Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 57

Kak Lela memimpin tangan Dian menuju ke kereta sambil memberi isyarat mata pada Haikal yang sedang tekun memerhati. Haikal meletakkan jari telunjuknya di bibir minta mak mengikut rancangan yang telah diatur sebelumnya. Andai Dian tahu mereka mahu ke mana, pasti dia akan menolak sekeras-kerasnya.

Biar Dian tahu sendiri nanti. Kalau dah sampai, baru bagitahu, bukannya bertujuan untuk menipu cuma berusaha untuk membantu. Mungkin mereka bakal dimarahi, tapi mereka tetap akan cuba untuk meyakinkan Dian kerana perbuatan menzalimi diri sendiri adalah perbuatan yang tidak disukai llahi.

“Kita nak ke mana hari ni?” soal Dian ketika mereka baru memulakan perjalanan. Haikal sekali lagi memberiakan isyarat tangan supaya maknya itu merahsiakan segala yang telah diaturkan.

“Mak…mak nak bawa Dian pergi jalan-jalan. Kita pergi satu tempat ni. Mak harap Dian akan suka nanti.” balasnya, sambil dalam hati tak putus berdoa agar Dian memberikan kerjasama.

“Iyalah, tapi ke mana? Jauh ke kita nak pergi?” soal Dian semula.

“Taklah, tak jauh sangat, kita jalan dekat-dekat sini je. Takpalah, sampai nanti mak bagitahu. Dian makan malam dekat rumah mak malam ni ya. Lepas makan, Haikal boleh tolong hantarkan balik.” balasnya cuma mengelak persoalan Dian.

“Tapi…” balasnya ragu kerana masih banyak kerja-kerja rumah yang menunggu. Tambahan pula pada hari-hari cuti separti ini, kalau tak ada aktiviti di pusat orang cacat penglihatan biasanya dia lebih suka menghabiskan masanya di rumah untuk merehatkan diri sebelum memulakan kembali tugas pada keesokan hari.

“Janganlah bertapi-tapi. Dah berapa kali mak jemput, tapi sekalipun Dian tak pernah ikut. Lagipun Haikal dah tak lama dekat sini. Dia dah nak kena sambung belajar semula.”

“Tak menyusahkan ke nanti?” balas Dian tak mahu membebankan sesiapa.

“Mana ada susahnya. Driver kan ada. Dian janganlah risau. Haikal ni yang beriya-iya nak ajak Dian makan di rumah.” jawap Kak Lela sambil memandang ke arah Haikal yang sedang tekun memandu.

“Mak ni, Haikal pulak yang kena. Amboi amboi mak ni sekarang, dah pandai cakap bohong ya? Siapa yang ajar? Cakap kat Haikal, biar Haikal jentik telinga dia.” balas Haikal sambil memandang ke arah cermin belakang. Wajah Dian yang sedang tersenyum sedikit melegakan hatinya. Dia berharap sangat kegembiraan itu berpanjangan sepanjang hari ini, maka mudahlah kerja mereka nanti.

“Bukan Haikal yang ajar ke? Bukan ke Haikal yang…” serentak Haikal menggeleng-gelengkan kepalanya, kerana masa kebenaran itu seharusnya belum tiba.

“Mak, apa tu mak? Dekat bawah kaki mak tu?” tuturnya serius sambil sebelah tangannya menuding ke arah tempat alas kaki yang dipijak maknya itu.

“Mana mana? Apa apa? Kat bawah kaki mak? Apa dia apa?” tutur Kak Lela melatah. Tercampak semangat dibuatnya serentak Haikal dan Dian yang mendengar, ketawa.

“Haikal ni, terkejut mak. Saja nak dengar mak melatah la tu kan?” balas Kak Lela geram sambil menepuk bahu anak bujangnya itu. Haikal seronok kerana dapat bergurau senda begitu.

“Alahai mak ni. Nak bergurau pun tak boleh? Siapa yang mulakan tadi?” soalnya yang sedang ketawa ceria. Bahagianya rasa punya mak tempat untuk mengadu. Sama-sama bertukar cerita dan berkongsi pengalaman hidup sebagai panduan untuk menempuh hari yang mendatang. Segala nasihat yang diberikan akan disimpan baik dalam kotak fikiran supaya dapat dijadikan sebagai peringatan.

“Kalau mak tak ada pasti sunyilah hidup nanti. Ya-Allah panjangkanlah umurnya. Berikanlah aku peluang untuk berbakti dan membalas segala jasa mak membesarkanku selama ini.” doanya di dalam hati. Senyuman dan ketawa maklah yang paling dirinduinya selama berada di perantauan. Kini bila dah ada berdekatan, tak mungkin dia dapat mengawal kelakuan. Mak sahabat baiknya dan yang paling utama, disitulah letaknya syurga bagi seorang insan yang bergelar lelaki sejak mula dilahirkan sehinggalah hari dia di kafankan.

Dian yang sedang bersandar di kerusi belakang turut sama dijangkiti virus ceria yang dicipta keduanya. Tiba-tiba dia terkenangkan ummi semula, serentak dengan itu dia mula membacakan ayat-ayat suci yang takkan pernah kunjung habis, tanda terima kasih atas pengorbanan ummi selama ini dan selagi masih ada helaan nafas, selagi itulah dia takkan lupa untuk menghantarkan bekalan bagi ummi di sana.

 

Setelah lebih 30 minit perjalanan, mereka tiba ke lokasi yang dijanjikan, hospital pakar mata yang dikatakan oleh Azeem. Selesai meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai, Kak Lela bertindak untuk mendapatkan Dian.

“Dah sampai dah kita. Dian, jom turun, biar mak tolong.” tuturnya sambil memimpin lengan Dian yang sedang berusaha untuk keluar daripada kereta.

“Dah sampai? Kita pergi sini nak buat apa? Mak nak shopping ke? Tapi kita ke mana sebenarnya?” soal Dian yang masih tak tahu apa-apa. Kak Lela dan Haikal saling berpandangan bila sedar mereka takkan boleh untuk berahsia lagi. Haikal menggangukkan kepala mengisyaratkan kepada maknya untuk memberitahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Dian, kita ada dekat hospital pakar mata sekarang ni. Dian ikut mak ya, mak nak Dian buat pemeriksaan.” tutur Kak Lela. Wajah Dian yang ceria segera berubah. Hilang senyuma manis yang sering mengiasi bibir itu.

“Kenapa mak bawa Dian ke sini? Dian tak nak buat pemeriksaan. Dian dah pernah buat dulu, kenapa Dian perlu lakukannya lagi? Dian nak balik. Tolong hantar Dian balik.” tuturnya sebelum berusaha untuk memboloskan dirinya semula ke dalam kereta. Haikal bertindak pantas dengan mencapai pergelangan tangan Dian. Dia tak boleh berputus asa seperti itu kerana hatinya tak mampu untuk merelakan ianya berlaku.

“Dian, tolonglah buat pemeriksaan dulu. Sekejap je, tak lama. Lepas buat pemeriksaan Haikal janji, Haikal akan hantar Dian balik. Tolong Dian, demi ummi, mak dengan Haikal. Tolonglah, sekali je.” pujuk Haikal. Dia amat berharap dapat mengembalikan semula daya penglihatan Dian dan seandainya ia berhasil, itu akan menjadi perkara paling bermakna yang dapat dia sumbangkan pada Dian, sahabatnya itu.

“Tak nak, Dian tak nak. Haikal tolong hantar Dian balik sekarang. Dian memang dah tak ada harapan. Dian dah tak boleh disembuhkan. Tolonglah hantar Dian balik.” tuturnya merayu.

“Dian sebenarnya takut kan? Dian takut penglihatan Dian pulih? Tapi kenapa Dian? Kenapa Dian rahsiakan semuanya daripada kami? Kenapa Dian tak beritahu yang Dian masih boleh nampak lagi selama hari ni? Kenapa Dian kata Dian dah buta?”

“Dian, kenapa zalim pada diri sendiri?” balas Haikal sedang tangannya masih menggenggam kemas pergelangan tangan Dian.

Dian berusaha untuk melepaskan cengkaman Haikal, puas dia mencuba namun hasilnya tetap tiada. Hatinya mula rasa tak selesa diperlakukan begitu. Apa penting sangatkah penglihatannya itu sampai Haikal sanggup menggunakan kekerasan? Kak Lela mula mengesan ketegangan yang berlaku diantara keduanya dan dengan pantas dia bertindak meleraikan mereka.

“Haikal dah. Sudahlah tu.” tuturnya, sebelum Haikal tersedar. Serentak cengkaman di tangan Dian segera dirungkai setelah menyedari dia bertindak keterlaluan sebentar tadi.

“Dian maaf, Haikal tak sengaja.” ucapnya mengakui keterlanjuran yang telah dilakukan. Niatnya hanya untuk melihat Dian sembuh, itu saja, tapi kedegilan Dian telah membuatkannya bertindak sebegitu.

“Kenapa Haikal buat Dian macam ni? Haikal dengan mak dah tak suka Dian sebab Dian cacat?” tuturnya perlahan.

“Dian jangan cakap macam ni. Sampai bila-bila Dian tetap anak mak. Takpalah, kalau Dian tak sedia lagi, kita balik sekarang. Mak takkan paksa Dian buat apa yang Dian tak suka.” tutur Kak Lela sambil menepuk lembut bahu Dian.

“Nanti kalau Dian dah sedia, Dian bagitahu dengan mak ya, biar mak temankan, tapi kalau Dian dah selesa dengan keadaan Dian sekarang dan nak kekal selamanya macam ni pun mak tak kisah. Baik untuk Dian, baik juga bagi mak.” tuturnya memujuk kekecewaan Dian. Dia tak mahu terlalu memaksa kerana emosi Dian turut perlu dijaga.

“Haikal kita balik sekarang. Tak baik kita paksa Dian macam ni.” arahnya pada Haikal pula.

“Tapi mak, kan kita dah sampai sini? Takkanlah nak balik macam tu je?” balas Haikal. Kekecewaannya tak dapat nak digambarkan. Kedegilan Dian yang telah membinasakan dirinya sendiri. Buktinya bantuan yang diberi tak dihargai, malah tak langsung berusaha untuk dimengerti.

“Biarlah, Dian tak sedia lagi tu. Kita balik dulu.” arahnya, mematikan perbincangan yang sudah diketahui hala tuju kerana dia faham sangat dengan perangai Dian yang tak mudah dipengaruhi dan tetap pendirian itu.

“Kalau Dian masih perlukan masa, Dian ambillah selama mana yang Dian nak. Macam manapun keadaan Dian, mak tetap sayang Dian, tapi cubalah fikir-fikirkannya ya.” tuturnya mengharap sambil mendakap tubuh Dian lembut, berharap Dian akan mula memikirkan tentang usul tersebut.

 

Peristiwa yang berlaku siang tadi masih berlegar-legar di minda. Kata-kata Haikal yang tegas dan pujukan mak sedikit sebanyak telah menggoyahkan hatinya saat ini.

“Betul ke Dian zalim pada diri sendiri ummi? Tapi, Dian tak buat apa-apa pun yang memudaratkan diri ni. Apa yang Dian buat? Kenapa Haikal tuduh Dian macam tu?”

“Allah dah takdirkan Dian jadi macam ni. Bukannya Dian yang cari, Dia yang nak beri. Salah ke Dian terima segala yang Allah dah tetapkan untuk Dian?” tuturnya sambil mendakap gambar potret ummi yang sedia berada di tangan.

“Ummi…betul ke Dian yang salah?” tuturnya tak pasti kerana dia langsung tak pernah memikirkannya selama ini sebelum dia terbaring kaku di situ.

Previous: Bab 56
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.