Bab 3

Pagi entah jam berapa, aku terjaga kerana mendengar bunyi siren ambulans. Matahari telah memancar penuh dari tingkap wad. Aku cuba, sekali lagi untuk bangun. Kali ini tenagaku kembali kuat, aku dapat mengubah posisi dengan separuh duduk. Mataku masih melilau di dalam bilik yang semakin aku pastikan aku memang berada di sebuah hospital.

“Kau dah bangun…” tegur satu suara.

Aku berpaling dan bertembung mata dengan lelaki semalam. Dia tidak berjaket hari ini, hanya memakai t-shirt berwarna gelap dan berlapiskan kardigan nipis. Hairan… aku mengenali semua jenis pakaian. Adakah itu bermakna, aku waras? Gangguan otak yang bukan serius! Oh syukurlah.

Aku ingat aku dah gila semalam kerana kecelaruan.

“Aku bawakan kau baju, tukar pakaianmu, kita pulang sekarang.”

Seperti mesin robot, aku lantas turun dari katil, mengambil beg kertas yang berisi pakaian dan masuk ke dalam bilik air. Mandi air hangat yang menyegarkan tubuh, rasa kesakitan di bahagian pinggulku semakin berkurangan tetapi meninggalkan kesan lebam yang masih keunguan sebesar tapak tanganku. Selepas siap mandi, aku mengeluarkan pakaian dari dalam beg kertas. Sepasang seluar jean berwarna biru, baju panjang tangan berwarna merah jambu dan pakaian dalam yang aneh pada fikiran seseorang yang dihantui kekeliruan. Semua pakaian itu mempunyai tanda harga. Dengan mataku yang sedikit mengalami masalah, aku cuba pula belajar membaca label pada semua pakaian dan mencabutnya dengan kuat seperti suatu kebiasaan.

“R M 1 9 9.00 man..go… R M 3 5 9. 9 9 man…go… ano ito? Mango? Yang ini pula, R M 7 9…ahh… aku boleh membaca, baguslah…” aku terkejut kerana aku dapat menyebut huruf dan nombor-nombor itu dan bercakap sendirian dalam bilik air hanya untuk memahamai yang aku  betul-betul dalam keadaan waras. Cuma aku tak begitu memahami maksud angka-angka itu untuk apa. Rasanya aku perlu berlatih lagi. Mungkin Adin Hakimi boleh membantu aku nanti. ADIN HAKIMI? Ya Tuhan, aku mampu mengingati namanya dengan jelas. Masih terngiang lagi di telingaku Dr. Aminah menyebut nama Adin Hakimi dengan jelas.

Aku mungkin mengalami gangguan ingatan tentang hal-hal yang berlaku pada aku sebelum berada di hospital dan hanya mengingati semua perkara selepas aku terjaga lewat semalam termasuk nama lelaki yang mendakwa aku ini isterinya. Selepas berjaya menukar pakaian yang rasanya menyelesakan, aku pun keluar dari bilik air. Lelaki bernama Adin Hakimi itu berdiri tegak sebaik melihat aku sudah siap. Bagaimanapun, dia terpegun sejenak merenung aku yang masih kalut di hadapannya.

“… bakit?” 

Adin masih merenung aku dari atas hingga ke bawah.

“Adin?”

“Huh… ya, ok… marilah kita pulang,” katanya dan berjalan dahulu keluar dari bilik wad. 

Kami sama-sama beriringan keluar ke satu ruang lapang yang menyerupai ruang tengah hospital yang besar sebelum menuruni tangga dan terus ke aras paling bawah. Kakiku menurut sahaja di mana Adin melangkah hingga keluar dari pintu kaca dan kemudian berjalan terus lagi ke depan sebelum tiba di tempat deretan kereta yang banyak berbaris-baris di tepi jalan. 

Terdengar satu bunyi pelik dari benda di tangan Adin. Oh, rupanya kereta itu yang berbunyi. Dia membukakan pintu untuk aku dengan senyuman yang begitu janggal untuk dinilai oleh orang yang berfikiran kabur dan membingungkan. Aku masuk ke dalam kereta itu dan melihat saja pintu ditutup semula dan Adin kemudian berpusing ke pintu yang sebelah pula. Sekejap sahaja dia sudah duduk di sebelahku.

Tetapi kereta itu tidak bergerak sebab Adin tidak membuatnya bergerak. Aku terdiam kaku. Masih menunggu apa yang akan berlaku seterusnya. Keadaan bukan sahaja asing tetapi luar biasa. Tiba-tiba Adin berpaling, dia bahkan memusingkan badannya untuk menghadap aku yang kehairanan.

“Kau betul tak ingat apa yang berlaku? Kau tahu nama kau siapa?” soal Adin dengan suara yang, yang kasar, bukan, bukan kasar oh ya, serius.

“Lita,” jawabku jujur.

“Itu bukan nama kau sebenar, aku cuma reka nama tu. Kau tahu di mana kau tinggal, aku boleh hantarkan.”

Aku menggeleng gugup. Apa sahaja perkataan yang keluar dari mulut Adin buat aku bingung. Seperti isi kepalaku baru sahaja ditaburkan dengan pasir.

“Apa yang berlaku?” aku mengulang lagi pertanyaan itu seperti semalam.

Adin terdiam sebentar, dia memandangku dengan mata yang menakutkan.

“Kau kemalangan jalan raya. Aku yang hantar kau ke hospital tapi sebab aku tak jumpa pengenalan diri kau, aku sengaja mereka cerita dan mengatakan kau isteri aku. Tapi aku tak kenal kau pun, aku cuma nak tolong kau…”

“Apa tu? Pengenalan diri?” soalku yang masih bingung.

Mimik muka Adin lebih aneh yang aku tak tahu macam mana nak gambarkannya.

“Pengenalan untuk diri kau, kad kecil yang orang simpan dalam dompet, dalam kad tu akan beritahu siapa nama kau, alamat tempat tinggal dan semua maklumat penting. Tapi kau tak ada benda tu, aku terpaksa daftarkan kau tanpa pengenalan diri, tapi aku yang jamin kemasukan kau ke hospital swasta itu semalam,” jelas Adin.

Macam mana aku boleh tak ada kad pengenalan diri? Jadi macam mana aku nak buktikan pada orang yang aku ini manusia?

“Aku akan turunkan kau di mana-mana, kerja aku dah selesai dan kau sudah dapat rawatan terbaik di hospital mahal tu.”

Aku tidak menyahut dan cuba memahami semua kata-kata Adin itu yang sedaya cuba kucerna dalam akal yang belum berfungsi dengan baik. Selepas dia habis bercakap, Adin pun menggerakkan kereta itu dan keretanya berjalan dengan lancar di atas jalan raya yang sibuk. Mata dan kepalaku tertoleh-toleh memerhatikan apa sahaja di  kiri dan di hadapan sana. Aku gembira, aku dapat mengenali kereta, pokok, bangunan besar dan aku juga boleh membaca nama-nama kedai. Tetapi malangnya aku tidak mengingati apa-apa pun berkaitan diriku. Semua orang yang melintas jalan, orang-orang yang tunggu bas di perhentian kupandang dengan pandangan kosong.

Adin masih memandu dan tidak lagi bercakap. Dia hanya memandang ke hadapan jalan raya dan sesekali berhenti bila tiba di persimpangan. Aku turut senyap. Kata-katanya tadi buat aku bertambah bingung. Lita bukan namaku. Aku tidak ada pengenalan diri. Aku dibawa ke hospital tanpa nama dan hanya Adin yang dijadikan penjamin. Itu betul-betul buat aku terkejut tentang asingnya diriku di tempat ini.

Akhirnya kereta itu berhenti. Sebuah bangunan besar yang dihiasi dengan warna-warni tulisan. Aku membaca huruf-huruf yang paling besar berulang-ulang kali dalam kepalaku, PAVILLION. Masih berasa aneh, aku melihat orang-orang yang berada di sekitar tempat itu memakai face mask. Face Mask? Aku tahu itu. Ya, ya, aku tahu tetapi entah mengapa biarpun aku seperti telah mengingati sesuatu kerana gambaran itu seakan terlalu biasa padaku tetapi aku masih gagal mendapatkan ingatan sebenar.

“Ini…”

Suara Adin buat aku berpaling.  Adin sedang mengeluarkan kepingan kertas yang tebal berwarna ungu kebiruan dan terus meletaknya ke dalam tanganku. Aku mengambil kepingan kertas itu dengan kehairanan.

“Ini wang…” Adin menggunakan telunjuknya seperti memperkenalkan sesuatu yang baru kepadaku.

“Wang?”

“Ya, wang, duit, kau boleh beli baju baru, kasut atau beli handphone. Lepas tu gunakan telefon tu untuk cari orang-orang yang kau kenal. Aku tak boleh bantu kau lagi,” kemudian Adin bermiring sedikit untuk membuka pintu dan meminta aku turun dari keretanya.

Aku hanya mengangguk dan turun dari kereta dengan perasaan bingung. Sedikitpun, aku tidak faham apa yang Adin katakan tadi. Wang, baju, handphone… aku tak tahu apa kaitannya semua itu kepadaku. Sebaik aku berdiri di tepi jalan, Adin terus memandu pergi tanpa peduli. Sendirian di situ, aku merasakan sesuatu dalam jiwaku sebaik melihat kereta itu pergi meninggalkan aku keseorangan di tempat yang sangat asing.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.