Bab 14

"MIL ada nampak tak kad ATM sayang?"

Puas Fairuz menyelongkar setiap inci ruang tas tangan miliknya mencari sekeping kad ATM berwarna merah hati.  Itu sajalah satu-satunya kad yang dia ada. Setiap celah dan ruang juga dikelebek. Manalah tahu jika dia sendiri yang tersalah letak dan ada terselit di mana-mana lipatan.  Kadang-kadang dia juga pelupa orangnya lantaran terlalu banyak hal yang harus difikir.

"Huh!" Keluhan kecil dilepaskan.  

Rasa sedih dan penat bercampur-baur menjadi satu.  Sudahlah pagi itu dia agak lewat untuk ke kuliah. Wajah dipaling kepada Syamil yang terbaring terlentang membelek telefon pintarnya.  

"Mil…."

"Hmmm…," jawab Syamil sepatah.  Matanya masih melekat pada skrin telefon.  Sibuk benar lagaknya ketika itu.

"Sayang nak pinjam duit sikit.  Boleh?"

"Mil mana ada duit."

"Ala… tolonglah.  Kad ATM sayang hilang entah ke mana.  Lepas habis kuliah nanti sayang pergilah bank gantikan kad baru.  Tolonglah…." Fairuz merengek meminta simpati, mengharapkan belas insan dari seorang lelaki yang amat dicintainya.

"Mil cakap tak ada duit, tak ada duitlah!  Apa yang susah sangat nak faham ni?"  

Oktaf suaranya meninggi.  Riak muka juga berubah. Perempuan itu memang sengaja mencari pasal dengannya.  Rasanya dia bercakap dengan bahasa yang paling mudah dan menggunakan Bahasa Melayu, bukannya bahasa asing yang lainnya.

Syamil bangun dan tubuhnya disandar ke dinding.  Decitan marah terdengar jelas di cuping telinga Fairuz.  Rokok terakhir dikeluarkan dari kotak dan diselit di celahan bibir.  Tangan meraba-raba bawah bantal untuk mencari pemetik api. Benci pula Fairuz melihat Syamil dalam keadaan itu.  Minta tolong sedikitpun Syamil tidak betah. Walhal Syamil lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding di tempat kerja.   Tunangnya itu sering mengelak bila ditanya tentang pekerjaan yang dilakukannya kini. Jiki beginilah gayanya, nampaknya tempoh pertunangan mereka terpaksa dilanjutkan.

Fairuz mencuba nasib.  Kali ini nada suaranya lebih lunak diperdengarkan.  Berdoa agar sekeping hati milik Syamil lembut dan lebih bermurah hati.

"Sebelum ni sayang tak pernah minta tolong dengan  Mil. Kali ni sayang terdesak. Boleh ya, Mil? Petang nanti sayang ganti balik."  Secalit senyuman manis dihadiahkan buat tunang tercinta.

Malangnya usaha Fairuz langsung tidak terkesan di hati Syamil.  Malahan dia benci. Dia sakit hati bila terpaksa ulang jawapan sama berkali-kali.  Riak wajah pemuda itu bersahaja. Tetapi urat-urat di pipinya timbul dan ototnya bergerak-gerak.   Syamil senyum tipis, setapak demi setapak langkah kaki kian mendekati jasad Fairuz yang berdiri di hadapannya.  

Fairuz mengundur langkah, setapak demi setapak jua ke belakang dan bola mata dipegun tepat pada raut wajah Syamil yang tegang.  Tatkala jarak antara mereka cuma beberapa inci, asap rokok itu dihembus tepat ke muka Fairuz. Terbatuk-batuk gadis itu menahan bau asap yang memedihkan mata dan menyesakkan dada.

"Arkkk!"

Tanpa diduga, rambut Fairuz yang siap didandan dicekak kuat oleh Syamil sehingga kepalanya terdongak ke atas.  Perit.

"Sa… sakit, Mil."

"Tahupun sakit.  Hati aku yang sakit ni ada kau peduli?  Bila aku cakap tak ada duit kau desak aku sampai kepala aku sakit.  Betina bodoh!"

Kepala Fairuz ditolak-tolak kasar sehingga mukanya terlekap ke dinding.  Air mata Fairuz laju merembes keluar. Wajahnya yang tadinya ceria dan cantik berubah duka dalam sekelip mata.  Rintihan dan rayuan bergema di dalam bilik tidur mereka. Tidak langsung memberi erti kepada Syamil akan kesakitan Fairuz.  Sebaliknya dia suka dan puas bila mendengar pujuk rayu gadis itu. Ia bagai satu irama indah yang menenangkan jiwa.

