Home Novel Cinta Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
AnnSelasih
10/11/2020 20:27:24
5,792
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

"Bukankah molek andai pangeran berlibur dalam pura. Seisi istana sedang menyiapkan bingkis peminangan ke Banjarkulon."

Saranan Wira Dani disepikan. Raden Inu Kertapati ralit membidik. Sasarannya kawanan serindit yang bermain dari dahan ke dahan pohon rambutan. Satu hembusan kuat, bilah sumpitannya mengena sasaran. Serindit jatuh menimpa pohon cempaka namun masih gagah mengepak. Sejurus ia hilang di sebalik pagar kota.

Hais!

Rengusan Raden Inu disengajakan. Begitu juga dengan mangsa buruan. Semua itu sekadar helah demi membongkar perkara menarik yang baru diketahuinya. Kota di tengah belantara! Masakan dia terlepas sesuatu yang gah sedangkan dia putera Seri Nara Cempaka Jajar. Gerangan apa ayahanda bonda sembunyikan di sini?


Puas menongkah kebimbangan Wira Dani,  mengancam cincang kepala pengawal pintu, akhirnya alasan Raden Inu untuk menjejaki burung buruan berjaya. Raden Inu memasuki kota penuh teruja. Namun setiap pemerhatiannya memicu tanda tanya. Tembok batu kota itu setinggi tembok istana. Paling mencurigakan, wujudnya pagar pepohon yang mengelilingi tembok. Makin jauh dia menelusuri lingkaran, makin kuat keyakinan Raden Inu bahawa dia sedang dikelirukan oleh pagar sesat.

Raden Inu mengeluarkan lembaran kulit binatang. Pensel melakar peta runut kakinya. Sengih Raden Inu panjang.

"Ayahanda patut bertanyakan saranan anakandamu ini sebelum membangunkan pagar sesat. Masakan terlalu mudah."

Lembaran digulung bersama pensel lalu disimpan. Ketika itulah seketul batu melayang  ke arahnya. Sedikit menyengetkan badan, Raden Inu berjaya mengelak serangan hendap.

"Siapa kau? Tunjukkan dirimu!"

Kelibat seseorang memegang lastik hilang di sebalik pagar pohon. Raden Inu ligat mengejar penyerangnya. Tiba-tiba serangan kedua datang dari arah belakangnya pula.

"Aduh, sialan! Kalian benar-benar tidak sayangkan nyawa."

Luka di belakang telinga dibiarkan. Raden Inu terus mengejar. Kali ini dia berlari di lorong berbeza. Perhitungannya tepat. Dia bertembung dengan penyerangnya semula. Seorang perawan tergamam sebelum melarikan diri. Raden Inu mengekori rapat sehingga ke simpang tiga. Baru membelok kanan Raden Inu berhenti untuk menoleh. Seakan ada seseorang di belakangnya. Nalurinya benar. Kelibat belakang perawan berada di lorong bersetentangan lalu menyelinap di celah pepohon.

"Eh, bukankah dia di hadapanku tadi? Apa aku mengejar manusia atau hantu?"

Raden Inu putuskan untuk mara. Tenaga lelakinya lekas menyaingi kekuatan kaum hawa. Belakang perawan kian hampir. Tahu-tahu kejar-mengejar membawa mereka keluar dari pagar sesat.


Sekali lagi perhatian Raden Inu terganggu. Siapa sangka di luar pagar sesat ada kolam. Lebih aneh perawan tersebut merentasi kolam tanpa tenggelam.

Dunia apakah ini? Tempat sembunyi pari dan mambang?

Berpegang pada munasabah akal, Raden Inu memerhati permukaan air. Dasar hijau biru yang pekat  memungkinkan apa yang berpijak atasnya tenggelam. Lantas Raden Inu mengutip beberapa batu. Sekali lontar batu tenggelam. Tiga kali lontar, hantuk batu mendecakkan air. Maka tahulah Raden Inu akan wujudnya binaan di bawah permukaan air untuk menyeberangi padang sana. Apa yang dia perlukan adalah waspada. Namun Raden Inu bertekad menangkap perawan tadi. Segera dilempar beberapa batu lagi bagi mengenal pasti laluan. Risiko dipinggirkan semasa dia berlarian merentasi jalan halimunan.


Berhambat-hambatan bersambung lagi. Pemburu dan buruan merentas padang lalu memasuki kawasan jemuran. Sekelip mata susuk perawan hilang di celah kain-kain meninggalkan jejak bayang. Satu bayang yang seharusnya dikejar kini terpecah dua. Raden Inu bingung. Bayang mana harus dikejar. Sungguhpun demikian dia terus menyelak kain demi kain. Apa pun atau siapa pun yang dia tangkap akibatnya tetap sama. Nahas!

Di pertengahan perburuan, bayang tiba-tiba hilang. Puas Raden menyelak kain di depan, belakang, kiri, kanan, tidak ada apa-apa yang dapat ditemuinya. Sambil merengus dia mendongak.  Seekor serindit melintasinya. Entah kenapa hati Raden Inu membahang melihat burung tersebut. Matanya mengekori serindit. Sayapnya terbuka lebar mengepak -ngepak sebelum bertenggek atas batang buluh. Bukaan mata Raden Inu besar setelah mendapati bayang di belakang kain jemuran bersiul. Tangan  terhulur mencapai burung tersebut. Suara lembut menegur serindit.

"Si Bayan ini rindukan aku?"

Bagai harimau menerkam mangsa, aksi Raden Inu tangkas. Sembari mara, Raden Inu menarik beberapa helai kain lalu diserkup dan dililit tubuh perawan. Gelak Raden Inu besar dan panjang ketika memikul buruannya atas bahu.

Perawan terus dihumban ke kolam. Raden Inu bercekak pinggang memerhati permukaan air.

"Seronok bermain dengan aku? Mari kita lihat bagaimana kau bisa berlari dalam air sana."

"Puteri!" serentak jeritan Ken Penglipur dan Ken Tadahan. Kedua gadis  menyerbu Raden Inu. Kepala mereka rapat di kaki baginda.

"Ampunkan kami tuan. Ini semua salah kami. Hukumlah kami, tuan. Jangan di apa-apakan Puteri."

"Kami merayu. Tolonglah kami. Selamatkan Puteri. Puteri tidak bersalah."

Raden Inu memeluk tubuh. Ikutkan hatinya mahu dilayangkan sahaja penendang agar kedua gadis terbenam bersama-sama tuan mereka. Namun dia tahu apa yang benar-benar diinginkan selain dari menghukum gadis-gadis suruhan tersebut. Maklumat tentang kota rahsia yang mereka diami.

"Tawarkan kepadaku sesuatu yang berharga."

"Nyawa kami. Nyawa kami milik tuan," kata Ken Penglipur.

"Tawaran yang bagus. Ingat, kalian berhutang nyawa denganku."

"Apa sahaja tuan. Asal tuan sudi selamatkan Puteri."


Raden Inu terus terjun ke dalam kolam. Tangannya terkuak-kuak. Kepalanya melilau mencari puteri. Apabila pencariannya gagal, Raden Inu berenang lebih jauh ke dasar kolam. Puas ditoleh ke sana sini, malangnya kelibat puteri tidak ditemui. Ketika dia mendongak, siluet hitam terawang-awangan tidak jauh dari situ.

Raden Inu bergegas naik. Sangkanya gadis itu akan diselamatkan. Siapa sangka keadaan bertukar sebaliknya. Direnung gadis, dia terpempan. Tampang gadis terpamer tenang. Anak matanya sejernih air kolam. Tiada kain melilit pakaian gadis. Rambut panjangnya mengerbang bagai bunga lalang. Sekali lagi Raden Inu kebingungan.

Ini... manusia atau bidadari?

Leka memerhati, dada Raden Inu mulai terasa sempit. Kepalanya berpinar. Dia sedar  puteri memegang tangannya. Bagai terpisah roh, raganya sekadar menurut. Puteri membawa Raden Inu ke permukaan air. Selain kuat cungap nafas sendiri, Raden Inu juga menangkap gelak ketawa.

Lekas dia berpaling ke tebing. Dua gadis tadi ketawa terbahak-bahak dan menjelirkan lidah mereka sebelum melarikan diri. Sedarlah Raden Inu bahawa dia telah termasuk dalam helah gadis-gadis tadi. Mulutnya bersungut-sungut ketika tangan mendayung ke tebing

"Sialan!"

Kemarahan kembali terkumpul dalam dada Raden Inu mengenang diri lencun dari kepala ke kaki.

"Awas kalian!"

"Sia-sia sahaja marahmu. Perempuan berdua itu memang dungu. Lepas buat baru fikir."

Suara lembut yang menegur serta-merta melenyapkan kemarahan Raden Inu. Pandangannya melekap pada gadis yang sedang bertimpuh atas rumput. Matanya menjelajah susuk si gadis, menjalar pada tangan yang sedang mengibas rambut, kain kemban yang kejap di pinggang kecilnya. Tatkala tatapan Raden Inu jatuh pada muka gadis, minda bagai dikosongkan melainkan tampang nan jelita gadis.

"Lagi pula, bertahun tempat ini kami diami, tuan orang luar pertama yang melepasi pagar kota. Dek kerana itu mereka mengusil. Kolam ini tempat mainan kami."

Jadi kota istimewa ini memang penjara. Pemisah dunia luar dengan gadis-gadis ini. Tetapi kenapa?

Bisik hati Raden Inu diganggu oleh soalan.

"uan ini siapa?"

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.