Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
67,943
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 9

“Hadiah untuk kakak kau.”

Ayra menghulurkan hadiah yang dibalut kemas pada Nadira. Gadis itu menyambut hadiah yang dihulurkan. Nadira kelihatan cantik, manis dan wow, seksi! Nadira mengenakan kebaya singkat yang jarang. Kelihatan korset hitam separas dada. Bahunya jelas kelihatan di sebalik bajunya yang jarang. Kainnya terbelah paras peha. Terkejut Ayra dengan pakaian Nadira. Tambah-tambah lagi bila melihat Nadira tidak mengenakan tudung. Rambutnya yang berombak dilepaskan. Memang mengancam!

Mungkin inilah Nadira yang sebenar. Kalau dceritakan pada Suhaila dan Aisyah, pasti gempak. Namun, Ayra sudah buat keputusan untuk mendiamkan diri saja.

“Kau dan Dean... ada apa-apa ke yang aku belum tahu?”

Mata Nadira silih berganti hinggap pada wajah Ayra dan Dean. Takkanlah mereka dah sah jadi pasangan kekasih?

“Isy, kami tak ada apa-apa.”

Ayra segera menepis tekaan Nadira.

“Ada!”

Dean senyum-senyum. Saja nak mengenakan Ayra yang sudah bertukar kelat raut wajahnya.

Ayra mencerlung. “Jangan nak mula!”

Nadira tergelak. Dean ketawa kecil. Nadira amati wajah Dean. Kacak! Sebab itulah dia tertarik hati pada lelaki itu sejak di minggu orientasi lagi. Nadira pernah minta bantuan Aisyah untuk merisik Dean. Dia berkenan dengan raut wajah Dean. Aisyah diminta menjadi orang tengah.

Aisyah mengajak Ayra menemaninya untuk merisik Dean. Mereka ajak Dean keluar makan-makan. Aisyah menggunakan ayat berlapik untuk memastikan status Dean. Dean mengaku yang dirinya masih belum berpunya.

Bila Aisyah suarakan pada Dean soal perasaan Nadira terhadapnya, lelaki itu terus menolak dengan cara baik. Belum terasa ingin dicintai dan mencintai lagi, kata Dean. Aisyah sampaikan pada Nadira. Mulanya Nadira tak dapat terima penolakan Dean. Langsung dia tak boleh memandang lelaki itu apa lagi hendak berbual-bual dengannya. Lama-kelamaan dia terpaksa menerima hakikat yang Dean bukan miliknya...

Selepas kecewa kerana cinta ditolak, tak lama kemudian Nadira dipertemukan dengan seorang lelaki yang pada pendapatnya jauh lebih kacak dan hebat daripada Dean. Ada hikmahnya apabila Dean menolak cintanya. Rupa-rupanya dia akan dipertemukan dengan lelaki yang betul-betul membuatkan dia gila bayang.

“Eh, kamu berdua pergilah makan dulu. Macam-macam masakan ada tu. Pergi ambik sendiri ye.”

“Pengantin dah tiba ke belum?”

Kepala Dean terteleng-teleng mencari pengantin.

“Belum lagi. Korang pergilah makan dulu. Tetamu bertambah ramai ni.”

“Jom isi perut cepat. Kita tak boleh lama-lama kat sini.”

Ayra malas hendak berlama-lama di rumah Nadira. Lepas makan, dia mahu ajak Dean pulang ke Ipoh segera. Paling lewat pukul 3.00 petang kena bergerak.

“La... kenapa nak balik awal sangat. Sabarlah dulu. Tunggulah sehingga pengantin tiba. Aku jadi pengapit kakak aku tau!”

Nadira bersolek habis-habisan untuk nampak cantik. Hari ini dia hanyalah pengapit pengantin, beberapa bulan lagi dia pulak yang akan menjadi pengantin.

Pengapit rupanya. Patutlah bergaya sakan, bisik Ayra. Dia memerhati raut wajah Nadira yang jauh berbeza daripada biasa. Khabarnya, Nadira menggunakan khidmat juru mekap artis. Kelas gitu!

“Siapa yang jadi pengapit lelaki?”

Ayra mengajukan pertanyaan walaupun dia sudah dapat mengagak, pengapit lelaki tentu teman lelaki Nadira.

“Pihak pengantin lelaki mintak kami yang sediakan pengapit lelaki. Jadi...”

“Teman lelaki kau jadi pengapit?”

“Eh, mana kau tahu aku ada teman lelaki ni?” soal Nadira manja.

“Ila bagitahu. Dia puji pakwe kau tu handsomegila.”

Nadira tersipu-sipu malu dengan usikan Ayra. Mukanya berona merah. Jauh di sudut hati, ada rasa bangga kerana pujian ke atas teman lelakinya itu.

“Pandai kau simpan rahsia.”

“Tak adalah. Bukan aku sengaja nak diamkan.”

Nadira memang berhasrat untuk memaklumkan satu kelas yang dia sudah berpunya. Dia juga tak sabar nak perkenalkan teman lelakinya itu pada rakan-rakan sekelas. Biar semua orang tahu lelaki itu adalah miliknya. Yang penting, biar Dean tahu, dia mampu mendapatkan seseorang yang jauh lebih hebat dari lelaki itu.

Kedatangan Dean hari ini memang dinantikan.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.