Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
149,083
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 16

“HAH, bro! Mana kau pergi? Puas aku telefon kau sampai jari aku ni macam nak patah, asyik tak dapat.” Yus bertanya ketika kelibat Aliff muncul di pekarangan lobi Resort Pulau Perindu. Waktu itu jam hampir menuju ke pukul 10.30 malam.

“Kau telefon aku? Kenapa?”

“Datuk cari kau tadi! Kan, dia dah pesan nak makan malam sama-sama?” jawab Yus.

Sejak tadi, Yus duduk di kawasan lobi sambil cuba menghubungi Aliff. Berkali-kali dia menghantar pesanan ringkas dan menelefon anak majikannya itu, namun talian Aliff gagal dihubungi. Risau juga jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Aliff yang tiba-tiba menghilangkan diri dan gagal dikesan.

Aliff mengerling telefon bimbitnya. Memang terdapat banyak pesanan ringkas dan panggilan tidak dijawab. Mungkin semasa di kawasan rumah Khadeja tadi, talian telefonnya tidak dapat ditembusi kerana rangkaian perkhidmatan telekomunikasi yang sangat lemah.

“Kau ke mana, Aliff?” ulang Yus.

“Tak ke mana-mana pun. Cuma berjalan-jalan aje. Abah aku dah makan ke?”

“Dah. Kami makan sama-sama kat cafe hotel. Sekarang, datuk dah naik ke bilik. Mungkin dah tidur. Kamil pulak, tengah melepak kat bilik karaoke. Jomlah joinkita orang menyanyi!” ajak Yus sambil menaikkan kening.

“Takpelah. You guys carry on.Aku pun ingat nak naik ke bilik. Nak tidurlah!”

“Nak tidur? Hey, come on!Malam masih mudalah, bro!” Yus memprovokasi.

Keadaan di lobi hotel tampak masih meriah dengan pelancong yang keluar masuk. Ada yang datang dari dalam dan luar negara.

“Lagipun esok kita dah nak balik KL. Buat apa nak tidur awal-awal?”

Aliff hanya tersengih melihat riak wajah Yus yang beria-ia. Dia tidak berkata apa-apa. Entah kenapa dia seakan-akan tiada mood untuk membuat sebarang aktiviti malam itu. Tanpa sebarang ucapan, dia menghayun langkah ke ruangan tangga untuk naik ke biliknya di tingkat satu.

“Aliff, kau ni kenapa?”

“Takde apa-apalah.”

“Baik kau cakap, kau ke mana tadi? Kalau pergi berjalan, kenapa tak beritahu? Boleh aku dengan Kamil ikut sekali.” Yus mengekori langkah Aliff. Dia mahu menuju ke bilik karaoke yang terletak di tingkat dua.

“Ah, lecehlah bawak kau orang! Nanti kejap-kejap laparlah, hauslah... apalah,” gerutu Aliff.

“Eleh, pandai-pandai aje!”

Aliff ketawa.

“Aku tahu, sebenarnya kau pergi cari Cik Khadeja tu, kan?” Yus tiba-tiba meneka.

Aliff meletakkan anak matanya ke laman wajah Yus. Ketawanya terhenti sama sekali.

“Betul tak?”

“Kalau betul aku pergi cari Cik Khadeja pun, apa masalahnya? Kan, aku dah janji dengan abah aku nak uruskan Cik Khadeja tu supaya setuju dengan Projek Villa Samudera?” ujar Aliff tanpa menunggu.

“Haa, kan senang kalau kau mengaku dari tadi! Kenapalah nak cakap pusing-pusing?”

“Mana ada aku cakap pusing-pusing?”

“Sudahlah, Aliff! Aku ni dah lama kenal kau. Mesti ada sesuatu yang berlaku sampai kau cuba nak sembunyikan perjumpaan kau dengan Cik Khadeja tu, kan?”

“Jangan nak ada-adakan ceritalah, Yus! Kau ni... tak habis-habis nak fikir yang bukan-bukan.” Aliff menafikan. Kakinya sudah memanjat anak tangga untuk naik ke tingkat yang menempatkan bilik hotelnya.

Sejujurnya, Aliff terasa malas mahu memberi komen tentang topik yang diutarakan oleh Yus. Kebetulan benaknya bagai terbayang-bayang situasi kunjungannya di rumah Khadeja tadi.


“NANTI datang lagi ya, Aliff? Jangan segan-segan. Makcik selalu ada kat rumah ni. Tak ke mana-mana pun!” Ucapan Mak Piah meniti lubang telinga.

Tika itu Aliff sedang menyarungkan sandal. Dia sudah meminta diri untuk pulang.

“Insya-ALLAH makcik. Saya akan datang jenguk makcik lagi. Masakan makcik tadi pun sedap sangat. Mesti saya akan selalu terbayang-bayang,” kata Aliff.

“Kalau macam tu, datang aje bila-bila senang.”

“Insya-ALLAH.” Aliff masih berkata.

“Assalamualaikum. Saya balik dulu.” Kali ini Aliff mencapai tangan Mak Piah untuk bersalam. Sempat dia mencium tangan wanita yang tidak dapat melihat itu.

Mak Piah mengangguk.

Aliff tercari-cari raut Khadeja di muka pintu. Namun, gadis itu tidak langsung muncul untuk menghantar kepulangannya.

Selepas beberapa saat menanti, Aliff membuat keputusan untuk benar-benar berlalu. Tahu-tahu saja dia ternampak batang tubuh Khadeja sedang menunggunya berhampiran dengan basikal sewanya.

Aliff lantas tersenyum.

“Cik Khadeja, awak buat apa kat sini? Saya ingat awak kat dalam rumah. Beria-ia saya cari awak.”

“Encik Aliff, saya nak bagi awak amaran! Tak payah berpura-pura bersikap baik dan cuba guna kata-kata manis awak tu untuk ambil hati mak saya.”

Aliff terpaku sejenak. Kata-kata tegas Khadeja mengetuk gegendang telinga. Untuk beberapa saat, dia membiarkan tatapannya terlekap ke wajah gadis berselendang yang tampak kekuningan kesan dari sinaran lampu neon.

“Saya tak nak awak datang ke rumah saya lagi. Jangan sekali-kali jejakkan kaki kat sini, faham?” tambah Khadeja.

“Tak sangka betul saya, rupa-rupanya awak ni garang orangnya!” Tak semena-mena Aliff berbicara.

Khadeja kelihatan terkedu. Aliff kembali tersenyum dengan respons tersebut.

“Awak tak payahlah risau, Cik Khadeja. Saya bukannya nak minta persetujuan awak untuk jual tanah tu malam ni. Saya takkan berputus asa untuk terus pujuk awak ataupun mak awak,” tutur Aliff selamba.

“Awak ni tak faham bahasa ke?” Riak Khadeja tampak bengang.

“Okeylah, saya minta diri dulu. Terima kasih sebab sudi jamu saya dengan makan malam yang sangat lazat.” Aliff meletakkan punggungnya di kerusi basikal. Dia tidak menghiraukan amaran gadis itu.

“Awak dan mak awak dah buat saya rasa sesuatu yang berbeza malam ni. Sesuatu yang special!Mungkin sebab, masakan mak awak tadi sedap sangat.”

“Jangan nak bodeklah!”

“Saya cakap ikhlas ni. Harap-harap satu hari nanti saya dapat merasa masakan awak pulak.” Kali ini Aliff berkata sambil cuba untuk bergurau. Bibirnya mengukir senyum.

“Oh ya, tadi saya ada letak kad nama saya kat atas almari di rumah awak. Kalau ada apa-apa, awak boleh hubungi saya melalui nombor yang ada kat situ.” Aliff teringatkan perkara itu lalu memberitahu.

Khadeja mendengus. “Kenapa awak pandai-pandai aje ni? Buat apa saya nak hubungi awak?”

“Manalah tahu! Kan saya cakap kalau ada apa-apa.”

Gadis itu kelihatan seperti ingin mengucapkan sesuatu namun perbualan mereka terhenti bila masing-masing terdengar suara panggilan Mak Piah.

“Hah, mak awak dah panggil tu!” Aliff berkata.

Mereka sama-sama menoleh ke arah rumah papan yang bersinar kelam. Mak Piah sedang terkial-kial menuruni tangga.

“Eh, baik awak pergi cepat! Nanti jatuh pulak mak awak tu,” arah Aliff.

Nak tak nak, Khadeja terpaksa berlalu. Apatah lagi bila panggilan Mak Piah terus kedengaran.

Aliff menghantar pemergian Khadeja dengan pandangan mata. Seketika, dia nampak gadis itu menoleh ke arahnya. Mata mereka berlawan sejenak. Aliff melambaikan tangan.

Khadeja tidak mempedulikan. Gadis itu hanya meneruskan langkah membuatkan Aliff tertawa.

Di saat Aliff sudah berkira-kira untuk berlalu, tiba-tiba dia terpaku seketika. Khadeja dilihat sedang membawa Mak Piah ke satu sudut. Kemudian, gadis itu menceduk air sebelum menyiram tangan Mak Piah.

Aliff memerhati. Lagak Khadeja seolah-olah sedang membantu Mak Piah mengambil wuduk. Untuk beberapa detik, dia leka mengamati tingkah kedua-dua beranak tersebut. Tanpa sedar, hatinya tersentuh.


“JADI, macam mana? Ada berita baik lepas kau jumpa Cik Khadeja tadi?” Suara pertanyaan Yus menggigit cuping telinga Aliff lalu membuang lamunannya yang seketika.

Kaki mereka sudah sampai di tingkat satu. Aliff menghentikan langkah. Diekori dengan Yus.

“Setakat ni belum ada apa-apa lagi. Rasanya, kena usaha lebih sikit.”

“Maksud kau?”

“Nak pujuk perempuan tu macam susahlah!”

“Macam susah?” Yus mengerutkan dahi.

Aliff mengiakan.

“Habis tu, nak usaha lebih tu macam mana pulak?” Yus kemudian bertanya. Riaknya nampak risau kerana memikirkan alasan yang patut diberikan kepada Datuk Affendi. Pasti majikannya itu akan bertanya tentang perkara itu kepadanya nanti.

Aliff menarik nafas dalam.

“Aku rasa macam ni... biar aku tinggal sini dalam sehari dua lagi. Esok, kau orang balik ke KL dulu dengan abah aku.”

“Betul ke?” Yus inginkan kepastian.

Aliff mengangguk.

“Aku akan cuba handle masalah ni. Tapi kau kenalah tolong aku! Tolong uruskan kerja kat KL sementara aku kat sini. Boleh tak?”

Yus memikir sejenak.

“Kalau kau sendiri nak uruskan Cik Khadeja tu pun aku tak kisah.” Aliff kemudian berkata bila Yus lambat memberikan responsnya.

“Eh, tak naklah! Dibuatnya perempuan tu berdegil tak nak jual tanah dia, tak pasal-pasal pulak datuk pecat aku.” Yus membantah.

Aliff geli hati dengan alasan yang diberikan oleh Yus.

“Okelyah, Aliff. Kau ajelah yang handle masalah kat sini. Sekurang-kurangnya kau tu anak datuk. Takkan datuk nak pecat kau pulak kalau tak berjaya pujuk Cik Khadeja jual tanah dia tu.”

“Hei, tolong sikit! Kau tak kenal aku ke? Aku ni Aliff Zulkarnain tau! Setakat ni, aku belum pernah gagal dalam semua kerja yang aku buat.”

“Amboi, berlagak bunyinya!” Yus mengejek.

Aliff tertawa. Akhirnya Yus sama-sama ketawa.

“Betul ke kau tak nak join kita orang berkaraoke ni?” tanya Yus saat teringatkan tujuannya berhenti di tingkat itu.

“Takpelah. Aku penat. Just go ahead.

“Kalau macam tu pergilah berehat. Mimpi indah-indah, bro! Tapi, jangan sampai termimpikan Cik Khadeja pulak. Nanti payah kau nak pujuk dia supaya jual tanah dia yang betul-betul bernilai tu!” Yus mengusik.

Aliff membuntangkan biji mata menyebabkan Yus ketawa semula. Yus berasa lucu dengan kata-katanya sendiri.

Sejurus Yus berlalu ke tingkat atas, Aliff melepaskan keluhan pendek. Fikirannya tiba-tiba melayang. Dia terkenangkan semula raut Khadeja. Berselang-seli raut itu hadir bersama beberapa kejadian yang menyentuh hatinya tadi.
Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna