Bab 4

Aku cuba berjalan, melangkah ke arah beberapa orang berkumpul, sedang berbual dan berketawa. Melihat tingkah orang-orang itu langkahku segera terhenti. Perasaan bingung kembali menusuk fikiran. Aku menjadi takut memikirkan kesedihan apa yang sedang berada dalam fikiranku sekarang, kenapa, kenapa, kenapa begitu banyak tanda soal dalam kepalaku. Tidak dapat menahan rasa sedihnya aku terduduk mencangkung, kebingungan di atas pembahagi jalan yang memisahkan Pavillion dan sebuah kawasan letak kereta. Tidak apa yang hendak aku lakukan, mataku basah, air dari mataku mengalir ke pipiku yang terpaksa kusekat berkali-kali. Astaga... aku menangis? Ini airmata, aku mengenali beberapa lagi perasaan yang muncul selain berasa bingung.

Apalah yang tak kena dengan kepalaku? Tolonglah… cubalah ingat sesuatu, tolonglah… tanganku mengetuk dan memukul kepalaku sendiri sambil berharap dengan berbuat begitu ingatanku akan pulih dan aku boleh melakukan sesuatu. Tapi, apa yang aku dapat hanyalah sebuah gambaran kosong _ seperti siaran televisyen yang tergendala.

Jadi aku harus ke mana? Ada sekumpulan lelaki bermotor tidak jauh dari tempatku menangis. Oh, itu motosikal, aku pernah melihat benda itu tetapi di mana? Itulah masalahnya. Yang selalu menjadi persoalan. Aku mengingati beberapa perkara tetapi aku tidak tahu di mana ia berlaku atau di mana aku sebelum ini dan kenapa aku berada di tempat yang terasa begitu asing ini.

Pandanganku masih basah dan kabur, sama seperti fikiranku. Dahiku barangkali akan pecah jika aku terus-terus memaksa dan mendesak otakku untuk terus berfungsi secara paksa. Cuba bertenang aku pun memejamkan mata, menarik nafas panjang dan ketika mataku celik, aku masih bebas melihat apa sahaja, namun tanpa arah tuju, semuanya mengelirukan. Adakah aku akan mengalami kerosakan otak kekal? Sebab ia langsung tidak berfungsi.

Kemudian aku merenung kepingan kertas di dalam tanganku. ‘Ini wang’ kata Adin tadi. Wang? Untuk apa? Bagaimana wang ini boleh membantuku. Dan kenapa wang kertas itu sangat berbeza, aku seperti sudah lama tidak melihat wang seperti ini. Kepalaku mula berdenyut sakit sewaktu seorang lelaki menghampiriku. Orangnya berambut pendek, memakai jaket dan tersenyum.

“Boleh saya bantu cik, cik nak ke mana?” tanya lelaki itu.

Sebaik aku mendengar perkataan bantu dan ke mana? Dengan rasa tidak tahu apa-apa aku terus menghulurkan beberapa kepingan wang kepada lelaki itu. “Tolong, tolong saya, saya tak tahu apa nak buat, ini wang. Awak boleh tolong saya?” soalku.

Tidak menunggu lama, wang di tanganku disambar dengan kasar sebelum lelaki itu bergegas pergi bersama motornya. 

 “Hei… tolong…!” aku hanya menganga kehairanan kenapa lelaki itu pergi begitu sahaja. Baki kepingan kertas di tangan kurenung kosong dan tertanya sendirian adakah semua orang akan pergi setelah mengetahui ini wang? Seperti Adin? Aku teringat kata-kata Adin lagi. ‘Beli handphone dan cari orang yang kau kenal?’ Di mana? Di mana aku hendak mendapatkan handphone? Apakah benda itu dan gunanya untuk aku, aku langsung tidak mengingati apa-apa pun tentang orang yang aku kenal. Semua orang pergi selepas bercakap dengan aku.

“Cik… cik nak ke mana? Saya hantarkan. Berapa bajet cik ada,” tanya dua orang lelaki yang tidak kusedari dari mana mereka muncul dan tiba-tiba sahaja berdiri di hadapanku. Kedua-dua lelaki itu melihat kepada tanganku yang sedang mengenggam wang. Wajah keduanya kelihatan gembira seperti lelaki yang telah pergi tadi selepas mendapat wang. 

“Berapa bajet cik?” tanya seorang darinya dengan senyuman aneh.

Otakku cuba membuat… kenal pasti. Seperti hendak mencari tahu tentang dua lelaki itu dalam beberapa saat. Tetapi – gagal – dua lelaki itu tidak ada di dalam ingatanku. Keduanya tidak sama dengan lelaki yang pertama tadi. Apa yang perlu aku buat? Ohh…

“Handphone?” sekali lagi aku mengambil beberapa kepingan wang dan… masih ragu-ragu.

“Cik nak apa ni?”

Aku berfikir lagi. Mendesak fikiranku untuk membuat keputusan yang betul, yang sepatutnya tetapi hal itu hanya membuatkan kepalaku sakit. Berdenyut-denyut seperti dicucuk sesuatu, aku memegang kepalaku seolah-olah kepalaku akan terjatuh jika aku tidak menahannya. Ketika aku menutup mata, aku masih dapat mendengar suara-suara dua lelaki itu memanggil… 

“Cik… cik… kami nak tolong ni!”

Dengan susah payah aku menghela nafas seperti suatu kebiasaan untuk melegakan perasaan tidak tenteram. Adakah sesiapa yang boleh dipercaya di tempat ini?


* * *


“Lita!”

Mataku terbuka.

Tiba-tiba Adin Hakimi muncul ketika aku berpaling. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.