Bab 3

SYAMIL meraup mukanya beberapa kali.  Pandangan matanya merayap ke wajah Tia mengharapkan Tia sudi mendengar keluhan hatinya.  Tia sabar menanti penjelasan daripada Syamil yang zahirnya kelihatan tenang, sedangkan hatinya berserabut dengan masalah.

“Mil ada masalah sikit.  Adik Mil nak sambung belajar, tapi tak cukup duit.  Perniagaan Mil pun sekarang ni jatuh merudum. Mil Dah janji dengan mak akan selesaikan urusan pembelajaran adik, Linda.”

“Duit simpanan Mil?” soal Tia laju.  Syamil tersenyum nipis. Kepalanya digeleng berkali-kali.

“Dah susut, Tia.  Hampir semuanya Mil laburkan dalam perniagaan.  Mil akan kumpul semula wang itu untuk pertunangan kita,” luah Syamil sebak. Anak mata dilarikan dari terus-menerus ditenung Tia.

Bukan hal pertunangan yang Tia risaukan, akan tetapi hal pengajian Linda yang mungkin tertangguh gara-gara masalah kewangan yang dialami.

“Berapa lagi jumlah yang Syamil perlukan?”  tanya Tia polos.

Syamil mendongak.  Dia menggeleng tanda menolak pelawaan secara tidak rasmi dari Tia.  Tidak seharusnya Tia diheret bersama dalam kemelut masalah keluarganya.  Ikhtiar lain akan dicari, tetapi bukannya terus mengharap ihsan Tia setiapkali ditimpa musibah..

“Tak perlu, Tia.  Mil cuma nak luahkan apa yang Mil hadapi. Sekurang-kurangnya itu akan buat Mil rasa lega.”  

“Mil, Tia ikhlas untuk meringankan beban Mil.  Berapa lagi yang Mil perlukan?” ulang Tia bersungguh-sungguh.

“Lagi tiga ribu ringgit.”  Terbeliak mata Tia mendengar jumlah yang disebut Syamil.

“Ba… banyak tu.”  Tergagap-gagap Tia membalas.

“Ya.  Tapi Mil dah mati kutu nak cari kat mana lagi.”  Nampak benar kekusutan yang melanda diri Syamil.

“Tak apa.  Tia akan bantu.”

“Tapi….”

“Tia ikhlas nak bantu Mil.  Tolong jangan menolak,” kata Nia nekad.

“Terima kasih, sayang.”

Tia mengukir senyuman manis.  Syamil membalas renungan Tia yang redup, cuba bermain mata dengan sang kekasih.  Tia jatuh dalam api cinta yang marak menyala.

“Mil janji pengorbanan Tia takkan sia-sia.  Mil juga akan bayar hutang-hutang Tia itu nanti.” Bersungguh-sungguh Syamil menabur janji dan memberi ayat manis.

“Iyalah.  Kita jangan cakap lagi tentang hal ni.  Anggap saja masalah Mil dah selesai. Tia laparlah, Mil.  Apa kata kita makan dulu?” cadang Tia sekaligus menutup topik perbualan mereka.

“Bo… boleh.  Tia belanja Mil, boleh?  Poket Mil tengah kering ni.”  Pipi Syamil merona kemerahan menahan malu.

“Poket kering?  Habis tu, tadi Mil belikan Tia bunga tu kenapa?”  

Rasa marah mula membara di hati Tia.  Syamil memang suka membazir untuk perkara yang tidak penting dan sia-sia.  Buktinya, dia lebih mementingkan jambangan bunga untuk memujuk dirinya dari hal-hal yang lebih perlu.

“Mil nak pujuk Tia.  Mil tak patut biarkan emosi menguasai diri Mil semalam.  Mil minta maaf,” tutur Syamil perlahan. Seraut wajah penyesalan terpamer jelas di depan mata.

Tia menyandarkan tubuh di kerusi. Betapa singkatnya pemikiran Syamil dalam membuat keputusan.  Syamil ditarbiah tentang pembaziran.

"Mil tahu tak? Ada Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran-Mu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isra':27)

Tolonglah, Mil.  Tia rayu sangat-sangat buanglah segala sikap membazir yang ada dalam diri Mil. Tia tak suka. Tia tak perlu bunga atau hadiah untuk memujuk Tia. Apa yang paling penting, Mil jaga hati Tia, sebagaimana apa yang Tia lakukan sekarang ini pada Mil.  Faham tak maksud Tia?"

Syamil terpukul dengan hujah Tia yang memberi maksudnya yang paling dalam.  Perlahan-lahan Syamil mengangguk dan menyesali perbuatannya.

Jeda menguasai suasana mereka berdua.  Beberapa minit kemudian Tia membuat pesanan makanan setelah sekian lama berbual panjang. Sehingga itu, hanya kebisuan yang menemani perjumpaan mereka kali ini sehinggalah pesanan tiba di meja mereka.

“Mil hantarkan Tia balik, ya,” pelawa Syamiil usai Tia membuat pembayaran di kaunter.

“Tak apalah.  Tia boleh balik sendiri.”

“Tia, biar Mil hantar Tia balik.  Mil dah banyak terhutang budi dengan Tia.”  

Syamil memegang kedua-dua belah bahu Tia dan merenung tepat ke dalam anak mata gadis manis itu.  Tia kurang selesa dengan perbuatan Syamil terhadapnya. Akhir-akhir ini, tangan Syamil kerap menyentuh badannya biarpun secara berlapik. Tia tidak suka dengan hal itu. Dia ada prinsip yang tegas tentang bab bersentuhan antara pasangan yang bukan muhrim. Tubuhnya dikeraskan seperti batu kerana terlalu takut.

Tangan Syamil jatuh ke bawah, dan dia cuba untuk memegang telapak tangan Tia yang digenggam kemas. Pantas Tia mengelak dan berundur setapak ke belakang. Tia bersedia untuk pergi tanpa perlu Syamil menghantarnya pulang.

Lengan baju Tia ditarik perlahan sekaligus menghalang Tia dari melangkah pergi.  Tia berdiri di situ tidak berganjak.

"Sekurang-kurangnya, berilah Mil peluang untuk membalas budi Tia.  Atau… Tia malu dengan Mil yang tak berduit ni?" Nada suara Syamil seakan merajuk.

Seperti biasa, mana mungkin Tia membiarkan hati insan yang disayanginya disakiti.  Lambat-lambat dia mengangguk setuju. Syamil terrsenyum suka apabila Tia tidak menolak pelawaannya.  Segera dia ke tempat letak kereta lalu menjemput Tia di hadapan restoran tempat mereka menjamu selera.

‘Kereta ni lagi?’ Hati Tia tiba-tiba berasa sakit.

Tia melangkah masuk tanpa banyak soal.  Dia sudah malas mahu berbalah tentang isu sama, hanya memarakkan api kemarahannya saja.  Kereta Mitsubishi yang dipandu Syamil memasuki perkarangan apartment Tia. Gear diubah ke N setelah brek tangan diangkat.

“Jadi… bila agaknya Tia boleh bagi Mil duit tu?” Syamil bertanya sebelum sempat Tia keluar dari keretanya.

“In shaa Allah, esok.  Sempat, kan?” Tia membalas.  Pandangan mata mereka bertembung.

“Sempat.  Terima kasih, sayang,” ucap Syamil dengan senyuman.

“Sama-sama.  Saya naik dulu.  Penat sangat hari ni banyak kerja.”  Sebelah kaki Tia sudah menjejak tanah.  

“Bye, sayang!” Syamil melambaikan tangan tatkala Tia menapak ke arah lif.

°°••°°


USAI membersihkan diri, rambut panjang Tia dilap dengan tuala.  Dia melabuhkan punggung di kerusi meja solek. Laci meja ditarik perlahan, lantas buku berkulit biru dikeluarkan.  Helaiannya diselak dan jumlah angka yang bercetak ditatap.

‘Lima ribu ringgit,’ keluh Tia hampa.  

Bersusah-payah dia menyimpan duit gajinya sedikit demi sedikit untuk keperluan di masa kecemasan.  

‘Inipun dikira kecemasan juga.’  Tia menyedapkan hatinya sendiri.

“Tia, jom makan!”  Tersembul wajah Erin di balik pintu.  

Tia terburu-buru menyembunyikan buku bank simpanannya di dalam laci sehingga tidak sedar jari telunjuknya tersepit.

“Aduh!”

“Kau tak apa-apa ke, Tia?” soal Erin cemas.  Pantas jari Tia yang tersepit dipegang.

“Cuai sangat kau ni,” marah Erin.  

Anak Erin tertancap pada buku biru di dalam laci yang tidak bertutup rapat. Erin menolak tangan Tia dengan kuat, lalu dia bercekak pinggang.  Erin seperti dapat menghidu niat tersembunyi Tia.

“Kali ni siapa pula?  Jangan cakap untuk Syamil lagi!”

Tia menekur lantai.  Lidahnya kelu. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan.  Segala telahan Erin sebenarnya benar belaka.

“Ya Allah!  Sedarkanlah kawan aku seorang ni.  Kau memang tak tahu erti serik ke, Tia?  Hutang-hutang kau yang sebelum ni si Syamil tu dah lunaskan ke belum?”

Tia menggeleng perlahan. Jari-jemarinya diramas-ramas.  Air matanya juga hampir merembes ke pipi.

“Kali ni aje, Erin.  Aku kesian kat adik Syamil.  Dia nak sambung belajar tapi tak cukup duit.”  

“Mak ayah dia ada, kan?  Lagipun, itu tanggungjawab Syamil sebagai anak sulung, bukannya kau!”  Suara Erin kuat bergema di dalam bilik.

“Lambat-laun keluarga Syamil nanti akan jadi keluarga aku juga.  Biarlah aku bantu sekadar yang termampu.”

“Tia!  Kau bukan isteri Syamil.  Sekalipun kau sah menjadi isteri Syamil, itu bukan tanggungjawab kau. Sampai bila si Syamil nak jadikan kau bank bergerak? Sedarlah!” Bahu Tia digoncang kuat.  Tia sudah tersedu-sedan menangis.

“Buku kau ni aku simpan.  Maafkan aku, Tia. Aku tak sanggup nak tengok kau dipijak-pijak dan dipergunakan oleh Syamil.”

Buku simpanan Tia dirampas Erin. Walau puas dirayu dan dipujuk, Erin tetap tidak berganjak dari keputusannya.

‘Apa aku nak beritahu pada Syamil esok?’ lirih suara hati Tia.

°°••°°


INI duitnya.”  Tia menyuakan sekeping sampul surat kepada Syamil.

Lelaki itu menerimanya dengan serba-salah.  Isinya diintai dari luar.

“Jumlahnya cukup macam yang Mil minta, tiga ribu ringgit.  Beritahu Linda, belajar rajin-rajin. Tak perlu nak risaukan apa-apa lagi dah.”  Sempat lagi Tia menitipkan pesan.

“Terima kasih, Tia.  Mil janji, Mil takkan mensia-siakan hidup Tia,” kata Syamil bersungguh-sungguh.  

Dia hampir menangis kerana Tia sanggup berkorban bukan sahaja untuk dirinya, bahkan kepada keluarganya juga.  Gadis polos di hadapannya berusaha menarik senyum walau hatinya terselit rasa terkilan.

°°••°°


MINGGU depan aku nak balik kampung.  Kau nak ikut?” Erin bersuara sebaik saja melabuhkan punggung di sisi Tia.

Mata Tia tertancap tepat ke kaca TV yang memaparkan filem aksi lakonan Jackie Chan.  Walaupun filem itu sudah lama, asalkan hero kesayangan Tia yang beraksi, Tia tetap setia menonton sehingga ke penamat cerita.

“Kalau sekadar balik hujung minggu aku tak ada masalah, tapi kalau nak tambah cuti aku tak dapat.  Kau tahulah kerja aku macam mana. Nak kena cari pengganti dululah, itulah... inilah.”

Tia menyeluk tangannya ke dalam bekas kerepek kentang milik Erin. Pantas tangan kanan Tia disambar Erin. Dia membelek-belek pergelangan tangan Erin yang kosong.

“Mana gelang kau?” tanya Erin kehairanan.

“Gelang aku?  Oh, gelang tu.  Aku simpan. Rimas, susah nak buat kerja bila pakai gelang,” dalih Tia tanpa memandang ke muka Erin yang garang bak singa betina lapar itu.

Gelang emas milik Tia yang dimaksudkan mempunyai kenangan sentimentalnya yang tersendiri.  Ia dibeli dengan hasil gaji pertama Tia di tempat dia bekerja sekarang. Sejak tersarung di tangannya, Tia tidak pernah menanggalkan gelang itu sehinggalah ke hari ini.

“Tia, kau jawab betul-betul kat mana gelang kau sekarang?”  Oktaf suara Erin meninggi. Tia buat-buat tidak dengar sambil mengunyah kerepek kentang sehingga tinggal sedikit.

Tanpa diduga Erin merentap lengan Tia sekaligus memaksa Tia bertentang mata dengannya.  Tia meringis kesakitan. Apa yang Erin tahu, Tia sedang berbohong. Kata-kata yang terluah di bibirnya tadi sekadar menutup perbuatan yang cuba ditidakkan oleh akal Erin.

‘Moga-moga kata hati aku tersilap,’ bisik Erin.

“Apa dia, Erin?” soal Tia malas.  Agak sentap bila hal peribadinya cuba dicabul oleh Erin.

“Kau jual gelang kau, eh?” tekan Erin. Matanya mencerun tajam kepada Tia yang gelisah bak cacing kepanasan itu.

“Kenapa kau diam?  Betul tak apa aku cakap tadi?”  

Tia cuba mengelak daripada bertembung pandang dengan Erin. Sahabatnya itu boleh bertukar menjadi raksasa pada bila-bila masa bila diserang amarah.

“Aku tahu kau tak selesa bila aku cuba masuk campur hal kau, Tia. Tapi kau tu kawan aku. Kita kenal sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Aku cuma ambil berat tentang diri kau. Aku tak nak kau dijadikan alat untuk kepentingan diri mereka. Kenapa kau berfikiran dangkal begini?”

Air mata Tia bergenang di pelupuk yang terpejam.  Tayangan filem aksi di depan mata bertukar hambar seiring dengan perasaan Tia ketika ini.  Jelas terpancar riak kecewa di tampang wajah Erin.

“Aku tak tahulah nak cakap macam mana lagi.  Dan aku pun tak tahu sama ada kau ni terlalu lurus ataupun terlalu bodoh.  Kau selalu je ikut telunjuk si Syamil.

Bagi aku Syamil tu cuma memperkudakan kau saja.  Kau fikirlah kata-kata aku ni, Tia. Aku rasa kau dah cukup matang untuk hadam semua benda yang aku pernah cakap kat kau sebelum ni.”

Tanpa berlengah, Erin mengangkat punggung lalu beredar ke bilik tidur. Pintu bilik dihempas kuat menandakan sahabatnya itu benar-benar marah.

Demi meringankan beban Syamil, sekaligus menyelesaikan masalah buah hatinya yang dikenali hampir empat tahun itu, Tia sanggup menjual gelang tangannya untuk mendapatkan sejumlah wang.  

Dia tidak sanggup berkata ‘tidak’ dan membiarkan Syamil berhutang dengan orang lain.  Lagipun, dia yakin dengan cinta Syamil terhadapnya bukanlah satu sandiwara.

°°••°°


MONYOK je hari ni?  Tertelan biji nangka ke?” Gina dapat mengesan kekeruhan di wajah ayu Tia pada pagi itu.  

Tia tidak bersemangat dan aktif seperti hari-hari sebelumnya.  Dia duduk di meja melakukan tugas-tugas hakikinya seperti biasa.  Adakalanya, Tia akan termenung dan menyeka air mata yang hampir menitis.

“Aku sakit kepala.” Ringkas jawapan Tia dan dia amat berharap agar tiada lagi soalan yang akan diajukan dari Gina.  

Anginnya tidak berapa baik.  Pagi tadi sebelum keluar rumah, dia cuba menegur Erin.  Namun Erin langsung tidak menghiraukan Tia. Dia menganggap Tia seperti tidak wujud di rumah sewa itu.

“Nah!  Makan ubat ni.  Karang melarat sakit tu susah pula Encik Haider.”

“Terima kasih.”  

Tia mengerling sekilas dua biji panadol pemberian Gina yang diletakkan di atas meja bersama sebotol air mineral.  Gina berlalu meninggalkan Tia setelah telefonnya berdering minta diangkat.

“Tia, masuk sekejap,” arah Haider dari dalam.

Buku catatan dan sebatang pensil disambar sebelum tubuhnya dibawa ke bilik Haider.

“Duduklah.  Awak ambil dictation ni.”

Satu tabiat Haider yang Tia perasan, jika memberi dictation, Haider akan berjalan ke hulu ke hilir di dalam biliknya.  Sesekali tangannya di letakkan ke belakang badan. Tia mengambil dictation tersebut dengan kusyuk.

“Baiklah, cuba awak baca balik apa yang saya beritahu tadi.”

Tia tersentak dari lamunan.  Segera dia membaca semula garisan-garisan trengkas yang dicatat.  Setelah berpuas hati, Haider akan menyuruh Tia menaipnya dan diberikan kepadanya semula untuk ditandatangani.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu,” Kata Tia lemah.  

Kepalanya tiba-tiba berdenyut dengan kuat.  Sinaran cahaya lampu yang menyuluh ke wajahnya dirasakan terlalu menyakitkan mata. Longlai langkah yang diayun sebelum dia terjatuh terjelupuk ke lantai.

Bunyi kuat seperti nangka busuk itu membuatkan Haider mengangkat wajah.  Batang tubuh Tia sudah sudah menyembah bumi dan terlentang tidak bergerak.

“Gina, tolong saya.  Tia pengsan!”

Haider lantas bangun tergesa-gesa cuba mendapatkan Tia yang terbaring di tengah-tengah ruang pejabatnya itu.

°°••°°




Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh