Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
182,562
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

Hati Bella makin sedih apabila dia keluar dari lif itu. Dia rasa seperti tidak berdaya. Dia rasa lemah dan longlai. Dia tidak pasti mana yang dia lebih terkesan. Hakikat yang dia tiada peluang untuk dapatkan pekerjaan itu atau kata-kata Ben itu yang secara langsung mengkritik dirinya yang hanya mampu meluah perasaan pada dinding lif. Adakah Ben berkias mengatakan dia pengecut? Tidak berani berhadapan dengan masalah? Tidak berdaya selesaikan masalah? Melawan dan mempertahankan diri?. Itukah yang Ben maksudkan?

Kalaulah semua itu semudah itu. Dia sudah cuba melawan Hanim lama dulu tapi kesempitan hidup buat dia dan ibunya bergantung pada keluarga Hanim. Kalau dia melawan siapa pula yang akan bantu ibunya. Di mana mereka akan tinggal sedangkan bertahun-tahun mereka tinggal di rumah milik keluarga Hanim. Rumah kecil bersebelahan rumah banglo keluarga Hanim. Ibunya pun hanya bekerja di pasar malam. Disebabkan itulah Bella terdesak untuk bekerja dan bantu ibunya setelah dia memiliki ijazah. Saban tahun dia berazam untuk bawa ibunya keluar dari rumah milik keluarga Hanim. Bukan dia tak mahu membalas budi tetapi sampai bila harus bergantung kepada keluarga Hanim meskipun ibu Hanim adik beradik dengan ibu Bella. Dia juga telah cuba mendapatkan ruang untuk temubual itu dan menyatakan rasa tidak puas hatinya tetapi tidak juga berjaya. Dia bukan jenis orang yang akan mengalah tetapi nasib seolah tidak menyebelahinya. 

Bella melangkah longlai keluar dari bangunan itu. Hari yang cerah rasa seolah gelap seperti nasib yang menimpanya. Entah apalah salahnya. Sejak setahun yang lepas dia memang gagal untuk mendapatkan pekerjaan walaupun dia memiliki ijazah dalam Pemasaran. Walaupun CGPAnya agak tinggi. Selalu alasan yang diberi ialah mereka tidak perlukan seseorang dalam bidang pemasaran. Mereka menggunakan syarikat lain untuk setiap program pemasaran mereka jadi mereka tidak perlukan pegawai pemasaran. Dan Bella akan kembali dengan hampa setiap kali. Wajah ibunya terbayang-bayang. Hari ini dia mengharapkan dia akan berjaya namun kemungkinan itu amatlah jauh sekali apabila ditemubual pun tidak. Bella terus berjalan dengan hati yang berat. Berat rasa penderitaan yang ditanggung saat itu. Susah payah belajar dan pengorbanan ibunya bagi memastikan dia menerima segulung ijazah terasa seperti sia-sia. Mengapa malang sungguh hidupnya? Sudahlah ditinggalkan ayah, hidup dia dan ibunya pula hanya mengharapkan ehsan orang lain. Seolah ditindas pula. Ditindaskah? Biasanya bila miskin dan tiada pekerjaan itulah yang berlaku. Bella bukan jenis malas bekerja. Dia memang rajin bekerja tetapi bekerja di tempat yang tidak setimpal dengan kelulusannya. Itulah resam manusia yang akan ambil kesempatan dari orang yang terdesak untuk hidup seperti Bella dan Puan Rubiah. Disebabkan itu gaji yang diterima juga tidak setimpal. Dan Hanim pula mahu naikkan sewa rumah. Entah di mana Bella dan ibunya mahu cekau duit untuk bayar.

Bella bercadang untuk ke jalan besar di depan bangunan itu untuk mengambil bas. Dia pun melintas satu jalan yang menghubungkan bangunan itu dengan kawasan letak kereta tanpa memandang ke kiri atau kanan. Namun, satu hon yang kuat mengejutkan dia. Bella terkejut dan hilang keseimbangan diri lantas jatuh tersembam ke hadapan. Satu brek mengejut kedengaran. Bella yang mahu bangun segera terkejut kerana bila dia cuba bangun, bahagian hadapan sebuah kereta Audi hitam berhenti hanya 2 kaki dari wajahnya. Bella terkejut lagi lantas jatuh terduduk. Wajahnya terus pucat lesi. Dadanya berombak pantas. Rasa seperti jantungnya mahu terkeluar. Bella kaku di situ buat seketika kerana terkejut. 

Tiba-tiba seorang lelaki berusia empat puluhan bermisai nipis keluar. Dia memakai baju seperti uniform putih tertulis syarikat entah apa. Bella tidak dapat membaca tulisan kecil itu tapi logonya agak familiar.

“Awak tak apa-apa? Biar kami hantar ke hospital,” ujar lelaki itu dengan wajah sedikit cemas.

“Saya okay,” ujar Bella mahu bangun tapi tidak jadi bila menyedari buku lali sebelah kanannya sakit semacam. Dia mengaduh bila cuba menggerakkannya. Dia tidak jadi bangun.

“Cik tak okay ni...kaki sakit dan itu.. dahi cik dan dagu berdarah,” ujar lelaki itu memandang pada kaki Bella yang memakai kasut bertumit rendah berwarna merah kusam dan kemudian ke dahi dan dagu Bella.

“Hah?” pantas Bella menyentuh dahi dan dagunya yang sedikit basah dan pedih.

“Biar kami bawa cik ke klinik ye,” pelawa lelaki itu.

“Kami?” soal Bella semula.

“Saya dan bos saya. Saya hanya seorang pemandu. Bos saya ada di dalam tu,” ujarnya menunjuk pada kereta. Bella mengangguk.

“Tapi..saya tak mahu susahkan sesiapa. Encik panggil saja teksi atau grab untuk hantar saya balik ke rumah,” terang Bella. Lelaki itu mengeleng.

“Cik tak boleh balik rumah dengan keadaan macam ni. Saya pun cuai tadi sebab bawa agak laju bila turun dari parking. Biar kami bawa cik ke klinik sekurang-kurangnya,” cubanya lagi.

“Tapi...saya tak ada duit nak bayar. Encik bawa saja saya balik. Pandai-pandailah saya nanti,” pinta Bella dengan wajah risau. 

“Tak apa. Bos saya akan bayar. Dia dah cakap tadi semua perubatan cik dia akan bayar,” jelas lelaki itu. Dia teringat kata-kata bosnya tadi sebaik sahaja mereka nampak gadis itu jatuh. Bella menghela nafas.

“Saya tak kenal bos awak. Tolonglah panggilkan saya grab. Saya nak balik rumah sekarang juga,” pinta Bella. Dia tak mahu terhutang budi pula dengan entah siapa. 

“Tak boleh cik. Cik perlukan bantuan perubatan,” kata lelaki itu tidak setuju.

“Saya tak kira...panggil grab untuk saya sekarang,” arah Bella masih berdegil. Lelaki itu menghela nafas. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Bella memang sengaja tidak mahu mengalah sedangkan bosnya telah beri arahan supaya bawa Bella ke klinik. Dia mati kutu seketika. Matanya merenung wajah gadis itu dengan muka serba-salah.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.