Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 60

Sudah beberapa jam tubuh Dian terbujur kaku dan selama itu jugalah Azeem masih setia menunggu. Digenggam erat tangan Dian sebelum menghadiahkan sebuah kucupan di situ. Kata doktor Dian pengsan kerana kelesuan. Gejala sebegini biasa berlaku pada penghidap glaukoma seperti Dian, ditambah pula dengan demam yang berpanjangan telah memburukkan lagi keadaan dan dia perlu segera diberikan rawatan.

“Dian maafkan Abang Azeem. Abang Azeem betul-betul minta maaf.” tuturnya setelah sedar dialah punca Dian terbaring di situ. Situasi yang berlaku di bilik sewa Dian terulang semula. Kalau dia tak terlalu mendesak pastinya Dian tidak tertekan seperti itu, serentak tangannya mendarat di pipi Dian sebelum diusap lembut wajah itu buat melepas rindu.

“Adik…Abang Azeem minta maaf.” ulangnya lagi.

 

“Razif, kalau aku cakap kau jangan marah.” tutur Azeem pada Razif yang sedang leka mengulangkaji di hadapannya sambil Dian yang masih seronok bermain rekoder dipandang dengan senyuman.

“Apa dia? Cakaplah?” balas Razif sedang matanya masih fokus pada pembacaan.

“Seronokkan ada adik, tak macam aku, hidup sorang-sorang. Makan sorang, tengok tv sorang sampai bercakap pun kadang-kadang sorang-sorang. Nak harapkan opah, dia sibuk memanjang.” tuturnya menyatakan kekecewaan. Razif segera membuang pandang ke arah Azeem setelah sedar masalah yang dihadapi sahabatnya itu.

“Kan kau ada aku, ada adik. Ni budak kecik sorang ni, manja sangat dengan kau. Tengok tu, kalau ke sini tak habis-habis nak main dengan rekoder tu. Habislah, mesti banyak air liur nanti.” balas Razif sambil tersenyum. Bahagia rasanya hati bila melihat adiknya itu gembira memainkan lagu yang  tak tentu iramanya.

“Kalau aku minta nak jadi abang angkat adik, kau marah ke?” soalnya tiba-tiba.

“Abang angkat?” balas Razif pula.

“Aku pun nak merasa macam mana ada adik sendiri. Kita kongsi adik sama-sama. Biar dia ada dua abang. Nanti, kalau ada orang kacau dia, bolehlah kita belasah sama-sama. Kenapa? Tak boleh ke? Kau tak suka?” soalnya lagi.

“Bukan aku tak suka, tapi bukan ke selama hari ni, kau memang dah jadi anak angkat ummi. Maksudnya kita memang dah jadi adik-beradik angkatlah, tak ke macam tu?” jelas Razif yang turut sama ragu-ragu.

“Iya tak iya jugak, aku lupa.” balas Azeem sambil menepuk dahi sebelum kedua-duanya ketawa geli hati.

“Rekoder tu hadiah terakhir yang aku dapat daripada mama sebelum mereka pergi tinggalkan aku. Aku sayang sangat dengan rekoder tu, tapi aku tengok adik suka sangat nak main.” balasnya sebelum bangun untuk mendapatkan Dian.

“Bagi sini, biar Abang Azeem tolong ajarkan.” tuturnya sebelum duduk bersila di sebelah Dian. Dian gembira tak terkata kerana bakal diberikan tunjuk ajar.

Lagu Suriram yang pernah dipelajarinya dulu masih melekat diingatan. Lagu pertama dan terakhir yang mama mainkan padanya sebelum kedua-dua orang tuanya itu terkorban bersama ratusan yang lain dalam nahas kemalangan kapal terbang. Tragedi yang turut meragut kesemua nyawa penumpang di dalam pesawat berkenaan.

 

“Dian tak siap lagi ke?” soal Razif pada Dian yang masih belum memunculkan diri setelah adiknya itu yang beriya-iya minta dibawa berjalan mengelilingi kawasan perumahan.

“Dah siap, dah siap dah ni.” balasnya kembali sambil berlari ke arah Razif yang telah bersedia di pintu.

“Abang, hari ni adik nak pusing dua kali tau.” tambahnya lagi sebelum menggenggam erat tangan abangnya itu.

“Ok no problem, tapi abang bawa satu round, lepastu adik pulak bawa abang satu round, boleh?” balasnya sambil tersenyum, sengaja mahu mempermainkan adiknya itu.

“Bawa basikal ni? Basikal besar ni? Mana adik reti, kaki adik tak sampai lagi.” balasnya terkejut sebelum Razif ketawa senang hati.

“Abang main-main je lah. Mestilah abang yang bawak. Abang kan abang, mestilah abang yang kena bawak adik. Jomlah cepat, nanti lambat. Lagipun adik nak round dua kali kan?” balasnya. Dian pantas menggangguk.

“Adik dah duduk elok-elok?” soalnya kembali.

“Dah, dah siap!” balasnya ceria sambil memeluk pinggang Razif erat.

Pedal basikal dikayuh berhati-hati kerana tak mahu sesuatu terjadi. Biarpun mereka cuma berbasikal mengelilingi kawasan perumahan, namun bahayanya tetap ada. Sebelum keluar dia dah maklumkan hal tersebut kepada ummi yang masih mengurungkan diri setelah habis disakiti abi dan ummi telah mengizinkannya. Cuma pesan ummi, jaga diri dan pesanan itu akan tetap tersemat di hati kerana dia tak mahu memungkiri janji.

Sedang mereka seronok berbasikal, mereka bertembung dengan Azeem yang kebetulan melalui kawasan yang sama.

“Korang nak ke mana?” soal Azeem yang hanya barjalan kaki setelah selesai urusannya di kedai tadi, mencari apa yang dihajati.

“Nak pusing-pusing. Kau daripada mana?” balas Razif pula.

“Ni, keluaran terbaru, nak baca tak?” soalnya pula kerana itulah kegemaran mereka berdua, membaca komik pendekar yang digilai remaja.

“Mestilah nak. Kita duduk dekat sana.” balas Razif mencadangkan.

“Tapi tadi abang janji nak nak bawa adik pusing dua kali, mananya?” soal Dian tak puas hati sambil Razif hanya mampu menggigit jari.

“Adik, abang dah penat la. Sekali tu abang hutang dulu. Esok abang janji bawa adik pusing lagi, boleh?” tutur Razif memujuk. Godaan majalah dihadapan matanya itu sukar untuk ditolak kerana dia dah tak sabar mahu mengetahui sambungannya.

“Eee…abang ni, tipu.” balas Dian tetap tak puas hati.

“Bukan tipu, tapi kita hutang dulu. Takpun nanti, lepas abang baca buku ni kita sambung boleh?” tuturnya lembut, mahu memujuk lagi. Azeem hanya ketawa melihatnya. Keakraban dua beradik itu mampu membuatkannya terhibur.

“Razif, takpalah kalau macam tu. Kau baca dulu, biar aku yang ganti bawa adik pusing.” cadang Azeem, kasihan melihat keadaan adik yang belum puas bermain.

“Ok, cantik. Adik naik dengan Abang Azeem. Abang nak baca buku ni sekejap. Kau bawa adik elok-elok, jangan bawak laju-laju, jangan sampai kau cicirkan adik pulak nanti.” tutur Razif mengingatkan.

“Hish kau ni. Kenapa? Tak percaya kat aku?”

“Bukan tak percaya, cuma nak sampaikan pesan ummi. Ummi kata hati-hati.”

“No problem, tanggung berezzz. Kau jangan risaulah, aku boleh jaga adik. Ok kami cau dulu.” balas Azeem yang sudah bersedia untuk bertolak.

