“SELAMAT
pagi! Bagaimana tuan bertiga? Lena tidur?” Tuan punya rumah
tumpangan, Pak Mamat, menyapa pelanggannya apabila ternampak mereka
menuruni tangga.
Tikus
Bumi mengangguk membalas sapaan itu. Helang Langit masih lagi
menguap. Musang Darat membetulkan bungkusan kain pada bahunya dan
memerhatikan sekeliling dengan renungan mata tajamnya. Hatinya
sedikit lega, tiada pengawal yang meronda di jalan seperti ketika
malamnya.
“Kami
lapar, sediakan makanan.” Musang Darat meminta kepada tuan rumah
tumpangan itu. Dilihatkan dari raut wajahnya dengan sedikit rambut
yang memutih, paling kurang 50 tahun Pak Mamat melihat dunia.
“Silakan
ke warung hamba.” Pak Mamat menuding ke arah sebuah warung yang
cuma di seberang jalan dan berhadapan dengan rumah tumpangan itu.
Mereka
bertiga mengekori Pak Mamat yang membawa talam berisi pinggan mangkuk
dan sudip. Warungnya agak besar dan terjaga baik. Terletak di pinggir
jalan yang paling sibuk di Kota Silabida. Lapan buah meja dan bangku
kayu panjangnya bersih dan kelihatan baru. Ada sesikat pisang di atas
setiap meja.
Warungnya
terbuka tidak berdinding tetapi berpagar buluh separas pinggang di
keliling. Ada kepingan papan menutupi langit-langit di atas, seperti
rumah orang kaya-kaya. Terdapat beberapa orang pelanggan di dalamnya.
Mereka rancak bersembang dan tidak mempedulikan tiga orang asing itu.
Mungkin mereka sudah biasa dengan pengembara yang datang bertandang
ke kota mereka.
“Tuan
sekalian duduklah dahulu di sini, biar hamba ke belakang sediakan
makanan.” Pak Mamat menunjukkan sebuah meja yang kedua, berhampiran
pintu masuk sebelum bergegas ke dapur.
Mereka
bertiga duduk di bangku kayu panjang yang ditunjukkan sambil
memerhatikan sekeliling. Tikus Bumi dan Helang Langit duduk
sebelah-menyebelah di bangku panjang tepi pagar buluh. Musang Darat
pula duduk sendirian bertentangan mereka. Bungkusan kain yang
terkandung Takluk Jagat di dalamnya diletakkan di atas meja.
Musang
Darat cuba menangkap tajuk perbincangan yang rancak dibualkan
pelanggan lain. Mungkin ada berita yang berguna untuk mereka. Tetapi
setelah seketika memasang telinga, dia mengalah. Apa yang dibualkan
cuma mengenai hal rumah tangga orang dan cerita laga ayam.
Helang
Langit memandangnya dan tersengih, faham dengan kehampaannya. Segera
Musang Darat bangun menghulurkan tangan dan menekup mulut Helang
Langit. Dia boleh melihat dan mendengar Helang Langit ketawa, tetapi
pantang baginya melihat Helang Langit yang kurus kering itu tersenyum
dan tersengih. Amat menyeramkan, seperti mayat hidup!
“Tuan
hamba bertiga pengembara dari mana?”
Tiba-tiba,
mereka bertiga dikejutkan sapaan dari meja sebelah. Musang Darat
paling terperanjat. Sebelum ini, langsung dia tidak perasan adanya
orang di situ. Mungkinkah dia datang ketikanya sedang menekup mulut
Helang Langit?
“Lamakah
ingin singgah di sini?” tanya orang itu lagi.
Seorang
pemuda berpakaian sederhana serba biru dengan wajah yang terselindung
oleh rambutnya yang panjang lurus menutup separuh daripada mukanya.
Dari juraian rambut kelihatan bibirnya mengukir senyum.
Musang
Darat segera mencapai bungkusan kainnya dan menyandang kembali di
bahu. “Dari mana asal kami, berapa lama di sini dan tujuan kami
tiada kena-mengenanya dengan tuan hamba. Biarlah diri menjaga hal
masing-masing.” Musang Darat menjawab. Dirasakannya ada sesuatu
yang tidak kena pada pemuda itu. Dirasakannya ada ancaman.
“Baiklah...
baiklah!” Pemuda itu mengangkat kedua belah tangannya tanda
mengalah. “Bukan niat hamba untuk menyelak kain kelambu tuan hamba
sekalian. Sekadar ingin mendengar cerita pengalaman kelana tuan
bertiga.” Namun, jelingan matanya menceritakan sebaliknya.
Bungkusan kain yang dijaga rapi itu menarik perhatian.
“Silakan,
tuan.” Pak Mamat datang meletakkan dulang berisi tiga cawan kosong,
sepiring kuih koci, sepiring pulut bakar berbalut daun pisang dan
seteko penuh kopi di atas meja mereka.
Dengan
pantas, Tikus Bumi menyambar sebiji kuih koci, lalu dibukanya
pembalut daun pisang dan terus disumbatnya ke dalam mulut.
“Ha,
anak muda! Ada apa ingin dipesan? Secawan kopi, seperti biasa?”
tanya Pak Mamat kepada pemuda di meja sebelah.
Pemuda
itu mengangguk dan memalingkan wajahnya.
Pak
Mamat berlalu ke dapur. Musang Darat bangun mengikutnya dari
belakang.
“Tuan
perlukan apa-apa?” tanya Pak Mamat setelah mendapati pelanggannya
menurut ke dapur.
“Siapa
pemuda itu?” tanya Musang Darat.
“Apakah
dia mendatangkan gangguan?” soal Pak Mamat.
“Tidak,
cuma tingkah lakunya aneh. Bagaikan cuba melindungi wajahnya daripada
dilihat, terutama tuan hamba.” Musang Darat teringatkan tindakan
pemuda itu memaling wajah apabila ditanya oleh Pak Mamat.
“Maaf,
tuan. Hamba tidak tahu namanya, di mana dia tinggal dan anak siapa.
Wajahnya juga tidak pernah hamba tatap. Apa yang pasti, dia tinggal
di kota ini kerana selang beberapa hari, pasti dia datang ke sini,
minum kopi buatan hamba. Habis minum, dia pergi,” jelas Pak Mamat
sambil tangannya sibuk mengisar biji kopi di atas pengisar batu.
“Dia
tak pernah bercerita halnya. Apabila ditanya hal peribadi, dia
mengelak daripada menjawab.
Dia hanya duduk diam sambil meminum kopi yang disajikan. Mungkin
wajahnya cacat, sebab itulah dia sentiasa melindunginya. Kami
menggelarnya ‘Budak Tiada Wajah’. Yang anehnya, dia suka pula
menegur kelana yang singgah di sini, seperti dia menegur tuan tadi,”
sambung Pak Mamat dengan panjang lebar.
Musang
Darat ke mejanya semula. Dia menggeleng apabila diperhatikan dua
orang rakannya. Mungkin benar dia cuma pemuda berperangai aneh.
Selalu pula dia bertandang ke warung ini, tentu tidak berniat untuk
merampas Takluk Jagat.
‘Aku
terlalu banyak berfikir,’ bisiknya dalam hati. Matanya menjeling
pemuda itu yang duduk sebaris dengannya dan asyik menghirup kopi yang
disediakan Pak Mamat.
“Pak
Mamat! Ini duitnya!” jerit pemuda itu kepada Pak Mamat yang sibuk
melayan pelanggannya yang lain. Pemuda itu lantas melompat barisan
buluh yang memagari warung itu lalu berlari pergi dan hilang di celah
orang ramai yang memenuhi jalan.
Seketika
kemudian, di pintu warung yang tidak berdaun kelihatan seorang lelaki
sedang melangkah masuk. Seorang lelaki yang mereka bertiga kenal.
“Ah,
datuk panglima! Jemput duduk. Hamba sediakan sarapan,” sapa Pak
Mamat kepada lelaki yang dihormati itu lalu bergegas ke dapur.
“Saudara
bertiga pun ada di sini!” sapa Panglima Sidari apabila ternampak
Mergastua Bertiga turut berada di situ. “Mintalah makan lagi, hamba
belanja!” tawarnya lagi.
“Datuk
panglima, bagaimana dengan kami?” jerit beberapa orang lelaki yang
berada di meja berdekatan.
“Tuan
hamba semua pergilah berkelana ke negeri Sedinggi! Nanti panglima di
sana akan belanja kalian!” jerit Panglima Sidari kembali kepada
kumpulan lelaki itu dan kemudian, disambut hilaian ketawa mereka.
“Tidak
perlulah datuk panglima bersusah-susah,” jawab Musang Darat
mewakili dua orang rakannya.
Tikus
Bumi memuncungkan mulutnya tanda kurang setuju dengan tindakan Musang
Darat. Kenapa perlu menolak rezeki? Sudahlah malam tadi panglima ini
membuatkan mereka berpeluh cemas. Inilah masanya untuk membalas!
“Saudara
bertiga tetamu di sini. Sebagai wakil tuan rumah, sudah menjadi
tanggungjawab hamba melayan tetamu. Ha, mintalah!” balas Panglima
Sidari. Nyatalah dia tidak ajak-ajak ayam.
Tikus
Bumi kembali tersenyum mendengar pelawaan kali kedua panglima itu.
“Pak Mamat, kuih koci sepuluh!” jeritnya ke dapur.
Helang
Langit yang duduk di sebelah menyikunya pada perut. Musang Darat pula
hanya mampu menggeleng-geleng.
Sebentar
kemudian, Pak Mamat datang dengan menatang dulang berisi kuih koci
dan kopi untuk pelanggan terhormatnya.
“Saudara
bertiga sudah merasa kopi Pak Mamat, bukan? Kopi yang paling harum
dan terbaik di kota ini,” katanya sambil menghirup kopi panas
buatan tangan Pak Mamat.
Mereka
bertiga cuma mengangguk. Memang lazat dan harum kopi Pak Mamat. Jika
tidak, masakan habis seteko diminum.
“Ah,
kacau!” Tiba-tiba, Panglima Sidari kelihatan cemas. Segera
dihirupnya kopi yang masih tinggal dan kemudiannya membongkok lari ke
dapur.
Pelanggan
lain terdiam melihat tingkah laku panglima itu. Mereka tahu apa yang
berlaku. Manakala Mergastua Bertiga saling pandang-memandang,
terpinga-pinga.
“Kanda!
Keluar!” Seorang wanita muda dengan bercekak pinggang kelihatan
tercegat di hadapan pintu warung. Berkebaya labuh biru dengan dihiasi
kerongsang tiga, berselendang cindai dengan natarnya juga biru dan
berkain batik. Cantik rupa parasnya, walaupun wajah masam mencuka.
Dilihat dari kehalusan buatan pakaian dan barang kemasnya, nyata dia
seorang berada.
“Datuk
panglima tiada di sini,” beritahu Pak Mamat kepada wanita itu.
Mergastua
Bertiga sekali lagi saling pandang-memandang.
“Ini
isteri Panglima Sidari?”
Wanita
itu masuk ke dalam warung dan meninjau keadaan di dalamnya. Kemudian,
matanya dipakukan pada
sekumpulan lelaki yang tadinya bergurau dengan panglima.
“Betul
dia tak datang ke sini?”
soalnya dengan garang kepada mereka.
Lelaki-lelaki
itu tidak membuka mulut, cuma menggeleng-geleng.
“Kanda,
keluar! Dinda tahu kanda ada di sini! Cawan kanda belum diangkat!”
jerit wanita itu lagi setelah ternampak cawan kosong yang
ditinggalkan panglima itu tadi. Panglima Sidari yang menyorok di
dapur semakin cemas. Isterinya sudah tahu dia bersembuyi di situ!
“Oh,
tidak... Budak Tiada Wajah yang minum di situ tadi. Dia sudah pergi
sebelum puan tiba di sini. Hamba belum sempat mengangkatnya,”
bohong Pak Mamat.
Panglima
Sidari yang bersembunyi di bawah para mengenyit mata kepada Pak
Mamat. Baik sekali pembohongan Pak Mamat!
Mendengar
kata-kata Pak Mamat, membuatkan Musang Darat teringatkan Budak Tiada
Wajah. Dia pergi sebelum kemunculan Panglima Sidari. Adakah pemuda
itu mengelakkan diri daripada bertembung dengan panglima itu ataupun
ia berlaku secara kebetulan sahaja?
“Kalau
begitu, hamba akan pergi mencarinya di tempat lain. Kalau
dia datang ke mari, tolong beritahunya tadi ada utusan istana datang
mencarinya di rumah. Dan pesan kepadanya, jangan lupa mengambil kain
yang hamba pesan di kedai. Sudah lama hamba menunggunya, tetapi tidak
pulang-pulang!” Lantas, wanita itu berlalu pergi.
Setelah
wanita itu hilang daripada pandangan, pelanggan warung itu
beramai-ramai ketawa terbahak-bahak.
Panglima
Sidari segera menjenguk dari balik belakang Pak Mamat. “Ketawalah!
Kalian belum berbini! Bila ada bini
nanti, tahulah bagaimana!” marahnya. “Tengoklah Pak Mamat,
pagi-pagi lagi dah menyinga! Bukannya dia tak tahu, mana ada pedagang
kain buka kedai pagi-pagi buta begini!”