MATAHARI
tepat di puncak kepala apabila Bayu tiba di Kampung Peruwa.
Langkahnya terus menuju ke warung Pak Mali, tempat dia selalu
mendapatkan barang keperluan dan menjual kayu api.
Kelihatan
warung itu sunyi selepas sekumpulan pemuda meninggalkannya. Kumpulan
pemuda itu berselisih dengannya dan menegurnya. Bayu memaksa bibirnya
untuk tersenyum tanpa sepatah ucapan kerana dia masih lagi
diselubungi kesedihan.
Dari
jauh Bayu melihat seorang lelaki lingkungan umur 40-an sedang
mengemas meja yang ditinggalkan kumpulan pemuda tadi. Dia mengucapkan
syukur melihatkan lelaki itu, iaitu Pak Mali yang kelihatannya sihat
sahaja. Seingatnya, sudah lama warung itu di situ, semenjak dia masih
kecil lagi.
Warung
kecil itu didirikan betul-betul di hadapan rumah Pak Mali. Rupanya
tidak pernah berubah-ubah dengan empat tiang buluh, terbuka tanpa
dinding dan atap nipah yang sudah kering. Mungkin Pak Mali ada
menggantikan atapnya beberapa kali, cuma dia sahaja yang tidak
perasan. Ada empat buah meja berserta bangku panjang di setiap
sisinya. Semuanya juga daripada buluh.
Warung
itu dan isinya kelihatan sudah dimamah usia, namun masih tetap utuh.
Biar orang paling gemuk di kampung itu sekalipun berkunjung dan
menghenyak buntutnya di atas bangku buluh itu, Pak Mali masih boleh
tersenyum. Tiada apa yang perlu dikhuatirkan, ia tidak akan patah!
“Bayu?
Kenapa dengan kamu? Muram sahaja?” sapa Pak Mali apabila dilihatnya
pemuda itu melangkah longlai masuk ke warungnya.
Bayu
dan datuknya lebih daripada pelanggan baginya. Keakraban mereka
membentuk pertalian yang lebih kental daripada likatnya darah. Pak
Mali mengenali Bayu sejak pemuda itu masih kecil lagi. Dahulu
datuknya selalu membawa Bayu ke warungnya, tetapi apabila Bayu sudah
besar dia hanya datang sendirian. Seingatnya, Bayu tidak pernah
bermuram seperti ini. Apabila melihat Bayu membawa bungkusan pakaian
bersamanya, Pak Mali sedar sesuatu telah berlaku.
“Kamu
seperti hendak berkelana. Bayu? Apa datuk kamu sudah?” Tak sanggup
Pak Mali menghabiskan pertanyaan.
“Benar,
Pak Mali. Atuk sudah tiada.” Bayu menunduk, sayu. Air matanya tidak
lagi mengalir. Sudah kering untuk dititiskan.
“Innalillahiwa
innailaihirajiun!” Pak Mali bersimpati dengan Bayu. Sebak
dadanya memikirkan keadaan pemuda itu yang kini sebatang kara.
“Bayu...”
Pak Mali mendekati Bayu dan menepuk bahunya, “tidak perlulah kamu
berkelana. Tinggallah sahaja dengan kami. Keluarga Pak Mali pun
bukannya orang lain dengan kamu. Bagaimana?”
Bayu
mengangkat kepala dan memandang Pak Mali dengan senyuman yang ikhlas
yang pertama dilukiskan pada wajahnya hari ini. Dia bersyukur kerana
masih ada orang sudi yang menerimanya. Tetapi, dia tahu dia terpaksa
menolak.
“Terima
kasih, Pak Mali. Tetapi saya perlu pergi. Ada amanat yang perlu
dilaksanakan. Saya datang cuma ingin mengucapkan terima kasih dan
selamat tinggal kepada Pak Mali sekeluarga.”
“Tak
perlulah kamu berterima kasih kepada kami. Kalau kamu berkeras juga
hendak pergi, kami tiada kuasa untuk menghalang. Tetapi makanlah
dahulu sebelum bertolak, ya? Biar Pak Mali suruh Mak Cah kamu
sediakan makanan.”
“Pak
Mali.” Bayu menarik tangan tuan punya warung itu apabila dia ingin
pergi mendapatkan isterinya. “Pak Mali kenal akan akar kayu ini?”
Bayu membuka bungkusan pakaiannya dan menunjukkan akar kayu yang
dibawanya bersama.
Pak
Mali mengambil dan meneliti akar kayu itu. Dipatahkan sedikit dan
dihidu.
“Ini
akar Sira Merah. Dari mana kamu mendapatnya? Pokok Sira Merah ini
susah ditemui.”
“Apa
yang istimewanya akar ini?”
“Khasiatnya.
Air rebusannya jika diminum dapat meningkatkan tenaga dalaman. Ramai
pendekar mencari akar seperti ini. Tentu tinggalan atuk kamu, bukan?”
“Tapi,
sudah lama ia disimpan.” Bayu ragu-ragu kerana akar itu sudah
begitu kering.
“Akar
ini boleh disimpan berpuluh-puluh tahun tanpa kehilangan khasiatnya.
Nanti Mak Cah rebuskan untuk kamu. Jika tenaga dalaman kamu meningkat
nanti, mudahlah diselesaikan amanat yang dipikul.”
“Tetapi
saya bukan pendekar, Pak Mali.” Bayu cepat-cepat menyangkal.
“Eh
Bayu, apa yang dibualkan?” Tiba-tiba seorang wanita yang
kelihatannya sama umur dengan Pak Mali terjengul dari belakang
warung. “Bawa bungkusan pakaian? Ke mana kamu hendak pergi?”
“Ha,
awak! Bayu ini datang bawa berita. Datuknya sudah meninggal.” Pak
Mali memberitahu isterinya, Mak Cah yang baru muncul.
“Innalillahiwa
innailaihirajiun. Bayu, bagaimana dengan kamu? Tinggal sahajalah
dengan kami, ya?” Mak Cah menghulurkan bantuan dan simpati.
Suaranya lembut penuh kasih sayang, mencerminkan ketulusan hati bagai
seorang ibu.
“Terima
kasih Mak Cah, tetapi saya ada urusan yang perlu diselesaikan.”
“Saya
sudah pun ajak dia tinggal dengan kita. Tapi itulah yang dikatanya;
ada urusan.” Pak Mali menerangkan kepada Mak Cah. “Bayu, pintu
rumah Pak Mali dan Mak Cah sentiasa terbuka untuk kamu bila selesai
urusanmu nanti.”
“Terima
kasih, Pak Mali, Mak Cah.” Bayu tersenyum lebar dan
mengangguk-angguk.
Dalam
hatinya, lafaz syukur tidak berhenti-henti diucapkan. Bukan bermakna
dia mengharapkan sangat bantuan, tetapi kasih sayang yang ditunjukkan
pasangan itu kepadanya perlu disyukuri.
Pak
Mali menyerahkan akar Sira Merah kepada Mak Cah untuk direbus.
Menurut Pak Mali, akar itu perlu direbus selama setengah hari untuk
menikmati khasiatnya. Terpaksalah Bayu bermalam di rumah Pak Mali.
Lagipun, dia belum tahu lagi arah hendak dituju. Tentu sukar untuk
meneruskan perjalanan apabila hari meningkat malam.
***
SESUDAH
menyempurnakan solat isyak bersama keluarga Pak Mali, Bayu cuma duduk
termenung di serambi. Matanya merenung jauh. Fikirannya dibiarkan
melayang sambil memikirkan jalan untuk mencari Takluk Jagat.
“Tiada
guna kamu mencongak apa yang tidak pasti. Tempuhi sahaja halangan
yang melintang di hadapan dengan tekad dan gunakan akal fikiran.
Insya-ALLAH, kamu akan berjaya jika kamu di jalan yang benar.” Pak
Mali tiba-tiba sahaja muncul di belakang, bagaikan tahu masalah yang
bersarang di dalam kepalanya.
Bayu
menoleh dan tersenyum tawar, tetapi kata-kata itu sedikit sebanyak
memberi perangsang untuknya.
“Apa
yang dipakai pada lenganmu itu tentu sesuatu yang penting. Janganlah
terlalu didedahkan, mungkin akan mengundang bahaya,” nasihat Pak
Mali setelah diperhatikan anak muda itu tidak pernah menanggalkan
Indera Bumi kecuali semasa menyucikan diri dan mengangkat wuduk.
Kata-kata
itu menyedarkan Bayu. Mungkin dia akan dirompak kerana kecantikan
Indera Bumi yang pasti menarik hati sesiapa saja yang terpandangnya.
“Pak
Mali kenal benda ini?” Bayu menunjukkan Indera Bumi pada lengannya.
Pak Mali hanya menggelengkan kepala dan duduk bersila di sebelahnya.
“Buatannya
halus dan teliti. Tentu bukan tukang sembarangan yang
menghasilkannya. Ukiran dan jenis logam pun Pak Mali tak pernah
tengok. Rasanya bukan dari daerah ini. Mungkin dari seberang. Pusaka
keturunan kamu?”
“Saya
tidak tahu. Atuk tidak pernah ceritakan apa-apa pun kepada saya
mengenai benda ini.”
“Pak
Mali yakin pasti ada sesuatu yang istimewa dengan benda ini. Sesuai
dengan pendekar muda seperti kamu.”
“Pendekar?
Saya bukan pendekar Pak Mali.” Bayu merendahkan diri.
Lagipun
benar, dia tidak pernah merasakan dirinya seperti pendekar walaupun
dadanya terkandung ilmu persilatan. Dia teringat datuknya pernah
berkata, “Tahu ilmu silat sejurus-dua, tidak menjadikan kamu
pendekar. Biarpun seseorang itu tidak tahu bersilat, tetapi dia
berjuang keras demi kepercayaannya, dia adalah pendekar sejati.”
“Janganlah
kamu nak berselindung dengan Pak Mali. Dari gaya kamu melangkah pun
Pak Mali tahu dadamu tidak lopong.”
Rupa-rupanya,
tiada apa yang dapat Bayu sembunyikan dari Pak Mali. Bagaikan nujum,
segala-galanya diteka dengan tepat.
“Bagaimana
Pak Mali tahu?”
“Pak
Mali berniaga warung. Pelbagai jenis orang singgah membasahkan tekak
di warung Pak Mali. Pelbagai tingkah laku manusia dapat dilihat,
pelbagai cerita dapat didengar. Tetapi tidak pula pernah terdengar
hal benda di tangan kamu itu.”
“Ayah,
kanda Bayu. Nasi sudah dihidangkan.” Anak dara Pak Mali, Syasyira
terjengul dari muka pintu memanggil mereka berdua.
“Mari
Bayu. Kamu kena makan banyak malam ini. Esok hendak berjalan jauh.”
Pak Mali bangun dan menepuk bahu Bayu mengajaknya masuk ke rumah.
***
INILAH
kali pertama Bayu makan malam beramai-ramai. Selalunya berdua dengan
atuknya sahaja. Dirasakannya
begitu sempurna sekali. Bagaikan bersama keluarganya sendiri yang dia
tidak pernah ada. Ada bonda, ayahanda dan saudara kecil perempuan
yang manis. Dan untuk ini, hatinya tersenyum dan tertawa.
Malam
itu Bayu makan puas-puas. Semenjak semalam Bayu tidak banyak menjamah
makanan kerana kesedihan hatinya. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga
ini. Dia tidak mahu mereka hilang selera dengan melihatnya bersedih.
Dan malam ini dia makan seolah-olah ingin menuntut hutang seleranya
yang hilang dalam tangis dan tawa hatinya.
Syasyira
ketawa geli hati melihat gelagat Bayu yang bagaikan sepuluh hari
tidak berjumpa nasi. Dia senang dengan Bayu dan tidak pernah
mengangapnya sebagai orang asing. Malah dirasakan Bayu bagaikan
kakandanya sendiri. Tambahan pula dia juga anak tunggal.
Pak
Mali dan Mak Cah pula berasa senang melihat selera makan Bayu. Mereka
tahu hatinya masih lagi dirundung kesedihan, tetapi tidak dibebani
dengannya. Pemuda ini berjiwa tabah. Nasib baik Mak Cah masak lebih
malam itu.
Sesudah
selera dipuaskan, Bayu duduk bersandar kekenyangan pada tiang tengah.
Tubuhnya terasa berat. Rasa sedikit kesal kerana terlalu mengikut
nafsu. Tapi sekali-sekala apa salahnya!
Syasyira
sibuk di dapur membantu ibunya mengemas dan membasuh pinggan mangkuk.
Kadang-kadang menjaga api rebusan akar kayu Sira Merah untuk Bayu.
“Mak,
kasihan kanda Bayu, kan? Sudah jatuh ditimpa tangga. Kenapa dia tidak
mahu tinggal bersama kita saja?” tanya anak gadis itu.
“Mak
pun tak tahu. Tapi katanya dia ada urusan perlu diselesaikan. Mungkin
wasiat dari datuknya,” ibunya menjawab tanpa menoleh kepadanya,
sibuk menyusun pinggan yang sudah dibasuh.
“Wasiat?”
Syasyira tergumam.
“Syira,
rebusan ini sudah boleh diminum. Sediakan dan beri kepada kanda Bayu
kamu.” Mak Cah mengangkat periuk tanah berisi air rebusan akar Sira
Merah daripada tungku dapur dan meletakkannya di atas para.
“Merahnya
air rebusan ini mak, seperti darah! Siapa yang boleh teguk air
seperti ini?” Syasyira teragak-agak untuk menuang air rebusan itu
ke dalam mangkuk. Dia ragu-ragu air itu boleh diminum kerana warnanya
merah pekat.
“Nampak
saja seperti darah, tetapi bukan. Hati-hati tuang, jangan sampai
tumpah dan janganlah pula kamu minum, jadi apa-apa, mak tak tahu.”
Mak Cah mengusik anaknya. Tetapi benar, dia tidak tahu akibatnya jika
terminum air itu. Suaminya ada memberitahu hanya orang yang mempunyai
ilmu dalaman yang teguh sahaja dapat meneguk air itu. Jika tidak,
hanya akan mengundang kecelakaan kepada peminum.
Syasyira
membawa mangkuk yang berisi air akar kayu itu berhati-hati dan
diletakkannya di hadapan Bayu. Bayu hanya memandang tanpa berkata
apa-apa. Dia terlalu kenyang sehingga terlupa mengenai akar kayu itu.
“Jemput
kanda, minum.” Syasyira berundur dan duduk bersila bertentangan
dengan Bayu. Ayahnya yang bersila di hadapan pintu menghisap rokok
daun pucuk nipah hanya menjeling.
“Terima
kasih, Syira.” Bayu mengangkat mangkuk itu dan dihirupnya. Matanya
tiba-tiba terbeliak, air akar kayu di dalam mulutnya lantas tersembur
keluar dan membasahi wajah Syasyira yang dekat di hadapannya.
“Kanda!
Apa ni!” jerit Syasyira. Habis wajah dan pakaiannya berlumuran
warna merah. Ayahnya ketawa besar melihat kelakuan mereka berdua.
“Pedas!
Pedas sangat! Air... air!” Ternganga-nganga mulutnya menahan
kepedasan. Bibirnya terasa panas. Tidak disangkanya akar Sira Merah
lebih pedas daripada cili
api!
Syasyira
segera berlari ke dapur mencuci muka. Anehnya, tidak pula terasa
pedih pada wajahnya walaupun kanda Bayunya merungut air akar kayu itu
pedas! Bondanya di dapur ketawa melihat anak gadisnya berlumuran air
merah. Tapi Syasyira tidak menghiraukannya. Cepat-cepat dia kembali
semula dengan membawa segelas air. Setelah meletakkannya di hadapan
sila Bayu, dia berlari jauh dan menyorok di belakang ayahnya.
“Akar
kayu ini istimewa, sebab itulah rasanya pun lain.” Akhirnya Pak
Mali bersuara setelah penat ketawa sambil menggosok-gosok kepala
anaknya.
“Kalau
pahit boleh saya tahan, Pak Mali! Tapi yang ini pedas! Warnanya pun
menakutkan!” Bayu mencapai air yang dibawa dan dihirupnya. Barulah
terasa lega tekaknya.
“Maafkan
kanda, kanda tak sengaja.” Bayu memandang Syasyira. Syasyira hanya
mencebikkan bibirnya dan memaling muka ke arah lain.
Bayu
menghirup kembali air akar kayu di dalam mangkuk dan dengan bantuan
air kosong, dia berjaya menghabiskannya jua. Terasa perutnya bagaikan
mendidih. Badannya pula membahang, lantas dia keluar ke halaman untuk
menikmati angin malam. Angin yang bertiup dingin menyejukkan bahang
tubuhnya yang meluap-luap. Dia mendongak merenung langit yang
ditaburi bintang-bintang tanpa setompok pun awan, tanda esoknya hari
akan terus cerah dan panas. Terasa sungguh tenang suasana malam itu.
“Cantik
bintang-bintang di atas sana kan, kanda?” sapa Syasyira yang entah
bila masa muncul di sisinya. Rajuknya pada Bayu sudah hilang.
Begitulah sifatnya, cepat merajuk dan cepat juga ‘sejuk’.
“Terlalu
banyak tidak terbilang, tentu mereka tidak pernah kesunyian. Tidak
seperti bulan, hanya sendiri,” balas Bayu dengan nada sayu.
“Tetapi,
bulan tidak sedar bintang-bintang itulah temannya, sentiasa setia
menanti tatkala malam menjelang. Cuma, bulan sahaja yang kadang-kala
lewat memunculkan diri.” Biarpun masih mentah, Syasyira memahami
maksud Bayu itu tadi.
Mereka
saling memandang dan berbalas senyuman. Kemudiannya, sama-sama
kembali merenung langit.
“Perlukah
kanda berkelana?” soal Syasyira dengan matanya terus menatap
bintang-bintang.
“Inilah
takdir kanda dan takdir tidak dapat dielak atau diubah. Sudah
ketentuan-NYA kanda terpaksa memikul satu amanat. Dan amanat ini
perlu dilaksanakan,” terang Bayu.
Walaupun
Syasyira tidak memahami apa yang Bayu maksudkan, tetapi dia tidak
meminta penjelasan lagi. Cukuplah baginya tahu kandanya bukan
meninggalkan mereka kerana tidak mahu bersama mereka.
“Janganlah
sampai lupa jalan pulang.”
“Tak
akan kanda lupa.”
“Bawa
pulang ipar Syira sekali tahu!” usik Syasyira sambil ketawa dan
berlari dari situ.
“Bukan
itu tujuan kandalah!”
Lantas,
Bayu mengejar Syasyira. Mereka berdua saling kejar-mengejar di
halaman. Bagaikan adik-beradik bersaudara sedang bermain. Penuh hilai
ketawa. Jika tidak dipanggil oleh Mak Cah, mungkin hingga ke larut
malam mereka begitu.