Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
80,979
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

2

BUNYI hon kereta menghentikan lamunanku. Tersentak. Aku sedar itu panggilan Rizan terhadapku. Tidak adil untuk aku menarik muka masam kerana kelewatannya sedangkan dia juga tidak mahu perkara sebegini berlaku. Aku paksakan diriku tersenyum. Sekurang-kurangnya, aku bersyukur dia selamat tiba menjemputku.

Aku segera mengambil tempat duduk di sisinya dalam kereta BMW miliknya itu.

“Lama tunggu?”

“Lamalah! You suruh I tunggu you pukul lima. Tengoklah sekarang dah pukul berapa?” Aku menuding jariku ke arah jam di hadapan kami. “Janji pukul lima setengah jumpa mama kat butik. Kalau mama you marah, I kata you yang datang lewat jemput I.”

Rizan ketawa. Dia kelihatan tenang sahaja. “Jangan risau. Mama kita berdua tengah melepak kat kedai kopi. Dia orang berdua kopi-kopi dulu sambil menunggu kita sampai.”

Aku tersengih macam kerang busuk mendengar ceritanya. Baru lima minit perjalanan kami, kenderaan yang dipandu oleh Rizan mula menyusuri jalan raya yang dibanjiri dengan pelbagai kenderaan yang membuatkan pemanduan lelaki ini terhad. Dari perjalanan yang lancar, kemudian bertukar menjadi perlahan dan akhirnya terhenti-henti.

“Macam nilah tadi. Bilalah Kuala Lumpur tak jam?” Dia mengomel tiba-tiba. Perlahan.

Aku mengeluh. Melihat jalan raya yang sesak dan hampir tidak bergerak, sememangnya mudah untuk aku hilang sabar. Apatah lagi sudah ada temu janji dengan waktu yang perlu ditepati. “Kalau I tahu lambat macam ni, lebih baik I seorang aje yang pergi jumpa dia di butik. Tak payah you susah-susah datang jemput I. I keluar pejabat terus aje ambil teksi ke sana. Bukan ke you kata tengah hari tadi, you banyak kerja kat pejabat?” Aku memandangnya penuh pengertian. Sedikit pun tidak mahu membebankannya, apatah lagi tatkala dia memang perlu menghabiskan kerja-kerjanya setelah seminggu berada di luar daerah. Paling penting dia tetap tenang, tetap tersenyum manis biarpun dalam keadaan stres di kiri dan kanannya. Di sebelah kanan, kerja yang melambak. Di sebelah kiri pula, terpaksa menempuh jam semata-mata mahu bersamaku ke butik pakaian.

“Tak apa. I ada pembantu. Buat apa ada pembantu kalau tak boleh nak membantu habiskan kerja-kerja ketua?”

Aku menarik nafas. Aku cuba untuk tidak tersenyum. Rizan tetap tenang di mana sahaja. Kerja melambak ke... terkandas di dalam kesesakan jalan raya ke... atau terlewat menjemput aku pulang, ketenangan dia tiada batasan. Kalau aku, boleh haru-biru jadinya!

“Macam mana kerja tadi? Okey?” Dia memulakan bicaranya denganku. Senyumannya sudah tersedia di bibirnya tatkala aku kembali menoleh menatap wajahnya.

Aku mengeluh perlahan. “Macam tulah.”

“Ada lagi masalah?” tanya dia menduga. “Yang pasal payroll tu, dah propose pada bos you untuk dapatkan softwarebaru?”

“Belum,” gumamku perlahan lantas melemparkan kembali pandanganku ke jalan raya yang tidak mahu bergerak. Mujur ada lagu-lagu yang berdendangan melalui radio di dalam kereta lelaki ini.

“Streslah tu?” Dia sekali lagi mengusikku.

Aku menjeling. “I bukan bos macam you. Kalau I bos, dah lama I ganti segala barang antik kat ofis tu dengan yang baru.”

Kata-kataku mengundang geli di hatinya. “Tak apa. Nanti bila lepas kita kahwin, kita sama-sama fikirkan masalah you tu. Kalau bos you tu buat perangai kedekut dia lagi, berhenti kerja. Tak payah nak stres-stres lagi. Okey?”

Aku tergelak. Entah kenapa, aku terasa lucu. “Ya ke kita nak kahwin?” Ayat itu benar bahawasanya kami akan berkahwin tidak lama lagi. Tetapi aku tetap masih tidak mampu untuk mempercayainya.

“Kenapa? Tak percaya lagi ke?”

Aku sengaja membiarkan tawaku terus kedengaran.

“Bukan senang nak pujuk you tu.”

Aku memandangnya. Ah! Mungkin ini takdir yang terbaik untuk aku. “Perempuan kenalah jual mahal sikit. Takkanlah lamaran datang terus nak cakap ya. Sekurang-kurangnya, perlulah fikir dulu. Kira untung ruginya... baik buruknya. Alahai, cik abang... takkanlah itu pun tak boleh nak fikir?”

“Aik? Itu yang sebenarnya sampai I kena tunggu berbulan-bulan lamanya untuk jawapan you?”

Aku diam sahaja.

“Cara you cakap, macamlah kita baru kenal.” Dia menebak aku lagi dengan kata-katanya.

“Baru tak barunya, Encik Rizan... ini bukan hal main-main. Sekali dah terikat, terikat sampai bila-bila.”

“You buat hal perkahwinan, pernikahan ni macam satu urus niaga.”

Aku tersengih. “Mestilah. You beli, I jual.”

Rizan memandangku. Kemudian dia menggeleng-geleng kepalanya. “Jangan fikir macam tu. Perkahwinan tu satu perkara yang baik. Perkahwinan satu ikatan. Ikatan antara lelaki dan perempuan yang sayang menyayangi, cinta mencintai antara satu sama lain. Ikatan itu untuk membolehkan dia menyentuh isteri dia dengan cara halal, menyanjungi, memelihara, melindungi orang yang paling dia sayang dalam hidupnya. Dan I tak pernah rasa I membeli you dari mama dan abah you. Lebih tepat kalau I cakap I nak memiliki you. Memiliki sesuatu yang I idamkan dan hidup bersama sehingga kita mati. I jadi milik you, you jadi milik air. Adil kan? Itu pun kalau jodoh kita kuat dan diizinkan ALLAH.”

Aku tersentak. Kenapa aku tidak berfikir sepertimana dia berfikir? Dan kenapa aku tidak berkata-kata sepertimana dia berkata-kata? Rizan sangat memahami dalam hal ini. Aku terasa diriku seperti wanita yang tidak berguna. Tidak langsung peka dengan hubungan kami berdua. Hakikatnya, aku bukan begitu. Aku bukan wanita yang sedang dilamun cinta dengan lelaki yang dicintainya. Aku bukan wanita yang benar-benar di alam percintaan.

Fikiranku mula semakin jauh meninggalkan diriku setiap kali berfikir tentang cinta. Apa maksud cinta bila aku di sisi Rizan? Mampukah aku berbicara tentang cinta sedangkan aku sendiri tidak mengetahui apa itu cinta yang sebenarnya biarpun aku kini berada di pertengahan jalan menuju gelaran sebagai seorang isteri kepadanya? Enam tahun mencari cinta, tapi jika apa yang aku rasakan ini adalah cinta, maka tiada yang istimewa tentangnya. Aku akur dengan rancangan yang telah ditetapkan oleh kedua-dua orang tua kami. Bukankah ada ganjaran dan hikmahnya jika seorang anak itu patuh dengan apa yang ditetapkan oleh kedua-dua orang tuanya ke atas dirinya?

Tiba-tiba, aku dibawa kembali ke seminggu yang lalu. Ketika aku sedang menikmati makan tengah hari bersama Zila, teman baikku.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.