“Adik pegang baik-baik, kalau laju bagitau.” tambahnya lagi sebelum memulakan perjalanan.

 

“Huuu…huuu…” bunyi suara yang tak tentu mana datangnya.

Matanya masih melekat pada lukisan dan gambaran adegan-adegan pertarungan di dalam komik tersebut, tapi tumpuannya sedikit terganggu dengan suara tangisan yang sayup-sayup kedengaran.

“Abang…” sekali lagi bunyi suara itu menyapa telinganya.

“Anak siapalah yang menangis tu? Ke mana pergi mak dengan ayahnya?” ngomel Razif sendiri sebelum kembali menumpukan perhatian pada pembacaan namun fokusnya lari lagi bila menyedari bunyi tangisan itu tak ubah seperti suara adik, serentak dengan itu dia berpaling. Memang terbukti adiklah sumber suara yang bergema di telinga.

“Abang…” ulang Dian lagi. Airmatanya kini lenjun membasahi pipi.

“Razif, adik jatuh. Lutut adik berdarah.” tutur Azeem kesal tadkala bertemu dengan Razif semula.

“Jatuh? Macam mana boleh jatuh? Kan aku dah pesan tadi, jangan bawa laju-laju.” balasnya sedikit kecewa. Kecewa kerana janjinya dengan ummi dinodai, juga kecewa ada diri. Hanya kerana senaskah komik dia membiarkan adik bermain sendiri.

“Motor tu la punya kerja. Nak masuk simpang tapi tak bagi signal. Tiba-tiba je masuk. Aku nak elak, itu yang jatuh.” jawap Azeem membela diri sambil tercungap-cungap menahan lelah sebelum membuang pandang pada adik yang masih berada di belakangnya.

“Kita tukar. Biar aku bawa adik.” tutur Razif simpati melihat Azeem sampai berpeluh-peluh seluruh badan dan Dian yang masih menangis kesakitan.

“Takpa aku boleh lagi, tapi aku nak minta maaf, basikal kau masih ada kat sana. Tak dapat aku nak bawa.”

“Biarlah dekat situ. Nanti boleh ambil. Sekarang ni kita bawa adik balik dulu.” tegasnya sebelum kedua-duanya bergegas pulang.

 

Tidak berapa lama kemudian, dia kembali ke alam nyata. Kini baruah dia menyedari, adik kecil yang manja itu telah membesar menjadi seorang insan yang tegas dan tetap pendirian. Lama wajah itu ditatap, sebelum satu ciuman dihadiahkan ke dahinya.

“Adik tolong maafkan Abang Azeem ya. Abang Azeem minta maaf.” bisiknya perlahan, ditemani dengan penyesalan yang berterusan.

 

Kelesuan menyelubungi di seluruh bahagian tubuh. Kepalanya masih berdenyut-denyut dan terasa berat, namun dengan kudrat yang ada digagahinya juga badannya untuk bangun.

“Aduh!” tuturnya sepatah tadkala terasa ada sesuatu tertusuk di bahagian belakang tangannya itu. Setelah diteliti barulah dia pasti, dia tidak berada di rumahnya sendiri. Deria pernafasannya turut beraksi untuk memproses data dan hasilnya juga sama. Aroma yang tak mungkin dapat dilupakan kerana sudah lama dia menjadi penghuninya, tempat sama yang pernah didiami ummi satu ketika dahulu. Serentak hatinya panas kembali dan amarahnya mula berapi.

 

Selesai mengerjakan solat Maghrib dan Isyak di surau yang disediakan, Azeem kembali semula menjengah Dian yang belum sedarkan diri semasa ditinggalkan tadi. Laju langkahnya diatur menuju ke bilik isterinya itu. Dia pantas berasa gembira dan bersyukur tadkala melihat Dian sudah tersedar daripada lena. Gembira kerana Allah telah memakbulkan doanya, tapi kegembiraan itu segera berganti bimbang bila Dian kelihatan tak selesa, malah dia sudah mula menunjukkan tanda-tanda protes semula.

Mukanya masam mencuka, tanda ketidakpuasan hatinya. Azeem hanya mampu tercegat melihat, tak berani nak mendekat kerana penolakan Dian siang harinya tadi masih segar di mindanya dan dia perlu sentiasa beringat. Dia takut merunsingkan Dian lagi kerana doktor dah berpesan, Dian perlu mengelakkan tekanan.

Segala tindak-tanduk Dian hanya mampu diperhatikan, sehinggalah Dian dilihat sudah mula mahu menanggalkan jarum yang masih terdapat di tangan dan tanpa berlengah Azeem segera menghalangnya.

“Dian nak buat apa ni?” tuturnya yang sudah tak mampu menahan diri. Dia perlu berusaha untuk melengahkan Dian di situ selama yang termampu kerana ketibaan Razif sudah tinggal tak berapa lama lagi.

“Ish, apa ni? Jauh!” balas Dian marah sambil menepis tangan Azeem kuat, membuatkan dirinya mula terkulat-kulat. Sejurus kemudian, Dian memulakan operasinya semula, operasi untuk angkat kaki daripada situ. Dia bingkas bangun sambil tangannya menggapai-gapai mencari tongkat yang sentiasa menjadi peneman setianya itu.

“Dian cari apa?” soal Azeem bila melihat Dian yang seperti kehilangan, sebelum dia berjaya mendapatkan jawapan.

“Dian cari tongkat? Tongkat Dian, Abang Azeem tak sempat nak bawa sebab Dian tiba-tiba pengsan tadi. Kalau Dian nak, nanti Abang Azeem boleh pergi ambilkan.” tambahnya prihatin. Berusaha mahu memenuhi segala keperluan Dian, namun Dian tidak mengendahkanya, sebaliknya dia telah mula meraba-raba almari sebelum menyelongkar isinya.

“Dian nak buat apa lagi tu?” ucap Azeem kecewa, namun tetap tak dilayan. Azeem yang melihat sudah tak tertahan. Dia tahu kalau dibiarkan, Dian pasti tak mahu menerima rawatan.

“Dian tolonglah. Tolonglah jangan buat Abang Azeem macam ni.” balasnya merayu sambil memegang kedua-dua belah bahu Dian sebagai langkah untuk menghalang isterinya itu.

“Apa Abang Azeem ni? Kan Dian dah kata jauh, jauhlah!” balasnya melawan, sambil meronta-ronta minta dilepaskan tapi malang Azeem tetap tak mahu membiarkan. Dian mula naik angin lagi. Hatinya sakit diperlakukan begitu tak kurang juga hati si pelaku. Azeem turut sama rasa terguris. Segala penolakan Dian turut mendera hatinya juga. Bukankan sudah dia memohon kemaafan, tapi kenapa usahanya itu tetap tak dilayan?

“Dian, tolonglah…” kata-katanya terhenti apabila tangan Dian tepat mengenai pipi saat isterinya itu berusaha untuk melepaskan diri. Dia tahu Dian tak sengaja tapi kekesalannya tetap terasa. Serentak Dian mati rentak, setelah menyedari di mana tangannya terletak.

“Bukannya Abang Azeem tak nak hantar Dian balik sekarang, cuma hari dah malam, dah lebih pukul 9…”

“Malam ni, Dian tidurlah dekat sini dulu. Abang Azeem janji, esok selesai uruskan semuanya, Abang Azeem akan hantar Dian balik.”

“Kalau Dian nak apa-apa, Abang Azeem ada tunggu dekat luar.” balasnya sebelum berlalu pergi meninggalkan Dian yang masih terpaku. Perlahan-perlahan Dian menggenggam tapak tangan yang telah terlanjur membuat kesalahan.

Previous: Bab 59
Next: Bab 61

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.