"Sakit, Mil.  Sakit!"

"Kau blah sekarang!  Aku benci tengok muka kau.  Sial!"  

Serentak dengan itu, cengkaman Syamil dilepaskan.  Syamil mencapai tuala lalu bergegas ke bilik air meninggalkan Fairuz yang diselubungi kesedihan.  Puas hati Syamil dapat mengajar Fairuz yang tidak reti bahasa.

Tubuh Fairuz terjelepok ke lantai dan belakang badannya juga terhentak dengan kuat dan sakitnya tidak terperi.  Digagahi jua dirinya untuk bangkit dengan tangannya ditongkat pada dinding sebagai penyokong untuknya berdiri. Fairuz terpaksa menenangkan dirinya buat beberapa ketika.  Dia tidak boleh hadir ke kuliah dalam keadaan serabut dan hati yang tidak tenteram. Baru saja hendak melangkah keluar, nama Fairuz diseru. Siapa lagi jika bukan Syamil si durjana.

"Sayang nak pergi kuliah juga ke?" soal Syamil lembut.  Perwatakannya berubah-ubah sesuka hatinya.

Fairuz bingung.  Tidak percaya dengan apa yang terpapar di depan mata.  Adakah telinganya salah mendengar? Atau sememangnya dia sedang bermimpi. Persis ombak, emosi Syamil berbolak-bolak dalam sekejapan mata.

"Ya.  Dah lewat ni.  Sayang pergi dulu."  Daun pintu dikatup seraya memulakan langkah pertama.

Tidak semena-mena pintu utama ditahan dari ditutup.  Syamil yang hanya membalut tubuhnya dengan sehelai tuala menarik lembut tangan Fairuz sehingga tubuh gadis itu terdorong ke dalam rumah, rapat ke dada Syamil yang bidang dan akhirnya kulit mereka bersentuhan.

"Mil… sayang dah lewat sangat ni."  

Fairuz rasa seperti hendak menangis.  Faham benar akan kehendak Syamil tatkala ekspresi wajah itu ditonjolkan.  Sungguh dia tiada hati untuk bermesra. Ada hal yang lebih penting dari itu yang menjadi keutamaannya.

"Mil nak sayang layan Mil sekarang ni."

Tanpa sempat berkata apa-apa, bibir mereka bercantum penuh nafsu.  Dan seperti biasa juga Fairuz tewas dalam godaan dan sukar memadam api ghairah yang menyala dalam diri.

"Sayang nak pergi mana?" 

"Pergi kolej.  Sayang nak siapkan tesis kat sana."

Walaupun waktu kuliahnya telah tamat, Fairuz tetap juga ingin ke kolej untuk menyambung tesisnya yang tergendala.  Semuanya gara-gara Syamil. Segala data yang tersimpan di dalam telefon pintar Fairuz hilang begitu sahaja akibat salah faham.  Hanya dengan satu pesanan ringkas daripada rakan lelaki sekelas Fairuz, Syamil naik hantu dan telefon itu dihempas ke lantai sehingga hancur.

Tanpa berlengah, Fairuz menyarung bajunya kembali sejurus membersihkan diri.  Syamil yang keletihan menjamah tiap inci tubuh Fairuz yang terdedah dengan ekor matanya sebelum dibalut pakaian sepenuhnya.  Syamil terpempan apabila Fairuz mencapai kunci kereta yang tersangkut di dinding. Kelam-kabut Syamil bersiap dan memeluk tubuh berisi Fairuz dari belakang.

"Biar Mil hantarkan."

Fairuz tersenyum manis dan membiarkan saja Syamil mengelus-ngelus kulit lengannya dengan lembut.  Dia perlu menahan diri daripada tergoda. Dia tidak mahu mengulangi lagi babak cumbu mereka buat kali kedua.

Kunci yang berada di tangan Fairuz dirampas oleh Syamil.  Mereka berjalan beriringan ke parkir dan beredar apabila enjin kereta dihidupkan.  Tiba-tiba, kereta yang dipandu Syamil berhenti di satu stesen bas awam dan mengisyaratkan Fairuz supaya turun.

"Apa ni?  Mil cakap tadi nak hantar sayang?"  Fairuz membebel tidak puas hati.

"Aku hantar kau kat sinipun dah cukup baik dari aku suruh kau jalan kaki."  Syamil melempar senyuman sinis dan seram seperti watak badut dalam filem It.

Marah dan benci.  Dua rasa itu bercampur menjadi satu, menikam-nikam dada Fairuz sehingga sesak.  Syamil kejam. Syamil juga bersikap mementingkan diri sendiri. Tidak sedarkah Syamil bahawa kereta itu bukanlah hak miliknya?

Kaki dihentak kuat ke jalan tar dan Fairuz terpaksa menunggu bas di bawah terik panas mentari yang memanah ke ubun-ubun.  Segala sumpah seranah dilemparkan kepada Syamil.

••°°••


"BAD, macam tak jalan je mandrem yang demo suggest tu.  Boleh percaya ke tidak tok bomoh tu?"

"Sabar.  Bendo molek kena banyok sabar.  Demo tunggu jah. Sari duo nanti dio mari melutut ko demo."  

Badrul menyedut air sirap bandung buat penghilang dahaga.  Nasi putih digaul bersama kuah sup dan sambal belacan, tidak lupa secebis telur dadar dikaut dengan sudu dan disuap ke dalam mulut.  Nikmat sungguh rasa sup ekor Warung Jamilah. Bikin ketagih jadinya jika tidak dinikmati dalam seminggu.

"Kak Milah, saya nak nasi yang sama dengan Badrul."  

"Baik!" sahut Jamilah dari dapur.

Melihat Badrul menyuap makanan, perutnya tiba-tiba terasa lapar.  Masakan tidak, dia langsung tidak bersarapan ataupun minum. Fairuz pula satu hal.  Sarapan untuknya langsung tidak disediakan. Dalam berfikir dia tergeleng beberapa kali.

"Dekat dua bulan dah ni.  Nak tunggu lama mana lagi?"  Syamil meluahkan rasa curiganya.

"Kawe kato doh demo kena sabar.  Tapi, kawe peliklah dengan so bendo ni."

Perbualan mereka terhenti seketika untuk memberi laluan kepada Kak Milah bagi menghantar pesanan.

"Terima kasih, kak."

"Sama-sama." 

Kak Milah berlalu bersama senyuman manis.  Boleh dikatakan Syamil dan Badrul adalah pelanggan tetap Kak Milah hampir setiap hari.  Masakannya sedap. Harganya juga berpatutan. Sesuai sangatlah dengan isi poket mereka yang tidak berapa penuh.  Syamil menikmati kuah sup yang masih berasap. Hirupan pertama sudah cukup nikmat. Mahu dia makan bertambah juga nanti.

"Apa yang peliknya?"  Syamil bertanya tanpa menoleh kepada Badrul.

"Demo ado Fairuz.  Dalam maso samo demo nok ko Tia.  Lagu mano sebenarnya demo ni?"  

Hampir bercantum kening Badrul memikirkan.  Cemburu pun ada juga. Dengan mudah Syamil dapat mengambil hati dua orang gadis sekaligus.  Sedangkan nasibnya pula tidak sebaik Syamil. Sering saja ditinggalkan sang gadis setelah beberapa bulan menjalin hubungan.  Mungkin kerana faktor dia kurang kacak. Atau mungkin juga poketnya tidak tebal, dan tidak pula memandu kereta berlogo 'H.' Dia sedar bahawa dia hanyalah lelaki biasa yang serba kekurangan.

Iyalah, kerja sebagai kerani pejabat pos di tengah-tengah kota raya ini memerlukan dia bekerja lebih gigih untuk mencari pendapatan tambahan.  Jika hendak diharapkan wang gajinya sebagai kerani biasa, mak dan ayahnya di kampung pasti terpaksa mengikat perut. Justeru, apa saja kerja yang dirasakan setimpal dengan upah Badrul tidak akan sekali-kali menolak.

Syamil tersengih dengan pertanyaan Badrul.  Dalam masa sama juga dia bangga dengan dirinya sendiri.  Dua orang gadis bakal dia miliki tidak lama lagi. Mana boleh dia lepaskan Tia; calon isteri dan bakal ibu yang terbaik untuk anak-anaknya nanti.  Manakala, Fairuz pula bakal memulakan perniagaannya sendiri dan bolehlah dia hidup goyang kaki dan memakan hasilnya saja setiap bulan.  

"Demo kan pernah jumpa Tia.  Demo tau la Tia tu macam mana." Syamil malas untuk menerangkan lebih lanjut.  

Badrul mengangguk faham.  Perilaku Tia jauh lebih baik dan sopan berbanding Fairuz yang agak moden cara hidupnya.

"Doh tu, Fairuz lagu mano?  Demo nok nikoh duo ko guano ni?  Berat, berat." Badrul ketawa hambar serentak dengan gelengan.

"Salah ke?" soal Syamil seraya menyuap suapan terakhirnya.

"Ikut pandai demo lah, Mil.  Kalu jadi gapo-gapo jangan cari kawe lagi."

Syamil mengelap mulutnya dengan tisu.  Seperti lazimnya, sebatang rokok dicucuh buat 'pencuci mulut.'

"Demo tak masuk kerja lagi ke?"

Syamil melihat jam di tangan kiri.  Kurang 15 minit lagi ke angka dua petang.  Badrul masih bersenang-lenang di kedai makan itu.  

"Kejap lagilah.  Pejabat kawe buke jauh mano pun."  

Gelas yang bersisa air batu itu digoncang beberapa kali.  Tidak cukup dengan itu, Badrul mencedok ais tersebut dengan sudu.  Terdengar letupan kecil di dalam mulutnya saat ais itu dikunyah.

"Senang betul jadi demo.  Masuk kerja pergi punch card lepas tu pergi minum.  Masuk ofis sekejap lepas tu keluar lagi makan tengah hari.  Lepas ni apa lagi, makan petang?" Sinis Syamil menyoal. Badrul hanya buat tidak tahu dan berpura-pura sibuk membaca pesanan WhatsApp yang masuk bertalu-talu.

"Kawe pergi dulu, neh.  Terimo kasih sebab belanjo kawe."  Badrul pamit dengan helmet di tangan.  Langkahnya laju seperti dikejar anjing gila.

"Siapa nak belanja demo?  Hei, Badrul! Bayar sendirilah!" 

Sia-sia saja tempikan Syamil itu kerana Badrul telah selamat menunggang motorsikal dan pulang ke pejabat.  Dengan omelan yang tidak jelas, terpaksa jua Syamil menjelaskan bil makan tengah hari mereka berdua.

'Nasiblah kau ada, sayang.'

Sekeping kad ATM berwarna merah dicium Syamil lalu keretanya dihala ke cawangan bank yang berdekatan.

'Cis!  Ada RM100 aje.  Mana cukup!'

Hati Syamil memberontak.  Bersusah-payah dia mencuri kad ATM milik Fairuz dengan niat untuk berjoli.  Malang pula yang memihak kepadanya kerana duit di dalam akaun hanya berbaki RM100.  Apa saja yang dapat dibelanjakan dengan wang sebanyak itu? Beli seluar dalam pun belum tentu lepas.

••°°••


"KAU dah makan ke, Fairuz?" 

Kavitha meletakkan buku-bukunya di atas meja sebelum duduk di kerusi.  Fairuz sedari tadi terpunduk mengangkat wajah dan tersenyum nipis.

"Aku kenyang lagi."

Kavitha mengeluh kecil.  Satu bungkusan berbentuk bulat dikeluarkan dari beg galas.  Begitu juga sekotak air soya.

"Makanlah.  Kalau tak pandai menipu janganlah menipu.  Tengok air muka kau pun aku tahu kau tengah lapar."

Roti berinti kacang merah dan air soya dipandang sekilas.  Perutnya berlagu sumbang sejak tadi. Dia tiada duit untuk membeli makanan.  Jujur, langsung tiada. Dia bergantung harap kepada duit simpanannya yang berbaki kurang RM200.  Wang sebanyak itu digunakan dengan cermat hingga ke akhir bulan. Sampai di kolej, Fairuz terus saja berlalu ke bilik air.  Pili di sinki dibuka dan air yang deras mengalir itu diminum buat mengalas perut.  

"Jangan banyak fikir.  Ambil saja. Aku ikhlas beri pada kau."  

Seakan mengerti Kavitha mencucuk penyedut air soya dan disua kepada Fairuz yang merah padam mukanya.  Terlalu banyak dia terhutang budi kepada Kavitha. Walaupun berlainan agama dan bangsa, Kavitha tidak kisah untuk membantu.  Halnya bersama Syamil juga Kavitha tahu.

Kolam mata Fairuz melimpah dengan air mata.  Saat kudup mata dipejam, air matanya jatuh berlinangan ke pipi.  Kavitha bangun lalu memeluk Fairuz dari belakang. Gadis India berhidung mancung dan seiras pelakon Sonam Kapoor itu bertindak menenangkan Fairuz yang berantakan emosinya.

"Aku tak tahulah, Vee.  Aku rasa aku nak tinggalkan Syamil tu.  Tapi aku takut. Hidup kami bergelumang dengan dosa.  Aku takut, aku takut mak dengan ayah aku tahu apa yang aku buat selama ni.  Mati aku, Vee. Mati!"

Vee merupakan panggilan mesra bagi Kavitha.  Mereka mengambil keputusan untuk mengambil angin di sebuah taman yang agak jauh dari hiruk-pikuk orang ramai.  Tempat sebegitu cocok dengan situasi mereka sekarang ini.

"Kalau kau tahu itu dosa, kenapa kau ulanginya lagi?"  Kavitha cuba menyelami isi hati Fairuz.  

Jika dia tidak dapat menyelesaikan masalah Fairuz sekalipun, setidak-tidaknya bebanan di bahu sahabatnya itu dapat dikurangkan.  Dia tidak kisah meminjamkan telinga untuk mendengar, dan menyediakan bahunya untuk bersandar. Dia lakukannya kerana dia senang berkawan dengan Fairuz.

"Entahlah.  Aku tak dapat kawal diri aku sendiri.  Bila aku dengan dia, aku seperti merelakan ia terjadi.  Lepas tu aku sedar, aku dah buat silap. Tak ada gunanya lagi, Vee.  Penyesalan tak akan dapat mengembalikan maruah aku semula."

Hidungnya yang memerah kerana menangis digenyeh dengan tisu.   Dia rela pekungnya dibuka. Dia tidak sanggup untuk menanggungnya seorang diri.

"Kau sudah ketagih dengan intercourse.  Itu tindak balas semula jadi bagi seorang manusia bila digoda.  Kalau kau bertekad untuk tidak melakukannya lagi, kau kena lawan keinginan kau.  Jauhi Syamil selagi kau orang belum dinikahkan."

Ketagih.  Benar kata Syamil.  Jika sekali dia merasa nikmat dunia itu, maka dia akan sentiasa ingin dibelai.  Syamil bijak. Lelaki itu telah mengumpan dirinya agar jatuh ke lembah hina. Dengan cara itu saja Syamil dapat mengikat dirinya daripada beralih arah dengan lelaki lain.  Bodohnya dia!

Fairuz menggengam jari-jemari Kavitha.  Seolah-olah memohon sedikit kekuatan untuk dirinya agar pendiriannya terus teguh.

"Terima kasih, Vee.  Aku kene gerak dulu ke tempat kerja.  Esok kita jumpa lagi."

Mereka membawa haluan masing-masing selepas mengucapkan selamat tinggal.  Demi menampung hidup di kota raya, Fairuz terpaksa membuat dua pekerjaan; sebagai pensyarah di sebuah universiti awam, dan juga bekerja sebagai pembantu optometris di sebuah kedai cermin mata yang terletak di dalam bangunan pasar raya terkemuka.  

Wang gaji yang diperoleh kebanyakannya dihabiskan oleh Syamil.  Dia sendiri pun tidak tahu kenapa begitu mudah jatuh simpati tiapkali Syamil mengadu permasalahan yang dihadapinya.  Adakala, alasan-alasan itu langsung tidak boleh diterima akal waras sesiapa. Fairuz juga runsing memikirkan persiapan perkahwinan mereka yang bakal berlangsung dalam beberapa bulan sahaja lagi.  Hatta satu barang pun tidak dibeli.

"Chen, saya pergi bank sekejap.  Kad ATM saya hilang. Cadangnya nak buat yang baru."  

Fairuz meminta kebenaran kepada pemilik kedai optik setelah pelanggan beransur reda.   Sejak masuk kerja tadi pelanggan tidak putus-putus datang penangan promosi akhir tahun yang diuar-uarkan di media sosial.

Selesai urusan pembaharuan kad, Fairuz menapak ke mesin ATM untuk memeriksa baki.  Enam angka kata laluan baru ditekan dan nafasnya seakan-akan terhenti tatkala melihat paparan baki di skrin.

••°°••












Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh