, hatinya sangsi sama ada ungkapan itu punya erti jika ia terzahir di antara manusia.

Lihat saja cinta, kasih, sayang dan rindu papa pada mama yang kononnya agung, bagai lautan tidak bertepi. Lihatlah, di mana agungnya ia sekarang? Ia bagai buih-buih di dada lautan, berapungan tanpa persinggahan, hilang tanpa kesan. Cinta yang hanya menyakitkan wanita-wanita yang kononnya dicintai. Tak ada gunanya membina istana seindah Taj Mahal andai cinta tak seteguh binaannya.

Mampukah Cahaya membalas cinta seorang lelaki dengan hanya berbekalkan kenangan sipi-sipi yang mengocak ruang ingatannya. Mampukah dia menerima keikhlasan seorang lelaki yang belum pasti kesetiaannya? Benarkah rasa kasih di hati Ilham seteguh bicara suratnya? Atau barangkali suara dakwat itu indah khabar dari rupa? Tidak semudah itu dia akan memberikan hatinya. Dia bukan bodoh.

Dia yang bakal menanggung natijahnya seandainya dia menerima lelaki yang tidak dikenalinya itu. Yang sakit nanti dia. Yang akan menangis nanti dia. Lelaki adalah makhluk yang sukar diukur telus hatinya. Bermaknakah cinta tanpa ketelusan, tanpa rasa percaya? Untuk apa terikatnya suatu perhubungan kalau ia tidak berlari atas landasan percaya, tersasar arahnya ke kanan kiri.

Cahaya meletakkan surat Ilham di atas pehanya, ditahan dengan tangan kiri yang berbalut agar tidak diterbangkan angin. Di bawah balutan itu ada 7 jahitan yang sakitnya masih terasa sampai sekarang. Sudah seminggu dia menahan rasa sakit itu. Kata doktor dia perlu berjaga-jaga agar lukanya tidak terkena infeksi.

Perlahan pergerakan tangan kanannya, membolosi ruangan dalam beg coklat yang dibawa bersamanya, mencari pen dakwat basah kegemarannya. Penutup mata pen ditanggalkan dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Mata pena tadi berlari di muka belakang surat Ilham.

Selepas selesai, dia menggulungkan semula surat Ilham, menempatkannya semula di dalam botol jernih berbentuk bintang. Gabus penutup botol disumbatkan di mulut botol sebelum ditanamnya di celah-celah akar pokok tempat dia melabuhkan punggung. Dia memastikan botol itu tak mampu dikesan oleh orang yang tidak tahu lokasi untuk mencarinya.

Benarkah itu kata putus Cahaya? Ya, mungkin. Cahaya tak ada jawapan yang pasti. Dia melangkah bangun. Tapak tangannya menyokong tangan kirinya sambil kakinya melangkah perlahan-lahan atas pepasir pantai.

Daun pintu myvi silver yang baru dibelinya selepas pulang dari Jepun ditariknya. Kereta kecil itu dipandunya perlahan-lahan, tidak mencecah 40km/jam. Sebaik saja sampai di depan rumah tinggalan mama, dia memakir keretanya depan pintu pagar depan. Dia melangkah masuk ke dalam selepas mengunci keretanya.

“Dia dah mandi, Ijah?” soal Cahaya.

Ijah menggelengkan kepala. Tubuhnya menggeletar sewaktu soalan itu meniti dibibir Cahaya, masih trauma mengenangkan insiden semalam. Kalau bukan kerana rasa hormat dan kasihnya pada Cahaya, pasti dia sudah melaporkan kejadian semalam kepada polis.

Matanya tertala pada kesan-kesan cakaran di tangannya, hasil ukiran kuku runcing Anees. Di kepalanya pula ada benjolan bengkak. Di pipi kanannya ada kesan lebam hijau dan pinggir bibirnya pula berdarah. Semuanya angkara Anees yang mahu cuba melarikan diri, mengerah kudrat untuk menyerangnya semalam.

“Saya tak beranilah, Aya,” ucap Ijah sambil menggelengkan kepala.

“Tak apalah. Biar saya uruskan dia. Ijah pergi baca buku yang saya belikan semalam ya,” suruh Cahaya.

Usia Ijah sudah mencecah 29 tahun. Dia sudah hilang minat untuk belajar, sudah berputus asa untuk mengejar ilmu yang digedung dalam buku sehinggalah dia digajikan untuk menjadi pembantu rumah Cahaya. Majikan barunya itu cuba menginjakkan dia dari dunia kelamnya dulu. Cahaya mengajar dia membaca, mengeja. Cahaya membelikan dia buku-buku dan alatan menulis seperti seorang ibu yang menghantar anaknya ke sekolah. Dia tidak pernah berasa disayangi begitu seumur hidupnya.

Ijah,” panggil Cahaya apabila melihat Ijah masih tertegak di tempat yang sama, sibuk berkhayal, tidak pula menurut permintaannya.

Ya, saya pergi sekarang,” balas Ijah, tergesa-gesa masuk ke dalam untuk memenuhi kemahuan Cahaya.

Ada senyuman yang terukir dibibir Cahaya, melihatkan kesungguhan Ijah untuk belajar yang semakin memuncak. Ijah pelajar yang tekun, rajin membaca dan menelaah meskipun dia tidak akan menduduki apa-apa peperiksaan dalam waktu terdekat.

Cahaya melangkah naik ke tingkat atas. Selang beberapa anak tangga, senyumannya mati. Dia terfikir pula wajah kuyu yang sedang menantinya di atas sana. Wajah yang masih cengkung, nampak bagaikan orang sakit.

Mood girang Cahaya terus bertukar sedih. Air mukanya yang tadi girang, dirundung duka. Dia tahu jalannya di depan sana takkan mudah. Anees masih ketagih dan dia tidak mempunyai pengalaman untuk membunuh rasa ketagih adiknya. Dia tidak tahu apa ubat yang paling mujarab untuk Anees. Dia hanya mampu menjadi peneman, cuba meniup semangat baru tiap kali Anees rebah.

Cahaya memperlahankan langkah. Setapak demi setapak, akhirnya dia tiba jua ke atas. Daun pintu bertentangan bilik berdekatan tangga ditolaknya perlahan-lahan.

Anees,” panggil Cahaya dalam nada lembut, sambil melihat tubuh kering yang sedang terbaring mengerekot atas lantai. Kakinya dirantai pada kaki katil kayu. Dia mengangkat muka sedikit apabila melihat kedatangan Cahaya.

Kak,” panggil Anees sambil mengesat air hingus yang keluar dari lubang hidungnya. Dia bangun duduk, menghadap Cahaya. Rambutnya yang kusut diselit di belakang telinga. “Anees dah tak tahan, kak. Anees tak boleh tahan. Anees tak boleh hidup tanpa benda tu, kak,” ucap Anees, seakan merayu.

Boleh. Akak tau Anees boleh. Akak tau adik akak kuat,” pujuk Cahaya. Dia duduk bersimpuh di sebelah Anees. Kepala Anees dibaringkan di atas bahunya. “Anees tak boleh patah semangat sekarang. Akak tak nak tengok adik akak hidup macam ni. Hidup Anees masih panjang.”

Kenapa akak nak jaga Anees? Selama ni Anees tak pernah hormatkan kakak. Anees tak pernah sayang kakak. Kenapa akak buat semua ni sebab Anees?” ucap Anees perlahan, tersedu-sedan.

Air matanya mengalir tak sudah-sudah. Dia terkenangkan maki-hamun ayah dan ibunya apabila Cahaya membawa dia singgah ke rumah mereka sebelum pulang ke Port Dickson. Hidupnya semakin kacau apabila mengetahui ada hidup lain yang sedang membesar dalam rahimnya. Benih siapa? Dia sendiri tak tahu.

Hidup sudah tak lagi punya erti baginya. Sudah berkali-kali dia memilih mati tetapi sudah berkali-kali juga Cahaya menahannya. Cahaya mahu dia meneruskan hidup sedangkan Anees merasakan dia sudah lama mati. Dia bagaikan bangkai yang masih boleh bergerak-gerak. Kenapa? Kenapa Cahaya tak mau berputus harap padanya?

Semalam, dia mencuba untuk melepaskan dirinya lagi. Nawaitunya sebulat tekad mahu lolos dari situ, mencari bekalan untuk melepaskan giannya. Dia mencederakan Ijah untuk melarikan diri dari sana, mencapai matlamat hitamnya. Anees tak mahu hidup lagi. Apatah lagi hidup berbekalkan belas ehsan dari wanita yang pernah dibencinya, wanita yang sebelum ini tak pernah diakui sebagai kakak.

Anees, orang selalu cakap, TUHAN selalu memberi umatNya dugaan sebab Dia sayangkan kita. Dia ingatkan kita. Dia takkan menguji kita seandainya Dia tahu kita tak mampu melalui dugaanNya. Dia uji Anees sebab Anees kuat. Jadi adik akak ni jangan mudah putus semangat,” pujuk Cahaya.

Anees kotor, kak. Anees hina. Anees jijik. Apa lagi yang akak nak dari adik macam Anees?” ucap Anees sambil menangis. Lagi dan lagi. Air mata itu seakan tidak akan berhenti, menemani penyesalan yang tiada noktahnya.

Andai waktu boleh diputarkan semula, dia takkan hanyut bersama Johari di lembah hina itu, di dalam perangkap samar syaitan yang menyesatkan. Tetapi, dia terlalu naïf, terlalu terpujuk dengan nafsu, darah muda yang meluap-luap dalam tubuhnya.

Siapa kita untuk menentukan seseorang manusia itu kotor, hina ataupun jijik? Itu bukan urusan kita. Itu urusan TUHAN. Dia Maha Pengampun, Maha Pengasih. Biar Dia dengan hak mutlakNya. Kita hanya hamba yang menumpang teduh kat dunia sementara ni. Sekali buat salah, jangan selamanya kita hidup dalam gelombang dosa. Keluar. Beranikan diri. Taubat, Anees. Taubat,” balas Cahaya. Tangan kanan Anees digenggamnya.

Akak tak boleh tolong Anees kalau Anees tak mahu tolong diri sendiri. Jangan putus asa, dik,” pujuk Cahaya sambil tangan kanannya menyeluk ke dalam poket jeans. Anak kunci buat mangga yang terselit pada rantai yang mengikat kaki Anees dikeluarkannya lalu dipulaskan untuk meloloskan kaki adiknya.

Keputusan ada di tangan Anees. Kalau hitam yang Anees pilih, hitamlah jadinya. Kalau putih yang Anees pilih, putihlah jadinya,” ucap Cahaya.

Anees minta maaf,” ucap Anees setelah mendengar hujah kakaknya. Ucapan Cahaya lancar. Selalu lancar. Pilihan katanya jarangkali salah. Tetapi lenggok sebutannya adakalanya terikut-ikut dengan gaya orang Jepun yang sedang bercakap, bukan orang Melayu. Namun, Anees mengerti sedalam-dalamnya segala yang mahu disampaikan, dari sebutan sehinggalah ke ekspresi wajahnya.

Rantai besi kaki Anees dilonggarkan. Anees mengesot ke depan, memandang ke pintu. Dia tidak tertahan godaan untuk keluar di situ, mendapatkan bekalan untuk menyahkan giannya. Persetankan pada mata yang menghina. Persetankan zarah-zarah yang sedang membentuk embrio, hidup dan membesar dalam rahimnya. Persetankan segalanya.

Tetapi, belum sempat dia menapak, insiden minggu lepas termain semula dalam kotak fikirannya, bagaikan kotak perakam. Dia teringatkan keberanian Cahaya menapak di rumah papan yang sudah terkopak-kopak dindingnya sendirian. Dia teringatkan darah yang memercik keluar dari tangan Cahaya untuk melindungi nyawanya. Saat itu, Anees terasa disayangi, dikasihi. Apabila dia menoleh ke arah Cahaya, nawaitunya untuk lari mati sendiri. Dia berteriak lagi dan lagi.

Anees tak tahan, kak. Anees nak benda tu. Anees tak boleh. Anees nak benda tu,” teriak Anees.

Cahaya mengesot, mendekati Anees. Tubuh kering Anees dipeluknya rapat ke dada. Rambut Anees dibelai lembut. Didudukkan kepala Anees atas bahu kanannya.

Anees boleh, sayang. Anees kuat. Kakak tau. Anees tak boleh putus asa sekarang. Anees tak boleh terus hanyut,” pujuk Cahaya, lagi dan lagi.

Anees takut, kak. Anees takut. Anees tak boleh,” teriak Anees sambil merebahkan kepala ke riba Cahaya.

Hampir lima belas minit, Cahaya merelakan Anees berbaring di ribanya, menangis semahu-mahunya. Kemudian, bahu adiknya ditepuk sekali. Dia membantu Anees yang longlai untuk duduk semula. Dahi Anees dikucupnya sekali.

Uweks!” Anees termuntah di depan Cahaya. Dia terbaring atas, menyembam mukanya. Dia malu untuk menatap wajah Cahaya.

Jom, akak mandikan,” ajaknya sambil menghulurkan tangan, memimpin Anees ke bilik air yang letaknya hanya dua puluh langkah dari situ.

Anees menggeleng.

Jom, Anees. Mandi dulu,” pujuk Cahaya sekali lagi. Tangannya masih dihulurkan kepada Anees, mengharapkan Anees akan menyambutnya.

Tidak sekalipun, dia menunjukkan wajah jelek melihat rupa Anees yang menakutkan. Dia tidak geli dengan muntah Anees, dengan bau busuk adiknya. Rasa sayangnya melampau kesemua yang menjelikkan, yang hina dan hodoh pada pandangan mata-mata yang lain. Anees adiknya. Dia takkan sesekali meninggalkan Anees.

Anees menggenggam tangannya.

“Apa yang akak dapat dengan tolong Anees?” soal Anees.

“Akak dapat seorang adik,” jawab Cahaya sambil menguntum senyuman. Dia menyapu sisa muntah di mulut Anees dengan tapak tangannya sambil menitiskan air mata.

“Kak,” teriak Anees.

Cahaya menyokong Anees, memimpin adiknya bangun, melangkah ke bilik air. Dia membiarkan Anees mencangkung di bawah aliran air sejuk. Rambut adiknya yang kusut dirapikan, disyampoo sampai bersih. Kemudian, tubuh Anees digosoknya dengan sabun. Sampaikan gigi Anees yang kekuningan pun digosoknya perlahan-lahan, menanggal sisa tahi gigi yang melekat padanya. Kemudian, muka Anees dibersihkan dengan scrub, diurut dengan cleansing milk sebelum dicuci dengan facial foam.

“Wanginya,” ucap Cahaya sambil mengelap tubuh Anees.

Anees menguntum senyuman.

Sepasang pyjama biru miliknya dipakaikan ke tubuh Anees. Dia memimpin adiknya turun ke biliknya. Anees disuruh berehat di situ sementara dia membersihkan bilik Anees.

“Anees,” panggil Ijah sambil melangkah masuk ke dalam bilik Cahaya bertemankan rasa takut. Dia memandang Anees yang sedang mengerekot atas katil menggigil. Kalau sebelum ini, dia takut pada Anees, kini dia kasihan pula.

“Anees, makan,” pujuknya.

Anees menggelengkan kepala.

“Makan sikit,” pujuk Cahaya yang baru masuk ke biliknya selepas selesai membersihkan muntah Anees.

“Nanti Anees muntah,” balas Anees.

Cahaya membantu Anees bangun, bersandar pada kepala katil Cahaya. Ijah hanya memerhati.

“Tak apa. Yang masuk memang sentiasa keluar balik, Nees,” usik Ijah.

Anees menguntum senyuman.

“Ada baldi kat sini. Anees nak muntah berapa banyak pun muntahlah. Tapi, Anees kena makan juga,” pujuk Cahaya. Dia menyuapkan bubur yang dimasakkan Ijah kepada adiknya.

Anees mengangakan mulutnya perlahan-lahan, menelan bubur ayam yang disuapkan kakaknya.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.