Bab 13

"TIA, ini Encik Zahrin designer baru Juta Empire. Mula hari ni, Encik Zahrin akan bertanggungjawab dalam hal-hal rekaan corak terbaru untuk tekstil syarikat ini."

Zahrin menghadiahkan satu senyuman manis buat Tia. Tangan dihulur sebagai salam perkenalan. Tia membalas senyuman itu dan tangannya dibawa ke dadanya sendiri sebagai tanda hormat. Berubah air muka Zahrin dan pantas tangannya ditarik.

"Selamat datang ke Juta Empire, Encik Zahrin," ucap Tia sopan. Anak matanya dilarikan apabila dia sentiasa menjadi tatapan mata coklat Zahrin sedari tadi.

"Boleh awak tunjukkan Encik Zahrin pejabat baru beliau?" Permintaan Haider mematikan resah di hati Tia.

"Boleh. Silakan, Encik Zahrin."

Zahrin membuntuti langkah cermat Tia dengan bersahaja. Jarak bilik mereka tidaklah terlalu jauh. Hatta dari dalam bilik Zahrin saja dia dapat melihat Tia di luar.

"Ini bilik Encik Zahrin," kata Tia sebaik sahaja pintu bilik itu ditolak. Ruang pejabat yang sederhana luas tetapi selesa itu agak mengagumkan Zahrin.

"Hmmm... not bad!"

Zahrin mengitari ke setiap sudut. Terdapat sebuah meja yang lengkap dengan komputer di sudut sebelah kanan. Manakala, di sebelah kirinya terdapat sebuah kabinet fail dan rak kecil sebagai tempat simpanan fail.

"Kalau Encik Zahrin perlukan apa-apa beritahu saja saya. Saya minta diri dulu."

Tia menapak keluar dengan laju. Tidak betah dia tinggal berdua-duaan dengan Zahrin. Pemuda itu memiliki satu aura yang tidak disukai Tia. Tetapi terlalu awal baginya untuk membuat kesimpulan. Tia kembali ke meja dan menyudahkan baki tugasan yang ada.

Sedang leka menaip minit mesyuarat, tiba-tiba saja Tia diserang sakit kepala. Dia memicit kasar kepalanya dan berharap agar rasa sakit itu berkurangan. Memandangkan banyak fail yang bertimbun di meja, Tia terpaksa juga mengambil pil penahan sakit. Setelah berehat seketika, rasa sakit itu reda dan dapatlah Tia menyambung kerjanya semula.

"Busy?"

Tia mendongak dan agak terkejut apabila wajah Zahrin begitu hampir dengannya. Jantung berdetak laju kerana dia tidak suka berada dalam situasi sebegitu.

"Ha'ah. Busy sikit." Lensa matanya kembali dilempar pada papan kekunci. Jari-jemarinya lincah menaip di setiap aksara.

Pap!

Tia beristighfar dalam hati. Zahrin bertindak agak agresif dengan meletakkan tangannya kasar di atas papan kekunci. Sikit saja lagi kulit tangan mereka mungkin bersentuhan. Tajam pandangan mata Tia menikam anak mata Zahrin yang bercahaya. Sedikitpun Tia tidak berasa tergugat dengan pandangan mata itu.

"Inikan dah masuk waktu rehat. Kerja tu sampai bila-bila pun takkan habis. Jom, makan dengan saya." Zahrin cuba menggoda Tia dengan suara serak-serak basah miliknya.

Keluar dengan lelaki lain selepas Syamil adalah tidak sama sekali. Lagipun, dia tidak suka dilihat berdua-duaan dengan rakan sekerja lelaki di situ. Tahu sajalah, mak cik dan pak cik bawang ada di mana-mana. Tia tidak rela jika dia dijadikan topik perbualan bawang rangers. Berbulan, bahkan mungkin bertahun-tahun dirinya akan dicemuh dan itu pasti memberi impak terhadap kehidupannya seharian.

"Terima kasih sajalah, Encik Zahrin. Saya tak lapar."

