Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
68,200
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 13

“Hoi, berangan ke?”

Dean mengejutkan Ayra yang sedang mengelamun panjang. Entah apa yang difikirkan Ayra. Bila ditanya, Ayra akan jawab ‘tak ada apa-apa.’ Sedangkan perilaku yang dipaparkannya memang menunjukkan ada ‘sessuatu’ yang difikirkan oleh gadis itu.

Terpinga-pinga Ayra. Sedar tak sedar mereka sudah meninggalkan Butterworth setengah jam yang lalu.

“Sah, berangan!” Dean geleng kepala, tersenyum. “Sejak tadi aku bercakap seorang diri rupanya.”

“Mana ada aku berangan... aku tak sihatlah!”

Ayra enggan mengaku tuduhan yang dilemparkan Dean. Fikirannya melayang ke tanah kelahirannya, nun di kaki gunung Kinabalu. Terbayang-bayang kenangan indah bersama sahabat baiknya Syidah yang entah berada di mana sekarang.

“Ye lah tu, macamlah aku tak tahu. Bila kau nampak aje kelibat teman lelaki Dira, kau pun tiba-tiba jatuh sakit. Macam ada sesuatu di antara kau dengan lelaki tu.”

Tersentak Ayra dengan kenyataan Dean yang tak semena-mena.

‘Macam ada sesuatu di antara aku dengan teman lelaki Dira? Benarkah??? Rupa dan suara yang hampir sama. Adakah mereka orang yang sama???’

Ingin sekali dia bertanya sendiri pada Nadira nama penuh teman lelakinya itu. Siap dengan nama bapanya sekali serta negeri kelahirannya. Barulah dia akan mendapat kepastian adakah mereka orang yang sama atau hanyalah pelanduk dua serupa.

Ayra harus mengatur strategi. Dia tidak boleh tergesa-gesa mengajukan pertanyaan demi pertanyaan pada Nadira. Sudah tentu Nadira akan mengesyaki sesuatu.

“Betul tak tekaan aku yang kau kenal bakal tunang Dira tu?”

Dean tanya lagi. Diam Ayra seolah-olah tekaannya sebentar tadi tepat. Menyelinap rasa cemburu di dadanya andai Ayra dan bakal tunang Nadira saling mengenali. Tambah parah kalau mereka pernah menjalin hubungan.

‘Ya Allah, kenapa sampai ke situ sekali fikiranku?’ Dean segera menepis fikiran negatif.

“Aku langsung tak kenal teman lelaki Dira tu. Malah, aku tak tahu pun yang Dira dah nak melangsungkan pertunangan. Dia tak pernah bercerita pada aku tentang teman lelakinya tu. Kalau kau nak tahu, inilah pertama kali aku melihat bakal tunang Dira.”

Ayra memberi penjelasan walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada dia mengenali atau tidak dengan tunang Nadira. Rasa macam kenal, tapi orang mati mana boleh hidup kembali. Mustahil!!!

‘Tapi, kalau dia masih hidup, bukankah aku yang sepatutnya bersyukur??? Bersyukur kerana aku bukan pembunuh seperti mana yang aku fikir selama ini.’

“Betul ni?” desak Dean.

“Aku tak kisah sama ada kau nak percaya dengan kata-kata aku atau tak.”

Ayra sudah bosan hendak memberi penjelasan.

“Pelik! Kalau kau tak kenal langsung dengan lelaki tu, kenapa dia asyik pandang wajah kau. Lagak dia tu macam dia kenal sangat dengan kau. Cuba kau ingat kembali, entah-entah dia tu rakan sekolah kau dulu ke...”

Ayra telan air liur. Dakwaan Dean hampir menggugurkan jantungnya!

“Di... dia pandang aku?”

Sukar untuk Ayra mempercayai kata-kata Dean.

“Kau ingat aku reka cerita ke? Betul kau tak kenal dia?”

Dean inginkan kepastian lagi.

Ayra geleng kepala. Lemah. Resah! Bingung!

‘Jika dia memandang aku, bererti dia mungkin mengenaliku. Bererti dia lelaki yang sama. Jadi benarlah telahanku. Teman lelaki Dira ialah Adiy. Kalau tak kenal, buat apa lelaki itu hendak pandang aku pulak.’

Fikiran Ayra jadi buntu memikirkan dari mana Shahin Adiy muncul. Dari kubur? Mustahil! Shahin Adiy setahunya tidak mempunyai kembar. Dia juga tidak mempunyai saudara lelaki lain. Adiy anak tunggal lelaki dalam keluarganya.

Sudah enam tahun Shahin Adiy hilang dari pandangannya. Sangkanya lelaki itu sudah meninggalkan alam fana ini.

Ayra mengeluarkan telefon bimbit sebaik sahaja terdengar isyarat getar. Mungkin mesej dari Aisyah, dia membuat andaian.

KAU TAK PERLU SEMBUNYI LAGI. AKU AKAN BONGKAR SIAPA KAU YANG SEBENAR!

Mesej itu lagi! Tak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Mesej yang mengganggu fikiran itu menerjah peti simpanannya lagi.

“Siapa yang hantar mesej?”

Terus Dean melemparkan pertanyaan.

“Maxis!”

Dan itulah jawapan yang kerap Ayra berikan.

“Muka kau tu... berkerut-kerut. Macam ada yang tak kena je. Ye ke Maxis yang hantar mesej pada kau?”

“Betul la.”

Ayra meraup mukanya.

‘Sudahlah Dean, jangan tanya lagi. Kepala aku dah pening.’ Mula-mula dirinya diganggu dengan mesej misteri. Dan sekarang lelaki yang seiras Shahin Adiy pulak yang muncul. ‘Adakah semua ini hanyalah satu kebetulan?’

“Kalau kau ada masalah, jangan segan untuk beritahu aku. Kita kan dah kenal sejak hari pertama mendaftar lagi. Mana tahu, aku mampu selesaikan masalah kau tu.”

“Maafkan aku Dean... tiba-tiba sahaja aku rasa badan aku lemah. Tak sihat. Aku nak tidur. Maafkan aku.”

Ayra terus menyandarkan tubuhnya pada kusyen kereta. Dia pejamkan mata. Dengan cara tersebut, dia berharap Dean akan berhenti menyoalnya.

“Macam ada yang tak kena je aku tengok kau ni Ayra.”

“Aku penat... tak sihat.”

“Tulah, siapa suruh bersembang sampai lewat malam dengan si Ila dan Aisyah tu.”

“Kami tak bersembanglah. Kami belajar tau.”

“Yelah tu. Orang perempuan ni bila sekali sekala berjumpa terus tak ingat dunia. Bersembang, bergosip itu ini lepas tu gelak-gelak sampai lewat malam.”

Ayra mencebik bibir mendengar komen Dean. Apa yang disebut Dean ada benarnya. Tapi bukan sebab itu yang membuatkan tubuhnya jadi lemah. Ada sebab lain yang tak boleh dikongsi dengan Dean atau rakan-rakan yang lain.

“Cuti Hari Merdeka nanti balik tak?”

Dean ubah topik. Mungkin Ayra serabut dengan pertanyaannya. Ayra bukan miliknya lagi. Dia tak berhak mengongkong gadis itu.

“Bila?”

“Eh, Hari Merdeka pun dah tak ingat bila? Macam mana boleh jadi cikgu ni?”

Dean geleng kepala sambil tergelak kecil.

‘31 Ogos... ah, cuti lagi!’ Ayra tidak begitu ambil peduli soal cuti. Dia lebih suka mengajar daripada bercuti. Suhaila dan rakan-rakan yang lain pula lebih suka bercuti. Mereka boleh balik kampung dan melakukan pelbagai aktiviti. Dia juga akan menanti cuti seandainya dia boleh balik ke kampung halamannya.

“Balik tak?”

Dean mengejutkan lamunan Ayra. Ayra menggeleng kepala.

“Hari Merdeka jatuh hari Isnin tau. Rugi tak balik.”

“Kampung aku tu jauh. Malas la nak balik kalau cuti pendek.”

“Alah, Sabah tu kan dalam Malaysia lagi. Aku teringin nak ke Sabah. Kalau kau balik, boleh la aku ikut sekali. Untung kalau dapat berkenalan dengan keluarga kau.”

Dean memang serius. Dia berniat hendak berkenal-kenalan dengan keluarga Ayra. Bila dah kenal, senanglah kalau nak masuk meminang. Kalau ikutkan hati, hujung tahun ni jugak dia mahu mengikat tali pertunangan dengan Ayra. Pertengahan tahun depan terus kahwin.

“Alahai kesiannya... Tak apalah. Nanti aku balik Sabah, kau ikutlah sekali.”

“Cuti Hari Merdeka ni ye. Mesti cantik kan kampung kau tu. Dengar cerita tempat tu sejuk sangat.”

Ayra terdiam. Pekan kecil Kundasang terbayang di ruang mata. Cuaca yang sejuk menggamitnya untuk pulang ke kampung halaman segera. Di sana, kipas atau alat pendingin hawa tidak diperlukan. Sudah bertahun-tahun dia tidak menjejakkan kaki ke kampung halaman. Rindu terhadap keluarga di kampung kekadang mengasak jiwa. Pernah dia termimpikan kampung halamannya tiga malam berturut-turut. Terjaga sahaja dari tidur, hati melonjak-lonjak ingin balik. Namun bila memikirkan apa yang telah berlaku, hati jadi tawar. Dia tidak pasti bila akan menjejakkan kaki ke kampung lagi.

“Bukan cuti ni. Lain kali. Cuti Merdeka ni tak sempat kalau nak balik. Buat penat saja.”

“Hujung tahun ni?”

Ayra geleng kepala. Dia tak pasti sama ada dia akan menjejakkan kaki ke kampung lagi. Bahaya andai dia pulang ke kampung. Dia mungkin akan ditangkap di sana. Kerinduan gagal mengatasi rasa takut di hatinya. Wajah ayah bonda bermain di ruang mata. Begitu juga dengan wajah adik-adik kesayangannya. Rindu hatinya untuk mendengar khabar mereka.

“Aku tak sabar nak berkenalan dengan ibu dan ayah kau.”

Ayra mengesat air mata. Tidak semena-mena, air matanya jatuh ke pipi. Mujurlah dia sedang memandang ke luar. Dean tentu tak perasan dengan keadaannya.

“Lain kalilah.”

“Kalau kau tak cukup duit nak balik kampung, jangan segan, bagitahu saja aku. Nak bayar tambang pergi balik, aku tak ada masalah.”

Terharu Ayra mendengar kata-kata Dean. Lelaki itu benar-benar menyayanginya sehingga sanggup berkorban wang ringgit. Tapi, entah kenapa langsung tidak terdetik di hatinya untuk menerima cinta lelaki itu. Dean hanya mampu ditempatkan sebaris dengan sahabat-sahabatnya yang lain, tidak lebih dari itu.

“Bukan soal tu.”

“Jadi? Soal apa lagi?”

“Jauh.”

“Bukan kena berenang pun.”

“Jangan buat lawak.”

“Dah tu, kau juga cakap jauh, kan? Kenderaan tak boleh masuk ke kampung kau ke?”

“Boleh.”

“Kalau macam tu, tak jauh la.”

Ayra malas hendak berdebat dengan Dean. Penghujungnya, dia juga yang akan kalah berdebat dan akhirnya terpaksa bersetuju untuk membawa Dean balik ke Sabah.

“Kau tak rindukan keluarga kau di sana?”

‘Bodoh! Kenapa soalan itu yang kau tanya? Dah tentu aku amat rindukan mereka semua, Dean. Dan aku juga rindukan rakan-rakan lama... terutama sahabat baikku, Syidah. Sejak meninggalkan kampung, aku langsung tidak mendengar khabar gadis itu lagi.’

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.