Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
148,767
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 14

“KENAPA? Dari tadi hang tak habis-habis jeling kat aku. Ada masalah ke?” Khadeja berkerut dahi sambil menentang pandangan Budiman. Dia tahu ada sesuatu yang sedang bermain-main di fikiran lelaki itu.

Budiman melepaskan nafas deras. Gelagatnya membuatkan Khadeja semakin pelik.

“Aku cuma tak faham dengan pemikiran hang,” ujar lelaki itu akhirnya.

“Apa maksud hang ni, Man?”

“Kenapa susah sangat hang nak terima perubahan kat kampung kita ni? Dalam ramai orang, kenapa mesti hang seorang aje yang selalu nak memprotes bila ada pihak pemaju datang sini nak beli tanah?” Panjang Budiman mengeluarkan pertanyaan.

“Oh, hang nak bercakap pasal tu ke?” Khadeja sudah mengerti mengapa reaksi Budiman agak berbeza pada petang itu.

“Yelah. Habis tu hang ingat aku bercakap pasal apa?” Budiman mendengus lagi.

Keadaan di sekitar gerai makan sudah semakin lengang. Semua pelanggan sudah pulang kerana sebentar lagi gerai itu akan ditutup.

Tika itu, hanya ada Khadeja dan Budiman di ruangan dapur. Manakala Fatimah, Abu Hanifah dan Kelubi sibuk membersihkan ruang di hadapan gerai tersebut.

Budiman sengaja mendekati Khadeja yang sejak tadi membasuh pinggan dan mengemas peralatan dapur. Dia ingin mengambil peluang untuk berbicara dengan gadis itu tentang situasi haru-biru yang berlaku di balairaya beberapa jam yang lalu.

“Man, kenapa hang masih nak tanya aku soalan yang sama? Hang tahu kan, apa pesanan arwah ayah aku dulu? Dia tak bagi aku jual tanah kat siapa-siapa. Dia dah amanahkan tanah tu supaya aku jaga elok-elok.” Khadeja memberitahu.

“Aku tahu! Tapi Jah... kalau hang tak nak jual tanah keluarga hang pun, janganlah sekat keputusan orang lain. Hang buat kacau kat balairaya sampai semua orang kampung dah terpengaruh dengan kata-kata hang. Tak habis-habislah hang ni, Jah!” Budiman menegur dengan nada tidak puas hati.

“Kalau orang kampung terpengaruh dengan kata-kata aku, baguslah! Apa yang aku cakap tu pun sebab aku tak nak orang kampung mudah percaya. Hang pun jangan nak mudah terpedaya dengan komisyen depa tu. Pihak pemaju cuma fikir pasal keuntungan. Otak depa tu tahu kira duit aje! Bukannya depa peduli yang tanah tu ada semangat hidup dan maruah kita.” Khadeja membalas dengan beria-ia.

Budiman merapatkan bibir. Dalam diam dia melemparkan rengusan untuk kesekian kali. Setiap kali berbicara tentang isu tanah dengan gadis itu, pasti dia akan kalah. Khadeja memang bijak berhujah.

“Dahlah, Man. Hang tak payah nak meleter kat aku. Aku tahu apa yang aku buat. Sampai bila-bila aku takkan bagi sesiapa pun ambil kesempatan kat kampung kita terutamanya orang luar macam pihak-pihak pemaju tu!”

“Jah...”

“Sekarang, hang pergilah kemas kerusi meja kat depan. Aku nak habiskan mengemas kat dapur ni. Kejap lagi aku nak balik!” Khadeja memusingkan topik. Dia terus memberi tumpuan kepada pinggan dan mangkuk di dalam sinki yang tinggal sedikit.

Sengaja dia tidak memberi peluang kepada Budiman untuk terus bersuara kerana dia sendiri tidak bercadang untuk meneruskan perbincangan itu. Justeru, Budiman hanya mampu mengeluh.


USAI kerja-kerja membersih dan mengemas, Khadeja mula menarik pintu untuk mengunci gerainya. Dia adalah orang terakhir yang berada di situ selepas Fatimah dan Budiman berangkat pulang bersama-sama Abu Hanifah dan Kelubi beberapa detik tadi.

Khadeja meletakkan beg tangan dan barang-barangnya di dalam bakul. Kemudian dia menolak basikalnya ke tepi jalan. Dia berkira-kira untuk mula mengayuh. Namun niatnya tergendala. Hatinya tiba-tiba bagai dirasuk sesuatu yang tidak enak.

Kepalanya mula melingas. Matanya melilau ke sekeliling. Tak tahu kenapa dia seperti terasa seolah-olah ada seseorang yang sedang memerhatinya di situ.

Ah, mengarut aje! Siapa pulak yang takde kerja nak perhatikan aku? Hati kecilnya berdetik tanpa menunggu.

Khadeja segera membuang perasaan tidak-tidak. Kali ini, dia menaiki basikal dan mula mengayuh menelusuri denai di sepanjang pantai Kampung Pulau Perindu. Bibirnya menyanyi kecil. Pelbagai lagu yang dinyanyikan. Semua irama yang terlintas di benaknya bercampur-aduk menjadi satu.

Bila sesekali dia dicuit perasaan aneh, kepalanya menoleh ke belakang. Dia memang terasa bagai ada seseorang yang sedang memerhatinya!

“Hisy, kau ni Jah! Hari dah petang. Kenapa mesti nak fikir yang bukan-bukan?” Mulutnya mengomel sendirian. Dia terus mengayuh basikal sehingga tiba di laman rumahnya.

Kelihatan beberapa ekor ayam yang sedang mengais tanah untuk mencari makanan. Tidak jauh dari situ, ada sekumpulan itik yang berenang di dalam kolam khas. Turut terdapat dua ekor kambing dan seekor kerbau yang diikat pada pokok.

Khadeja menyandarkan basikalnya di tepi rumah. Kemudian dia berjalan ke arah anak-anak tangga. Terdapat sebuah tempayan yang berisi air di situ. Sudah menjadi kebiasaan, sebelum masuk ke dalam rumah Khadeja akan menggunakan air di dalam tempayan itu untuk membasuh kakinya.

“Assalamualaikum.” Tiba-tiba kedengaran suara lelaki yang menyapa.

Khadeja terperanjat. Hampir berderau darahnya sehingga kakinya hampir terpelecok ketika mahu menaiki anak tangga.

“Eh, awak... hati-hati!” Lelaki tadi segera berkata.

Khadeja cepat-cepat memegang tiang. Kali ini dia berpaling ke belakang, lalu dia ternampak kelibat Aliff yang sedang berdiri tidak jauh dari situ.

“Hai.” Aliff menyapa setelah mendapati tubuh Khadeja sudah berdiri dalam keadaan stabil. Dia kemudian tersenyum.

Khadeja makin terkejut. Kemunculan lelaki itu tidak langsung diduga.

“Apa awak buat kat sini? Kenapa tiba-tiba muncul kat rumah saya?” Dia pantas bertanya.

Tanpa menunggu, dia mencapai sebatang kayu di atas pelantar rumahnya lalu diacukan ke arah Aliff.

Aliff terkedu. Dia spontan mengangkat tangan.

“Bawa bertenang Cik Khadeja! Saya tak buat apa-apa.” Itu alasan yang terfikir dek otak Aliff ketika itu.

“Awak jangan tipu! Awak ikut saya ya? Apa niat awak sebenarnya?” Suara Khadeja meninggi. Dia segera turun ke laman rumah. Tangannya masih erat memegang kayu. Dia bersiap-siaga untuk bertindak sekiranya Aliff cuba mendekatinya. Manalah tahu lelaki itu mahu melakukan sesuatu.

“Sabar Cik Khadeja. Saya memang takde niat apa-apa.” Langkah Aliff berundur beberapa tapak. Risau jika gadis itu bertindak lebih agresif.

“Habis tu, kenapa awak boleh ada kat sini? Macam mana awak tahu ni rumah saya?”

“Awak turunkanlah kayu tu dulu. Nanti saya terangkan kat awak macam mana saya boleh ada kat sini.” Aliff memohon.

Khadeja merenung lama raut Aliff yang tampak kalut. Walaupun berasa agak lucu dengan reaksi gementar lelaki itu, dia hanya menahan perasaan tersebut di dalam hatinya. Dia harus kekal serius kerana dia bukannya betul-betul mengenali lelaki itu.

Setelah beberapa detik, Khadeja akhirnya menurunkan kayu ke bawah.

“Hah, apa dia alasan awak?” soalnya ingin tahu. Suaranya sedikit keras kerana tidak mahu lelaki itu berfikir yang dia seorang gadis yang lemah.

Aliff menarik nafas dalam. Lega! Garang jugak perempuan ni, bisiknya.

Khadeja masih menanti jawapan Aliff.

Suasana di sekitar rumah papan itu mulai suram kerana jam semakin menginjak ke waktu senja. Sebentar lagi malam bakal melabuhkan tirai.

“Sebenarnya, saya ke Warung Perindu tadi. Tapi dah berkunci. Tup... tup... saya ternampak awak tengah kayuh basikal. Saya tak sempat nak panggil. Jadi saya ikutlah awak sampai ke sini.” Aliff kemudian memberitahu.

