Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
77,796
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

Bab 9

Apa yang aku cari di atas pasir yang memutih ini? Apa yang aku cari pada camar sesat yang singgah sekejap, bertenggek atas batu gergasi berhampiranku? Apa yang kucari pada air berombak kecil, singgah membuih di kaki pantai? Apa yang kucari pada akar berjuntai yang mencengkam butiran pepasir, memberi kekuatan untuk pepohon terus menumpang hidup di muka bumi TUHAN?

Sungguh, aku tak tahu apa yang kucari di sini. Sudah sepuluh tahun aku berkunjung ke sini tiap kali ada kelapangan, mengharapkan ada keajaiban yang akan berlaku. Aku mahu bertemu Cahaya sekali lagi.

Ilham mengambil ranting yang dikutipnya ketika berjalan di gigi air tadi. Dia menggali butiran pasir longgar yang menutup rahsia hatinya. Botol kaca berbentuk bintang yang ditanamnya dulu ditarik keluar.

“Nampak lain,” ucap Ilham apabila melihat lipatan kertas di dalamnya tidak bergulung. Kertas itu dilipat empat segi.

“Siapa pula yang jumpa botol ni?” soalnya, masih berbicara sendirian. Hatinya tidak keruan.

Mungkinkah ada tangan gatal yang berani mengusiknya? Ilham cepat-cepat membuka penutup botol. Kertas di dalamnya ditarik keluar. Dia takut kalau ada tangan jahat yang sudah mengubah isi kandungan suratnya. Surat itu dikarang sendiri, menyembunyikan rahsia perasaannya pada Cahaya setelah sekian lama.


Waalaikummussalam.

‘Dear, Ilham. Maaf sebab menconteng di belakang surat awak sebab saya tak bawa kertas bersama saya. Siapa yang nak bawa kertas datang pantai, kan? Lama saya berfikir sebelum hati kecil ini berjaya ketemu jawapannya.

Ya, saya masih ingat pada awak. Lelaki yang menyebabkan saya dimarahi papa kerana masuk ke dalam keretanya dengan baju yang basah kuyup. Memang saya geram sangat pada awak. You have no idea what I’ve been through that day. Saya rasa nak karate awak, nak lipat-lipat tulang awak. Daging awak yang tak cukup banyak tu, saya nak sedekahkan pada harimau. Awaklah lelaki paling bongok yang pernah saya jumpa!’

Mata Ilham membulat sekejap, seakan tidak percaya kata-kata yang ditulis Cahaya. Peliknya dia tidak marah, tidak jua terkilan dengan ayat-ayat Cahaya. Dia terus tertawa, tak mampu menahan lucu apabila membayangkan air muka si sepet itu sewaktu mengarang surat buatnya. Ilham menyambung bacaannya.

Sudah 10 tahun. Lama bukan? Saya tak pasti sama ada awak akan kembali ke sini. Masih ingatkah awak? Atau barangkali awak sendiri sudah terlupa pada nota yang awak tinggalkan. Saya masih saya yang dulu, ‘The World’s Greatest Faker. Tapi, ini janji saya pada awak. Saya tidak akan berpura-pura di depan awak kalau kita bertemu lagi. Saya akan jadi Cahaya yang boleh memarahi dan menyuarakan rasa benci saya pada awak.

Saya ucapkan terima kasih sebab ingat pada saya walaupun saya langsung tak ingat pada awak kalau bukan sebab surat ini. Awak tak adalah penting sangat dalam hidup saya. Sebetulnya, tiap kali saya teringat insiden waktu itu, saya jadi marah dan benci dan geram dan macam-macam lagi. Walau apapun, saya tetap doakan awak temui kebahagiaan awak dan kembali bersemangat untuk meneruskan hidup, Insya-ALLAH.

Cahaya.

Dia dah balik! Dia betul-betul dah balik!” laung Ilham kegembiraan.

Ilham melompat bagaikan anak kecil tanpa menghiraukan orang-orang di sekitarnya. Selepas beberapa minit bersorak kegirangan, dia tertuduk semula di atas akar pohon tempat dia melabuhkan punggung mula-mula tadi. Kertas di tadinya dibelek berkali-kali.

“Kenapa dia tak tinggalkan contact number?” soal Ilham, sedikit kecewa. Namun, kemudian senyumannya memekar semula.

Tak apalah, setidak-tidaknya aku tau dia dah balik. Kalau ada jodoh, aku mesti dapat cari dia jugak.”

Yay, Cahaya dah balik!” jerit Ilham kuat-kuat.

* * * * * * *

Air shower jatuh deras, menghentam lantai, tidak terkena pada tubuh yang sedang mencangkung dekat dinding. Hanya sepasang kaki yang ditempatkan bawah shower, merasai air sejuk yang menggeletarkan. Suis heater sengaja dipadamkan. Dia tidak mahu bermandikan air suam.

Apa nikmatnya dengan sejuk itu? Rasa yang menyucuk-nyucuk dalam daging nipisnya. Ah, Cahaya tidak tahu. Otaknya melingkar terus, cuba mencari bahagia yang diadun dalam rasa sejuk yang terasa di kakinya.

Dia ingat pada destinasi percutian pertama bersama mama. Papa tak ada bersama mereka. Lokasinya, Morialta Falls yang terletak di Adelaide, South Australia. Morialta datangnya dari perkataan Kaurna yang membawa maksud ‘ever flowing’. Indahnya tak pernah mampu Cahaya ungkapkan dengan kata-kata.

Jisim hatinya tumpat dengan bahagia sewaktu memandangnya. Dia lupa pada pergaduhan papa dan mama yang selalu menusuk ke telinga dan mencakar hati. Dia lupa juga pada caci hamun arwah neneknya yang tak pernah merestui pernikahan papa dan mama, Masaki. Malahan wajah kelat isteri baru papa juga nyah dari ruang ingatan.

Cahaya bahagia saat itu. Sebelah tangannya menggenggam tangan mama dan sebelah lagi merasai air sejuk yang terusan mengalir, bertemankan irama alam yang seakan mengalu-alukan kedatangannya. Dalam suhu 17 darjah celsius, dia melangkah bersama mama, menjejak Mount Lofty. Dia masih ingat senyuman mama.

Mama duduk bersamanya di bawah sebuah pohon yang berdaun kekuningan. Dia menyandarkan tubuhnya sambil memejam mata sewaktu mama mengalunkan irama lembut dari flute kebanggaan moyang mama yang berasal dari Kyushu. Iramanya cukup mengasyikan, membuatkan perasaannya terbuai-buai.

Cahaya ke sana lagi pada musim summer tahun lepas. Morialta tidak lagi mempunyai wajah yang sama. Pada suhu 47 darjah Celsius, air terjun yang pernah tampak gah di matanya dulu kini hanya batu raksasa yang kekeringan. Alam seakan bisu. Haba hangat musim summer berlegar di sekitarnya, seakan mahu menghalaunya dari situ.

Air mata Cahaya menitis. Dia menadah tangannya ke depan, merasai air shower yang sejuk. Sejuk itu membawa ingatannya terbang. Dia masih ingat tangan kaku mama, sejuk umpama salju. Wajah mama pucat lesi. Dia duduk di penjuru bilik mama, memeluk kuat pehanya, rapat ke dada. Saat itu hatinya terasa mati.

Mama sudah pergi buat selamanya. Mama sudah pergi meninggalkan dia. Sayangnya, pemergian mama meninggalkan lebih banyak kenangan pahit dari yang manis. Dia terpaksa menelannya satu-persatu. Andai suatu hari nanti dia ditakdirkan mempunyai anak-anak sendiri, dia berharap dia tidak akan meninggalkan kenangan yang pahit untuk mereka. Kalaupun dia pergi dulu, dia berharap akan meninggalkan kenangan yang indah-indah buat mereka.

Tetapi, bagaimanakah dia hendak memiliki keluarga sendiri sedangkan dia tidak percaya pada lelaki? Dia seringkali sangsi dengan kejujuran kaum Adam. Dia tidak percaya dengan tiap janji yang mereka lafazkan. Jadi, bagaimanakah untuk dia berkongsi hidup dengan salah seorang dari mereka?

“Iris!”

Suara itu menusuk ke gegendang telinganya, turun memanah ke hati. Dia gusar lagi. Otaknya tidak lagi berputar pada paksi yang sepatutnya. Suara itu datang lagi, lagi dan lagi. Air shower dimatikan. Tuala coklat diambilnya dan dililit ke dada. Jenuh dia memaksa kakinya menghayunkan langkah. Sedangkan dia tahu, hatinya tidak rela ketemu pemilik suara itu. Dia kerimasan.

“Aya, saya dah cuba halang puan ni…” ucap pembantu rumahnya, Khadijah yang selalu dipanggil Ijah.

Jelas dari riak wajahnya, Ijah berada dalam keadaan serba-salah. Ijah masih terkial-kial depan daun pintu yang sudah ternganga. Ibu tiri Cahaya sudahpun melangkah masuk ke dalam tanpa keizinannya.

“Tak apa. Tolong tinggalkan kami,” pinta Cahaya.

“Kenapa kau balik? Apa kau cari di sini?” Soalan itu terlontar padanya sebaik tapak kakinya menjijak anak tangga yang terakhir. Wajah geram itu ditangkap retina matanya yang tidak ditengkap kanta.

Ijah masih terkaku di situ, takut. Kalau tadi dia takut kerana mengizinkan orang asing masuk ke rumah, sekarang dia takut dengan jerkahan Latifa pula.

“Aya…saya…”

“Tak apa, Ijah,” ucap Cahaya sewaktu melihat pembantu rumahnya yang masih terkebil-kebil di ruang tamu, diranduk rasa bersalah kerana tidak dapat melarang Latifa masuk ke rumah. “Tolong tinggalkan kami,” pintanya sekali lagi, mengulangi arahan tadi sambil melurut bahu Ijah dengan lembut.

Kali ini barulah Ijah menurut permintaannya. Dia tergesa-gesa melangkah masuk ke dalam, menuju ke biliknya.

“Mak cik sibuk sangat kenapa?” soal Cahaya kembali, tidak secuit mahu menjawab soalan Latifa mengenai kepulangannya tadi.

Tidak sesaat dia mahu bertanya khabar atau tunduk bersalam. Tidak! Tidak! Sama sekali tidak. Cahaya takkan tunduk pada wanita yang hidung tinggi itu. Apabila dia mengatakan hidung tinggi, pastinya bukan untuk mendeskripsikan hidung mancung wanita kacukan arab itu. Tetapi kerana sifat wanita itu yang menjengkelkan.

“Eh, aku tanya kau! Kau balik sini buat apa?! Apa lagi yang kau nak? Dulu kau yang terhegeh-hegeh nak duduk Jepun. Sekarang kau gatal nak balik pulak!” cetus Latifa dalam nada meninggi, menengking.

“Kenapa? Takut kalau papa tak ada masa untuk mak cik kalau saya ada kat sini? Mak cik ingat saya balik sebab papa? Kenapa? Mak cik takut sangat kalau saya rampas papa dari mak cik?”

Sinis bicaranya. Mungkin kasar, kurang ajar kata orang. Tetapi, baginya itu balasan yang setimpal untuk membalas kekejaman wanita hidung tinggi itu. Wanita itu perosak kebahagiaannya. Wanita itu perampas papa dari mama. Tapi, pernahkah papa jadi milik mama sejak awal? Ah, itu persoalan yang tak mampu dijawabnya sendiri. Jawapan kepada soalan itu hanya ada pada papa.

Siapa yang punya angkara? Siapa yang memulakan sengketa antara mereka? Dia? Latifa? Arwah mama? Atau sebenarnya papa sendiri? Latifa tidak berhak ditempiaskan benci, dipersalahkan kerana Cahaya yakin kekejamannya itu terhasil dari kecurangan papa. Cahaya tak pernah menaruh benci padanya, meskipun dia membenci Cahaya. Cahaya tahu dendam lama masih memusat di pangkal hati Latifa. Dendam buat ibunya, Masaki.

Betul, Cahaya tidak membenci Latifa. Tetapi, dia masih mengingati kekejaman Latifa padanya dulu. Dia masih ingat tiap air mata yang dititiskan kerana Latifa. Perlukah dia memaafkan khilaf Latifa padanya? Ah, Cahaya tak tahu! Dia terkilan. Ada rajuk yang sudah lama menebal dalam dada, cukup menyesakkan. Latifa sendiri tidak pernah memohon maaf di atas kesalahannya dulu. Untuk apa Cahaya memaafkannya?

Kekadang, Cahaya terasa seperti mahu menangis apabila menatap wajah Latifa. Dia mahu bertanya pada Latifa, apa dosanya dulu sehingga Latifa sanggup menyeksanya. Layakkah dia dibenci kerana sifat ayahnya? Dia mahu memujuk ibu tirinya agar memandangnya sebagai seorang anak. Dia mahu memujuk Latifa memulakan hidup baru bersamanya dan Anees, melupakan papa yang selalu menyeksa hidup mereka. Namun, egonya membataskan kemahuannya itu.

Kata-kata itu tak mampu diungkapkan. Dibiarkan saja keinginan itu mati. Dia berdiri tegak, angkuh dengan kemampuannya untuk berjaya tanpa bantuan Latifa. Egonya menebal. Ada rasa sombong yang membuatkan dia sukar untuk meruntunkan ego dalam dirinya.

Dia jurutera yang paling muda di syarikat bertaraf antarabangsa. Dia bukan seperti Anees yang tidak berjaya menamatkan pengajian, terumbang-ambing mencari hala tuju dengan subsidi papa. Dia mampu berdiri atas kakinya sendiri.

