Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
148,769
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 18
KEESOKANNYA, Aliff terjaga dari tidur ketika jam baru melepasi angka 8.00 pagi. Suasana masih dingin. Kelihatan hari yang semakin cerah kerana matahari kian terbit di kaki langit.

Aliff menggeliatkan tubuhnya. Dia bercadang untuk menyambung lena. Terasa malas benar dia mahu bingkas. Apakan daya, lenanya tidak hadir biarpun kelopak matanya dipejam rapat. Akhirnya, Aliff terkebil-kebil. Dia bermenung sendirian di dalam kamar hotel.

Malam tadi, dia sukar melelapkan mata. Tidak tahu apa sebenarnya perkara yang mengganggu mindanya. Dia asyik ternampak-nampak bayang wajah Khadeja dan susah-payah gadis itu menguruskan Mak Piah, ibu gadis itu yang buta. Keadaan itu menyebabkan suatu rasa aneh mula berkeliaran dalam jiwanya. Sepanjang malam hatinya resah.

Aliff melepaskan keluhan.

“Ah! Aku cuma bersimpati. Jadi aku tak boleh biarkan fikiran aku dipengaruhi dengan perasaan tu. Apa-apapun, aku kena pastikan Khadeja setuju untuk jual tanah keluarga dia,” bisik Aliff cuba mengingatkan diri-sendiri. Dia terus merenung siling bilik hotel.

“Tapi apa yang patut aku buat supaya dia segera bersetuju?” soal Aliff bingung sendiri.

Selepas beberapa detik bermalas-malasan di atas katil, dia akhirnya bangun untuk membersihkan diri. Dia perlu menyegarkan tubuh kemudian bersarapan bagi mendapatkan tenaga dan idea.

Baru saja Aliff mahu melangkah ke bilik mandi, bunyi telefon di bilik hotelnya tiba-tiba kedengaran. Dia segera mencapai gagang.

Good morning, Aliff.Abah ni.” Suara Datuk Affendi mengetuk gegendang telinga.

“Haa, abah... good morning!”Aliff menjawab lalu membetulkan suaranya yang agak serak.

“Eh, Aliff ni baru bangun tidur ke?”

“Taklah. Aliff dah terjaga dalam 15 minit tadi. Baru nak pergi mandi.”

“Hmm, patutlah tadi abah telefon bilik Aliff banyak kali tak berjawab! Telefon handphone pun tak berjawab!”

Aliff mengerling telefon bimbitnya. Ada lebih 10 panggilan tak berjawab yang tertera di permukaan skrin.

Sorry abah!Aliff tidur lena sangat sampai tak sedar apa-apa,” ujar Aliff.

Suara tawa Datuk Affendi memecah corong telefon.

“Betullah tu! Suasana kat pulau ni tenang sangat. Tak sibuk macam kat KL, kan? Agaknya sebab tu bila tidur kat sini boleh tak sedar,” ujar Datuk Affendi pula masih berselang-seli dengan ketawa.

Aliff hanya mengiakan. Namun dia menyedari yang dirinya agak hipokrit tika itu.

Benarkah dia mendapat tidur yang lena? Bukankah dia asyik dibayangi raut Khadeja dan tindak-tanduk gadis itu melayani Mak Piah sehingga dia sukar melelapkan matanya malam tadi? Tak pasal-pasal pagi itu dia sukar membuka matanya kerana tidak cukup tidur.

“Err, kenapa abah telefon Aliff?” Aliff mula bertanya. Dia menukar topik bagi melenyapkan perkara yang bermain-main dalam fikirannya.

“Oh ya, tadi abah telefon Aliff sebab nak ajak breakfast. Tapi sebab Aliff tak jawab, abah dah breakfastdulu.” Datuk Affendi menjawab.

“Abah breakfastdengan siapa? Yus dan Kamil?” Aliff teringatkan dua orang pekerja Samudera Holdings itu.

Malam tadi, dia tidak pasti pada jam berapa Yus dan Kamil selesai berkaraoke. Dia langsung tidak perasan bila kedua-duanya pulang ke bilik untuk tidur kerana seingatnya, pukul 2.00 pagi pun dia belum berjaya melelapkan mata.

“Abah cuba telefon budak berdua tu pun tak berjawab. Mungkin mereka tak bangun lagi. Jadi abah breakfast seorang-seorang,” beritahu Datuk Affendi.

“Laa.. ya ke? I’m so sorry. I should get up early and breakfast together with you.”Aliff rasa bersalah.

It’s okay. Don’t worry.Bukannya abah tak biasa. Sekarang, Aliff pergi mandi dan kemudian turun breakfast. Kalau mama tahu Aliff tak breakfastlagi padahal jam dah nak masuk pukul 9.00 mesti mama akan marah abah,” leter Datuk Affendi.

Aliff ketawa. Dia terbayangkan wajah mamanya yang memang pasti akan membebel tanpa henti jika mendapat tahu dia belum mengisi perut di awal pagi.

“Jangan lupa, kejutkan Yus dan Kamil sekali,” arah Datuk Affendi kemudian. Dunia Aliff kembali ke titik sebenar.

Okay. See you later, abah.”

Alright.”

Aliff mahu menamatkan panggilan itu, namun dia terdengar namanya dipanggil semula.

“Sebelum abah terlupa, malam tadi Aliff ke mana? Bukan ke kita patut dinnersama-sama? Lama abah tunggu Aliff,” tanya Datuk Affendi bersama nada ingin tahu.

Situasi itu membuatkan benak Aliff tak semena-mena kembali teringatkan raut Khadeja dan Mak Piah. Tanpa sedar, otaknya beku. Dia terkial-kial mencari jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada Datuk Affendi.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna