SETELAH
membersihkan diri dan menyalin pakaian yang disediakan Puteri
Ariasha, Bayu segera mendapatkan Raja Madisar Duli Castra, ratunya
Falshiha Rindu Gemawan dan Puteri Ariasha Cinta Castra lalu duduk
bersama mereka di ruang tengah istana. Bayu membelek-belek pakaian
baharunya, sama seperti lelaki Bunian lain di kampung itu. Dia
tersenyum sendiri.
“Takluk
Jagat adalah sebilah keris yang sangat berkuasa dan susah dikekang.
Ia mampu mengucar-ngacirkan dunia manusia dan Bunian,” Raja Madisar
memulakan cerita.
“Apa
yang mampu dilakukannya? Bagaimana dunia Bunian yang tersembunyi ini
turut tergugat?”
“Barang
siapa mampu menundukkan keris itu, maka gerbang alam Bunian yang sama
seperti anakanda lalui tadi akan terbuka untuknya melangkah. Tidak
perlulah kami gusar jika penunduknya itu putih jernih hatinya.
Tetapi, malangnya hanya orang yang tamak sahaja mengidam kuasanya,”
jelas Raja Madisar. Wajahnya kelihatan runsing apabila menyebutnya.
“Jika
ia mendatangkan ancaman kepada alam Bunian, mengapa orang Bunian
sendiri tidak cuba mendapatkannya dan sembunyikannya sahaja di alam
ini? Pasti sukar untuk manusia-manusia tamak itu mendapatkannya
lagi.” Bayu cuba memberi cadangan. Namun, pada masa yang sama dia
juga tertanya-tanya, tidak mungkin kaum Bunian tidak dapat memikirkan
penyelesaian semudah itu!
“Kelihatannya
dalam soal ini, kami bagai mementingkan diri. Alam Bunian sudah
begitu aman tanpa sengketa. Kami tidak akan membenarkan apa yang
melambangkan ketamakan dan kekejaman berada di dalam lingkungan
gerbang Bunian. Tetapi pada masa yang sama, keadaan ini yang
melindungi Tanah Ini daripada kerosakan yang lebih teruk. Jika ada
dari kaum Bunian yang tergoda dengan Takluk Jagat, petaka yang
dibawanya jauh lebih teruk daripada manusia luar!”
Bayu
terdiam mendengar penjelasan Raja Madisar. Pertanyaannya tadi sudah
terjawab. Hanya satu kesimpulan terlintas di fikirannya, kaum Bunian
lebih takutkan diri sendiri!
“Atas
kerana ini, Takluk Jagat juga digelar sebagai Lambang Kekejaman.”
Bayu
resah mendengar nama timangan keris panjang itu. Bagi nama yang
sebegitu menggerunkan, dia tidak nampak sesuatu yang baik yang ada
pada keris itu. Terlintas di fikirannya, mungkinkah atas sebab itu
datuk menjadikan keris panjang itu hanya sebagai penyendal pintu?
Bagi mengekang kekejaman itu dengan merendahkan martabatnya?
“Tuanku
tahu siapa yang mengambilnya?”
“Tiga
orang penyamun. Sekarang, mereka berada di kota Silabida.”
“Hamba
perlu segera mencari mereka! Jauhkah kota Silabida dari sini?” Bayu
seperti tidak dapat bersabar lagi. Dia khuatir keris itu makin jauh
dilarikan sehingga tidak dapat dijejak lagi.
“Sabar,
anakanda. Mereka tidak akan terlepas. Mereka sentiasa diperhatikan.
Puteri hamba dapat menghantar tuan dengan pantas ke sana. Cuma tuan
perlu lebih bersiap sedia. Halangan yang mendatang tentu bukan
mudah.”
Bayu
menjeling Puteri Ariasha yang duduk bersimpuh di sebelah ayahandanya.
Sebagai balasan, dia dihadiahi dengan senyuman; segar bak kuntuman
mawar mekar yang mengharum di hatinya.
“Jika
ia begitu merbahaya, kenapa datuk tidak membuangnya ketika masih
dalam simpanannya dahulu?” Bayu tertanya-tanya. Dia hairan kenapa
datuk hanya membiarkan sahaja tanpa memusnahkannya. Apakah datuk
sayangkan keris itu?
“Bukan
Pendekar Gelora Singara Jata tidak mahu membuangnya, tetapi tidak
sanggup. Kalau dijumpai orang lain yang busuk hati, pasti akan
mendatangkan bencana.” Raja Madisar memberi penjelasan. Matanya
kemudian dialihkan kepada pembantu istana yang masuk menatang dulang.
Perlahan-lahan dulang itu diletakkan dan pembantu istana itu
menghidangkan tiga gelas susu dan semangkuk buah rambutan.
“Tuanku
kenal datuk hamba?” Dari nada Raja Madisar menyebut tentang
datuknya, raja itu seolah-olah mengenalinya. Bayu rasa inilah peluang
dia mengenali leluhurnya.
“Ah!
Hamba cuma mendengar ceritanya sahaja. Gelora Singara Jata seorang
pendekar yang hebat suatu ketika dahulu. Itulah sebabnya dia
diamanahkan menjaga Takluk Jagat. Tetapi hamba tidak tahu dia
mempunyai keturunan. Sehinggalah baru-baru ini, selepas kemunculan
Indera Bumi dan Takluk Jagat, membawa tuan ke mari.” Raja Madisar
tersenyum dan menghirup susu yang dihidangkan.
“Nampaknya,
tidaklah hamba dapat tahu kisah asal keturunan hamba.” Bayu
mengeluh dan berasa terkilan.
“Dia
tidak pernah menceritakan apa-apa?” Raja Madisar berubah wajah dan
berkerut.
“Pasti
dia ada sebabnya.” Ratu Falshiha bersuara. Mudah benar hatinya
tersentuh apabila melihat wajah pendekar muda itu bermuram.
“Mungkin...”
Bayu menjawab dengan suara yang mendatar. Entah mengapa, Bayu dapat
merasakan ada sesuatu yang disembunyikan Raja Madisar. Tetapi, dia
tidak boleh terus bertanya sesuatu yang raja itu cuba selindungi.
Walaupun masih banyak yang ingin diketahuinya. Tentang hubungan
datuk, Takluk Jagat dan Indera Bumi. Siapa yang mengamanahkannya
kepada datuk? Dia tidak mahu dianggap biadap. Pasti dia akan
mempunyai peluang lain untuk mengorek rahsia leluhurnya.
“Anakanda
Ariasha Cinta, temankanlah Pendekar Bayu berbual. Ayahanda dan bonda
ada urusan di dalam. Hamba minta diri sebentar.” Raja Madisar
bangun dan melangkah masuk ke bahagian dalam istana meninggalkan Bayu
bersama-sama dengan puterinya sendirian.
Mereka
berdua saling memandang. Bayu cuma tersenyum dan senyumannya lebih
lebar apabila sang puteri Bunian menghulurkan gelas susu kepadanya.
***
“KANDA,
perlukah kita merahsiakannya daripada dia?” tanya Ratu Falshiha
Rindu Gemawan tatkala suaminya menghampiri.
“Kanda
tidak sanggup mematahkan harapannya. Selanjutnya biarlah dia
mengetahuinya dari mulut orang yang sepatutnya tentang asal-usulnya.”
Raja Madisar bersuara separuh berbisik.
“Orang
yang sepatutnya? Apakah kanda maksudkan ‘dia’? ‘Dia’ sudah
tidak seperti dahulu lagi. ‘Dia’ yang dahulu sudah tiada! Mungkin
‘dia’ sudah mati.” Air mata mula menitis membasahi pipi
Permaisuri Falsiha. Hatinya begitu sedih kerana terkenangkan
peristiwa lampau. Seakan-akan baru semalam segalanya berlaku.
“Sabarlah.
Kanda yakin ‘dia’ akan muncul semula. ‘Dia’ seorang yang
sentiasa berpegang pada janji. Walaupun masa telah lama berlalu. Biar
apapun, kanda tidak akan membiarkan anakanda Bayu berseorangan
menempuh perjalanan ini.” Raja Madisar cuba menenangkan
permaisurinya. Walaupun hatinya ragu-ragu dengan kebenaran ucapannya
sendiri.
Ratu
Falshiha terdiam mendengar kata-kata suaminya. Dia merenung jauh ke
dalam mata suaminya itu. “Apakah kanda mahu?”
“Selamilah
ke dalam hatinya dan adinda akan tahu hanya itu yang dimahunya.
Perkara yang sama tidak akan berulang.” Segera Raja Madisar
memintas pertanyaan ratu.
“Tetapi
kanda...” Permaisuri kelihatan semakin risau.
“Itu
adalah takdirnya. Kita tiada kuasa mengawal.” Raja Madisar
bertegas. “Ia tidak akan berulang!” Digenggamnya erat jari-jemari
sang ratu.
***
BAYU
menuruti Puteri Ariasha ke anak sungai yang menjadi tempat pertemuan
pertama mereka petang tadi. Ada beberapa orang Bunian yang turut
berada di situ menegurnya. Ingin menikmati suasana malam kata mereka.
Terasa
nyaman suasana di sekitar. Air yang mengalir bagaikan permukaan kaca,
memantul sinar cahaya bulan yang memancar menerangi malam.
Mereka
meniti batu-batu yang timbul di permukaan anak sungai. Puteri Ariasha
menuju ke arah batu hampar lalu duduk bertimpuh di atasnya. Batu yang
sama tempat dirinya menunggu kemunculan pendekar muda itu siang tadi.
Manakala Bayu pula duduk berjuntai kaki di atas sebuah batu lonjong
tidak jauh di hadapan sang puteri Bunian.
“Pasti
tiada kerunsingan hidup di sini. Segala-galanya begitu indah.” Bayu
terasa begitu damai hatinya. Keindahan sekeliling di perkampungan ini
bagaikan mimpi. Terasa hidupnya di alam khayalan. Mungkin benar dia
berada di alam khayalan. Kerana bagi sesetengah orang, alam Bunian
cuma khayalan.
“Tetapi
segalanya akan musnah jika keganasan Takluk Jagat dilepaskan.”
Puteri Ariasha membalas perlahan dengan nada bimbang yang bersarang
di dada. Sebagaimana kebimbangan yang sama di hati ayahanda dan
bondanya, juga kaum Bunian yang lain.
Bayu
memandang sang puteri. Tersentuh hatinya melihat wajah jelita itu
kemurungan. Baginya, kecantikan seperti itu tidak layak dihimpit
derita.
“Hamba
akan cuba sedaya hamba menghalangnya dan menunaikan wasiat datuk.”
Bayu memberi janji. Juga ingatan terhadap dirinya sendiri. Tangan
yang salah menghunus Takluk Jagat akan mengundang petaka. Itu yang
dia tahu. Dan dia yakin cerita yang melintasi telinganya itu bukan
satu dongengan.
“Ia
bukan mudah. Mungkin tuan pendekar perlu membayar dengan harga yang
besar. Nyawa tuan pendekar mungkin jadi taruhan!” Si puteri
mengingatkannya.
Bayu
dapat merasakan seperti sang puteri mengambil berat akannya biarpun
mereka baru sahaja bertemu. Namun, mungkin juga puteri Bunian itu
hanya mengambil berat mengenai kaumnya sahaja. Tanpa dirinya, mungkin
keris itu dapat dicapai oleh tangan-tangan yang tamak.
“Tugas
ini bukan mudah, itu pasti! Sedangkan hamba sendiri belum mengerti
sepenuhnya tanggungjawab hamba dan kuasa yang ditakdirkan ALLAH yang
ada pada keris itu. Tetapi, setiap kali hamba mempertaruhkan nyawa,
akan hamba pastikan ia tidak tergadai. Kerana hamba belum puas
menatap wajah tuan puteri.” Bayu tersenyum simpul.
Puteri
Ariasha menunduk malu apabila mengetahui Bayu cuba memikatnya. Hati
pendekar muda ini sudah diselaminya. Kebolehan istimewa kurniaan
TUHAN yang ada pada kaum Bunian.
“Puteri,
tadi Raja Madisar mengatakan, tiga orang penyamun itu sentiasa
diperhatikan. Apakah kaum Bunian mempunyai pengintip?”
“Di
segenap tempat. Selagi ada hutan merimbun, di situlah ada mereka.
Kaum kami menggelar mereka sebagai Pemantau. Sentiasa terlindung dari
pandangan mata manusia luar.” Puteri Ariasha menjelaskan.
“Jika
begitu, kenapa mereka tidak sendiri merampasnya semula? Dan serahkan
kepada hamba? Mudahlah kerja kita!” Bayu tersengih.
“Mereka
cuma pengintip. Mata dan telinga Bunian di rimba. Tiada mampu
bertarung. Mereka tak boleh keluar menunjukkan diri. Jika tak, pasti
alam Bunian akan terdedah.”
“Jika
begitu, sekurang-kurangnya bolehlah tahu siapa tiga orang pencuri
itu.” Bayu mengandaikan.
“Mereka
digelar Mergastua Bertiga!” Tiba-tiba sahaja, Raja Madisar muncul
di tebing sungai tanpa disedari.
Bayu
terperanjat kerana suara kuat Raja Bunian itu seolah-olah
menyergahnya. Tanpa sengaja, sebelah capalnya tercabut dan jatuh ke
dalam air. Terkial-kial dia cuba mendapatkannya kembali dengan
menghulurkan kakinya. Disebabkan batu lonjong itu licin, Bayu
tergelincir dan terjatuh ke dalam air.
Beberapa
orang Bunian yang berada berhampiran tertinjau-tinjau apabila
terdengar bunyi kuat kocakan air.
Bayu
timbul di permukaan air dengan menjulang capalnya. “Dapat!”
jeritnya.
Sang
puteri Bunian tertawa melihat gelagatnya. Bayu segera memanjat batu
lonjong dan duduk mencangkung di atasnya. Tubuhnya menggigil
kesejukan dihembus angin malam. Dia tersengih dengan bunyi giginya
berlaga-laga. Mereka berdua sama-sama tertawa.
Raja
Madisar tersenyum melihat kedua-dua mereka. Suratan takdir yang sudah
menjadi ketentuan TUHAN, tiada siapa dapat mengawalnya. Dia sudah
menyelami hati puterinya, begitu juga dengan pendekar muda ini. Ini
ketentuan-NYA. Adakah peristiwa 19 tahun dahulu akan berulang?