Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 69

Masa dirasakan terlalu lambat berlalu. Sejak tadi, sudah beberapa kali jam yang tersarung ditangan dijeling. Kerinduannya pada Sofia sudah tak dapat nak dikata kerana sejak Dian menyambung semula pengajian, Sofia tetap berada dalam penjagaan opah. Opah yang berkeras mahukannya kerana kata opah zaman sekarang ni, sukar nak mencari orang yang boleh dipercayai dan selebihnya dia mahu melihat Sofia membesar di hadapan matanya sendiri.

Bila opah dah cakap begitu, dia pun berasa lega biarpun sedikit sebanyak perasaan bersalah tu tetap juga ada kerana terpaksa membebankan opah lagi. Dulu opah bersusah payah membesarkannya, tapi kini opah dibebankan untuk mengasuh anaknya pula. Tiba-tiba dia teringatkan tragedi yang banyak dilaporkan di dalam berita sejak akhir-akhir ini. Terlalu banyak, sampai boleh dikatakan hari-hari, ada saja yang terjadi. Serentak dia menggeleng-gelengkan kepala berkali-kali kerana diri turut berasa ngeri.

Tindakan pengasuh-pengasuh yang melampaui batas kemanusiaan membuatkan dia semakin berjaga-jaga setiap masa kerana anaknya cuma sorang saja, dan kalau terjadi apa-apa, mahu gila rasanya. Getus hatinya sendiri sebelum dia beristigfar berkali-kali minta ketenangan diri.

Satu demi satu fail disemak sebelum dia pasti tiada apa lagi yang tertinggal untuk diselesaikan.

“Ok, semua dah beres.” tuturnya sebelum berfikir untuk meneruskan hasratnya itu. Niatnya ingin balik awal hari ni supaya dapatlah dia bertemu dengan buah hati kecilnya itu setelah beberapa hari hasrat tersebut tertangguh akibat daripada jadual kerja yang padat. Sekali lagi jam ditangan dijeling sebelum dia sedar waktu masih terlalu awal untuk berbuat begitu.

“Baru pukul 11 ni Azeem. Kalau balik sekarang mesti Opah marah, tapi kerja hari ni kan dah settle.” ngomelnya sambil berfikir lagi.

“Biarlah, kalau Opah marah, kau pergilah kerja semula petang nanti, apa susah.” tambahnya untuk menyedapkan hati kerana dia tahu sangat perangai Opah. Opah paling tak suka pada orang yang tak beramanah.

 

Setibanya dia di rumah, dia dapat melihat kelibat Dian yang sudah berada di situ, serentak dia menghampiri Dian yang sedang leka bermain dengan Sofia di kawasan halaman.

“Macam mana Dian boleh ada dekat sini?” soalnya perlahan ditambah pula dengan perasaan hairan sebelum mengambil tempat di sebelah Dian.

“Assalammualaikum.” balas Dian mahu membetulkan.

“Sorry sorry. Waalaikumussalam, tapi sebelum tu, Assalammualaikum.” ucapnya sebagai langkah pembetulan.

“Waalaikumussalam…sepatutnya Dian yang tanya soalan tu? Kenapa abang boleh ada dekat sini? Sekarang kan waktu kerja?”

“Dian tahu, abang ponteng ya. Tunggu, biar Dian report pada opah.” balas Dian sambil tersenyum, sengaja mahu menakut-nakutkan Azeem dengan perkara yang paling ditakuti suaminya itu, opah.

“O…” panggilnya sengaja ingin mengacah. Sepantas kilat Azeem menakup mulut Dian dengan telapak tangannya.

“Dian jangan…” rayunya minta belas kasihan.

“Kenapa? Takut?” jawap Dian masih mahu mengusik.

“Gila tak takut. Opah tu kalau dah marah, pening kepala abang kena dengar dia bersyarah. Dian memang sukalahkan bila tengok abang kena marah.” jawap Azeem merajuk kerana Dian sendiri dilihat tidak mengalu-alukannya di situ.

“Mana ada Dian suka. Dian senyum je. Tak sama kan?” balasnya pula. Azeem yang mendengar rasa geram dibuatnya.

“Takpalah, kalau opah dengan ummi tak suka abi kat sini, takpa. Tapi Sofia suka kan? Kan? Kan? Kan?” tuturnya sebelum matanya bercahaya gembira. Gembira kerana dapat melepas rindunya.

“Bagi sini anak abang.” tuturnya lagi sambil mengangkat Sofia, sebelum meletakkannya ke ribaan. Tak puas dengan hanya duduk, dia bangun lalu menjulang anaknya itu ke udara sambil mengagahnya pula. Dian hanya mampu tersenyum kerana sudah beberapa hari suaminya itu menyatakan kerinduan, cuma masanya yang tak mengizinkan.  

“Dian, abang lupa nak ucapkan terima kasih.” tuturnya tak berapa lama kemudian.

“Sebabnya?” soal Dian pula.

“Sebab sudi lahirkan zuriat abang.” balasnya dengan senyuman tanda penghargaan.

“Hmm.” balas Dian ringkas sebelum mengangguk perlahan.

“Hmm? Takkan hmm je. Lagi?” soalnya pula.

“Lagi…takada. Hmm sahaja.” balasnya selamba. Azeem yang mendengar rasa geram semula. Dia tahu Dian sengaja mengenakannya.

“Dian ni memang sengaja nak kena.” balasnya sebelum bertindak merapati Dian namun belumpun sempat hukuman dijatuhkan, kelibat opah pula yang kelihatan.

“Ya-Allah…macam mana Azeem boleh ada dekat sini? Sekarang ni kan masih waktu kerja?” terkejut kedua-duanya bila disapa suara opah yang jelas dan tegas. Azeem segera menelan air liur, sedar yang dia bakal dileteri.

“Dian dah cakap tadi, abang yang tak nak dengar. Habislah abang.” bisik Dian pada Azeem dan Azeem hanya mampu tersenyum kelat kerana memang dia yang mengelat.

 

Selesai solat Jumaat di masjid dan menjamu hidangan tengahari, Azeem merehatkan badannya di ruangan tengah sebelum dia didatangi opah.

“Azeem jangan lupa beri dokumen ni pada Kak Ina. Cakap pada dia, opah suruh ikut macam yang sebelum-sebelumnya. Cakap macam tu, nanti dia tahulah apa maksudnya.” tutur Opah sebelum menghulurkan fail yang berkaitan. Malas-malas Azeem menyambutnya kerana dia mula mengantuk pula dan kalau diizinkan mahu saja rasanya dia mengambil cuti separuh hari. Opah yang melihat seperti dapat membaca apa yang terlintas di fikiran Azeem saat itu.

“Azeem tak boleh macam ni. Azeem ketua, mesti tunjukkan contoh yang baik pada pekerja. Opah tak larang Azeem bercuti, cuma bukan dengan cara macam ni. Kita kena amanah, kalau nak pekerja-pekerja sekali ikut beramanah.” tambahnya. Azeem hanya mampu mengangguk lemah, sedar opah bukanlah seorang yang mudah.

“Azeem rehatlah dulu. Opah nak naik sembahyang. Jangan lupa bawa fail tu. Cakap pada Kak Ina, kalau ada apa-apa, call opah terus.” tambahnya tegas sebelum berlalu ke tingkat atas untuk menjalankan kewajibannya sendiri, diganti Dian yang baru tiba setelah selesai menidurkan Sofia yang keletihan.

“Dian…” rayunya pada Dian tadkala wajah isterinya itu tersapa mata, minta pertolongan.

“Maaflah, Dian tak dapat nak tolong abang.” balas Dian, tak mahu menggalakkan. Perbuatan ponteng kerja bukan perkara baik untuk diamalkan, takut rezeki yang diperoleh tak mendapat keberkatan.

“Kesian abang. Tak ada siapa pun yang nak sebelahkan abang.” tuturnya sebelum membuat muka masam. Dian yang mendengar hanya mampu tersenyum.

“Abang nak tahu tak, perangai abang ni, sama macam Jan, kawan baik Dian.”

“Siapa? Jan? Siapa Jan? Dia lelaki ke perempuan?” soalnya pula.

“Ish abang ni, mestilah perempuan. Jan tu nama pendek dia, nama panjang dia Jannah. Mulalah tu nak fikir yang bukan-bukan.” balas Dian.

“Mana ada abang fikir bukan-bukan, abang tanya je kan.” tuturnya cuba menyembunyikan kebimbangan juga merupakan tanda kesyukuran kerana mujur bukan seperti apa yang difikirkan.

“Dah tu kenapa dengan dia? Apa kaitannya dia dengan abang?” soalnya semula.

“Dian ingat lagi, perangai dia samalah macam abang ni. Bila dah kenyang, mulalah melayang, lepastu ponteng kelas petang. Siap mintak kami sign kedatangan untuk dia. Dianlah yang biasa kena.” tuturnya beserta dengan senyuman, gembira mengingati peristiwa lama.

“Tengoklah…Dian boleh tolong dia, tapi kenapa tak boleh tolong abang?” soalnya sedikit tak puas hati.

“Sebabnya, dia kawan, lagipun pensyarah tu memang baik. Dia memang sengaja tak nak tanda kosong kalau kami tak datang. Kami pun apa lagi, bila datang, kami tandatangan semua. Budget baik, tak pernah ponteng kelas, tapi Dr.Ting langsung tak cakap apa-apa. Suka tak, marah pun tak. Seronok kalau dapat pensyarah macam tu…”

“Tapi abang lain. Abang ketua, ramai yang perlukan panduan daripada abang. Kalau jadi apa-apa kecemasan di pejabat, kemana mereka nak merujuk? Sebelum keluar tadi, ada tak abang bagitahu Kak Ina yang abang tak masuk kerja petang ni?” tambah Dian lagi. Azeem hanya mampu menggeleng.

“Tulah sebabnya, Dian bukan tak nak sokong abang, cuma caranya yang tak berapa kena.”

“Tak pun macam nilah, abang nak tak kalau Dian temankan abang pergi office.” tuturnya memberikan cadangan.

“Biar betul! Dian nak temankan abang pergi pejabat? Betul ke ni?” soalnya tak percaya. Daripada bersandar terus terbangun dibuatnya.

“Itupun kalau abang naklah. Esok kan dah cuti. Hujung minggu kita habiskan masa kat sini. Balik kerja nanti kita singgah rumah dulu ambil apa-apa yang perlu, lepastu terus gerak semula ke sini.”

“Cantik la kalau macam tu. Jomlah cepat, abang tak nak lambat.” gesanya sebelum mencapai kunci kereta yang terdapat diatas meja. Serentak tangan Dian dicapai dan ditarik untuk mengikutnya.

“Nantilah dulu. Biar Dian siap sekejap.” balas Dian menolak.

“Apa lagi yang tak siap? Dah oklah macam ni.” balasnya sebelum membetul-betulkankan tudung yang tersarung di kepala si isteri.

“Ok, dah cantik dah isteri abang.” tambahnya lagi sambil tersenyum suka.

“Sekejap, biar Dian naik bagitahu Opah dulu.” tutur Dian sebelum mendaki anak tangga untuk memberitahu rancangannya.

 

“Dian jangan lupa ambilkan charger phone abang. Abang tunggu Dian kat sini je boleh? Malaslah nak masuk, mengantuk.” pesannya pada Dian sebelum menguap lagi.

“Takpa, abang tunggu sini. Charger je ke? Ada apa-apa lagi?” soalnya pula.

“Itu je rasanya. Dah tak ada apa dah.” balas Azeem setelah berfikir sejenak.

“Ok, abang tunggu Dian sekejap.” tuturnya. Azeem hanya mampu melihat gerak-geri Dian kerana matanya betul-betul sudah berat. Ditambah pula dengan kedamaian yang diterima daripada penghawa dingin kereta, membuatkan dia rasa mengantuk tak ingat dan tanpa sedar matanya tertutup rapat.

Selesai mengambil segala keperluan, Dian segara menuju semula ke kereta dan saat pintu dibuka, dia dapat melihat Azeem yang sudah terlena.

“Kesian abang…dah mengantuk sangat agaknya.” desisnya di dalam hati sambil pintu kereta ditutup berhati-hati. Lama wajah itu ditatapi sebelum dia tersenyum, tanda mensyukuri nikmat llahi.

“Terima kasih Allah. Dian bersyukur pada Allah kerana adakan dia untuk Dian.” bisiknya perlahan sambil menggenggam erat jari-jemari suaminya itu sebelum mengucupnya lembut tanda kesyukuran.

“Abang terima kasih…terima kasih sebab abang tak pernah putus asa pada Dian.” tambahnya lagi, ditemani perasaan yang mendamaikan.

Previous: Bab 68
Next: Bab 70a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.