“Kalau mak cik risau sangat, ikat aje papa kat rumah mak cik. Apa mak cik ingat papa akan ikut saya balik ke sini? Mak cik ingat papa nak balik ke sini, nak simpan kenangan dengan mama? Kalau mak cik yang masih hidup pun papa tak hargai, mak cik ingat papa nak ingat mama yang dah tak ada lagi?”

Latifa terdiam sekejap.

“Kalau dia tak datang kat sini dengan kau, orang tua tu ke mana?” soalnya, masih tidak berpuas hati.

“Saya tak ambil tahu. Kalau mak cik risau sangat, pergilah ikut dia. Ataupun mak cik rantai saja dia pada kaki mak cik,” balas Cahaya.

“Kurang ajar!” tempik Latifa. Tangan kanannya diangkat tinggi, sedia untuk dihayunkan buat jamahan pipi Cahaya.

“Kalau mak cik pukul saya, saya akan pastikan papa tau. Mak cik tau apa yang papa akan buat nanti, kan? Dia dah cakap dia akan ceraikan mak cik kalau mak cik berani usik saya lagi,” ucap Cahaya, mengugut.

Jelingan Latifa ditatap Cahaya dengan berani. Mereka seakan sedang berperang meskipun kulit tidak bersentuhan dan mulut mati bicara. Hati Cahaya bergetar sekejap. Tiba-tiba saja dia diranduk rasa bersalah dengan keangkuhannya. Bukankah lebih elok kalau dia mendiamkan diri saja.

Tak guna berhabisan saliva untuk orang seperti Latifa. Sudah letih nanti, diamlah dia. Kenapa lancang benar Cahaya menjawab hari ini? Mungkinkah dia ditekap marahnya pada retetan kisah hidup mama? Atau barangkali dia terlalu menurut rasa marahnya pada Latifa yang meluap, sampaikan dia hilang kawalan diri?

“Kau memang sama macam mama kau! Perampas!” tempik Latifa sebelum melangkah ke muka pintu.

“Arwah mama saya isteri pertama. Pertama! Mak cik tu isteri kedua! Siapa yang rampas siapa?!” jerit Cahaya.

“Aku dah bertunang dengan papa kau semasa dia kahwin dengan mak kau! Aku yang pertama!” tegas Latifa.

“Yang sah jadi isteri papa dulu adalah mama saya. Tolonglah terima kenyataan, mak cik tu isteri kedua. Mak cik tu yang perampas! Kalau orang dah tak nak tu, sedar ajelah. Nak paksa-paksa pula! Sebab mak ciklah, keluarga saya porak-peranda. Sekarang, tolonglah balik sebelum saya hilang sabar!” balas Cahaya.

Tanpa berlengah, Cahaya terus menghempas daun pintu kuat-kuat. Dia bersandar di belakangnya, terduduk ke lantai. Kalau tadi yang bergelombang dalam telinganya hanyalah bunyi pantai, kini ada irama lain yang menusuk. Esakan tangis itu semakin lama semakin kuat, seakan sudah tak mampu ditahan-tahan. Cahaya yang masih bertuala menarik daun pintu sedikit, mengintai Latifa yang sudah terduduk di anak tangga depan, menangis bagaikan seorang anak kecil.

Sakit jiwakah ibu tiriku? Memang selama ini dia berlagak macam orang tak siuman. Tapi, adakah dia benar-benar sudah jadi gila kerana papa? Gerutu hati Cahaya. Kalau tadi Latifa menengking dan mengherdiknya, kini wanita itu menangis tersedu-sedan. Cahaya tergamam sekejap, seakan tidak percaya.

Kalau diikutkan nafsu mudanya, dia akan biarkan saja Latifa menangis di situ. Persetankan saja. Peduli apa? Latifa sendiri suka menyebabkan dia menangis. Latifa sendiri suka mencelakan harinya. Tetapi dia masih dibekung dinding agama sungguhpun ajaran Islam cukup nipis disemat di dadanya.

“Apa sebenarnya dah jadi, mak cik? Kenapa mak cik cari papa? Ada masalah di rumah?” soal Cahaya bertubu-tubi.

“Anees. Dah seminggu Anees tak balik ke rumah. Aku tak tau dia ke mana. Telefon dia dah mati. Ayah dia tak ambil peduli langsung. Bila aku telefon Fauzan, dia tak nak jawab,” ucap Latifa dalam nada kalut.

“Alahai, papa ni ke mana pulak,” cetus Cahaya dalam keluhan. Dia menarik daun pintu luas-luas.

“Kau ingat, kalau aku tau, aku nak cari dia sampai ke sini?! Aku dah tak tau mana nak cari dia,” ungkit Latifa.

Mungkin dia kena fly,” balas Cahaya, cuba berfikiran positif.

Dia ada di Malaysia, Iris. Aku dah check schedule dia. Dia tak fly ke mana-mana,” balas Latifa, membunuh alasan positif Cahaya.

Mak cik masuk dulu. Biar saya tukar baju. Kemudian, kita pergi cari papa,” pinta Cahaya. Kali ini dalam nada lebih lembut.

Latifa memandang Cahaya. Masih bersarang benci dalam benaknya. Tetapi dalam keterpaksaan, dia melangkah masuk juga. Latifa tak punya banyak pilihan. Dia malu hendak menghebahkan berita kehilangan anaknya apatah lagi dengan jiran-jiran yang selalu menyelar Anees sebagai perempuan liar.

Dalam masa yang sama, Latifa bimbang jika hal itu didiamkan, nanti musibah lain pula yang bakal menimpa anaknya. Apatah lagi dia tidak tahu di mana lokasi sebenar Anees. Bagaimana kalau anaknya sudah dilarikan lelaki Lombok? Bagaimana pula kalau dia sudah dijual di Siam? Ah, macam-macam yang mencelakakan ketenangannya sekarang. Ibu mana yang tidak bimbang kalau anaknya hilang.

“Anees ada cakap dia nak ke mana-mana?” soal Cahaya.

Latifa mengesat air matanya sambil menggelengkan kepala sekali. Kalau Anees ada meninggalkan pesan, tidaklah dia sampai terkejar ke sana sini untuk mencari.

“Dia pergi bercuti di luar negara agaknya,” teka Cahaya.

Setahu Cahaya, adik tirinya itu gemar juga bercuti ke luar negara. Papa selalu merungut kerana Anees kuat berbelanja. Pantang diberikan kad kredit, pasti akan digunakan sehingga mencapai limitasi akhir.

“Passport dia ada dengan aku. Aku dah tak bagi dia simpan,” luah Latifa, menafikan lagi. Meskipun dia tahu Anees ada seribu satu cara untuk menyeberangi sempadan kalau benar itu hajat hatinya. Anees bukan remaja yang mudah berputus-asa. Sayangnya, sifatnya itu tidak dipraktikkan dalam pelajaran.

Ada keluhan yang Cahaya lepaskan. Bimbang merasuk hati. Entah dari mana risau itu datang. Padahal dulu, dia jugalah yang bersumpah yang dia tidak akan mempedulikan Anees dan adik-adik tirinya yang lain.

“Iyalah. Mak cik tunggu kejap, saya tukar baju,” ucap Cahaya sebelum menghilangkan diri ke atas.

Ke mana Anees menghilang? Sakitkah dia? Masih hidupkah dia? Macam mana kalau ada apa-apa yang buruk menimpi dirinya? Soal hati Cahaya bertubi-tubi. Dia sendiri tidak tahu bagaimana rasa risau itu boleh menyeluk hatinya sedangkan selama ini ia membatu. Selama ini dia tidak menyukai Anees. Tetapi di saat ini, dia tidak henti-henti mendoakan keselamatan Anees. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa diri adiknya.

Bodohkah dia? Ya, barangkali dia bodoh. Dia risaukan gadis yang selama ini menghinanya, mencercanya. Tetapi, dalam diam, dia mengakui jua yang gadis itu adalah adiknya, darah dagingnya. Dia tak mahu apa-apa yang buruk menimpa diri Anees meskipun adiknya itu membencinya.

Ijah, nanti saya balik makan ya. Awak makan dulu,” ucap Cahaya sewaktu melihat Ijah melintas di depan biliknya.

Cik Aya nak ke mana?” soal Anees.

Cari adik saya,” jawab Cahaya.

Ijah tergamam sekejap.

Aya ada ada adik?” soal Ijah.

Cahaya terdiam. Dia memikirkan Anees lagi. Adakah Anees akan memikirkan perkara yang sama kalau mereka berubah tempat? Cahaya tidak tahu. Tetapi, dia tidak dapat berhenti merisaukan keselamatan Anees. Untuk seketika, dia tertunduk pada naluri seorang kakak, seorang anak sulung yang sepatutnya melindungi adik-adiknya.

Saya ada empat orang adik, Ijah. Empat orang adik yang saya langsung tak kenal selama ni, yang saya tak pernah peduli,” jawab Cahaya jujur. Dia mencapai kemeja dari dalam almarinya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.