Bab 7

Setelah memastikan Adin benar-benar sudah keluar aku pun berjalan ke ruang tamu. Walaupun sendirian, aku masih berasa janggal sewaktu duduk di sofa yang sedikit sejuk disebabkan suhu aircond di ruangan itu. Bagaimanapun ia masih begitu menyelesakan. Sangat menenangkan untuk seseorang yang sedang berfikiran kacau. 

Aku cuba menonton suatu gambaran emm...? Aku menggerakkan pandangan lebih ke hadapan dengan fikiran yang penuh pertanyaan... lori?  Televisyen di depan yang sedang aku lihat itu agak besar dan berbentuk melengkung. Gambaran setiap pergerakan bukan sahaja sangat jelas malah warna-warnanya cantik dan memukau pandangan untuk aku terus menonton.

Beberapa kali mulutku menyebut wow... seperti suatu habit.

Aku merasa kagum melihat seorang pemandu yang sedang memandu lori melalui laluan berbukit entah di mana hingga tanpaku sedar mulutku melopong ketika menumpukan perhatian. 


“Ohh...oh!” aku ketakutan, risau dan terkejut ketika lori itu sedang membelok melalui jalanan yang sempit dengan jurang tinggi di tepi jalan berbatuan menyebabkan fikiranku diterpa bayangan yang dahsyat. Apa akan terjadi kalau tebing bukit runtuh...itu sangat menakutkan. Aku tidak tahu rancangan apa yang Adin nonton tadi, dia memang penggemar tontonan seperti ini mungkin.


Tapi... kenapa dia membiarkan aku menonton perkara yang menakutkan seperti itu? Mataku beralih ke meja dan segera menangkap suatu alat berbentuk panjang di tepi pemegang sofa. Aku pantas mengambilnya dan membaca perkataan, simbol-simbol malahan nombor pada alat itu. Lalu aku menekan nombor-nombornya. Kemudian entah macam mana gambar-gambar dalam televisyen bertukar kepada tulisan-tulisan di dalam kotak lantas menyebabkan rancangan lori mengerikan tadi pun turut hilang.


Aku tersalah tekan. Perlahan aku mengetuk kepalaku. Mujurlah cuma aku seorang saja di ruang tamu itu..

Perlahan aku menarik nafas dan membaca sekali lagi, kemudian menekan simbol ‘+’ dan ‘-‘  hingga suara orang-orang yang bercakap dalam televisyen itu  sekejap besar dan sekejap perlahan dan akhirnya senyap.


Hmm... Taklah susah sangat. Mudah sahaja hendak menggunakan alat itu. Lantas aku menekan simbol ‘^’ untuk menukar siaran yang semakin lama semakin banyak. Ada rancangan kereta-kereta yang berbunyi bingit, rancangan masak-masak, orang masuk ke dalam hutan dan memakan sejenis ulat dari dalam pokok...ergh! Lagi? Tanganku terus menekan-nekan anak panah sehingga akhirnya tanganku berhenti sendiri mendengar suara-suara tangisan.


‘Drama?’ dari skrin televisyen itu ada tertulis dengan jelas.

‘Ya.’

‘Aku suka.’

Itu bukan suatu hal yang asing bagiku.

Aku kembali memberi perhatian pada drama sedih yang begitu jelas aku fahami serba-sedikit bahasanya. Tertulis di tepi skrin ‘Drama Tagalog’

‘Ang pangalan mo?’ (siapa namamu)

‘Aku si Andre,’ sahut lelaki dalam tv itu. Kedua-duanya saling terkaku sebelum suasana beremosi membuatkan aku turut bersedih ketika lelaki yang paling tua itu menangis sebelum bersuara kuat.

‘Andre! Anak!’

‘Tatay!”


Aku menangis, seolah-olah aku berada di tempat kejadian. Kenapa aku boleh memahami bahasa itu dan bahasaku di sini juga. Ini satu maklumat penting yang harus kusimpan dalam kepalaku. Aku terus mengikuti drama yang semakin mengheret emosiku. Bukan emosi sahaja aku mula pandai menyebut dan memahami lebih banyak perkataan melalui bahasa terjemahan yang terdapat di bawah skrin televisyen. Selain dari riak-riak wajah yang banyak membantu ingatanku. Setelah hampir sejam berbagai-bagai emosi yang muncul, menangis, gembira, marah, lucu, malahan suara-suara menengking dan berteriak yang membuatkan aku terikut-ikut geram dengan cerita drama itu.


Selepas drama tagalog itu tamat aku beralih pula menonton drama dari Amerika ‘Emergency’ musim terbaru berdasarkan info dari iklan. Aku sangat-sangat mengagumi kerja-kerja kedoktoran yang mampu mengawal kesibukan wad kecemasan.


‘Pandangan bersahajanya sangat menjengkelkan,’ mengikut sarikata dalam tv yang kubaca. Aku ketawa bila Marion bercakap dalam hati tentang Dempsey, doktor pakar yang dikatakannya berlagak.

“Kau cuba ambil kesempatan!” aku mengikut Marion berteriak kepada Dempsey yang sedang menolongnya menyelamatkan pesakit yang ditembak oleh polis.

“Apa? Kau memang gila, aku cuma nak tolong...” Dempsey.

“Tak! Kau bukan nak tolong, kau cuma nak nampak hebat dengan menunjukkan pada atasan yang aku tak layak di bilik bedah,” 

Marion mengecilkan matanya.

“Perempuan pakar bedah yang gila!”


Aku ketawa gelihati dengan Dempsey yang bersikap memang sangat bersahaja itu. Kemudian kedua-duanya diberikan amaran oleh atasan mereka kerana bersikap tidak profesional di dewan bedah. Seronok pula dapat bercakap dengan intonasi pelakon-pelakon. Banyak sungguh maklumat yang aku dapat berkenaan rawatan kecemasan mendadak. Selepas drama itu juga tamat, berita tentang pandemik Covid-19 sejenis virus yang sedang melanda dunia masa kini memaparkan carta terbaru yang melibatkan Amerika Syarikat merupakan negara paling teruk terjejas dengan rekod sudah melepasi jutaan jangkitan.


“Covid 19?” adakah itu penyebabnya orang-orang di Pavillion tadi memakai face mask? Dunia sedang dilanda wabak penyebab pandemik. Ia sangat buat aku tertanya-tanya. Aku harus bertanyakan pada Adin tentang covid 19.


Kisah pandemik membuatkan aku berfikir lagi, cuba menggodam otakku sendiri. Aku memejamkan mata cuba merobek ingatan adakah pandemik itu memberi kesan yang teruk kepadaku. Bagaimanapun aku cuma dapat gambaran kosong dan gagal menarik keluar ingatan yang buat aku kecewa sendiri. 


“Hhhmm...” keluhku sambil melihat rancangan dari Korea Selatan yang sedang memasak telur untuk sarapan pagi di sebuah pulau. 


Sekejap sahaja perasaan kecewaku tadi bertukar mengujakan. Aku suka menonton lelaki yang sedang masak di atas kayu api dan mendapatkan bahan-bahan masakannya dari sumber alam semulajadi yang segar. Setelah tamat rancangan memasak di pulau, terasa lapar pula melihat Anna Osborn nama tukang masak yang sedang membuat kek coklat moist yang menggiurkan dari channel lain. Aku menelan air liur melihat coklatnya mengalir dari permukaan kek sebelum ditabur dengan gula aising.

“Ah... tentu sedap.” Aku tiba-tiba teringin hendak makan kek coklat. 


Lepas rancangan masakan, seterusnya pula rancangan kisah suami isteri yang memiliki 14 orang anak. Aku menghayati kisah keluarga besar yang buat aku ketawa melihat perangai anak-anaknya, terutamanya yang masih kecil berebut makan bijiran yang berhambur di atas lantai dapur. Ibu mereka biarpun kelam-kabut menguruskan bermacam-macam kerja tetapi dia menanganinya dengan sabar dalam rumah mereka yang serba sederhana tetapi lengkap dengan stor makanan juga keperluan lain untuk bayi dan anak yang masih kecil. 

Rasanya itulah rancangan terakhir yang kunonton sebelum aku akhirnya tertidur, tak sedar-sedar di atas sofa, meringkuk kesejukan sendirian dan membiarkan televisyen terus bercakap-cakap menghiburkan malam yang penuh kejanggalan untuk seseorang yang tidak bernama dan tidak ada pengenalan diri.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.