Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
81,072
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

11

MALAM itu, Rizan datang ke rumah semata-mata mahu menjemput aku ke rumahnya dengan tujuan makan malam bersama keluarganya di rumah.

“Tak apalah. I tak ada pun tak apa, kan?” rayuku padanya. Aku tetap tidak mahu pergi. Aku tidak mahu bertemu dengan lelaki yang baru kembali dari perantauan itu bersama anak dan isteri. Ya, aku tahu lambat-laun aku pasti akan menemui mereka. Tapi bukan sekarang. Aku belum bersedia.

“I dah datang ni, Ju,” keluh Rizan beria-ia mengajak aku. “Mama yang suruh I jemput you.”

Aku terkesima. Aku tidak tahu bagaimana mahu mengelak lagi. Mama sudah melemparkan pandangan tajam padaku.

Next time, kalau nak ajak orang keluar, tolong beritahu awal sikit, ya? I tak suka datang cara mengejut macam ni. Lepas tu paksa-paksa orang suruh keluar. It is not me, okay?!” getusku, keras kepada Rizan.

Rizan mengerut dahinya. “Kenapa dengan you ni?”

“I penat, Rizan. Banyak kerja kat ofis tadi.”

“Julia, I ni siapa? Tak lama lagi kita nak kahwin. Masalah besar sangat ke kalau I minta you keluar dengan I. Sekejap saja. Lagipun kita pergi rumah I. Lepas makan I hantar you balik. Bukan I suruh you naik bas turun bas.” Dia melepaskan rasa tidak puas hatinya kepadaku.

Wajah mama makin menyinga. “Orang dah baik hati datang nak jemput dia, dia pulak tak nak pergi.”

Aku pandang emak. Kemudian aku pandang Rizan kembali. “Tunggu sekejap.” Aku menunjukkan kelima-lima jariku kepadanya mengisyaratkan supaya dia tidak lagi berkata-kata. “Kita belum kahwin lagi. Bertunang pun belum!” bentakku.

Rizan mengeluh. “Nak pergi ke tak?” Dia bertanya lagi bila aku masih dengan selambaku.

Aku mendengus. Tak termampu aku untuk menyembunyikan marahku itu daripadanya. Apatah lagi mama terus-terusan memandangku dengan wajah singanya.

“Kalau I pergi pun bukan sebab you, ya? Semua sebab mama you.” Lantas aku meninggalkannya menuju ke bilikku.

“Julia?” Suara abah di ruang tamu kedengaran lantang. Adakah dia mendengar apa yang kami bualkan sebentar tadi.

“Ya, bah?”

“Awak tu masih anak dara. Jangan balik lewat sangat.” Abah berpesan. Sekurang-kurangnya ada juga yang tidak suka aku keluar di waktu malam sebegini.

Aku jeling ke arah Rizan, sekadar memastikan dirinya mendengar pesanan abah itu. Aku kunci bilik. Duduk di hujung katil dan menakup wajahku dengan ke sepuluh jari. Ya ALLAH, apa yang sedang berlaku ini? Aku seperti tidak percaya apa yang telah berlaku. Lebih tidak percaya bahawa aku akan bertemu dengannya kali pertama hari ini!

11 Januari bakal mempertemukan aku dengan dia. Kalau aku mampu mengadakan sayap pada tubuhku ini, sudah tentu aku akan terbang jauh dari sini. Tapi aku tiada kuasa untuk melakukannya, jauh sekali untuk terbang dari sini. Dan yang paling penting, aku tiada kuasa untuk melarikan diri.

‘Beranilah menghadapinya. Jika esok atau lusa pasti kau akan ketemu dengannya kembali, kau tetap akan dipertemukan. Cuma, pertemuan yang akan berlangsung hari ini tidak membenarkan kau bersedia. Itu sahaja!’

Aku bersiap berseluar jean dan blaus berwarna biru tua dengan rambut panjang diikat satu. Aku mahu kelihatan ringkas, tidak menunjuk-nunjuk bahawa aku berdandan untuk malam ini. Aku mahu mereka semua tahu, jemputan ke atasku adalah yang sangat pantas dan jemputan yang tidak terduga olehku.

“Hantar Julia cepat. Kalau boleh, sebelum pukul dua belas. Esok kerja. Lagipun kamu berdua masih belum bertunang lagi. Uncle tak suka.” Abah masih mengingatkan lagi pesanannya kepada Rizan sebelum kami melangkah keluar.

Aku diam sahaja. Tanggungjawab itu aku serahkan kepada Rizan. Bukan aku.

“Baik, uncle. Saya hantar Julia awal sebelum pukul dua belas. Insya-ALLAH,” ujar Rizan, berjanji. “Kalau selepas pukul dua belas, saya takut saya jadi katak pula!” Dia berseloroh. Mama tergelak kecil manakala abah pula sekadar memandangnya tanpa emosi sama sekali.

Pesanan orang tua itu bukan sekadar pesanan, jauh sekali boleh dibuat main. Dan aku bersyukur abah menitip pesanan supaya aku pulang awal. Sekurang-kurangnya, abah tegas dalam hal ini dan aku juga ada alasan kukuh untuk pulang awal!

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.