Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
67,915
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 14

“Betul? Kau tau mana?”

Ayra terus hilang mood untuk bergambar. Berita kehadiran Adiy, membuatkan hatinya berbelah bagi, antara gembira dengan tidak.

“Petang semalam ba. Mustahil kau ndak tau!”

Syidah masih tak percaya Ayra langsung tidak tahu kedatangan Shahin Adiy ke situ. Biasanya, Ayralah orang pertama yang akan tahu kehadiran Adiy. Bukankah mereka pasangan kekasih? Atau... mungkinkah hubungan mereka sudah putus? Syidah berteka-teki.

Ayra menggeleng kepala. “Sumpah, ndak ku tau langsung Si Adiy ada di sini.”

“Bukan dia selalu e-mel kau?”

Syidah masih tidak puas hati. Macam ada yang tak kena dalam hubungan Ayra dan Adiy.

“Itu dulu. Sekarang mana ada.”

Ayra lontarkan pandangan ke Gunung Kinabalu yang menjadi puncak tertinggi di Kepulaua Borneo. Ketinggiannya mencecah 4095 meter dari aras laut. Ia menjadi lambang kemegahan penduduk Sabah.

“Lagipun, lama sudah ndak aku online.”

Ayra biasanya melayari internet di makmal komputer sekolah. Namun, sejak SPM semakin hampir, dia terus berhenti dari melayari internet. Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk mengulang kaji pelajaran. Harapan orang tua dan harapan para guru tidak harus dipersiakan. Dia menjadi pelajar harapan sekolah. Dia juga sering diingatkan supaya memberi contoh yang baik kepada adik-adik sebagai anak sulung dalam keluarga.

“Kenapa? Kamu berdua sudah berpisah? Kenapa ndak kasi tahu aku?”

Ada dua rasa yang bermain di benak Syidah andai benar perhubungan Ayra dan Adiy sudah putus. Pertama, dia turut rasa simpati dengan sahabatnya kerana percintaannya putus di tengah jalan. Kedua, dia rasa gembira. Sangat-sangat gembira! Peluangnya yang tertutup kini terbuka kembali.

“Kami masih lagi kawan cuma jarang e-melmacam dulu. Aku yang suruh dia jangan e-mel aku buat sementara waktu. Aku mau tumpukan perhatian pada SPM.”

Ayra membetulkan tanggapan Syidah. Dia dan Adiy tidak pernah putus persahabatan. Mereka masih berkawan, cuma tidak lagi semesra dulu. Kalau dulu, saban hari mereka akan berbalas e-mel. Sekarang tidak lagi.

“Oh... patutlah.”

Syidah angguk-angguk kepala. Ayra dan Adiy masih berkawan. Kawan biasa! Itulah yang diharapkannya.

“Oh, baru aku tau. Maknanya, hubungan kamu masih berjalan, cuma berpisah buat sementara waktu saja. Kalaulah aku berada di tempat kau, ndak aku berhenti berhubung dengan Adiy. Bimbang aku takut Si Adiy cari pengganti lain.”

“Cari pengganti? Eh, kau ni sampai ke situ pulak! Aku dan Adiy berkawan saja ba! Dia mau ada kekasih... mau kawin... itu bukan urusan aku. Kami setakat berkawan saja.”

Ayra membetulkan tafsiran Syidah yang kononnya dia dan Adiy ada menjalinkan hubungan. Silap haribulan, tafsiran Syidah yang tak betul itu sampai ke telinga orang tuanya. Habis dia dikerjakan nanti!

“Kau ndak sempat berbual dengan Si Adiy?”

Ayra sebenarnya rindu pada Adiy. Tapi dia takut hendak meluahkan kerinduannya. Takut Adiy salah tafsir dan terus menjauhkan diri daripadanya. Ketika mula-mula persahabatan mereka terjalin, Adiy sering mengingatkan yang mereka sekadar berkawan, tidak lebih dari tu. Adiy seorang lelaki yang bercita-cita tinggi. Dia tidak mahu cita-citanya musnah hanya kerana ‘cinta.’ Ayra akur dengan permintaan Adiy. Dia juga sekadar ingin berteman. Cintan-cintun diharamkan sama sekali.

Ayra dapat merasakan yang Adiy masih marah padanya. Permintaannya supaya Adiy tidak menghantar e-mel padanya buat sementara waktu menyebabkan Adiy terasa hati lalu terus tidak menghubunginya lagi.

“Alah... takkan kau ndak tau. Dia mana mau sembang dengan aku ba. Siapalah aku ni kan. Budak kampung, pelajaran pun ndak seberapa. Rupa jauh sekali!”

Syidah memusingkan badannya yang sedikit berisi. Tiada lelaki yang menyukainya kerana banyak kekurangan yang ada pada dirinya. Ayra pula memiliki banyak kelebihan. Cantik, pandai dan ceria selalu.

“Kau bercakap ni macamlah aku bukan orang kampung. Kita berdua kan sama saja ba. Tapi Si Adiy ndak kisah pun berkawan dengan aku. Kau tu yang merendah diri sangat. Lepas tu fikir yang bukan-bukan. Konon orang seperti Adiy ndak sudi berkawan dengan kau.”

“Mestilah. Aku pernah bercakap dengan dia, mau ajak sembang-sembang. Tapi dia buat ndak peduli saja. Iyalah, aku ni ndak lawa. Gemuk. Lain la kau, cantik... bijak... Sebab tu Si Adiy sudi ambil kau sebagai awek dia.”

“Eh, kau ke situ pulak. Aku dan Adiy ndak ada apa-apalah. Kami berkawan saja.”

Ayra tak berbohong dengan Syidah. Memang dia dan Adiy tidak pernah menjalin hubungan istimewa. Mereka sekadar kawan biasa. Ayra juga tidak pernah menyimpan harapan hendak sehidup semati dengan Adiy. Dia sedar kedudukannya. Dia tak layak bergandingan dengan lelaki itu. Mungkin dalam mimpi sahaja mereka boleh bersatu. Itupun belum tentu.

* * *

Telefon bimbit berdering, menyedarkan Ayra dari terus tenggelam dengan kisah-kisah lalu. Dia lantas mencapai telefon bimbit Nokia C3 atas meja di hujung kepala.

Nama Dean tertera pada skrin telefon. Dia menarik nafas lalu menjawab panggilan daripada Dean.

“Hello. Kau ada masalah? Wonderpets akan segera datang membantu.”

Ayra memulakan bicara.

“Hei, kau dah lupa ke?”

Dean menjerit di hujung talian. Ayra segera menjauhkan telefon bimbit dari cuping telinga. Suara Dean hampir memecahkan gegendang telinganya. Pembesar suara segera diaktifkan.

“Hoi, kau ingat aku pekak ke?”

“Kau tak pekak. Tapi berkemungkinan kau dah jadi pelupa.”

“Er...”

Ayra menggaru-garu kepala. Dean sewenang-wenang menuduhnya pelupa.

“Lupa apa?”

“Dah pukul lapan sekarang. Kau kata nak ke kedai buku.”

Ayra terus menoleh ke arah jam dinding.

“Ya Allah, aku terlupa!”

Ayra menepuk dahinya. Dia benar-benar terlupa dengan program yang telah dirancangnya bersama Dean.

“Huh, lima minit aje aku boleh tunggu ni. Kalau kau lambat, aku pergi dulu!”

“Mana sempat lima minit nak bersiap. 15 minit ye?”

Ayra terlupa dengan janjinya. Pagi tadi, semasa di kelas, dia ajak Dean ke Kedai Buku Popular yang terletak di pusat membeli-belah Kinta City. Dia mahu membeli buku ilmiah untuk digunakan semasa kursus. Pensyarah ada mengesyorkan beberapa buah buku yang sesuai untuk dijadikan bahan rujukan.

Rakan baik Ayra yang ada kereta hanya dua orang saja; Dean dan Nadiira. Rakan sekelas yang lain ada juga kenderaan, tapi dia segan dengan mereka. Antara lima pelajar lelaki yang ada di kelas, hanya Dean sahaja yang dia tak segan untuk berbual dan bergurau senda.

Ayra bangun meninggalkan katil. Dia sempat menyelak langsir. Dean tidak kelihatan di bawah. ‘Pasti Adiy sedang menantinya di kawasan parkir blok asrama lelaki. Itulah tempat yang dijanjikan.

Matanya kemudian beralih ke tempat letak kereta berhampiran pagar. Kosong. Nadira belum sampai. Hari ini Nadira ponteng kelas lagi. Nadira berani melanggar peraturan. Kehadiran para pelajar ke kuliah sepatutnya seratus peratus. Ayra berdoa agar esok Nadira kembali ke kampus.

Sikat rambut dicapai. Rambutnya yang separas pinggang segera disikat. Raut wajahnya dalam cermin diperhati. Sudah berbeza wajahnya dulu dan sekarang. Dulu berat badannya tak pernah mencecah 40kg. Tapi sekarang berat badannya sudah meningkat ke 45kg. Kulitnya yang dulu juga putih tapi sekarang sedikit gelap kerana asyik berjemur di bawah panas terik mentari. Semasa belajar di UiTM dulu, asrama kediaman pelajar terletak agak jauh dari fakulti. Ketika itulah kulit mukanya mula berubah warna.

‘Aku bukan Ayra yang dulu lagi.’

Pintu almari pakaian dibuka. Tidak banyak pakaian yang dibawa ke kampus. Hanya ada lima pasang baju kurung, sehelai jeans dan dua helai blaus. Tiada pilihan. Tangannya terus mencapai jean dan blaus putih. Tanpa membuang masa, dia terus mengenakan pakaian.

‘Lima minit sahaja Dean beri masa aku untuk bersiap! Huh! Nak turun tangga lepas tu menapak ke tempat yang dijanjikan pun mengambil masa lima minit. Dean tak fikir langsung soal ni. Mentang-mentanglah dia ada kereta!’ Ayra merengus!

Ayra mencapai beg tangan yang tersangkut pada tombol pintu. Zip dibuka untuk memastikan dompet ada di dalam. Dia kemudian mencapai telefon bimbit lalu dimasukkan ke celah poket beg. Ikutkan hati, mahu saja ditinggalkan telefon bimbit dalam bilik. Tapi risau pulak kalau Suhaila terbaca mesej yang tak diingankan.

Pintu bilik ditarik. Ayra yang sudah menyarung sandal terus melangkah keluar. Pintu bilik segera dkunci. Suhaila masih belum pulang. Lepas habis kuliah, dia terus keluar dating dengan tunangnya yang sanggup datang dari Manjung.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.