Tangannya mula menunjukkan sebuah basikal yang terparkir beberapa meter dari kawasan itu. Basikal tersebut telah disewa dari tempat penginapannya hampir sejam yang lalu sebagai alat pengangkutannya ke situ tadi.

“Boleh tahan jugak awak kayuh basikal. Laju macam bawak motor pulak,” gurau Aliff.

“Kenapa awak ke warung saya? Apa yang awak nak?” Khadeja tidak bercadang untuk melayan gurauan Aliff. Perihal tujuan kedatangan lelaki itu adalah lebih penting.

“Errr...” Aliff hilang idea.

Khadeja mengerutkan dahi. Dia kembali curiga dengan reaksi lelaki itu.

“Baik awak cakap, apa yang awak nak? Mesti ada sebab sampaikan awak boleh berani ikut saya balik ke rumah!”

“Sabar... sabar!” Aliff mengangkat tangan semula. “Saya takde niat buruk pun. Saya cuma errr...”

“Cuma apa?”

“Tadi saya ke warung awak cuma nak minum-minum.”

“Habis tu sekarang? Awak nak apa kat rumah saya ni?”

“Sekarang...” Aliff menelan air liur. Dia kembali mengorek alasan di sudut fikirannya.

Khadeja bersedia untuk menaikkan semula kayu di tangannya.

“Sekarang... saya cuma nak tengok rumah awak aje!” Aliff tiba-tiba memberikan jawapan.

“Nak tengok rumah saya?”

“Rumah awak cantik!” Aliff mengangguk. Ayat itu terpacul secara automatik dari mulutnya bila terpandangkan rumah papan yang kemas berukiran dan tersergam di hadapannya.

Khadeja merengus. Dia tahu Aliff sedang berpura-pura.

“Encik Aliff, apa kata sekarang ni awak berterus-terang aje! Sebenarnya awak cari saya berkaitan dengan tanah kampung ni, kan? Awak cuba pujuk saya supaya setuju dengan cadangan projek pelancongan syarikat awak tu ke?” Khadeja meneka tanpa teragak-agak.

Aliff terkedu. Dia tidak menyangka Khadeja boleh berfikir sejauh itu.

“Kalau betul pasal tu, saya nak beritahu awak sekali lagi yang saya takkan setuju! Saya jugak akan terus pujuk orang-orang kampung supaya jangan termakan dengan kata-kata manis Datuk Affendi tu!”

“Cik Khadeja, awak patut dengar dulu apa yang saya nak cakap.”

“Awak nak suruh saya dengar apa lagi?”

“Jah? Jah dah balik ke?” Tak semena-mena Mak Piah muncul dari pintu rumah.

Keadaan itu menyebabkan perbualan antara Aliff dan Khadeja terhenti mendadak.

Khadeja pantas memberi isyarat kepada Aliff supaya mendiamkan diri. Kemudian dia cepat-cepat menuju ke arah Mak Piah.

“Assalamualaikum mak. Err... Jah baru sampai.”

“Walaikumussalam. Jah bercakap dengan siapa tu? Mak dengar ada suara orang,” tanya Mak Piah.

“Eh, takde sesiapa pun mak.” Khadeja menjawab sambil menjegilkan biji matanya ke arah Aliff. Dia tidak mahu lelaki itu membuka mulut untuk meneruskan kata-kata.

“Takde sesiapa? Betul ke?” Mak Piah inginkan kepastian.

“Betul mak. Dahlah, jom kita masuk!” Khadeja mengajak. Dia kemudian menyuruh Aliff segera pulang. Apakan daya, tidak sempat dia membawa ibunya masuk ke dalam rumah Aliff tiba-tiba mendekati anak-anak tangga.

“Assalamualaikum makcik. Saya Aliff Zulkarnain, kawan Khadeja.” Aliff terus menyapa. Entah kenapa, dia tidak bercadang untuk mempedulikan amaran Khadeja sejenak tadi.

Khadeja terkejut dengan tindakan berani lelaki itu.

“Siapa dia?” Mak Piah terus melilaukan kepala mencari arah datangnya bunyi suara seorang lelaki tadi.

“Saya Aliff... kawan Khadeja dari Kuala Lumpur, makcik.”

“Aliff? Kawan Jah dari Kuala Lumpur?” Mak Piah kehairanan. “Betul ke Jah? Kenapa tak jemput kawan Jah naik ke rumah?”

Khadeja menatap Aliff. Dia bengang. Bila masa pulak dia jadi kawan aku?

“Jah?”

“Err... sebenarnya, kawan Jah ni dah nak balik KL dah mak.” Tanpa sedar, Khadeja memberitahu.

“Nak balik KL apanya? Hari dah nak malam ni!” Mak Piah menegur.

Khadeja tersedar akan kesilapannya. Mana ada bot yang akan keluar dari jeti kampung itu menuju ke seberang bila hari menginjak malam? Apabila ternampak senyuman lucu di bibir Aliff, Khadeja semakin geram. Dia menggertap gigi.

Mak Piah terus meraba-raba tiang untuk menuruni anak tangga. Khadeja membantu emaknya.

Tatkala ternampak Mak Piah terkial-kial memakai selipar, barulah Aliff menyedari yang ibu kepada Khadeja rupa-rupanya seorang wanita buta. Dia pantas membantu wanita itu menyarungkan selipar di kaki.

“Makcik tak tahu pun Jah ada kawan dari Kuala Lumpur. Siapa nama tadi?”

“Aliff, makcik.” Aliff memberitahu sambil bersalaman dengan Mak Piah.

“Haaa, Aliff. Jemputlah naik ke pondok buruk kami ni.” Mak Piah meraba-raba laman wajah Aliff yang hanya diam membiarkan.

“Hari pun dah malam. Kejap lagi kita boleh makan sama-sama,” tokok Mak Piah.

“Betul ke, makcik? Boleh jugak. Kebetulan, dah lama saya tak makan masakan asli dari kampung. Tak sangka hari ni boleh merasa.” Aliff teruja sambil memandang Khadeja lalu dia menaikkan keningnya ke arah gadis itu.

Khadeja mengerutkan dahi. Hatinya semakin sakit dengan tingkah lelaki itu yang memandai-mandai menerima pelawaan emaknya.

“Hah, eloklah! Mari naik ke rumah makcik!”

“Tak payahlah mak. Sebenarnya tadi Aliff dah minta diri nak balik ke bilik hotel dia.” Khadeja pantas menolak. Dia jadi tidak selesa dengan tiba-tiba.

“Kot ya pun, jamulah Aliff dulu. Tak baik biarkan tetamu balik dengan perut kosong. Kawan jenis apa Jah ni?” tegur Mak Piah.

Khadeja merapatkan bibir. Dia merengus dalam diam. Geram dibuatnya. Apatah lagi bila ternampak Aliff yang mengenyitkan mata sambil tersenyum gembira.

“Jom, Aliff! Lepas solat maghrib nanti kita boleh makan,” pelawa Mak Piah yang sudah memanjat tangga untuk memasuki rumah.

“Baiklah, makcik.” Aliff segera mengekori. Dia pura-pura tidak ambil peduli akan pandangan kurang senang Khadeja. Namun, gadis itu pantas sekali menghalang perjalanannya.

“Encik Aliff, apa yang awak cuba buat sebenarnya ni?” Khadeja bertanya dengan suara yang keras tetapi perlahan. Dia tidak mahu soalannya itu didengari oleh emaknya yang sudah menghilangkan diri ke dalam rumah.

“Saya nak awak balik sekarang!” arah Khadeja keras.

“Kenapa pulak saya nak kena balik? Mak awak dah pelawa saya makan kat sini!”

“Awak sengaja nak dekati mak saya, kan? Baik awak jangan berangan nak pujuk mak saya pasal urusan tanah untuk projek pelancongan awak tu!” Khadeja memberi amaran.

Aliff kelihatan tenang.

“Ingat, jangan sekali-kali awak cuba nak sebut pasal hal tu!” tekan Khadeja.

“Aliff, marilah masuk. Kenapa belum naik lagi?” Suara Mak Piah sayup-sayup kedengaran mencelah.

“Ya, makcik saya datang sekarang.” Aliff menyahut. Dia tidak menghiraukan ucapan Khadeja, laju dia memulakan langkah. Namun, baru separuh dia meniti anak tangga, tiba-tiba dia kembali turun ke bawah.

“Sorry,terlupa nak basuh kaki!Aliff berkata sambil menceduk air dari dalam tempayan lalu dicurahkan pada kedua-dua belah kakinya.

“Dah lama saya teringin nak buat macam ni. Maksud saya, basuh kaki guna air tempayan sebelum masuk rumah. Selalunya dapat tengok dalam drama Melayu kat tv aje,” ujar Aliff tanpa disuruh. Dia sempat tersengih.

Khadeja yang masih tercegat di laman rumahnya sekadar memerhati kelakuan Aliff. Dia tidak mempedulikan ucapan lelaki itu. Sudut hati kecilnya masih dipalu perasaan berbuku.
Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna