Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
67,075
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 15

KETIGA-TIGA ORANG REMAJA ITU BERGEGAS MASUK KE DALAM RUMAH MELALUI PINTU DAPUR. Mata mereka meneroka setiap pelosok ruangan dapur yang tampak bersih dan kemas itu. Namun tiada apa yang aneh di situ. Kaki kemudian di hayun ke ruang tamu. Keadaannya sama seperti di dapur. Tiada sekeping serpihan kaca pun di atas lantai. Mereka bertiga saling berpandangan.

"Sarah, Aina... cuba kau berdua tengok dekat bahagian atas. Aku tengok dekat bilik sebelah." Cadang Amir. Maisarah dan Aina tetap menurut walaupun dalam hati mereka yakin bunyi itu bukan dari bahagian atas rumah yang berusia lebih dari seratus tahun itu. Setelah beberapa minit, Maisarah dan Aina kembali ke bawah setelah memastikan tiada satu pun barangan kaca yang pecah di tingkat atas. Mereka berdua duduk bersandar di atas sofa. Amir pula tidak kelihatan di situ.

"Mana pulak si Amir ni..." Rungut Maisarah.

"Jumpa apa-apa tak?" Tanya Amir yang tiba-tiba muncul entah dari mana.

"Tak. Kau? Eh, kejap. Tadi kau cakap nak check dekat bilik tu, tapi ni kau dari mana pulak?" Tanya Maisarah pelik apabila melihat Amir datang daripada arah dapur. Sedangkan remaja lelaki itu sepatutnya memeriksa di bilik yang terletak di ruang tamu itu.

"Aku pergi minum air kosong. Tadikan kawan kau tu dah habiskan air aku dekat luar tu."

"Eh? Ye ke? Sorry, aku tak sedar." Aina tersengih malu. Dalam sibuk bercerita dia tidak sedar yang dia telah menghabiskan minuman dan makanan yang sepatutnya dihidangkan untuk Amir.

"Pelik pulak. Tadi aku betul-betul dengar bunyi kaca pecah. Kau berdua pun dengarkan?" Tanya Maisarah kepada Aina dan juga Amir. Mereka berdua mengangguk setuju dengan kenyataan Maisarah.

"Entah-entah...rumah kau ni berhantu tak?" Duga Amir sambil bibirnya menguntumkan senyum mengusik.

"Kau ni!" Jerit dua orang gadis di hadapannya serentak sambil berdiri. Amir hanya ketawa mengekek melihat telatah dua orang sahabat itu.

"Penakut juga kau berdua ni. Ingat berani sangat." Provok Amir sambil tangan memegang perut yang sakit akibat menahan tawa.

Maisarah memasamkan muka. Geram juga dia dengan lelaki dihadapannya itu. Kalau boleh maunya dicekik-cekik lelaki itu sampai lelaki itu semput tak boleh bernafas. Maisarah ni, dah la memang penakut sikit kalau benda melibatkan hantu-hantu ini. Walaupun dia suka menonton dan juga membaca kisah seram, tetapi dia taklah sampai suka hendak tinggal di rumah yang dihuni oleh 'benda-benda' itu.

"Aku gurau je la. Tapi rumah ni memang banyak cerita." Amir kini berubah kepada nada serius.

"Apa lagi. Kau ni sengaja nak bagi kami berdua ni takutkan?" Kini giliran Aina pula mencuka. Dia masih teringat lagi dengan peristiwa semalam. Peristiwa itu belum diceritakan kepada Maisarah kerana dia tahu Maisarah lebih penakut berbanding dirinya.

"Betul la. Aku tak tipu. Rumah ni memang banyak cerita pelik. Cuma aku rasa benda ni tak adalah seserius mana sebab penghuni sebelum-sebelum ni okey je tinggal dekat sini sampailah abang Rayyan hilang." Terang Amir sambil kakinya mula melangkah keluar. Maisarah dan Aina berbalas pandangan.

"Amir, tunggu! Kau nak pergi mana tu?" Dua orang gadis remaja tu berlari anak mengejar Amir dari belakang.

"Kenapa kau keluar? Kau takut ek..." Usik Aina. Dia kini berjalan beriringan bersama Amir dan Maisarah menuju ke pondok tempat mereka bersantai tadi.

"Tak adalah. Dalam rumah tadikan kita bertiga aje. Tak elok kalau ada orang kampung nampak. Lagipun aku ni laki. Kau berdua tu perempuan. Nanti jadi fitnah pulak. Kalau aku seorang je yang kena fitnah tak apa. Kalau kau berdua yang kena, kesian pulak dekat pak cik Mikael dengan Mak Cik Shima."

Maisarah dan Aina terdiam. Rupa-rupanya baik juga hati Si Amir ni. Pasti banyak dugaan yang terpaksa dilalui oleh Amir setelah kematian ayah dan ibu. Melalui cerita yang mereka dengar dari mama Maisarah, kebanyakkan orang-orang di kampung ini memulaukan Amir dan kakaknya Zahlia.

"Tapi, apa yang pelik pasal rumah ni? Aku tengok biasa je. Dah dekat sebulan aku tinggal dekat sini tak ada apa-apa yang pelik pun." Maisarah cuba memancing Amir untuk bercerita. Padahal dia sendiri pun sedar ada sesuatu yang tidak kena sepanjang dia berada di rumah ini.

"Aku pun tak tahu nak explain macam mana. Kalau aku cakap nanti kau ingat aku mereka cerita pulak." Kata Amir sambil matanya tajam melihat rumah agam yang tersergam kukuh itu.

"Alah, cerita la. Sebab sebenarnya aku pun ada nampak kejadian pelik jugak kat dalam rumah tu semalam." Aina mula membuka mulut kerana dia tidak sabar untuk mengetahui cerita dari mulut Amir tentang rumah itu. Jika Amir menceritakan kisah pelik yang diketahuinya tentang rumah sabahat baiknya, mungkin dia juga akan berkongsi tentang kisah yang dialaminya semalam.

"Kejadian pelik? Apa yang pelik? Kau tak cakap apa-apa pun." Soal Maisarah bertalu-talu.

"Kejap lagi aku cerita. Sekarang aku nak tahu cerita dari Amir dulu." Dua orang gadis sunti itu mula mengalihkan pandangan mereka ke arah Amir. Amir mengeluh lemah. Terasa menyesal pula dengan keceluparan mulutnya tadi. Dia bukan apa. Dia tidak mahu dua orang gadis di depannya nanti berasa takut pula.

"Sebenarnya mengikut cerita yang di perturunkan orang kampung, bukan setakat rumah ni je yang keras, tapi keseluruhan kawasan rumah kau sampai ke kawasan Air Terjun Manikam. Kalau kau berdua nak tahu, kawasan air terjun tu masih dikira kawasan keluarga Weiser. Kalau kau berdua tak percaya, kau orang boleh tanya dengan Pak Cik Mikael."

"Eh? Mana kau tahu? Aku tak percayalah. Takkan tanah moyang aku seluas tu?" Tanya Maisarah. Maisarah mengerutkan kening.

"Betul la. Arwah ayah aku dulu kerja dekat Pejabat Tanah. Dia pernah tengok geran rumah ni. Memang keluasan tanah ni sampai ke kawasan air terjun. Cuma keluarga Weiser ni tak pernah buat pagar pun. Dia orang pun izinkan orang kampung ke kawasan air terjun tu untuk buat aktiviti masing-masing. Sebab katanya moyang kau dulu terhutang budi dengan orang kampung sebab layan keluarga Weiser dengan baik."

"So? Apa yang pelik?" Aina mula tidak sabar.

"Ni lah yang aku nak cerita. Dulu waktu rumah ni mula-mula nak dibina, macam-macam dugaan berlaku. Bata tak cukuplah, padahal dah berlori-lori bata di bawa masuk ke kampung ni. Hari ni bawak masuk 2 lori. Bila nak start buat kerja, jumlah yang ada tak sampai separuh pun. Mula-mula moyang kau ingat ada orang yang curi. Dia pun upah orang untuk jaga kawasan ni. Tapi still hilang juga bata-bata tu. Bila beli pasir, pasir pulak tak boleh nak guna sebab hujan lebat. Padahal waktu tu, sebenarnya musim panas. Yang makin pelik hujan turun dekat kawasan ni aje. Tu tak masuk cerita buruh binaan asyik jatuh sakit je. So, mendiang Tuan Weiser terpaksa tangguhkan pembinaan rumah ni selama setahun atau dua tahun macam tu la. Aku pun tak pasti." Cerita Amir dengan panjang lebar.

"Habis tu, macam mana rumah ni boleh siap?" Tanya Aina pula.

"Ni lagi satu fakta pelik. Mendiang moyang Maisarah ni, dulu pernah hilang tanpa jejak dekat sebulan. Kau tahu dia hilang dekat mana?" Amir mengangkat kening menyoal dua orang gadis dihadapannya.

"Er? Kawasan Air Terjun Manikam?" Tembak Aina.

"Pandai. Dekat situlah dia hilang. Disebabkan mendiang ni orang yang berjawatan penting, pihak British arahkan usaha mencari digiatkan lagi. Orang kampung buat andaian yang moyang Maisarah ni mungkin dibaham harimau atau disorok bunian. Tapi biasalah mat sallehkan... Mana percaya kalau tak ada bukti. Serata pelusok kampung dan hutan dekat kawasan air terjun tu dia orang cari. Tapi tak ada langsung jejak Tuan Weiser. Akhirnya bos Tuan Weiser tu minta tolong dekat Tok Batin dan Haji Muhammad imam kampung waktu tu untuk cuba cari dengan cara lain asalkan Tuan Weiser tu dijumpai semula."

"Sayangnya bos Tuan Weiser dengan dia ek?" Sampuk Aina.

"Sebenarnya ni satu persoalan yang sampai sekarang tak ada siapa pun yang tahu." Kata Amir sambil memandang ke arah langit yang mula redup.

"Maksud kau?" Maisarah mengerutkan kening.

"Bos Tuan Weiser tu, yang tak silap aku namanya William tak suka pun dekat moyang kau. Dia orang selalu aje bercanggah pendapat. Tambah lagi moyang kau tu baik dengan orang tempatan. Dia selalu aje bela orang kampung ni bila ditindas. Zaman tu dah mula ada sentimen anti British. Sesiapa sahaja yang menentang pasti akan dihukum. Moyang kau la yang tolong sorokkan orang kampung yang memberontak sebelum mereka melarikan diri ke tempat yang selamat. Tuan William pulak memang suka mencari salah orang kampung. Jadi memang bermusuhlah. Bila moyang kau hilang si Tuan William tu orang pertama yang risau. Dia yang beriya-iya arahkan semua orang cari moyang kau." Maisarah dan Aina mengangguk faham.

"Betul jugak kau cakap. Memang pelik jugak. Dah tak suka jadi kenapa beriya-iya nak cari moyang aku tu."

"Tau tak apa. Bila dah buat macam-macam usaha tu, barulah moyang kau dijumpai balik. Dah tempat moyang kau dijumpai tu pulak adalah di tempat yang sama orang kampung jumpa kakak aku. Bila orang Tuan William dan orang kampung tanya apa yang dah terjadi dekat moyang kau, dia cuma diam. Sepatah pun tak bercakap. Keadaan tu berlanjutan selama seminggu. Tak siapa pun yang tahu apa yang jadi dekat moyang kau tu."

"Lepas seminggu moyang kau mula bekerja macam biasa, Cuma dia jadi lebih pendiam. Tak macam mula-mula dia sampai ke kampung ni. Ramah dengan semua orang. Projek pembinaan rumah ni pun di teruskan lagi. Tapi kali ni pembinaan berjalan dengan lancar. Tak ada satu masalah pun timbul. Cuma projek ni siap awal sangat."

"La? Bagus la siap awal." Maisarah mengangguk setuju dengan kenyataan Aina. Baginya tiada apa yang pelik kalau sesebuah rumah itu siap awal. Lagi bagus. Boleh mengurangkan kos dan cepat juga rumah itu dapat diduduki.

"Memang la bagus. Tapikau tahu tak rumah ni siap dalam tempoh berapa lama?" Soal Amir. Kedua-dua gadis dihadapannya menggeleng tanda tidak tahu.

"Untuk pengetahuan kau berdua rumah sebesar ni, yang siap dalam sekitar tahun 1900 siap dalam masa 2 minggu." Amir menunjukkan dua batang jarinya kepada Maisarah dan Aina. Mereka berdua terlopong tidak percaya. Takkan rumah agam yang memiliki sepuluh bilik itu dapat disiapkan dalam masa 2 minggu sahaja. Tambahan lagi dengan kepakaran dan juga teknologi pembinaan waktu itu tidak semoden teknologi yang ada pada masa kini.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.