Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
149,099
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

“KAMPUNG Pulau Perindu? Nak bertolak hari Sabtu ni ke?” Datin Soraya melemparkan pertanyaan. Dia memandang raut Datuk Affendi dan Aliff bersilih-ganti.

Ruang rehat keluarga yang terletak di tingkat satu rumah banglo milik Datuk Affendi itu terasa hening. Jarum jam baru melepasi angka 8.30 malam. Mereka sekeluarga baru lepas menjamu hidangan yang disediakan oleh Makcik Bibah, pembantu rumah yang telah berkhidmat hampir 30 tahun di situ. Kini, mereka sedang bersantai di ruangan yang berkonsepkan moden tropika itu.

“Kami akan bertolak ke Pulau Langkawi awal pagi Sabtu. Dari sana, kami akan naik bot ke Kampung Pulau Perindu. Lepas selesai taklimat jual beli tanah dengan penduduk kampung, kami akan bertolak balik ke sini hari Ahad petang.” Datuk Affendi membalas pandangan isterinya.

Sedetik kemudian, dia mengerling Aliff. Dia tidak menyangka anak sulungnya akan membuat keputusan mengejut untuk menyertainya ke Kampung Pulau Perindu bersama Yus dan seorang lagi pekerja Samudera Holdings bernama Kamil.

Padahal ketika di restoran makan tengah hari tadi, dia cuma bercerita tentang rancangan pembangunan yang akan dilakukan oleh syarikatnya ke atas sebahagian kecil tanah kampung yang terletak di daerah Pulau Langkawi itu.

Mungkin kerana semangatnya yang berkobar-kobar untuk membina villa mewah dan resort berkonsepkan tradisional dapat dirasai oleh Aliff sehingga mendorong anaknya untuk ikut serta. Menurut Aliff, dia mahu melihat sendiri keindahan Kampung Pulau Perindu seperti yang diceritakan.

“Abang ni mesti dah lupa, kan?” Tak semena-mena Datin Soraya menduga. Suara wanita yang rambutnya separas bahu itu kedengaran merajuk.

“Lupa apa, Soraya?” Datuk Affendi mengerutkan dahi. Aliff yang sejak tadi leka menatap ipad, terus meletakkan pandangan ke arah Datin Soraya. Dia turut tidak mengerti maksud ucapan mamanya.

“Tengok tu! Nampak sangat abang tu dah tua. Semalam kan, saya beritahu abang yang hujung minggu ni Selinna jemput kita ke rumahnya. Ada kenduri doa selamat untuk Zana.”

“Astaghfirullahalazim. Abang betul-betul terlupa pasal kenduri tu!” Datuk Affendi kelihatan terkejut lalu bersuara dalam nada kesal.

“Habis tu, macam mana? Takkan saya nak pergi seorang-seorang? Selinna beria-ia jemput kita sekeluarga dan dia berharap sangat Aliff dapat datang untuk sama-sama mendoakan keselamatan Zana sebelum Zana bertolak balik ke London. Kita pun dah lama tak jumpa Selinna!” Datin Soraya berkata panjang.

“Eh, Zana dah nak bertolak balik ke London, mama?” Aliff seperti terkejut. Dia cuba mendapatkan kepastian terhadap kata-kata mamanya tadi.

Benaknya spontan terbayangkan wajah Suzana, gadis bergelar doktor yang kini bekerja di sebuah hospital swasta di United Kingdom. Suzana telah dikenalinya semenjak kecil. Gadis itu adalah anak tunggal kepada arwah Tan Sri Mustafa dan Puan Sri Selinna.

Arwah Tan Sri Mustafa merupakan sahabat baik Datuk Affendi. Mereka telah berkenalan ketika masing-masing masih bujang dan menuntut di luar negara lebih 30 tahun yang lalu.

Persahabatan yang erat antara Tan Sri Mustafa dan Datuk Affendi menyebabkan Aliff dan Suzana turut berkawan baik memandangkan ibu masing-masing juga mempunyai hubungan yang erat kerana sering bertemu pada masa dahulu. Cuma kini masing-masing jarang berjumpa kerana sibuk dengan urusan perniagaan.

“Ini lagi seorang! Asyik fikir pasal kerja aje. Sebab tu lupa banyak perkara.” Datin Soraya mengomel pada Aliff.

“Zana tu dah cuti lebih sebulan kat sini, Aliff. Lagi dua minggu dia akan balik semula ke London. Macam mana Aliff boleh lupa ni?” Datin Soraya menambah dengan suara kurang senang. Anak bujangnya yang sulung itu bersikap terlalu sambil lewa.

“Akhir-akhir ni Aliff sibuk sikitlah mama. Banyak kerja kat ofis. Tak sedar langsung yang rupa-rupanya Zana dah nak balik ke London.” Aliff beralasan.

That’s why I always told you to take a break!Mama tengok Aliff sendiri pun dah lama tak bercuti. Selalu sangat menghadap kerja yang takkan habis kat ofis tu. Sepatutnya bila Zana balik ke sini, Aliff ambil cuti panjang dan spend masa dengan dia. Bawa dia pergi berjalan-jalan!”

Aliff kehilangan kata-kata. Dia terus menggaru-garukan kepalanya sambil mengerling ke arah Datuk Affendi yang tersenyum kecil mendengar leteran mamanya.

I don’t thinkabah tak benarkan Aliff ambil cuti. Ni mesti Aliff yang selalu dulukan urusan kerja daripada perkara lain.” Datin Soraya masih belum berhenti meleteri sikap anak sulungnya.

“Dahlah, Soraya! Jangan marahkan Aliff tu. Awak patut bersyukur dapat anak yang pentingkan kerja dari pentingkan perkara yang bukan-bukan.” Datuk Affendi menyampuk.

“Kot ya pun... janganlah sampai tak ingat nak bersosial!”

“Eh, bila masa pulak Aliff tak ingat nak bersosial?” Aliff segera menangkis ucapan mamanya.

“Yelah, kalau asyik menghadap ipad dan terperuk aje kat rumah tiap-tiap malam, bersosial apanya? Mama sebenarnya risau tengok Aliff ni. Umur dah makin banyak, sampai bila Aliff nak pentingkan kerja dan tak fikir langsung pasal kahwin?”

Suasana di ruang rehat keluarga jadi gamat untuk seketika. Makcik Bibah muncul sambil membawa minuman panas. Sudah menjadi kebiasaan keluarga itu untuk menikmati hidangan ringkas selepas makan malam sebelum masuk tidur.

“Okey, sekarang Aliff dah faham! Sebenarnya mama risau tengok Aliff konon-konon tak bersosial sebab mama dah tak sabar nak terima menantu?”

Kelihatan Makcik Bibah mengerling ke arahnya. Aliff mempamerkan wajah bosan kerana sudah lali dengan topik tersebut. Makcik Bibah tersenyum-senyum sebelum melangkah pergi. Mungkin kerana sudah lama bekerja di situ, Aliff sudah menganggap pembantu rumahnya itu ibarat ahli keluarganya sendiri.

Of course!Umur macam Aliff ni sepatutnya dah ada isteri tau. Mama dan abah patut dah ada cucu sekarang ni. Bukan seorang atau dua, tapi ramai!”

“Alah, mama rilekslah! Sampai waktu nanti, Aliff akan bawak menantu untuk mama dan abah.”

Mendengar ucapan Aliff, Datin Soraya dan Datuk Affendi lantas berpandangan.

“Aliff dah ada calon ke?” Datin Soraya cuba mengorek.

Datuk Affendi turut nampak berminat mahu tahu jawapan dari anak sulungnya. Dalam diam, dia memasang telinga.

“Calon untuk Aliff memang ramai kat luar tu, mama!”

“Ramai? Maksudnya?” Datin Soraya dan Datuk Affendi sekali lagi berpandangan sesama sendiri.

“Hmm, ramai! Tapi dalam ramai-ramai tu, cuma seorang aje yang bertuah akan jadi isteri Aliff. So,mama jangan risau. Aliff takkan tunggu sampai dah tua berkedut baru nak kahwin dan Aliff takkan cari gadis sembarangan yang mama dan abah tak suka. I tell you, gadis bertuah yang akan jadi isteri Aliff adalah gadis yang kenal dan faham cara hidup keluarga kita!” Bertali-arus ucapan itu termuntah dari mulut Aliff.

“Betul tu! Abah suka kalau Aliff berfikir macam tu. Aliff akan berkahwin dengan gadis yang kenal dan faham cara hidup keluarga kita. That’s good!” Datuk Affendi serta-merta bersetuju dengan ucapan anak lelakinya. Suaranya kedengaran lantang. Datin Soraya tersenyum bila ternampak lirikan suaminya terlempar ke arahnya.

Sebenarnya, mereka sudah mempunyai calon isteri untuk Aliff. Nampaknya, gambaran Aliff tentang calon menantu mereka tadi bagaikan bersesuaian dengan gadis yang terlintas di benak mereka sejak sekian lama.

“KENAPA muka semua nampak serius aje ni? Berbincang pasal apa? Did I miss something?” Leroy tiba-tiba muncul di situ lalu duduk menyertai ahli keluarganya. Dia baru pulang dari bertemu teman-teman.

Yes, Leroy! You did missed something. Sebenarnya kami sedang serius berbincang pasal kau ni.” Aliff pantas mengambil kesempatan untuk menukar tajuk perbualan.

Bibir Datin Soraya yang sedang menguntum senyum, terus melepaskan tawa bila Datuk Affendi terangguk-angguk tanda bersetuju dengan ucapan Aliff.

Leroy yang baru menikmati minuman panas yang terhidang di atas meja lantas mengerutkan dahi.

“Semua sedang berbincang tentang Leroy? Berbincang pasal apa?” Leroy memandang Aliff, abah dan mamanya bersilih-ganti.

“Abah nak tahu, bila Leroy nak mula bekerja di Samudera Holdings? Sampai bila nak duduk melepak dan goyang kaki kat rumah ni? Lepas tu keluar dan balik ikut suka hati?” Datuk Affendi mengeluarkan pertanyaan.

“Alaaa abah... kan, Leroy dah beritahu mama yang Leroy tak bersedia lagi nak bekerja. Mama tak beritahu abah ke?” Anak muda yang berusia pertengahan 20-an itu menoleh ke arah Datin Soraya.

“Jangan salahkan mama. Mama dah beritahu abah sejak Leroy habis belajar lagi. Tapi Leroy kenal perangai abah, kan? Dia takkan bagi Leroy berehat lama-lama,” ujar wanita itu.

“Bagilah Leroy sikit masa lagi, abah!”

“Berapa banyak masa lagi yang kau nak ni, Leroy? Dah lebih sebulan kau habis belajar. Takkan nak tunggu sampai setahun baru nak masuk kerja?” Aliff mencelah, tidak bersetuju dengan permintaan adiknya.

“Takdelah sampai setahun, Abang Aliff!”

“Habis tu?”

Leroy menatap Datuk Affendi.

“Abah bagilah Leroy sebulan, dua aje lagi. Leroy nak rehat-rehatkan otak dulu. Penat studymasih tak habis lagi ni!” Leroy berkata.

“Mama... tolonglah pujuk abah tu!” Dia meminta belas ihsan dari Datin Soraya pula.

“Mama tak nak masuk campur!” Datin Soraya mengangkat dua tangan tanda menyerah.

“Masa Abang Aliff dulu, nak berehat tak ambil masa sampai dua, tiga bulan pun!” Aliff membebel ke arah Leroy.

“Yes I know!Sebab tulah sampai sekarang Leroy respect gila kat Abang Aliff sebab mampu terus bekerja walaupun baru seminggu habis master. Sebenarnya, sampai hari ni pun Leroy masih tertanya-tanya macam mana Abang Aliff boleh buat macam tu?!” Leroy memandang raut abangnya yang waktu itu sudah meletakkan ipad ke sisi kanan.

“Kau ni nak sindir Abang Aliff ke?”

“Bukan sindirlah, tapi memang betul pun Abang Aliff terus bekerja lepas seminggu dapat master,kan? Tak payahlah nak argue!

“Leroy ni kalau bercakap dengan dia, ada-ada aje yang dijawab!” Datin Soraya menegur kelakuan anak bongsunya yang memang bijak bermain kata-kata.

“Memang pun!” Aliff mengeyakan.

Leroy tersengih-sengih. Tambahan pula bila ternampak anak mata Datuk Affendi terlempar ke arahnya.

“Sebulan dua aje lagi abah. Boleh kan? Leroy janji, lepas ni Leroy akan buat apa aje yang abah atau Abang Aliff suruh kat Samudera Holdings tu.” Leroy mengangkat tangan tanda memegang janji.

“Macam mana Aliff? Nak bagi ke adik kamu berehat sebulan dua lagi?” tanya Datuk Affendi, meminta pendapat anak sulungnya.

“Aliff rasa... seminggu dua pun dah cukup abah!” jawab Aliff.

“Okey, seminggu dua!” Datuk Affendi bersetuju.

“Alaa...”

“Nak seminggu dua ke nak sehari dua?” tanya Datuk Affendi semula.

“Okey... okey... apa kata bagi Leroy lagi sebulan? Sebulan aje. I promise!” Leroy berusaha memujuk Datuk Affendi.

Kelihatan abahnya dan Aliff yang melawan pandang. Kemudian, masing-masing tersenyum memberi isyarat setuju dengan permintaannya.

“Okey, sebulan! Not more than that.Abah akan suruh Norizan sediakan tempat untuk Leroy di bahagian admin.”

“Tempat? Leroy tak dapat bilik sendiri ke, abah?”

“Eh, budak ni! Abang Aliff yang ada sijil mastertu pun bermula dari bahagian bawah. Inikan pulak Leroy yang cuma ada degree.” Datin Soraya mengomel.

Leroy memuncung. Gelagatnya membuatkan Aliff tertawa lucu.

“Buktikan dulu yang Leroy boleh buat kerja. Masa tu, baru abah akan sediakan satu bilik khas untuk Leroy macam Abang Aliff. I’ll give you six month to prove that you have something to show to me and board of directors,” kata Datuk Affendi.

Leroy mendengus perlahan. Tahu-tahu saja, dia terasa bahnya ditepuk.

“Good luck, bro!”Aliff mengusik.

Terus Leroy mencebik.

“Okey, urusan tentang Leroy dah selesai. Sekarang ni, urusan kenduri kat rumah Selinna ni macam mana, bang?”

Datin Soraya pantas menukar tajuk. Benaknya teringatkan semula perkara yang belum mencapai kata putus itu.

“Ya tak ya! Hampir terlupa dibuatnya. Macam ni lah, esok abang akan callSelinna. Abang akan minta maaf sebab tak dapat hadir majlis kenduri doa selamat untuk Zana. Jadi, masa kenduri nanti, biar Leroy temankan awak ke sana untuk wakilkan keluarga kita.” Panjang Datuk Affendi berbicara. Dia kemudian meletakkan fokus ke arah Aliff.

“Aliff pun kena callZana. Minta maaf dari dia. Seeloknya, ajak Zana berjumpa sebelum dia balik ke London.”

“Okey, abah. No problem.Aliff akan callZana malam ni jugak.” Aliff menurut tanpa banyak soal.

“Eh, sekejap... sekejap! Ada kenduri doa selamat untuk Kak Zana ke, mama? Bila? Kak Zana dah nak balik London?” tanya Leroy. Dia amat mengenali gadis bernama Suzana yang sudah dianggap bagaikan kakak semenjak dia masih kecil.

“Kak Zana dah nak habis cuti. Hujung minggu ni Auntie Selinna buat kenduri doa selamat di rumahnya. Leroy kena temankan mama tau sebab abah dan Abang Aliff ada urusan kerja kat Langkawi.”

“Hujung minggu ni? Alamak! Kan, Leroy dah beritahu mama yang Leroy ada functiondengan kawan-kawan kat JB?”

Datin Soraya terpaku seketika. Tiba-tiba dia menepuk dahi kerana baru teringat akan perkara itu.

“Ya ALLAH, mama terlupalah!” Dia membawa fokus pada raut Datuk Affendi.

“Hmm, nampaknya kat rumah ni bukan saya aje yang dah makin tua, Soraya. Sebenarnya awak pun dah tunjukkan tanda-tanda yang sama,” usik suaminya ibarat memulangkan paku buah keras.

Aliff yang mendengar ayat itu terus ketawa.

Datin Soraya mengetap bibir.

“Apa-apapun, sekarang ni saya seorang ajelah yang kena pergi kenduri di rumah Selinna tu, kan!”

“Takpelah. Mama seorang pun dah cukup untuk jadi wakil keluarga kita. Lebih baik ada daripada takde.” Aliff berbicara.

“Betul tu!” sahut Leroy.

Waktu itu, Datin Soraya tidak berkata apa-apa. Dia sekadar memandang raut Datuk Affendi. Suaminya itu dilihat terangguk-angguk tanda bersetuju dengan pendapat Aliff.
Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna