Bab 19

ZAHRIN melangkah ke pejabat dengan penuh gaya. Sepasang sut kelabu yang tersarung di tubuh menjadikannya lebih kacak.  Kebanyakan gadis yang berselisih bahu dengannya pasti akan menoleh beberapa kali.  Kedua-dua belah tangan diseluk ke dalam kocek seluar. Semakin teruja pula dia bila banyak mata memandang ke arahnya tidak berkerdip.

Aura jejaka bernama Zahrin itu terlalu kuat, umpama magnet yang menarik perhatian sesiapa saja.  Wajah kacak persis model Turki itu sering disalah guna untuk menggoda gadis-gadis cantik di luar sana.  Anehnya pagi itu suasana di pejabat agak sunyi.  Bola mata jatuh ke permukaan jam.  Sudah pukul 8.15 pagi.  Langkah kaki Zahrin terhenti di bilik Tia.  Melilau indera pandang mencari kelibat Tia. 

Entah ke mana gadis itu menghilang.  Pelik bin ajaib.  Selalunya batang tubuh Tia sedia terpacak pada waktu-waktu begini.  Dia meneruskan langkah ke biliknya sendiri.  Tombol pintu diputar.  Hampir jatuh rahangnya melihat Haider dan beberapa wajah yang tidak dia kenali berada di dalam biliknya sendiri.

Hati kian berdetak laju tatkala lensa matanya melekat ke jasad Tia yang duduk di kerusi dengan seorang wanita berusia namun anggun di sebelah Tia.  Kering darah dalam tubuhnya seketika.  

"Selamat pagi, bos!"  Suara Zahrin hampir tidak keluar.  

"Tak payah nak selamat pagi sangatlah!" bidas Haider geram.

"Ini kau punya?"  Haider terus saja menyoal tanpa mukadimah panjang.

Zahrin meneguk liur sendiri.  Nak mengaku atau tidak.  Bagaimana pen drive itu boleh berada di tangan Haider.   Seingatnya dia sudah menyorokkan barang itu di dalam laci.  Ini mesti ada yang sengaja yang mahu mencari pasal dengannya.  Bola matanya bergerak memandang Tia yang masih berteluku.  Sah, memang kerja gadis itu.

"Bukan, bos."

Pang!

Terangkat bahu semua orang yang berada di situ.  Langsung tidak terduga itu yang bakal terjadi.  Zahrin memegang pipinya sendiri yang perit ditampar.

"Aku tak akan bertolak ansur dengan pervert macam kau.  Ini office, bukannya lorong Haji Taib!  Dan Tia tu staff aku, PA aku!  Bukan pelacur jalanan yang boleh kau sentuh sesuka hati."

Marah benar Haider nampaknya.  Jarang-jarang sekali sisi Haider yang satu ini terpamer.  Terbeliak mata Gina saat melintasi bilik itu secara tidak sengaja.  Rugi kalau tidak mencuri dengar.  Segera cuping telinga dilekap ke dinding.

"Bos lebih percayakan perempuan tu dari saya?  Heh!  Perempuan kolot macam tu bukan taste saya pun.  Lagipun dia tu cuma PA je.   Kenapa nak pertahankan dia sangat.  Setakat pen drive tu tak boleh dijadikan bukti kukuh untuk menuduh saya. 

Entah-entah dia sendiri yang download video lucah tu untuk perangkap saya.  Semua orang dalam bilik ni dah diperbodohkan oleh perempuan kolot tu."  Zahrin berkata angkuh.  Tia dijeling tajam.  Zahrin mengomel sendiri namun tidak didengari sesiapa. Suka dia dapat mengenakan Tia semula.

'Oh… patutlah si Tia tu monyok semacam!'  Membulat mulut Gina bila mengetahui hal yang sebenarnya.  Nampaknya perbualan mereka semakin menarik.

Haider menapak ke arah Zahrin yang masih ketawa.  Kalau diikut kata hati, pecah juga muka Zahrin di situ.  Tetapi dia perlu menjaga nama baik Juta Empire.  Sekali terpalit dengan kontroversi, bukan bisnesnya saja yang terjejas, bahkan sumber pendapatan stafnya juga turut terjejas.

"Aku tak pernah cakap ada video lucah dalam ni.  Aku tak cakap apapun lagi.  Macam mana kau boleh tahu, eh?" Haider menyinis.  

Zahrin terkesima dengan kebodohan sendiri.  Otaknya ligat mencari alasan lain.  Ini Zahrin lah! Pantang mengalah bila dicabar.

"Kenapa tanya saya, tanyalah perempuan tu.  Macam saya cakap tadi, entah-entah dia sendiri yang download untuk perangkap saya.  Untung-untung dapat kahwin dengan orang berpangkat.  Hei, perempuan!  Baik kau mengaku yang kau memang sengaja reka cerita."

"Tak!  Saya tak reka cerita, bos, Puan Habibah.  Memang Encik Zahrin cuba ambil kesempatan pada saya lepas dia tunjukkan video bodoh tu."  Tia menjawab untuk mempertahankan diri.  Telunjuknya lurus ke arah Zahrin. 

"Kau…"  Zahrin menerpa ke arah Tia dan cuba menampar mulut lancang gadis itu.

"Encik Zahrin!  Saya rasa khidmat awak cukup sampai di sini."  Puan Habibah mencelah setelah sekian lama menjadi pemerhati.

Zahrin menoleh, menyorot matanya kepada wajah tua di sebelah Tia yang cuba dia kasari.

"Awak siapa?"  Kasar Zahrin menyoal.  Geram pula bila wanita tua yang entah siapa-siapa itu mengganggu rancangannya.

"Nama dia Puan Habibah.  Ibu kesayangan aku merangkap pemegang syer terbesar dalam syarikat ni.  Ada masalah?"

Mata Puan Habibah singgah ke wajah Haider yang merah padam.  Haider kalau mengamuk boleh tahan juga gayanya.  Ikut perangai siapalah agaknya.  Puan Habibah geleng kepala.  Baginya kekasaran bukanlah jalan penyelesaian yang baik.  Dia ada caranya yang tersendiri.  Yang lebih beradab dan beretika.

"Saya rasa awak tak ada masalah pendengaran, kan?  Kami pemilik Juta Empire tak perlukan staf yang tidak bermoral macam awak.  Kami tak mahu staf-staf yang lain tidak selesa untuk bekerja di sini.  Jadi, awak boleh kemas barang-barang awak semua dan pergi dari sini.  Sex harrasment tidak patut berlaku di tempat kerja.  Apatah lagi di Juta Empire."  

Puan Habibah menyilangkan lengan.  Air mukanya serius dan tegas.  Zahrin masih muda dan berbakat.  Silapnya kerana dia terlalu mengikut darah muda.  Masa depannya boleh musnah disebabkan masalah itu. 

"Kau orang ingat aku hairan sangat nak kerja kat sini? Ini Zahrin lah.  Silap besar kau orang pecat aku."  

Jeritan Zahrin bergema di ruang bilik itu.  Otot pipinya bergerak-gerak kerana dicabar.  Dia tidak akan berdiam diri seperti tugu negara.  Dia akan membalas dendam hingga Haider jatuh terduduk.  Zahrin mencampakkan kot ke dalam kotak barangan peribadi miliknya.  Dia mengusung kotak itu tanpa memandang wajah mereka.  

"Zahrin…," panggil Haider.  Langkah Zahrin terhenti seketika.

"Saya akan pastikan tiada satupun syarikat di Malaysia ni akan terima awak berkerja.  Ingat tu."  

Zahrin menoleh sekilas dengan senyuman hambar.  Sempat dia meludah ke lantai.  Benci dia melihat muka Tia yang suka mengadu.  Benda sekecil itupun sanggup dia perbesarkan hingga periuk nasinya terjejas.  Bukannya sampai tahap merogol.  Tak mengapa, masa masih panjang.  Tia boleh tersenyum riang dan bertepuk tangan atas kemenangannya.  Tiba masanya, dia akan pastikan Tia jatuh ke tangannya juga.

"Encik Zahrin," sapa satu suara.

Belum sempat Zahrin berpaling pipinya ditumbuk kuat.  Habis terpelanting keluar segala isi di dalam kotak.  Jari lelaki itu mencalit cecair panas yang turun dari rongga hidung.  Darah!  Penumbuknya dikepal.  Muka menyinga Gina ditenung benci.  

"Itu balasan dari saya sebab Encik Zahrin biadab dengan kawan saya.  Nasib saya cuma bagi penumbuk, kalau saya bagi jurus bebola api dah mati Encik Zahrin saya kerjakan."

Perlakuan drastik Gina menjadi tontonan umum.  Zahrin berlalu tanpa mengutip barangannya yang bersepah di lantai.  Dia cukup benci dengan semua orang di Juta Empire.  Tanpa disedari sesiapa, ada sepasang mata yang menyaksikan kejadian itu dengan rasa berbaur.

Gina meluru ke arah Tia yang sembab wajahnya kerana menangis.  Tubuh gadis itu dipeluk kuat.

"Kenapa kau tak beritahu aku awal-awal, Tia?  Kalau tak aku dah ajar buaya Turki tu cukup-cukup."  Gina melepaskan pelukan.  Dia mencari anak mata Tia untuk mendapatkan jawapan.

"A… aku takut!"  Suara Tia bergetar.  Walaupun segala-galanya telah berakhir trauma yang dilaluinya bukan sedikit.  

"Semuanya dah selesai.  Awak tak perlu takut lagi, Tia.  Lepas ni jangan pendam masalah tu seorang diri, okey?" Puan Habibah mengusap lembut ubun-ubun Tia.

Tia mengangguk dengan linangan air mata.  Terlalu besar jasa Puan Habibah sekeluarga kepadanya sejak dulu.  Tak terdaya baginya untuk membalas budi mereka.

"Terima kasih, puan, bos.  Terima kasih sebab percayakan saya."

"Saya dah anggap awak macam anak saya sendiri.  Bukannya saya tak kenal peribadi awak tu, Tia."  

Tangan kanan Tia dipegang lembut oleh Puan Habibah, cuba menyalurkan keyakinan pada gadis itu.  Hati Haider seperti disiat-siat melihat pembantu peribadi kesayangannya disakiti.  Apatah lagi melihat wajah sembab Tia yang dibasahi air mata.  Tidak pernah dia melihat Tia sesedih itu.

Gina turut mengesat air mata Tia.  Gadis itu semakin kurus dan cengkung.  Bermacam dugaan yang terpaksa dia lalui seorang diri.  Susah juga bila memiliki muka cantik.  Dia bersyukur dengan wajahnya yang biasa-biasa.  Tak adalah dia diganggu oleh pervert seperti Zahrin.

"Saya beri awak cuti satu hari.  Baliklah berehat di rumah.  Gina boleh bantu saya hari ni," kata Haider lembut.  Gina mengangguk laju setuju dengan cadangan Haider.

"Terima kasih, bos."  Tia segan bila Haider melihatnya begitu.  Seboleh-bolehnya wajahnya disembunyikan dari tatapan mata Haider.  

Puan Habibah menarik lengan anak terunanya untuk memberi ruang kepada Tia dan Gina.  Haider melangkah pergi dengan hati yang berat.  

"Sorry, Gina sebab susahkan kau lagi."

"Tak ada apalah.  Cuma aku pelik, kenapa kau tak beritahu aku dulu pasal ni.  Kecik hati aku, tau."   Gina tarik muncung sedepa.

Tia membatukan diri.  Dia tiada kekuatan atau dalam erti kata lain dia tidak tahu untuk berbuat apa bila menjadi mangsa gangguan seksual di pejabat.  Terlalu banyak kerenah yang harus dia lalui.  Rahsia itu terbongkar setelah Haider melihat sendiri video yang dirakam Tia malam semalam.  

Gina membiarkan Tia dalam dunianya sendiri.  Tidak guna dia memaksa jika Tia sendiri tidak mahu membuka mulut.  Dia bersyukur kerana Puan Habibah dan Haider cukup menjaga kebajikan staf mereka di situ.  

Ada satu lagi rahsia yang dia sembunyikan dari pengetahuan semua.  Tiada siapa pun tahu akam skandal yang berlaku antara Zahrin dan Nelly.  Wajah Nelly langsung tidak kelihatan dalam video itu.  Dan Haider pula tidak berminat untuk ambil tahu.  Haider cukup lega bila dapat menyingkirkan Zahrin dari Juta Empire.  Sampah seperti Zahrin tidak harus disimpan lama kerana ia akan membusuk dan menyebabkan ramai lagi gadis menjadi mangsa.

Tas tangan disangkut ke bahu. Sepasang kaki bersarung sepatu coklat melangkah menuruni lif.  Tiba-tiba satu pesanan WhatsApp dari Haider muncul di skrin telefon.

Haider

Pak Rashid akan hantar awak balik.  Dia dah tunggu awak di lobi.

Tia mengeluh seketika.  Pak Rashid yang dimaksudkan ialah pemandu peribadi Puan Habibah.  Rasanya Haider tidak perlu menolongnya sejauh itu.  Dia boleh pulang sendiri dengan teksi mahupun Grab.

Tia

Baik, bos.

***


NELLY termenung di dalam biliknya seorang diri. Segala kerja tertangguh kerana terkejut dengan apa yang menimpa Zahrin.  Sedikit-sebanyak hatinya gusar.  Dia bimbang sekiranya ulah buasnya itu terbongkar.  Rancangannya untuk memikat Haider pasti menjadi lebih sukar.  

Perasaan bencinya terhadap Tia semakin meluap-luap.  Segala kerja yang hendak dilakukan menjadi tidak kena.  Lamunannya terhenti oleh deringan telefon di atas meja.  Dengan malas Nelly mengangkat ganggang.

"Okey.  Aku tahu," jawabnya pendek.

Dia mengeluarkan bedak kompak dari laci.  Bibir nipis dioles dengan gincu.  Rambut panjang melepasi bahu dirapikan dengan jarinya saja.  Selepas berpuas hati dengan penampilannya sendiri, Nelly mengatur langkah ke peiabat Haider.

Pintu bilik dikuak setelah mengetuknya beberapa kali.  Belum sempat dia menggedik matanya terbuntang melihat Puan Habibah duduk di sofa.

"Puan, lama betul tak datang ke sini.  Puan sihat?"  Hanya itu soalan yang terlintas di kepala Nelly.  Klise dan basi.  Dihulur tangannya kepada Puan Habibah untuk bersalaman.

"Alhamdulillah, sihat."

Haider memberi isyarat kepada Nelly agar duduk di kerusi  sejurus perbualan pendek mereka tamat.  Nelly melabuhkan punggung di kerusi.  Nelly cuba mengukir senyum walau payah.  

"Awak tahu Zahrin dipecat?" 

Nelly menggeleng.  Dia cuba pamerkan riak muka terkejut.  "Tapi, kenapa dengan tiba-tiba Encik Zahrin dipecat?" 

Nelly sengaja mencipta soalan walhal dia sedia maklum akan sebab yang sebenarnya. 

"Sebab dia buat sexual harrasment pada Tia.  Dia pernah buat benda sama pada awak?" 

"Errr… tak, bos.  Tak pernah," balas Nelly laju.  

Nelly cuba mengawal gejolak rasa.  Urat-urat saraf di muka terasa kejung.  Segala kekuatannya dikumpul agar tidak ternampak janggal. 

"Baguslah kalau tak pernah.  Budak tu berani betul buat maksiat dalam office.  Kalau saya tahu siapa perempuan tu, siaplah!" 

Haider mengepal buku lima.  Nelly meneguk liur terkesan dengan amaran itu.  Semerta peluhnya merenik di dahi.  Renungan tajam Haider menikam-nikam dadanya seperti sembilu.  Ternyata identitinya belum terbongkar.  Namun hati Nelly dihambat resah. 

Perbualan mereka bertukar kepada urusan kerja.  Telefon pintar milik Nelly berdering.  Nama Zahrin jelas terpapar di skrin.  Keringat dingin membasahi dahi gadis itu.  Dia cuba menyorokkan telefon itu di bawah meja. 

"Jawablah dulu panggilan tu.  Mana tahu panggilan penting." 

Nelly pantas menggeleng.  Cari nahas namanya jika dia menjawab panggilan tersebut.  Zahrin pun satu hal.  Sendiri cari penyakit sendirilah tanggung. 

***



Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh