Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
149,046
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

Setahun yang lalu…

LANGIT pagi di Kampung Pulau Perindu tampak begitu cerah. Kedinginan alam masih terasa biarpun matahari kian menyebarkan cahaya terang. Hari itu, tiada tanda-tanda yang hujan akan turun seperti beberapa hari sebelumnya. Suasana begitu mendamaikan.

“Alhamdulillah. Cuaca hari ni cerah. Minta-mintalah berterusan macam ni.” Khadeja berbisik. Dia memerhati ke luar tingkap biliknya. Lalu pandangannya dilebarkan ke arah awan yang memutih.

Pondok usang yang menjadi tempat tinggalnya semenjak dahulu itu terletak di tepi pantai, benar-benar menghadap ke arah laut.

Sepanjang minggu lalu, dek kerana hujan lebat yang turun keadaan di sekitar perkampungan nelayan Kampung Pulau Perindu tampak begitu mendung dan suram.

Para nelayan hanya berkurung di rumah. Mereka terpaksa menghentikan operasi penangkapan ikan di laut kerana bimbang ribut akan berlaku. Jika ribut berlaku, ada kemungkinan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Namun, bila cuaca sering tidak menentu itulah antara risiko yang terpaksa dihadapi oleh para nelayan. Ada yang berdegil turun ke laut demi mencari rezeki. Kemudian, mereka pulang dengan sedikit hasil atau pulang dengan tangan yang kosong. Malah, ada kalanya langsung tidak pulang-pulang sehingga kini.

Demi kehidupan... para nelayan tidak pernah mengalah. Bagi mereka, ajal dan maut telah ditentukan sejak azali.

Khadeja tersedar bila terasa kedinginan angin pagi menyapa kulit wajahnya yang kuning langsat. Dia menarik nafas dalam. Segar terasa mindanya bila dapat menghirup udara pagi dengan pemandangan indah dan panorama yang menenangkan.

“Jah! Jah!” Suara Mak Piah tiba-tiba kedengaran.

Khadeja meninggalkan tingkap biliknya.

“Ya, mak. Mak panggil Jah?” sahutnya setelah berjalan ke arah datangnya bunyi suara tadi.

Kelihatan Mak Piah sedang duduk di anjung rumah. Di tangan wanita yang berserkup tudung itu sedang memegang tasbih. Jarang sekali Khadeja melihat emaknya melepaskan rantaian tasbih dari genggaman tangan bila wanita itu duduk bersendirian di situ.

“Jah buat apa? Dari pagi tadi Jah berkurung kat bilik tu. Hari ni Jah tak ke warung ke?” tanya Mak Piah.

Walaupun matanya buta dan tidak dapat melihat, Mak Piah tahu jarum jam sudah melepasi angka 8.00 pagi. Dia sudah boleh membaca pergerakan masa. Mungkin kerana telah bertahun-tahun dia hidup di dalam kegelapan.

Semenjak deria penglihatannya mengalami masalah glaukoma iaitu sejenis penyakit yang menyerang saraf optik, dia sudah boleh mengagak waktu yang bergerak pergi saban hari.

“Hari ni Jah tak meniaga, mak. Tapi kejap lagi Jah nak ke warung jugak. Nak tunggu bot Man bawa barang-barang dari jeti tengah hari nanti. Kat warung kita tu dah tak banyak barang sebab minggu lepas hujan asyik turun.” Khadeja memberitahu.

Kedai makan yang telah diusahakan secara kecil-kecilan sejak tujuh tahun lalu itu dinamakan Warung Perindu. Ia terletak di persisiran pantai yang berdekatan kawasan pekan serta berhampiran dengan jeti utama yang menghubungkan Kampung Pulau Perindu dengan jeti di tanah seberang.

Khadeja telah mengusahakan Warung Perindu bersama beberapa orang pembantu yang terdiri di kalangan anak-anak saudara maranya yang tinggal di sekitar kampung tersebut.

Kini, hasil dari meniaga di warung itulah yang menjadi punca rezeki buat Khadeja dan Mak Piah. Walau tidak semewah mana, cukuplah untuk menampung kehidupan mereka anak-beranak sejak kehilangan tempat bergantung.

“Pukul berapa Man nak hantar barang-barang kat warung tu?” soal Mak Piah lagi.

Anak mata Khadeja lantas melirik ke arah jam yang tergantung di dinding rumah papan milik arwah ayahnya. Sudah menunjukkan angka 8.30 pagi.

“Katanya dalam pukul 12.00. Tengok pada keadaan ikan. Kalau dapat banyak, cepatlah Man balik. Kalau tak, terpaksalah Jah tunggu sampai petang lepas dia singgah kat jeti seberang.” Khadeja menjawab. Dia terbayangkan raut Budiman yang merupakan abang kepada Fatimah.

Mak Piah terangguk-angguk. Budiman yang dipanggil sebagai Man itu ialah anak kepada kakak sepupunya, Hasnah.

Usia Budiman dan Khadeja cuma berbeza dua tahun. Justeru hubungan dua pupu itu begitu akrab. Mungkin kerana mereka membesar bersama-sama. Tambahan pula, Budiman berusia sebaya dengan anak sulungnya, Khalid. Malah, semasa kecil dahulu Budiman dan Khalid pernah bersekolah dalam kelas yang sama.

Selepas Khalid hilang di laut lapan tahun lalu, Budiman adalah antara orang yang sering mengambil berat akan kebajikan keluarga Mak Piah. Bila turun ke laut untuk menangkap ikan, Budiman tidak pernah lupa untuk menitipkan hasil tangkapannya kepada mereka. Tidak kira sikit atau banyak, Budiman bagai bertanggungjawab untuk membantu mana yang termampu.

“Oh ya, lupa Jah nak beritahu mak!” Khadeja bersuara bila pandangannya tiba-tiba tertala ke satu arah.

Kelihatan sebuah pondok lama yang terbina di atas batu hampar yang tampak sayup-sayup dari anjung rumahnya. Batu hampar itu terletak di penghujung pantai Kampung Pulau Perindu. Ada kala, kawasan batu hampar itu disebutnya sebagai tanjung batu.

“Jah lupa nak beritahu apa?”

“Orang kampung kita sibuk bercerita tentang syarikat pemaju yang nak beli tanah kat sini. Katanya nak buat resort dan villa mewah. Dengarnya jugak, tak lama lagi orang dari syarikat pemaju tu nak datang tengok-tengok kawasan,” ujar Khadeja.

Selain dari rumah papan yang menjadi tempat untuk mereka berteduh, tanah di kawasan tanjung batu itu merupakan salah satu dari harta peninggalan arwah ayahnya. Ia merupakan tanah pusaka keluarga Pak Amin yang telah diwarisi turun-temurun iaitu sejak generasi nenek-moyang lelaki itu mula-mula menetap di pulau tersebut.

Dahulu, kawasan di sekitar tanjung batu hanya dipenuhi hutan belukar dan semak-samun. Tiada siapa yang ambil peduli sehinggalah Pak Amin dan Mak Piah diijabkabulkan atas pilihan keluarga.

Pasangan suami isteri itu yang bertanggungjawab meneroka kawasan di sekitar tanjung batu. Dari sebuah tempat yang sepi dan suram, tanjung batu mula menjadi lokasi yang sering dikunjungi oleh mereka sekeluarga. Tambah-tambah bila Pak Amin membina sebuah pondok kecil di atas batu hampar tersebut.

Suasana yang tenang dan jauh dari laluan orang menyebabkan Khadeja dan keluarganya memang gemar menghabiskan masa di tanjung batu. Kebetulan, terdapat sebuah pulau rahsia yang tersimpan berdekatan dengan lokasi tanjung batu.

Sehingga kini pun, Khadeja sering menuju ke situ. Lokasi tersebut ibarat destinasi wajib akan disinggahnya bila awal pagi sebelum ke warung mahupun pada waktu petang sebelum dia pulang ke rumah.

“Habis tu... macam mana kalau orang dari syarikat pemaju tu berkenan nak beli tanah kita kat tanjung batu tu? Patut ke kita jual?” Pertanyaan Mak Piah membawa dunia Khadeja ke alam sebenar. Lamunannya yang panjang, berderai.

“Takkanlah kita nak jual pulak, mak? Tanah kat tanjung batu tu kan, harta pusaka ayah. Banyak kenangan keluarga kita kat situ.” Khadeja membalas.

Tiba-tiba kedengaran suara Mak Piah yang terbatuk-batuk kecil. Khadeja segera mendekati emaknya. Dia duduk di sisi wanita itu lalu mengurut dada emaknya beberapa kali. Dapat dilihat deruan nafas wanita itu yang turun naik dan kurang teratur.

Mak Piah diam seketika. Beberapa detik kemudian, dia melepaskan rantaian tasbih sebelum mencapai tangan Khadeja. Dia menggenggam lembut jari-jemari anaknya. Baginya kini, Khadeja adalah satu-satunya harta miliknya yang tidak ternilai.

“Memanglah sayang kalau nak jual tanah tu sebab harta pusaka ayah Jah, tapi kalau kita tak berusaha untuk lakukan sesuatu... ada banyak tanah pun hidup kita tak bermakna,” kata Mak Piah sambil menahan nafasnya yang sedikit semput.

Khadeja menatap raut ibunya.

“Apa yang mak cuba cakapkan ni?” Dia bertanya.

“Akhir-akhir ni, mak selalu rasa terkilan bila terfikir tentang masa depan Jah. Mak tahu Jah kecewa sebab tak dapat sambung belajar. Disebabkan Jah kena jaga mak, Jah terpaksa simpan niat nak masuk universiti. Jah lupakan impian dan cita-cita nak jadi arkitek.” Mak Piah berbicara.

Entah kenapa, benaknya tiba-tiba membayangkan peristiwa lalu. Anak gadisnya itu pernah menanam azam untuk menjadi seorang arkitek yang memajukan Kampung Pulau Perindu dengan pembangunan, tetapi dalam masa yang sama tidak merosakkan khazanah dan keindahan di sekitarnya. Nampaknya kini, cita-cita Khadeja itu telah menjadi sebuah angan-angan kosong.

Khadeja mengeluh nafasnya sejenak.

“Kenapa tiba-tiba mak sebut lagi pasal hal tu? Apa kena-mengena hal tanah pusaka ayah dengan cita-cita Jah nak sambung belajar? Kan Jah selalu kata, Jah ikhlas jaga mak. Mak tu tanggungjawab Jah!” Khadeja menjawab. Tangannya membalas genggaman Mak Piah.

Dahulu, dia memang bercita-cita untuk menuntut di universiti dan mencari pekerjaan yang baik demi mengubah kehidupan keluarganya yang dibelenggu kemiskinan.

Apakan daya, niat sucinya terpaksa dihentikan apabila suatu hari... abangnya hilang di laut ketika memancing pada musim tengkujuh. Sejak itu, Khadeja perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga ibunya yang buta. Mereka sudah tiada sesiapa memandangkan sejak remaja lagi, ayahnya telah dijemput pulang ke rahmatullah kerana serangan penyakit jantung.

Justeru, walaupun dia mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan SPM, dia terpaksa menguburkan impiannya untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.

Khadeja ingat lagi semasa membuat keputusan untuk menolak tawaran universiti, hatinya begitu berat dan pilu. Namun dia reda. Kasihnya terhadap Mak Piah tidak pernah berbelah bahagi. Wanita itulah satu-satunya ahli keluarga yang dia. Seorang ibu yang menjadi tempat untuknya meraih kasih sayang.

Apalah guna andai dia berjaya di dalam pelajaran tetapi tidak berpeluang untuk berbakti kepada seorang ibu yang telah bertarung nyawa melahirkannya?

Sekeliling alam berubah hening bagaikan mengerti perasaan sayu yang sedang bergelumang di hati anak-beranak itu.

“Mak tahu Jah memang ikhlas jaga mak. Sebab tu mak bertuah dapat anak yang baik macam Jah. Mak bersyukur sebab ALLAH kurniakan mak seorang anak yang bertanggungjawab. Tapi... mak rasa dah tiba masanya mak lakukan sesuatu untuk Jah.” Suara Mak Piah memecah lamunan Khadeja sekali lagi.

Dia kehairanan.

“Apa maksud mak? Jah tak faham. Lakukan sesuatu apa pulak ini?”

“Pasal tanah kat tanjung batu tu...” Sejenak, Mak Piah menghentikan tutur katanya. Dadanya tak semena-mena jadi sebak.

“Apa kata... kita jual aje tanah tu? Bila dapat duit, Jah boleh guna untuk sambung belajar,” sambung Mak Piah.

Khadeja mengerutkan dahi.

“Mak... kalau Jah sambung belajar, siapa yang nak jaga mak nanti?” Dia tidak bersetuju.

“Mak ni dah tua. Dah uzur, Jah. Hidup pun dah tak lama. Esok-esok, bila mak takde... Jah pergilah sambung belajar guna duit dari hasil jual tanah tu. Penuhi impian dan cita-cita Jah untuk masa depan.”

“Astaghfirullahalazim, mak. Kenapa mak cakap yang bukan-bukan ni?” Khadeja merungut.

“Mak tak cakap perkara yang bukan-bukan, Jah. Mak cuma sebut perkara yang mampu mak buat untuk Jah selagi mak masih bernyawa. Kalau boleh, mak tak nak tinggalkan Jah dengan bergantung hidup pada warung tu aje. Kalau Jah belajar tinggi, Jah boleh dapat kerja yang bagus bila keluar universiti.”

“Tak nak! Jah takkan buat macam tu. Jah takkan jual tanah tanjung batu tu. Sampai bila-bila, Jah akan pastikan harta pusaka ayah tak jadi hak milik orang lain.” Khadeja bertegas.

Mak Piah ingin berkata sesuatu namun Khadeja tidak memberikannya peluang.

“Walau kita hidup tak mewah dan Jah tak dapat belajar tinggi sebab kena jaga mak... Jah tak kisah! Sekarang ni pun, kita cuma tinggal berdua. Rezeki yang Jah dapat dari meniaga dah cukup untuk tampung hidup kita. Buat apa Jah masuk universiti tapi akhirnya, tanah pusaka yang ayah tinggalkan untuk kita tergadai? Jah tak nak!” Khadeja berkata panjang.

Air matanya tak semena-mena bergenang. Entah kenapa, dia berasa sayu selepas melontarkan tutur bicara itu. Tambah-tambah, bila melihat wajah emaknya yang keruh. Dia tahu emaknya bercakap antara rela dan terpaksa.

“Dahlah, mak. Jam dah dekat pukul 10.00. Jah nak ke warung dulu. Nak mengemas apa yang patut sementara tunggu Man sampai.” Khadeja bingkas. Dia berlalu untuk mengambil selendang di kamarnya. Sempat dia mengesat air matanya yang mahu jatuh.

Semasa ingin melangkah keluar dari rumah, Khadeja menghampiri Mak Piah semula. Dia mencapai tangan wanita itu untuk bersalam. Kemudian, dia mengucup dahi emaknya sepenuh kasih.

“Jah minta maaf kalau mak berkecil hati dengan kata-kata Jah. Tapi Jah harap sangat mak tak sebut lagi pasal perkara ni.” Khadeja menahan getar suara.

Mak Piah mengetap bibir. Dadanya yang masih sebak menyebabkan dia terasa mahu menangis. Masakan dia berkecil hati sedangkan ucapan dan keputusan anaknya itu adalah sesuatu yang patut disyukuri!

“Jah sayangkan mak,” tambah Khadeja ikhlas.

Tiba-tiba dia ternampak air jernih yang mengalir ke pipi Mak Piah. Pantas dikesatnya supaya kering.

“Mak pun sayangkan Jah.” Mak Piah membalas dengan suara sayu.

“Jah pergi dulu. Mak jangan lupa makan ubat tau. Jah dah letak ubat mak kat atas almari.”

Khadeja membawa derap kakinya menuruni anak-anak tangga kayu yang menuju ke laman rumah.

“Jah pun, bawa basikal tu elok-elok,” pesan Mak Piah.
Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna