Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
80,981
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

4

“YANG ini cantik, Datin.” Lelaki yang bernama Huzaimi melayan kami, menunjukkan satu per satu hasil kreativiti ciptaan pakaian pengantin yang terdapat di butiknya. Lelaki ini ternyata sangat kreatif menghasilkan pakaian pengantin yang begitu sederhana tapi eksklusif. Setiap jahitannya cukup melambangkan wanita Melayu biarpun dihiasi dengan manik-manik atau pun sulaman Inggeris yang dijahit dengan penuh teliti.

Mama Rizan iaitu Datin Hamidah atau panggilan mesranya padaku ‘mama’ sejak dahulu lagi, membelek-belek pakaian pengantin yang dihulurkan oleh Huzaimi. Sepasang baju kebaya tetapi diperbuat daripada kain chiffon renda warna kuning keemasan.

Sedangkan aku, tidak bersetuju sama sekali. Pakaian tersebut bukan cita rasaku tetapi lebih kepada citarasa orang tua itu! Tambahan pula, terlalu awal untuk memilih pakaian persandingan.

“Macam mana ni, kak?” Mama Rizan menghulurkan baju tersebut kepada mamaku. “Lawa, kan?”

Mata mama membulat besar ke arahku kerana dia sedar aku tidak bersetuju dengan pilihan mama Rizan itu. “Cantik.” komennya ringkas sahaja. Pandangannya tajam menusuk. Marah.

Mama Hamidah menghulurkannya kepadaku. “Cuba Ju pakai yang ini.”

“Untuk apa?” Aku pura-pura bodoh. Takkanlah dia mahu aku memakai gaun buruk ini di hari persandingan kami? Tolonglah!

Mama Hamidah ketawa kecil. “Eh? Untuk apa lagi? Untuk hari kahwin awaklah nanti. Dah pergi cuba baju ni.”

Aku sempat menjeling ke arah mamaku, kemudian pada Rizan. Perlukah semua ini? Tidakkah ini terlalu awal?

“Huzaimi, Julia nak cuba baju ni,” panggil Mama Hamidah. Wanita ini sememangnya ada gaya dan kelasnya yang tersendiri. Sesiapa sahaja yang bertemu dengannya akan memberi sepenuh kerjasama dan kehendaknya. Sebaik Mama Hamidah berkata demikian, Huzaimi segera menundukkan kepalanya sedikit tanda hormat walhal pada pandanganku dia tidak perlu melakukan seperti itu.

“Boleh... boleh...” Huzaimi segera mengambil gaun pengantin tersebut sambil mengiringiku ke arah bilik persalinan seolah aku tidak pernah tahu di mana bilik tersebut berada. Aku boleh buat sendiri, getusku di dalam hati.

Sebelum aku meninggalkan tempat duduk kami, aku sempat menjeling ke arah Rizan. Dahiku berkerut. Pandanganku tajam. Aku sengaja menunjukkan rasa tidak puas hati aku kepadanya. Bukankah kami di sini untuk mencuba pakaian pertunangan, tetapi kenapa seawal ini mahu menempah baju pengantin?

Tidak sampai seminit kemudian, aku keluar dengan pakaian kuning keemasan yang dikatakan cantik itu. Ternyata kuning bukan pilihan warnaku. Warna itu keterlaluan buatku. Kini empat pasang mata sedang mengamati diriku. Setiap dari mereka melontar emosi yang agak berbeza.

Rizan merenungku dengan senyuman sambil mengangguk.

Mama diam. Tiada reaksi.

Mama Hamidah pula sesekali mengerut dahinya. Kemudian menelengkan kepalanya ke kiri sedikit, cuba mencari titik di mana dia mahu memuji. Kemudian dia memandangku dan berkata, “Mama tak fikir warna ni sesuai untuk Ju. Apa kata Ju cuba yang lain.” Lantas dia meluru ke tempat di mana pakaian-pakaian pengantin bergantungan. Dia mengeluarkan sepasang baju kurung moden warna keperangan. “Yang ini cantik.”

Aku lega tetapi jiwaku meronta apabila dipaksa menukar pakaian dan mencuba pakaian yang lain pula untuk memuaskan hati orang tua itu. Bila melihat diriku di cermin, perasaan benci menerpa sekali lagi. Kali ini bukan kerana warna, tetapi reka bentuknya yang tidak sesuai.

Mama sekadar mengangkat bahu.

Rizan mengangkat ibu jarinya tanda bagus.

Mama Hamidah menggeleng.

Begitu juga dengan dua lagi gaun pengantin yang berikutnya. Semuanya tidak memuaskan hati bakal ibu mentuaku itu. Dan aku semakin letih melayani kehendak dirinya.

“Mungkin bukan masanya kita nak cari baju kahwin kut?” Aku menutur kata-kata penuh hati-hati supaya tiada hati yang tersinggung.

Mama Hamidah tersenyum. Tetapi rona wajahnya menunjukkan dia tidak setuju dengan kata-kataku. “Tak boleh, Ju. Kita kena pilih dari sekarang. Kalau saat-saat akhir baru terhegeh-hegeh nak cari... entah apa-apa baju pulak yang tinggal. Mama tak nak menantu mama pakai baju tak elok bila bersanding atas pelamin nanti.”

“Betul tu. Bila-bila masa saja orang datang dan beli. Sekarang ni orang kahwin bukan tunggu cuti sekolah saja. Hari kerja pun ada majlis kahwin,” sampuk mama, mengeyakan kata-kata Mama Hamidah.

Mama Hamidah mengangguk. Rasa besar hati bila ada orang yang menyokong kata-katanya.

Aku menceber pada mama. Asyik sokong sahaja pendapat mama Rizan!

Tiba-tiba Huzaimi datang mencelah. “Datin, I ada satu design baru. Design ni pun belum sempat I nak keluarkan lagi. Mungkin yang itu boleh membantu.”

Oh tidak!

Huzaimi hilang di celah-celah bilik peribadinya, kemudian tidak sampai beberapa saat kemudian dia datang membawa sepasang baju warna kelabu yang kelihatan sedikit berkilauan bila cahaya memantulkan sinarnya pada batu-batu yang terdapat di baju tersebut. Aku terkaku sebentar. Dari jauh aku sedar pakaian tersebut bukan murah harganya.

Huzaimi tersenyum simpul bila melihat kami seakan terdiam melihat rekaan terbarunya ciptaannya. “Ini I buat untuk mereka yang inginkan outstanding.

“Wah, ini betul-betul outstanding!” seru Mama Hamidah. Sambil menunjukkan kepada anak lelakinya, dia berkata, “Mama suka sangat yang ini, Rizan.” Kemudian orang tua itu mengalih pandangannya padaku. “Kalau Ju pakai ni, tak ubah macam keturunan bangsawan. Cantik sangat ni, mama suka.” Pujian diberi tanpa bertapis lagi. Terus terang dia mengagumi pakaian pengantin yang berwarna kelabu bertakhtakan kemasan manik-manik putih seperti mutiara dengan beberapa kilauan batu putih seakan berlian serta renda Perancis.

Huzaimi tersenyum senang. Bangga bila dipuji dengan hasil yang dilakukan.

Buat seketika, aku mengamati potongan baju tersebut. Tidakkah baju ini agak terdedah di bahagian bahu dan jarang pula di bahagian belakang? Perlukah aku mengenakan pakaian ketat begini dan mempamerkan susuk tubuhku pada khalayak? Jarang, mendedahkan dan ketat bukan gaya aku.

“Kain apa you pakai ni?” tanya mama Rizan kepada Huzaimi sambil mengusap perlahan kain yang berada di hadapannya. Mama juga begitu, mengangguk beberapa kali tanda setuju dengan kain yang digunakan untuk rekaan Huzaimi yang sangat cantik itu.

“Oh, yang ini I guna khas dari kain Itali, Datin. Ini dari jenis satin sutera. Kalau Julia pakai, memang mantap. Dia tinggi, cantik, touch-up sikit pada rambut, Julia memang nampak cantik!” Huzaimi mula menambah keterujaan kedua-dua orang tua kami.

Aku pandang kedua-dua wanita ini. Mama aku dan mama Rizan. Rizan pula sedang mengamati setiap tindak-tandukku.

Perlukah kami terus menatap baju-baju pengantin, sedangkan kami belum pun bertunang lagi? Ya, tarikh pertunangan kami akan berlangsung dalam tempoh 17 hari lagi dan seperti yang dirancangkan oleh kedua-dua belah pihak keluarga, pernikahan dan persandingan seterusnya berlangsung dalam tempoh enam bulan berikutnya pula. Bukankah memilih pakaian-pakaian persandingan masih ada banyak masa?

Aku pandang tajam ke arah Rizan agar dia mengerti maksud lemparan yang aku cuba sampaikan. Perlukah ini semua?

Rizan sekadar mengangkat bahu, tanda tidak mahu melayani kerenahku. Baginya segala keputusan ibunya adalah yang terbaik. Ya, semuanya.

Aku sedar diriku tiada pilihan jauh sekali mengharapkan Rizan membantu aku dalam hal ini. Aku pandang wajah mamaku. “Mama, rasanya lambat lagi kita nak tempah baju nikah... baju kahwin ni semua. Pejabat Ju dekat dengan butik ni. Tak perlulah kita fikirkan baju nikah ni lagi.”

Belum sempat mama meluahkan jawapannya, mama Rizan sudah lantang bersuara, “Tak boleh tunggu lama-lama lagi. Dewan hotel pun kena tempah setahun lebih awal, apatah lagi nak kena tempah baju.”

Tiba-tiba mataku meleret ke arah sepasang pakaian yang sedikit tersorok dari mata umum, tergantung di suatu sudut seolah-olah bersendirian menunggu siapa-siapa sahaja menyedari kewujudannya di situ. Aku terkesima bila melihat baju tersebut. Bagaikan jatuh cinta pandang pertama. Sangat cantik. Baju putih susu itu mempunyai potongan dan hiasan yang tidak keterlaluan, tetapi ternyata kecantikannya sangat menonjol. Malah pakaian itu tidak mendedahkan tubuh badan dan pertama kali melihatnya aku pasti, baju inilah yang sesuai untukku. Tidak perlu untuk mencuba kerana aku tahu baju itu sangat selesa dipakai.

Dan kecantikan tersebut membawa tanganku mengusap perlahan baju tersebut. Aku sungguh terpesona dengan rekaan Huzaimi yang ini. Betapa cantiknya aku jika mengenakan pakaian ini di hari pernikahanku nanti...

“Eeii... tak cantik. Simple sangat, Ju,” komen Mama Hamidah.

Aku tersentak. Aku lempar pandangan padanya dengan hati gundah. Kemudian secara tidak langsung memandang ke arah Rizan yang sedang menggeleng kepalanya, seolah-olah setuju dengan kata-kata ibunya.

“Tapi Ju berkenan yang ini,” gumamku perlahan. Aku cuba meyakinkan mereka namun aku sedar saat itu, keyakinan aku cuba terapkan ke dalam hati Mama Hamidah, akan jadi sia-sia sahaja. Ketika ini, Mama Hamidah dan Rizan mengawal keadaan.

“Kita ambil saja baju ni.” Mama Hamidah menunjukkan baju kelabu di tangannya. Kata-kata Mama Hamidah muktamad. Tiada sesiapa pun yang berani membantah. Walaupun mama sekalipun yang sekadar tersenyum mengangguk dengan cadangan bakal besannya.

Selama ini perancangan pertunangan hanya dilakukan oleh mama Rizan. Mama hanya sebagai pemerhati. Dari hampir semua segi, mama menyerahkan segala keputusan kepada mama Rizan. Mama lebih senang mendiamkan diri. Selagi idea Mama Hamidah itu baik dan boleh diterima, mama sekadar mendiamkan dirinya sahaja. Tetapi kali ini, dia bersetuju dengan cadangan mama Rizan.

Kenapa aku tidak dibenarkan untuk membuat keputusan? Kenapa pandangan aku tidak pernah diminta sama sekali?

Rizan datang duduk di hadapanku. Memandangku dengan penuh erti. “Kalau kita buat persiapan dari sekarang, taklah nanti kita terkejar-kejar dengan benda-benda lain pula, Ju. Banyak benda lain yang kita kena fikirkan selain baju-baju ni semua,” jawab Rizan tenang, lembut dan penuh mengharap agar aku menerima apa yang sedang dilakukan oleh mamanya itu.

Aku sekadar memandang jauh wajah Rizan. Sudah acap kali aku berperasaan begini kerana sikapnya yang tidak pernah mahu ambil endah apa yang aku mahu. Tidak tahu apa yang perlu aku rasakan saat ini. Marah, kecewa, gembira, lega, satu pun tiada yang masuk akal. Aku seolah-olah berada di dunia lain rasanya.

“Jangan risau, Datin... kami di sini sedia terima tempahan pakaian perkahwinan.”

“Memanglah terima tempahan, tapi masalahnya kami nak designyang sama macam ni. Boleh ke kalau saya buat book baju ni?”

Kenapa aku sahaja yang mereka fikirkannya? Kenapa Rizan tidak terlibat sama? Bukankah kami berdua yang akan berkahwin?

“Dah, pergi cuba pakaian ni. Mana tahu kalau tak berapa kemas ukurannya, Huzaimi boleh betulkan potongan baju ni.” Giliran mama pula.

Aku melihat diriku pada cermin besar di hadapanku di dalam bilik persalinan. Melihat dari rambut yang panjang separuh ikal hingga ke pinggang sehinggalah tubuh badan yang kurus sekeping ini dan hujung kaki dengan kasut yang bertumit 2 inci. Aku sedar, aku bukan wanita yang menarik pada mata diriku sendiri. Sekadar ketinggian 5 kaki 7 inci dan mempunyai wajah darah campuran yang jelas pada setiap mata yang memandang, aku dikira wanita yang menarik dan cantik. Warna kelabu menenggelamkan aku. Warna yang tidak ceria, muram, suram... seperti suramnya perasaanku ketika itu. Apakah ini yang mereka katakan cantik?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.