Home Novel Cinta Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
AnnSelasih
10/11/2020 20:27:24
5,771
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3
"Usah diperbesar-besarkan kedatangan ini. Beta ke mari mencari damai, menjauhi sibuk istana. Inang mengerti, bukan?" 

Mengetahui pihak istana sedang menguruskan hal peminangan ke Banjarkulon, Inang tua laju mengangguk. Dalam masa yang sama dahinya sedikit berkerut mengenang arahan permaisuri. Kota itu kawasan larangan termasuk putera mahkota Cempaka Jajar, Raden Menteri sendiri. 

"Persiapkan kamar. Beta akan bermalam di sini," titah Raden Inu. Apabila Inang tua masih tercegat, Raden Inu bertitah lagi. Suaranya sedikit tegas. 

"Kalian boleh pergi. Tinggalkan beta di sini."Maka Inang tua pun mengundur diri berserta sekalian gadis. Ken Tambuhan menundukkan kepalanya lalu berpaling untuk beredar. 

"Entah siapa yang mempelawa kita melihat hasil tangannya tadi. Lalu kita ditinggalnya sendiri?" 

Ken Tambuhan memahami sindiran Raden Inu. Seribu persoalan sedang menggasak minda menyebabkan Ken Tambuhan berat hati mahu menurut kemahuan Raden Inu. Malah pada saat ini perkara paling sukar adalah berhadapan Raden Inu sendiri. 

"Ini Geringsing Wayangmu?"Soalan Raden Inu menerbit senyum sumbing Ken Tambuhan. Hatinya meruap marah.  

Geringsing Wayangku? Hah! Mari kita lihat sejauh mana kau melupakan Geringsing Wayangmu. Atau sekuat mana kau berpura melupakan aku. 

Ken Tambuhan berpaling ke hadapan semula. Sengaja kepalanya kekal tunduk. Bimbang jua rasa yang terlepas di hatinya terpamer di muka.

"Iya, tuan... Tuanku." 

"Apa istimewa kain tenunan ini sehingga layak dijadikan petiban ke Banjarkulon?" 

Nada sinis Raden Inu menyemarakkan amarah Ken Tambuhan. Beberapa ketika diperlukan untuk menenangkan diri barulah Ken Tambuhan bersuara. Kali ini dia angkat muka, melawan mata Raden Inu. 

"Tahukah tuanku akan maksud Geringsing?"

Raden Inu membalas renungan Ken Tambuhan. Pandangannya meniti dari dahi ke lentik kening, kelopak mata ke bulu mata sebelum memasuki iris bening Ken Tambuhan. Ditahannya gelora rindu yang mahu membenam lama-lama di situ. 

"Gering, sing, maksud kau? Sakit, tidak. Tidak sakit," ujar Raden Inu. 

"Terhindar dari sakit. Terusir dari musibah. Kain ini rumit buatannya. Perlu diikat ganda. Menyulam pakan ke dalam lungsin. Kali pertama menenunnya, patik hadiahkan kepada seseorang. Patik titipkan doa pada setiap ikat ganda. Agar si pemakainya senantiasa sejahtera, terhindar bala." Suara Ken Tambuhan terputus-putus di penghujung kata-kata. Pedih yang terasa di tangkai hatinya mudah melirihkan suara. 

Raden Inu segera memutuskan tautan mata mereka. Pandangan diliarkan pada corak tenunan. Hiba yang gagal dibuang cuba disorok. 

"Jadi, selendang untuk bakal isteriku di Banjarkulon turut kau jalinkan doa sepertimana hadiah tersebut?" 

Ken Tambuhan ketawa. 

"Penerima hadiah patik terkorban depan mata. Pada pandangan tuanku, doa patik diperkenan atau tidak?" 

Hal yang sering Raden Inu terlupa, mulut sebalik pelitup kain Raden Puspa Kencana petah berbicara. Sama seperti Ken Tambuhan. Buat seketika Raden Inu dan Ken Tambuhan sama-sama membisu. Masing-masing enggan berterus terang. Membuat andaian demi andaian, membiarkan diri mereka disakiti oleh samar hakikat. Mereka melepaskan pandangan pada kolam. Balai hening melainkan debusan lembaran kain tenun sesekali disapa angin.

 "Bagai merenung langit malam. Gelap lantai bumantara berhias cerah bintang." 

Itulah yang Raden Inu rasakan setelah bertahun-tahun merenung kain tenun miliknya. Dia sudah hafal setiap corak garis hasil silang benang lungsi dan pakan.Sudah tentu Ken Tambuhan tahu perihal butir bicara Raden Inu. Corak bintang di tengah lembar kain sebati dengan dirinya. 

"Barangkali sebegitu jua perasaan para dewa sewaktu mengabadikan corak itu. Legam malam menaikkan seri bintang. Gering luka perangnya luntur dek pesona alam." 

Ken Tambuhan mengeluh sebelum menyambung kata. 

"Kota ini terlalu sepi pada malam hari. Selain memuji indah bintang, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat di sini." 

Air liur ditelan laju. Raden Inu cuba menelan sekali rasa bersalah. 

"Kenapa hitam dan putih? Aku suka warna tridatunya. Cerah gemilang namun tidak meninggi langit. Sederhana membumi." 

Sekali lagi Raden Inu menyuarakan tanda tanya yang telah lama ingin dirungkai. Dia selalu melihat tiga warna alam pada tenunan Geringsing tetapi kain miliknya berwarna hitam dan putih. 

"Tuanku punya mata hati yang jernih. Warna kain tenun berkait dengan keperluan manusia dan buana. Kuning, hitam, merah lambang udara, air dan api. Namun ketika kehidupan dipentaskan Tok Dalang, watak-watak wayang cuma punya dua takdir. Sama ada hitam atau putih." 

Panjang penjelasan Ken Tambuhan mudah dimengerti. Akhirnya Raden Inu beranikan diri bertanya perkara yang dia paling ingin ketahui. 

"Bagaimana kau boleh berada di sini?" 

Ken Tambuhan mengebam bibir. Jawapan telah ada namun dia masih mempertimbang-timbangkan kesan jawapan. 

"Keberadaan kau di sini..." 

Ken Tambuhan memotong ulangan soalan Raden Inu. 

"Patik... " 

Kata-kata bersambung setelah Ken Tambuhan pastikan Raden Inu memberi sepenuh perhatian. Kerana dia mahu pedih hiris hatinya sampai ke jiwa Raden Inu. 

"Dikhianati."

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.