Tia menarik papan kekunci hampir dengannya. Dia menaip minit mesyuarat itu tanpa menghiraukan kehadiran Zahrin yang amat menyakitkan hati. Zahrin tersenyum senget. Tidak pernah lagi mana-mana gadis sanggup menolak ajakannya selama ini. Sebaliknya garis-gadis yang tidak tahu malu itu yang selalu datang menyerah diri kepadanya.

Pada hari pertama di Juta Empire saja dirinya tercabar oleh gadis tinggi lampai yang bersikap dingin. Tidak mengapa, masa masih panjang. Dia pasti Tia juga sama dengan gadis-gadis terdahulu yang berpura-pura jual mahal pada mulanya dan akhirnya melutut jua di kakinya suatu hari nanti.

"Okeylah, si workaholic. Jumpa lagi nanti."

Tia menarik nafas lega. Sesak nafasnya dengan ulah Zahrin yang cuba bergurau kasar. Tia yakin Zahrin sengaja bertindak begitu demi meraih perhatiannya sama seperti lelaki-lelaki yang lainnya.

Tepat jam 2.15 petang, deria pendengarannya disapa oleh gelak-ketawa Zahrin dan Nelly. Semakin lama, derap langkah mereka semakin dekat. Tatkala melalui pejabat Tia, sempat Zahrin mengenyit nakal kepada Tia yang melihat mereka secara tidak sengaja. Nelly pula seperti biasa, beku seperti ais di Kutub Utara. Tia tidak kisah akan itu semua selagi tidak mendatangkan mudarat kepadanya.

"Itu ke designer baru kita?" sergah Gina di muka pintu.

"Kau ni, Gina. Suka sangat buat aku terkejut. Lain kali ketuklah pintu tu dulu. Kalau hari-hari macam ni mahu sakit jantung aku jadinya. Silap hari bulan, 'jalan' terus." Bicara Tia laju seperti peluru berpandu.

Gina menayang gigi seraya mengundur setapak dan mengetuk daun pintu beberapa kali. Tia menggeleng dan menyusun fail-fail ke dalam kabinet mengikut abjad.

"Nampak serasi je dia orang berdua tu. Apa yang orang-orang tua selalu cakap tu? Bagai pinang dibelah dua? Haaa... macam tulah."

Tidak sampai seminit Gina di situ suasana di bilik Tia terus saja gamat dengan suaranya yang nyaring dan kuat.

"Baguslah tu. Asal tak kacau hidup aku sudahlah."

"Hai, bunyi macam cemburu je tu."

Tia membulatkan matanya. Dalam kamus hidupnya langsung tidak ada istilah cemburu terhadap sesiapapun, terutamanya Nelly.

"Tolonglah. Aku lagi suka kalau dia orang ada apa-apa."

"Okey, okey. Aku cuma nak bagi kau ini je."

Satu beg plastik bersaiz sederhana dihulur kepada Tia. Gina dapat mengesan angin Tia yang kurang baik. Justeru dia tidak mahu berlama-lama di situ, risau jika angin Tia bertukar ribut.

"Apa ni?" Tia menyambutnya lambat-lambat.

"Nasi ayam. Puan Mastura kat tingkat lima tu belanja kita orang tadi. Dia ingatkan kau ada sekali dekat restoran tadi, jadi dia bungkuskan untuk kau makan."

"Puan Mastura belanja? Kenapa, eh?"

"Anak sulung dia dapat keputusan cemerlang dalam SPM. Tu kira kenduri kesyukuranlah kut."

"Oh!" Hanya itu yang terpacul dari bibir Tia sepanjang satu harakat.

"Terima kasih, Gina. Errrr... kau jaga depan ni sekejap, boleh? Aku nak makan dulu. Sekejap je." Mana boleh tahan bila bau makanan yang lazat itu menggoda seleranya. Perut yang tidak lapar pun pasti menjerit minta diisi.

"Sekejap je, kan?" tanya Gina meminta kepastian. Lehernya panjang mengintai ke pintu bilik Haider yang bertutup rapat.

"Kau tak payah risaulah. Encik Haider tak masuk lagi. Terima kasih, Gina!"

Langkah Tia diatur ke pantri apabila Gina mengangkat ibu jarinya. Tidak sampai sepuluh minit, nasi ayam itu habis dimakan. Usai mengemas dan mencuci tangan Tia membancuh dua paket minuman coklat di dalam muk putih.

"Coklat panas ni khas untuk kau."

Muk yang masih berasap disua kepada Gina. Tersengih Gina menyambutnya dengan ucapan terima kasih. Upah yang tidak seberapa dari Tia sudah cukup menggembirakan hatinya.

Jarum jam sudah melepasi angka lima petang. Tia tetap di mejanya sedang menyudahkan baki kerja yang ada. Tidak sedar akan waktu yang berdetik pantas sehingga ruang pejabat itu gelap-gelita. Hanya biliknya yang diterangi lampu. Haider pula langsung tidak masuk ke pejabat selepas makan tengah hari.

"Tia...."

"Siapa?" Liar mata Tia melingas ke sana-sini. Tidak semena-mena bulu tengkuknya meremang. Air liur ditelan laju dan dapat dia rasakan dia tidak keseorangan pada waktu itu.

"Tia...." seru suara itu lagi.

Peluhnya merecik di dahi meskipun dia berada dalam bilik berpenyaman udara. Tia tidaklah terlalu penakut orangnya, tetapi tidak juga terlalu berani. Dia tercari-cari sesuatu di dalam telefon pintarnya lantas menguatkan laras suara lantunan ayat-ayat suci al-Qur'an dari aplikasi yang telah dimuat turun.

Hatinya yang berkocak hebat terasa sedikit tenang. Namun, keberaniannya tergugat lantaran kerusi di hadapannya berputar-putar perlahan dengan sendirinya.

Segala barangan peribadi dicapai segera. Seperti lipas kudung Tia menutup pejabat itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Laju-laju langkah disusun untuk menuju ke pintu lif. Ayat-ayat suci tetap dibiarkan terpasang. Lif yang ditunggu lambat pula tiba. Untuk menggunakan tangga kecemasan pula adalah tidak mungkin sama sekali kerana ruang itu teramat gelap.

Ting!

Tanpa berlengah, kaki kanan didahulukan memasuki ke dalam lif. Berkali-kali butang tutup ditekan tidak pula pintu lif itu tertutup. Detakan jantung begitu laju sehingga dia kecungapan. Apabila pintu lif hampir tertutup sepenuhnya, lensa mata Tia menangkap satu sosok lembaga yang berdiri membelakanginya. Lif turun dengan laju tanoa kejadian mistik yang lain. Nafas lega ditarik sejurus melihat seorang pengawal keselamatan sedang berlegar-legar di lobi.

"Baru balik, Cik Tia?" sapanya ramah sekali.

"Ya." Tia menjawab pendek dan mahu segera pulang ke rumah.

°•°•°•°


"ASSALAMUALAIKUM...."

Erin duduk di sofa dalam cahaya samar-samar. Pelik juga kenapa Erin duduk seorang diri dalam suram cahaya yang terbias dari ruang makan. Erin sedikitpun tidak menoleh ke arah Tia. Malas untuk bertanya lanjut, Tia menolak daun pintu bilik dan menghempas tubuhnya ke katil. Nikmatnya terasa apabila dapat melepaskan lelah di tilam empuk dan selesa.

Kepenatan yang menjalar dalam tubuh tidak menghalang Tia untuk menyegerakan perkara wajib. Azan Maghrib telah berkumandang 20 puluh minit yang lalu.

"Sesibuk manapun kita, jangan sekali-kali melengahkan solat. Jangan jadi hamba yang tidak tahu bersyukur."

Masih terngiang-ngiang titipan terakhir ayahnya pada kali terakhir mereka melepaskan Tia ke bandar demi mencari rezeki yang halal. Tia rindu untuk solat berjemaah bersama-sama bonda dan ayahanda tercintanya di kampung seperti zaman remajanya dahulu.

"Assalamualaikum!"

Tersentak Tia dalam wiridnya tatkala terdengar suara Erin memberi salam.

'Bukankah Erin sudah sampai di rumah tadi?' monolog hatinya sendiri.

Tia bangun dari sejadah dengan lengkap bertelekung. Pintu biliknya dikuak sedikit dan terlihat sosok Erin sedang meletakkan bungkusan makanan di atas meja makan.

"E... Erin, kau baru balik ke?" Tia menyuarakan rasa ragu-ragunya.

"Ha'ah. Biasalah jalan jem. Kau okey tak ni? Macam nampak hantu aje gayanya."

Kalaulah Erin tahu apa yang dia lihat tadi, sudah pasti mereka akan cabut lari pada malam ini juga. Gurauan bersahaja Erin amat tidak kena pada masa dan tempat. Tia menelan liurnya yang tersangkut di kerongkong. Entah siapalah yang dia lihat tadi agaknya. Bulu romanya menegak tanpa dipinta. Terlalu jauh lamunan Tia sehingga tidak sedar Erin telahpun hilang dari pandangan mata.

'Allah! Ujian apakah yang kau berikan padaku?'

Tia gelisah dalam tidurnya. Dia dihimpit bayang-bayang yang menakutkan, mengejarnya sehingga ke satu lorong gelap dan dia memasuki ke dalam sebuah bangunan kosong. Anak tangga didaki satu per satu. Bayang-bayang tetap itu mengekorinya walau di mana dia berada. Akhirnya Tia berada di puncak bangunan dan tubuhnya terus ditolak oleh seseorang dari belakang dan tubuh tinggi lampai itu terjunam jatuh dan impak itu membuatkan Tia terjaga.

"Astaghfirullahala'dzim...."

Tia kelelahan. Di dalam bilik yang disimbahi lampu tidur itu tiada apa yang perlu ditakuti. Langsir jendela bercorak abstrak sesekali berkibar ditiup angin malam. Dia menyeka peluh yang terjuntai di dahi. Acapkali tidurnya terganggu dengan mimpi-mimpi yang menggerunkan. Dan acapkali juga tampang wajah Syamil menjelma di mindanya. Segera Tia meludah ke kiri sebanyak tiga kali, kemudian dia berta'awwudz dan mengubah posisi tidurnya ke posisi yang berbeza.

"Tia, kau buat apa kat ruang tamu jam 3 pagi semalam?" Pertanyaan Erin hampir membuat Tia tercekik.

"Errr... aku tak dapat tidur. sebab itulah aku bangun tengok TV."

Begitulah agaknya yang disebut-sebut orang sebagai tipu sunat. Erin kata, pada jam 3 pagi dia duduk berseorangan di ruang tamu. Sejak pindah ke situ, dia tidak pernah berjaga hatta menonton TV sehingga lewat pagi. Tia punya jadual hariannya sendiri agar perjalanan harinya lebih sistematik dan lancar.

"Oh! Tapi pelik pula, sebab kau tak buka TV pun. Kau cuma duduk tegak sambil bersila. Aku malas nak tegur sebab mengantuk sangat lepas memerut."

Butir bicara Erin tidak sedikitpun ditangkap oleh telinga Tia. Nyata sekali lamunannya dibawa jauh hingga ke langit ke tujuh.

"Ini yang aku tak suka ni. Sikit-sikit khayal, sikit-sikit mengelamun. Hisy!"

Erin tarik muka masam. Geram melihat wajah Tia yang tidak beriak, Erin membawa langkah ke dapur, ke ruang yang paling dia gemari meninggalkan Tia dalam dunianya sendiri. Semenjak Tia berpisah dengan Syamil, Tia dilihat selesa berada dalam dunianya sendiri.

Sambil mengomel tangannya lincah mengatur peralatan dan juga bahan-bahan untuk membuat kek di atas sebuah meja kecil. Jika tidak ke mana-mana pada hujung minggu, Erin akan bergelumang dengan tepung dan oven kesayangannya sepanjang hari. Ia ibarat satu terapi ketenangan buat Erin.

Tia membelek telefon di genggaman. Sekeping gambar Syamil yang masih disimpan diusap perlahan. Dadanya diasak rindu dendam yang tidak tertahan. Entah mengapa sejak kebelakangan ini kepalanya asyik memikirkan tentang Syamil. Pernah suatu ketika pantulan wajah Syamil terlihat pada periuk sehingga gulai yang dimasaknya tumpah. Kesihatannya juga sering merosot sejak akhir-akhir ini.

Jari telunjuknya ditekan ke aplikasi WhatsApp. Paparan nama Syamil yang bertukar kepada warna kelabu menandakan pemilik nama itu telah disekat dan enggan dihubunginya lagi.

Unblocked!

Terpampang gambar Syamil dan Fairuz sebagai penghias gambar profil. Di sudut bawah sebelah kanan gambar itu ada beberapa tulisan kecil dari font Blenda Script yang agak kabur. Mata dipicing untuk melihat dengan lebih jelas. Cantuman huruf-huruf itu membentuk beberapa patah perkataan.

'My beloved fianceè.'

Degupan jantung Tia seakan terhenti. Sama hentinya dengan masa. Mereka berdua telah bertunang? Semudah itu? Sedangkan dia dengan Syamil telah lama menjalin kasih. Ada-ada saja alasan Syamil jika Tia cuba membangkitkan isu itu hingga Tia terpaksa mengunci mulut. Harapan Tia, biarlah hubungan cinta mereka dilestarikan dalam sebuah perkahwinan yang bahagia. Terpaksa dia akur kelada kehendak Syamil agar memberinya sedikit masa lagi untuk mempersiapkan diri. Tetapi kini?

Impian yang selama ini didamba kini menjadi milik Fairuz. Dadanya sakit seperti dihiris-hiris. Kalaulah luka di hatinya itu berdarah sudah pasti kini dia sedang tenat dan menunggu masa untuk mati.

'Kau kejam, Syamil!'

Penglihatannya kabur dek kesan air mata yang melimpah di tubirnya. Saliva semakin banyak ditelan cuba untuk mematikan rasa hati yang berbaur. Dalam kabur pandangan, anak matanya tertancap pada bawah nama Syamil yang tertera perkataan 'online.'

Nafas ditarik dalam dan dihembus perlahan. Rusuh hati mengimbau kenangan mereka berdua. Tia dalam keadaan bersedia untuk menaip sesuatu di situ. Berkali-kali ditaip dan berkali-kali jiga ia dipadam kembali. Dalam tangis lekuk bibir membentuk senyum. Dalam hiba terselit suka. Dengan hanya melihat Syamil online hatinya terubat, bagai penawar mujarab memadam segala rindu yang menyelubungi.

"Aku ingatkan kau dah habis berangan. Dekat sejam aku kat dapur, tengok-tengok kau duk melangut lagi. Kau tengok apa tu?" Erin cuba mengintai pada skrin telefon pintar yang telah gelap.

"Tak... tak ada a... apa."

"Hah! Selalu kalau tergagap ni mesti ada buat salah. Baik kau mengaku cepat!"

Tia terperangkap dalam sergahan Erin yang menyinga. Si garang Erin sudah mula menunjukkan taring dan kemudiannya kemarahan Erin mengendur.

"Aku harap kau tetap pada pendirian kau. Kuatkan semangat, Tia. Aku akan selalu ada dengan kau walau dalam apa situasi sekalipun."

Tia tergemap dan pegal. Lidah kelu untuk berbicara. Sudahnya hanya air mata menjawab segala pertanyaan Erin. Hamburan tangisan semakin kuat membelah ketenangan pagi.

"Aku cuba, aku cuba. Tapi separuh dari jiwa aku tak boleh melepaskan dia pergi. Aku benci dia, Erin. Tapi aku rindu."

"Jangan terlalu memaksa diri kau untuk mencuba. Sebaliknya, kau lepaskan berdikit-dikit. Sama seperti kau lepaskan layang-layang ke angkasa. Mula-mula memang perit, banyak dugaan yang akan kau lalui. Bila layang-layang tu makin tinggi jauh di angkasa, kau pasti aku tersenyum."

Mendalam sungguh perumpamaan yang Erin berikan. Panahannya tepat menusuk ke jantung. Benar, Tia tidak boleh terlalu memaksa diri. Biarkan perasaannya terhadap Syamil terbang perlahan-lahan dan akhirnya ia bebas ke awan biru.

"Sekejap lagi kita makan kek. Hari ni aku buat Nutella Cheese Cake."

Bulat mata seraya ulas bibirnya digigit. Siapa saja yang tidak suka dengan coklat?

°•°•°•°
















Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh