Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
149,109
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

“SETAKAT ni, ada sesiapa yang kurang jelas? Kalau ada, sila kemukakan soalan. Kami akan jawab satu persatu.” Datuk Affendi berkata.

Nadanya penuh bersemangat. Dia baru selesai menjelaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan jual beli tanah dan beberapa perancangan yang akan dilakukan oleh Samudera Holdings di Kampung Pulau Perindu.

Tika itu, ruang di bangsal balairaya bersaiz sederhana itu dipenuhi dengan penduduk kampung. Ada yang mendengar sambil terangguk-angguk, ada yang berkerut-kerut dan ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri.

Sejenak, Datuk Affendi mengerling Aliff. Anaknya itu sedari tadi membeku di satu sudut balairaya bersama Yus dan Kamil. Dia yakin anaknya itu ralit mendengar penerangannya sambil memikirkan sesuatu.

Saat pandangan mereka bertentangan, tiba-tiba Aliff bangun.

“Abah, boleh Aliff bercakap sikit?” Lelaki itu semerta bertanya.

Datuk Affendi lantas mengangguk. Aliff terus berdiri di hadapan bangsal.

“Assalamualaikum semua. Apa khabar?” Aliff menyapa. Dia tersenyum ramah kepada semua penduduk kampung yang ada di balairaya.

“Walaikumussalam. Kami khabar baik.” Budiman sebagai wakil, menjawab salam yang diberikan oleh Aliff.

Ke semua yang ada di situ turut melakukan perkara sama.

“Saya Aliff Zulkarnain dan saya adalah pengurus besar kepada syarikat Samudera Holdings.” Aliff memberitahu sambil matanya meliar ke seluruh wajah yang sedang memberikan perhatian kepadanya.

“Saya yakin pakcik dan makcik yang ada kat sini sebenarnya masih tak jelas tentang Samudera Holdings. Jadi saya rasa... elok kalau saya terangkan dulu serba-sedikit apa sebenarnya fungsi syarikat kami yang menjadi tujuan utama kedatangan kami ke sini pada hari ni.” Aliff bersuara dengan penuh tatatertib.

Datuk Affendi diam memerhati cara anaknya berinteraksi dengan penduduk kampung.

Keadaan jadi sunyi dan sepi. Setiap wajah tampak berminat mendengar apa yang ingin dijelaskan oleh Aliff.

“Samudera Holdings adalah sebuah syarikat pemaju hartanah yang beroperasi di Kuala Lumpur. Syarikat kami telah menjalankan perniagaan selama lebih 20 tahun. Pelbagai projek pembinaan di serata Malaysia telah dilaksanakan dibawah nama Samudera Holdings dan kebanyakan dari projek tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.” Aliff menerangkan perlahan-lahan. Dia mahu memastikan setiap penduduk yang mendengar ucapannya memahami kata-kata yang disampaikan.

“Sejujurnya, kehadiran kami di kampung ni bukanlah hendak memudaratkan mana-mana pihak. Kami membawa niat untuk membangunkan sebahagian tanah di pulau ni. Apa yang kami rancang adalah untuk kebaikan penduduk kampung kerana ini adalah pelaburan untuk pembangunan di masa akan datang,” bicara Aliff lebih panjang. Dia kemudian tersenyum pada setiap wajah yang memberi perhatian ke arahnya.

Namun, senyumannya tiba-tiba terhenti bila dia terpandang kelibat seorang gadis berselendang yang baru muncul di bangsal balairaya itu.

Eh, kenapa Khadeja datang ke sini? desis Aliff di dalam hati. Dia tertanya-tanya maksud kehadiran gadis kampung yang ditemuinya di sebuah gerai makan lebih setengah jam tadi.

“Betul tu! Tuan dan Puan jangan risau. Saya berjanji, projek pelancongan yang kami bina di sini takkan merosakkan keaslian pulau ni sebaliknya bakal membawakan pembangunankepada taraf hidup masyarakat di kampung ini. Kami akan pastikan Kampung Pulau Perindu turut dimajukan bersama dengan pembangunan yang bakal kami jalankan.” Datuk Affendi kembali berkata.

Dia sengaja menyampuk kerana cuba memupuk keyakinan di dalam diri penduduk Kampung Pulau Perindu yang kebanyakannya ralit memasang telinga terhadap penerangan Aliff.

“Sekiranyaurusan jual beli tanah di kampung ni berjalan lancar, saya akan pastikan semua pihak mendapat keuntungan secara adil dan saksama. Jadi, silalah bersetuju dengan cadangan kami,” tambah Datuk Affendi lagi.

Yus dan Kamil pantas bertepuk dan bersorak bagi memastikan keadaan yang penuh semangat itu berlanjutan.

“Assalamualaikum.” Khadeja tak semena-mena menyapa.

Suasana sepi terus terhenti disebabkan kehadiran Khadeja. Semua mata terus menumpu ke arahnya.

Budiman berpaling. Lalu dia terkejut melihat kemunculan Khadeja yang tidak diduga.

“Jah!” Dia memanggil.

“Minta maaf, datuk. Saya Khadeja. Boeh tak saya nak mencelah sikit?” Khadeja meneruskan kata-katanya tanpa menunggu.

“Jah, hang nak buat apa ni?” Budiman seakan-akan tahu tindakan gadis itu. Dia cuba menghalang namun Khadeja terus melangkah laju ke ruang hadapan. Langsung tidak mempedulikan panggilan Budiman.

Tumpuan Aliff masih terlekat pada Khadeja. Dia diam memerhati apa yang bakal dilakukan oleh gadis kampung yang tiba-tiba nampak agresif dalam kelembutan sikapnya.

“Ya, Cik Khadeja nak bertanya apa-apa ke? Silakan! Kami dah buka ruang untuk sebarang pertanyaan.” Suara Datuk Affendi kedengaran menyoal.

“Saya rasa... sebelum datuk nak suruh kami buat keputusan untuk jual tanah hak milik kami ni, seeloknya biarlah kami fikir dulu betul-betul,” kata Khadeja.

Datuk Affendi terpaku.

“Ayah saya pernah beritahu, tanah pusaka adalah semangat hidup. Warisan dari nenek moyang kami. Jadi tak mudah untuk kami nak jual macam tu aje!”

“Cik...”

“Duit... kalau dapat beratus ribu, boleh habis dalam sekelip mata aje, datuk. Tapi tanah pusaka sebagai semangat hidup akan hilang buat selama-lamanya!” Khadeja terus bersuara dengan penuh sikap yang tegas.

Datuk Affendi bagai tertampar dengan kata-kata Khadeja.

“Lagi satu, kalau dah buat resort besar kat pulau ni, habislah pokok-pokok dan bukit-bukit di kampung ni kena tarah. Jadi apa maksud datuk projek pelancongan ni takkan merosakkan keaslian pulau kami?” tambah Khadeja lagi.

“Betul jugak tu!” Kedengaran suara orang kampung berbisik-bisik.

Beberapa orang yang lain kelihatan terangguk-angguk bagaikan bersetuju dengan ucapan Khadeja.

Wajah Datuk Affendi merah padam.

Aliff yang membatu sejak tadi seakan-akan terpegun memandang dan mendengar kata-kata Khadeja. Sejujurnya, ucapan gadis itu dirasakan bernas dan mewakili suara hati penduduk kampung.

Err… tu aje saya nak cakap. Sekian terima kasih.” Khadeja ingin beredar.

Namun, pandangannya terlekap pada seraut wajah lelaki muda yang sedang berdiri di satu sudut balairaya itu. Lelaki bert-shirt putih itu kelihatan membatu.

Lantas Khadeja membiarkan mata mereka bertentangan untuk beberapa saat.

Nampaknya, Aliff juga salah seorang wakil dari syarikat pemaju! Pasti lelaki itu datang untuk memastikan penduduk kampung menjual tanah Pulau Perindu untuk dijadikan sebagai resort! Khadeja berkata kepada diri sendiri.

Dia terus membawa langkahnya keluar dari bangsal balairaya sebelum mencapai basikalnya.

“Hang ni Jah, tak habis-habis buat perangai. Asyik nak menentang aje.” Budiman tiba-tiba mendekatinya lalu menegur.

Khadeja berpaling.

“Dah perkara kita tak setuju, kenalah lawan balik. Macamlah hang tak kenal aku!” Khadeja menjawab dengan suara keras.

“Tak boleh ke sesekali hang biarkan perjumpaan orang kampung dengan pihak pemaju tak jadi kalut macam ni?”

“Oh, sebab tu lah hang sengaja tak beritahu aku pasal perjumpaan hari ni, kan?” Khadeja terus membebel.

Dia berasa bengang dengan tindakan Budiman menyembunyikan perjumpaan itu daripadanya.

Budiman mengetap bibir.

“Hang nak biarkan orang kampung kita termakan dengan kata-kata manis depa ke? Mana boleh senang-senang kita jual tanah pulau ni kat depa?” marah Khadeja.

Tika itu dia mengerling ke arah balairaya dan ternampak Aliff yang masih belum melarikan pandangan ke mana-mana.

“Kalau ada orang kampung yang berminat nak jual tanah... apa salahnya? Pihak pemaju tu nak buat projek pelancongan demi pembangunan kampung kita jugak!” Budiman menyatakan pendapat.

“Pada aku, banyak lagi projek lain yang boleh memajukan kampung kita. Tak semestinya kena jual tanah dan bergantung pada projek pelancongan yang depa cadangkan tu!”

“Jah...”

“Dahlah aku malas nak dengar lagi!” Khadeja memintas. Dia meletakkan punggungnya di tempat duduk basikal.

Tanpa mempedulikan apa-apa, dia mula mengayuh untuk segera beredar dari kawasan balairaya itu.
Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna