Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
81,129
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

7

“TAK APALAH, Rizan. I ikut mama I balik. Abang you baru sampai. Biarlah malam pertama ni hanya untuk keluarga. Esok-esok I datang pun tak apa, kan?” Aku berbasa-basi memberi alasan kepada bakal tunangku itu.

Rizan mengangguk namun wajahnya jelas kecewa bila melihat aku tetap berdegil tidak mahu mengikutnya pulang.

“Mama I ada dengan kita. Kalau I biarkan dia balik seorang diri, nampak tak elok pulak. Banyak masa lagi, kan?”

Rizan melemparkan senyumannya kepadaku. Makin menerima alasanku ini.

Aku pulang bersama mama. Aku cuba kuatkan perasaanku. Aku cuba kuatkan hatiku. Megat Iskandar Zulkarnain pulang akhirnya. Bertahun-tahun dia merantau, hari ini dia sudah kembali ke tanah air. Saat aku cukup yakin mampu mengatasi perasaan yang pernah wujud terhadapnya, aku merasakan diriku belum bersedia untuk menemuinya, apatah lagi untuk berhadapan dengannya. Aku masih perlukan masa untuk lenyapkan perasaan yang mengganggu jiwaku.

SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah, aku dilanda resah gelisah. Kali terakhir aku bertemunya, enam tahun yang lalu ketika dia mahu ke Perancis. Sejak itu dia tidak pernah balik ke Malaysia. Biarpun sekali.

Waktu-waktunya hanya berada di perantauan, dari satu negara ke satu negara di jejakinya. Dia bekerja tidak kira siang dan malam semata-mata untuk menimba ilmu, mencari wang, memantapkan kemahirannya dalam bidang masakan. Kata Rizan, tidak pernah sekali pun dia menelefon papa mereka, jauh sekali untuk mengadu masalah. Mereka berhubungan hanya bila Syawal menjelma.

Selebihnya, masing-masing mengikut haluan kehidupan masing-masing. Tidak banyak hal yang mereka tahu tentang lelaki itu. Dari Perancis menimba pengalaman dan pengetahuan, kemudian berhijrah pula ke kota London dan hidup di Dubai selama tiga tahun sebelum kembali ke Perancis. Dan kini, dia kembali mahu menetap selamanya di tanah air. Apa yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pulang? Jantungku berdegup pantas.

“Ju, perlahan sikit bawa kereta,” tegur mama.

Astaghfirullahalazim. Fikiranku menerawang jauh, membuatkan aku tidak sedar yang aku sedang memandu.

Ya ALLAH, jangan KAU huru-harakan perasaanku ini lagi. Jauhkanlah aku dari segala bencana yang mendatang, tidak kira yang mencacatkan tubuh badanku ataupun yang boleh menghancurkan hati dan perasaan. Berikanlah aku kekuatan fikiran. Berikanlah aku ketetapan iman. Amin.

Aku tidak mahu apa yang pernah aku rasa enam tahun lalu kembali bertaut di jiwa. Katakan apa sahaja, kerana aku tidak mahu menyakiti hati Rizan dan mengecewakan keinginan orang tua kami yang ingin melihat kami bersatu dalam waktu terdekat ini.

“Kenapa ni, Ju? Senyap aje? Apa yang tak kena lagi ni?” tegur mama melihat aku sesekali meramas stereng kereta.

Aduh! Sebelum orang tua itu menghidu sesuatu yang tidak sepatutnya dia hidu, lebih baik aku alihkan perhatiannya. “Ju tak berapa setuju kalau kita cepat sangat nak tempah baju nikah atau baju kahwinlah, ma.”

Orang tua itu mendengus keras. “Itu cakap Ju. Orang lain, setahun sebelum kahwin dah kalut mencari kain nak menempah, cari bunga telur lagi. Kita, satu apa pun tak beli lagi. Jangan ambil mudah, Ju. Benda dah siap. Ambil ajerlah.”

Suasana sepi seketika sebelum mama kembali bertanya, “Abang Rizan balik hari ni?”

“Hmm...”

“Bertahun dia duduk kat luar negara. Tak ada angin, tak ada hujan, tiba-tiba nak balik. Rizan tak kata apa-apa ke kenapa abang dia nak balik? Mama Rizan memang tak suka Megat balik ke?”

Aku mula lemas. Di saat aku cuba melupakan Megat dan kenangan lama, mama mahu menimbulkan kembali kenangan itu tanpa disedarinya. “Ma, dia tetap abang Rizan.”

“Mama pun tak suka dia balik. Bukan ke Rizan anak sulung Uncle Rashid dengan Mama Hamidah? Dia ada hak untuk semua tu.”

“Mama, dia tetap anak Uncle Rashid yang sulung.”

“Yalah... tapi kalau dia nak jadi tukang masak, bisnes Rashid pastinya jatuh ke tangan Rizan.”

Aku bosan mendengar alasan sebegini. “Kalau kaya, hati tak bahagia tak guna jugak, ma,” komenku.

“Sedikit sebanyak, duit boleh membantu kita bahagia, Ju. Tak ada duit, ingat boleh hidup selesa ke? Orang sanggup gantung diri kalau tak ada duit, jatuh bankrap. Ju nak hidup melarat macam tu?” cabar mama dengan suara lantang.

“Mama ni fikir sampai ke situ pulak.”

“Mama cakap aje. Mama tak nak Ju hidup melarat bila kahwin nanti. Anak perempuan mama, Ju seorang aje. Mama nak jugak anak mama senang bila dah berkahwin nanti.”

“Duit bukan segala-galanya, mama.”

Mama mengeluh lantas memandangku. “Tak suka ke kalau kahwin dengan Rizan? Anak orang kaya, boleh hidup senang. Ju hidup senang, mama pun tumpang senang tau.”

“Ju setuju terima Rizan sebab mama dengan mama Rizan nakkan kami berdua bersama. Bukan sebab Ju nakkan Rizan sebab dia anak orang kaya ke, tapi sebab mama dengan mama Rizan,” desisku perlahan.

“Kenapa pula mama? Kalau Ju betul-betul tak sukakan Rizan, Ju tak peduli dengan kemahuan mama dengan mama Rizan. Ju boleh buat keputusan sendiri. Ju boleh kata ‘tidak’. Jangan salahkan mama.” Suara mama mula meninggi. Dia mula kurang puas hati dengan kata-kataku.

Aku mengeluh. Aku melihat pandangan di hadapanku. Mama takkan faham. Mama berkata sedemikian kerana kami bukan dari keluarga mewah, walaupun bukan hidup susah. Mungkin mama fikir mahukan yang terbaik untuk satu-satu anak perempuannya ini.

AKU sengaja mematikan talian telefon bimbitku malam itu. Aku mahu menjarakkan diriku buat seketika dengan mereka di sekelilingku. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku berbuat demikian. Seolah-olah aku mahu lari jauh dari sini. Aku mahu pergi jauh ke langit... ke bintang. Entahlah, ada sesuatu yang cuba aku sisihkan dari diriku sendiri. Cuma satu sahaja yang tidak mampu aku sisihkan.

Kenangan lama...

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.