Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 56

Keadaan di dalam kedai makan yang dipenuhi pelanggan itu dirasakan menjadi sunyi sepi. Gelagat pengunjung lain langsung tak mengganggu kedua-duanya yang tenang merenung antara satu sama lain. Buat pertama kalinya Azeem berani bertentangan mata dengan lelaki yang menjadi teman tapi mesra Dian itu. Begitu juga keadaan yang dirasakan Haikal saat ini. Mereka masih berpandangan sambil menganalisa sesama sendiri, tanpa ada mana-mana pihak yang mahu memulakannya dahulu.

“Assalammualaikum, awak Haikal kan?” soal Azeem seketika kemudian.

“Waalaikumussalam, ya saya Haikal. Macam mana awak boleh tahu nama saya?” balas Haikal pula. Dia sudah pernah melihat lelaki itu sebelumnya, di pusat urutan, di kedai makan, juga di masjid beberapa hati yang lalu, dan dia telah mengesahkan bahawa mereka adalah lelaki yang sama.

“Saya Azeem suami Dian…tapi awak jangan bimbang sebab tak lama lagi hanya akan jadi bekas suami dia.” tuturnya perlahan. Setelah menimbang perkara itu sebaiknya, dia pasti Haikal lebih sesuai untuk Dian dan dia sudah bersedia untuk mengundurkan diri.

Kerana dirinya sendiri secara jujur telah tertarik dengan keperibadian Haikal yang terang hatinya dan lembut tutur bahasa, tak penat berpesan-pesan supaya sama-sama mendapat kebaikan. Dia gembira kerana Dian dipertemukan dengannya, lelaki terbaik yang mampu memberikan kebahagiaan pada kekasih hatinya itu, malah Haikal dilihat sangat mengambil berat akan perihal Dian.

“Kenapa Azeem cakap macam tu? Azeem dah tak perlukan dia?” soal Haikal tak percaya.

“Sejak dari mula, hatinya tak pernah ada untuk saya dan dia terima saya pun sebab terpaksa. Saya tengok dia gembira bila Haikal ada, yang pelik, saya sendiri pun turut tumpang gembira melihatnya.”

“Hanya Haikal yang mampu buat dia tersenyum macam tu.” tutur Azeem perlahan. Haikal terdiam mendengarnya.

Dia sudah membuat keputusan. Haikal sememangnya lebih layak untuk mencintai Dian di masa depan kerana dia hanya sekadar persinggahan. Kehidupannya bakal kelam, tapi itu semua perlu dikorbankan agar Dian mencapi bahagia yang tak mampu diberikan olehnya. Dia sudah cukup gembira andai dapat melihat Dian bahagia, biarpun itu bermakna dia perlu kehilangan Dian. Dia rela menanggung sengsara, asalkan Dian mendapat haknya.

“Tapi ini keputusan sebelah pihak kan? Azeem tak nak bincang dulu dengan dia?” soal Haikal pula. Dia tak mahu bertindak terburu-buru kerana hati dan perasaan Dian perlu diambil kira terlebih dahulu.

“Hal tu Haikal tak perlu bimbang. Saya yakin dia akan terima Haikal. Cuma satu perkara yang saya nak minta tolong daripada Haikal. Saya harap sangat Haikal dapat bantu saya dalam hal ni.” tuturnya sambil memandang wajah Haikal serius.

“Apa dia?”

“Tolong pujuk dia dapatkan rawatan. Saya tak berani nak bersemuka dengan dia. Keadaan akan jadi lebih teruk kalau dia tahu saya dah tahu dia di sini. Mungkin dia akan hilangkan diri lagi nanti.”

“Saya dah carikan hospital yang sesuai dan segala kos rawatan akan saya uruskan. Haikal cuma tolong bawa dia ke sana, boleh?” tuturnya mengharap.

“Apa maksud Azeem?” soal Haikal tak dapat memahami apa yang diutarakan.

“Saya rasa penglihatannya tu masih boleh dipulihkan, tapi susah untuk kita pastikan selagi kita tak bawa dia berjumpa dengan doktor pakar.”

“Beberapa hari lepas, saya ada bercakap dengan Abang Saiful, pemilik pusat tempat Dian bekerja. Abang Saiful kata, penglihatan Dian mungkin masih dapat dipulihkan dan kaedah terakhir yang ada sekarang adalah melalui pembedahan.” terang Azeem menjelaskan keadaan. Haikal yang mendengar menggeleng-gelengkan kepalanya kesal. Dia tak sangka Dian sengaja menyimpan rahsia.

“Betul ke apa yang Azeem cakap ni? Kenapa selama NI, dia tak pernah cerita apa-apa? Bila Haikal tanya dia kata dia dah buta. Ya-Allah Dian, kenapa zalim pada diri sendiri.” tuturnya tak percaya kerana Dian tak pernah menceritakan tentang hal itu kepadanya. Setiap kali ditanya, jawapannya sama, dia mengaku yang dia dah buta.

“Dia buat semua tu sebab saya.” tutur Azeem sebelum pandangannya segera ditundukkan.

“Kenapa Azeem cakap macam tu?” balas Haikal simpati saat melihat riak wajah kekesalan yang dipamer Azeem.

“Banyak kesalahan yang saya dah lakukan pada dia, mungkin disebabkan tu dia sengaja pilih kehidupan macam ni. Dia nak hidup sendiri.”

“Saya punca dia hilang segala-galanya.” ucap Azeem perlahan ditemani kenangan-kenangan bersama Dian yang memeritkan. Dia sudah terlanjur perbuatan dan tak ada lagi cara untuk tangan mereka kembali bertautan.

Segala kesalahan yang pernah dilakukan terasa berat menghimpit di dada sampai dia mula rasa sukar untuk bernafas. Tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan ditambah dengan kekasaran yang pernah dilakukan, sedang membunuh ketenangan yang cuba untuk diusahakan. Dia terasa seperti mahu mati bila lubuk hatinya sesak dan berkocak. Selagi dia tak menyelesaikan urusan Dian, selagi itulah dia akan dihantui perasaan kekesalan yang takkan pernah berkesudahan.

Haikal tersentuh mendengar pengakuan ikhlas Azeem. Daripada riak wajah, dia tahu Azeem sangat mencintai Dian. Serentak dia menghela nafas panjang, kerana mula jatuh simpati pada keduanya. Soal hati amat sukar untuk dimengerti. Ada yang sanggup bermati-matian untuk mempertahankan cinta tanpa mengambilkira perasaan orang lain, malah ada pula yang rela mengorbankan rasa demi kebahagiaan insan yang tercinta. Pelik, tapi itulah hakikatnya hati, teramat sukar untuk difahami.

“Baik, kalau itu yang Azeem nak saya akan usahakan. Saya janji dengan Azeem, saya akan cuba pujuk dia untuk buat rawatan. Saya kena bagitahu mak tentang hal ni, sebab mak memang rapat dengan Dian. Mungkin dia akan setuju kalau mak yang bagitahu. Sama-samalah kita berdoa agar segalanya dipermudahkan.”

“Haikal yakin, kalau niat kita baik, insyaAllah akan diperkenankan.” tuturnya yakin kerana Allah tak pernah mengecewakan mereka yang berusaha untuk melakukan kebaikan sambil kepalanya sudah mula memikirkan perancangan yang perlu dilakukan.

 

“Assalammualaikum, mak, Haikal ada hal nak bincang dengan mak ni.” tuturnya kekalutan sambil menuju ke arah maknya yang sedang menonton telivisyen di ruang tamu.

“Waalaikumissalam. Apa halnya sampai kalut sangat macam ni? Dian dah setuju nak kahwin dengan Haikal?” duganya sebelum tersenyum ceria. Mungkinkah dia akan mendapat perkhabaran yang menggembirakan itu dan dia akhirnya berjaya bermenantuakan Dian? Kegembiraannya tak terkata, senyumnya dah sampai ke telinga.

“Bukan, bukan pasal tu, tapi ada perkara yang lebih penting daripada tu. Tentang mata Dian.”

“Kita kena bawa dia buat pemeriksaan untuk pastikan keadaan mata dia tu.” tambahnya sambil mengambil tempat di sebelah maknya.

“Apa maksud Haikal?” soal Kak Lela mula jadi tak pasti.

“Azeem kata kemungkinan besar penglihatan Dian masih dapat dipulihkan dan kita kena cepat bawa Dian untuk buat rawatan.” tutur Haikal menerangkan.

“Betul ke apa yang Haikal cakap ni? Tapi kenapa Dian tak pernah cerita apa-apa pada kita? Lagi satu, Azeem tu siapa?” soal Kak Lela segera inginkan jawapan.

“Azeem…Azeem suami Dian.” balasnya perlahan. Walaupun cuba untuk segera menerima, namun hatinya masih rasa terkesan. Berita yang baru diterimanya itu masih segar di ingatan. Azeem, pemilik mutlak hati Dian.

“Suami Dian? Macam mana Haikal boleh jumpa dengan dia? Dia datang cari Haikal?”

“Macam mana dia boleh tahu Dian ada dekat situ? Dia ada kata nak ambil Dian semula? Dian dah tahu tentang hal ni?” soal Kak Lela bertalu.

“Mak ni, tanyalah satu-satu, ni tak semuanya serentak.” balasnya sambil tersenyum. Dia tahu yang maknya itu sangat mengambil berat tentang perihal Dian. Dia pasrah pada ketentuan Allah kerana dia takkan dapat menghadiahkan Dian sebagai menantu seperti yang dihajatkan oleh maknya itu.

“Iya la, mak nak tahu apa ceritanya? Dah tu macam mana? Ceritalah cepat. Apa yang jadi sebenarnya.” balas Kak Lela pula.

“Azeem bukannya datang nak ambil Dian, tapi sebaliknya dengan rela hati dia amanahkan Dian pada Haikal. Dia kata, Dian tak pernah sukakan dia selama ni. Dia rela lepaskan Dian supaya Haikal dapat peluang untuk jaga Dian.” tutur Haikal perlahan.

“Dah tu apa masalahnya?” pantas Kak Lela mencelah.

“Masalahnya, Haikal tahu, baik Azeem mahupun Dian, mereka berdua perlukan antara satu dengan yang lain sebab Haikal dahpun pastikannya tadi.”

“Dian sebenarnya masih sayangkan Azeem. Memang bukan jodoh Dian dengan Haikal agaknya, mak redha ya. Dian memang tak ditakdirkan untuk jadi menantu mak, tapi yang pasti dia masih dapat jadi anak mak, macam sekarang.” tambahnya lagi, sedar yang Dian tak pernah tertulis untuknya.

Kak Lela kesal mendengarnya. Harapan untuk menyatukan dua buah keluarga tidak dapat tertunai akhirnya. Wajah Azizah dan kenangan zaman sekolah menjengah di minda sebelum dia sedar akan suratan yang Maha Esa. Segala-galanya telah ditetapkan dan dia tak ada upaya untuk menyanggah, tetapi dia bersyukur kerana setidak-tidaknya dia dapat mengenali Dian, puteri rakan karibnya itu.

“Tadi, Haikal cakap kat mak yang mata Dian kemungkinannya boleh disembuhkan? Macam mana caranya?” soal Kak Lela seketika kemudian. Mungkin dia tak dapat bermenantukan Dian, namun dia masih mampu membantu untuk mengembalikan penglihatannya.

“Macam ni mak. Esok mak ikut Haikal jumpa dengan Dian. Lepastu kita bawalah dia ke hospital pakar mata yang Azeem dah cadangkan pada Haikal, tapi syaratnya jangan bagitahu dia dulu kita nak ke sana. Dah sampai nanti baru kita bagitahu.” tuturnya menyatakan perancangan.

“Kenapa nak kena buat macam tu?” Soal Kak Lela pula kerana dia memang tak suka menipu.  

“Bukan apa, Haikal takut kalau kita beritahu awal-awal dia tak nak ikut nanti. Mak sendiri nampak kan, Dian macam dah putus asa tanpa langsung berusaha. Sebabnya kalau dia nak, awal-awal lagi dia dah boleh lakukan pembedahan, tapi kenapa dia macam sengaja tunggu untuk jadi buta? Azeem sendiripun tak tahu tentang hal ni.” tutur Haikal kesal.

“Tentang kos perbelanjaannya tu Azeem akan tanggung. Tugas kita hanya untuk bawa dia ke sana. Kita sama-samalah berdoa agar segalanya berjalan lancar. InsyaAllah Haikal yakin, Allah pasti bantu kita sebab kita tak buat salah apa-apa.” tambahnya lagi menyatakan rancangan yang sudah diatur. Semua tetap berbalik padaNya kerana hanya pada Allah tempat mereka meminta.

“Dian tak marah ke nanti kalau tahu kita buat macam ni?” soal Kak Lela kembali bila mula berasa bimbang di hati. Haikal cuma menjongketkan bahunya kerana dia sendiri kurang pasti akan penerimaan Dian nanti.

“Baru Haikal teringat, dah nyaris terlupa, Dian kirim salam.” tuturnya menyampaikan pesan.

“Waalaikumussalam…” balasnya gembira, menghargai doa yang dikirimkan.

Previous: Bab 55
Next: Bab 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.