Home Novel Cinta Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
AnnSelasih
10/11/2020 20:27:24
5,756
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Raden Inu segera meraba muka, belakang rambut. Senyuman sejemputnya terpamer setelah merasa lega. Simpulan tali topeng masih kemas. Rupawan ini mudah membuat dia lupa diri, lupa dunia tempat berpijak.

"Aku tersesat."
Telunjuk Raden Inu lurus ke arah pagar sesat.

"Masakan! Kerana sebelum sesat, kena melepasi pintu. Manakala pintu berpenunggu."

"Mahu percaya atau tidak, terserah. Hurm... di mana kita?"

Soalan itu paling awal  berlegar-legar dalam kepala Raden Inu. Kolam buatan manusia ini luas. Begitu juga dengan pagar sesat tadi. Dia meninjau seluruh kawasan tersebut. Kepalanya terteleng dari kanan ke kiri.

Eh, mana gadis tadi?

Tempat duduk gadis kosong. Raden Inu bingkas berdiri. Sejurus dia menyambar tangan gadis, langsung ditarik rapat. Bertatapan, musykil Raden Inu hilang. Jantung memalu laju menggegar dada, detaknya memenuhi gegendang telinga. Sinar mata gadis bagai akrab di jiwa Raden Inu sehingga hatinya lantas berbisik.

Aria ningsun emas juita.
Kakang terkhayal di dalam cinta.

"Tuan berada di dalam penjara."

Besar gelak Raden Inu. Penjara adalah perkataan terakhir yang sesuai mengungkap kota tersebut. Dari situ sudah kelihatan beberapa astaka indah menganjur ke kolam. Manakala kubah-kubah istana sayup-sayup berjajar di kawasan belakang.

"Maksudmu, penjara di dalam syurga?"

Pertanyaan Raden Inu mendesak susulan jawapan.

"Syurga pada yang memilih mewah dan indah. Namun andai ditanya pada kenari, bahagiakah dia bersangkarkan emas. Apa agaknya jawab si pemilik kepak?"

Kepak ibarat jiwa yang mendamba kebebasan. Penutur tulus membicarakan perihal jiwanya. Sungguh, Raden Inu amat menggemari jawapan tersebut. Selain jelita, pesona petah kata dan akal bijaksana puteri menjadi  sebab mengapa dia gagal melepaskan tangan gadis itu.

"Apa kenari punya nama?"

Selepas menerima kerlingan, Raden Inu memujuk lagi.
"Nyai, apa namamu tuan?

Lebar senyuman Raden Inu setelah beroleh satu nama. Ken Tambuhan.

"Tuan, hamba mohon agar dilepaskan. Kerana hamba ini sudah bertuan."

Makin kuat Ken Tambuhan menarik tangannya, makin kejap pegangan Raden Inu.

"Jadi siapa tuanmu?"

"Pemilik kota ini, Sang Nata."

Ayahanda? "Oh, iya?"
Reaksi acuh tak acuh Raden Inu membuat akal Ken Tambuhan ligat menambah alasan.

"Hamba juga banyak kerja. Masih belum siap menenun Geringsing Wayang."

Alasan kedua diterima Raden Inu. Namun itu bukan bererti tangan Ken Tambuhan akan dilepaskan. Bahkan dia menarik Ken Tambuhan agar berjalan bersama-samanya.

"Tenunan buat pakai sendiri?"

Tekaan Raden Inu ternyata salah.

"Buat petiban putera Seri Bupati. Barang hantaran peminangan ke Banjarkulon."

"Begitu rupanya."
Raden Inu melirik rambut basah Ken Tambuhan. Hitam labuh melepasi dada, berat melekap pada tubuh langsingnya. Entah kenapa hatinya becok berbisikan sedangkan bertahun ia kehilangan kata.

Aria ningsun utama jiwa
Kepada tuan sudah terhimpun
Hati kakang bagai diruntun

"Tuan patut pergi. Agar kelak tidak tertangkap."

Usul Ken Tambuhan menghilangkan ingatan Raden Inu berkenaan hasrat bondanya yang mahu mengahwinkan dia dengan puteri Banjarkulon.

"Ditangkap lalu dipenjara bersama kamu di sini? Iya, aku rela."

Ken Tambuhan cuba melepaskan pegang tangan mereka tetapi gagal.

"Hamba khuatir rela tuan bisa memendekkan umur kita."

Kata-kata Ken Tambuhan membuat ketawa Raden Inu panjang. Mereka merentasi kawasan jemuran, menuju ke astaka di hujung taman bunga.

"Masih belum terlambat andai tuan mahu menyelamatkan diri. Malah itu jalan terbaik bagi kita mengelak susah," saran Ken Tambuhan.

"Sayang sekali, andai sudah ke mari lalu terlepas melihat Geringsing Wayang. Sudahlah payah membolos diri ke sini. Penat lelahku akan berbaloi andai dapat kularikan kau atau tenunan istimewamu."

Ken Tambuhan mengeluh panjang mendengar cita-cita besar Raden Inu. Rasa tidak sedap hati sedari jaga dari mimpi aneh semalam semakin menebal. Bahkan langkah kaki terasa makin berat. Bagai ada bala yang sedang menanti. Adakah pemuda asing ini ada kaitan dengan mimpinya? Bulan jatuh ke riba lalu diri terbelit naga.

Baru memijak tangga, seisi balai gegak gempita. Kali pertama lelaki asing bertamu di situ, sekalian gadis yang asyik menenun bertempiaran lari. Balai nan luas kini lengang.

Raden Inu ketawa besar. Angan-angan dikerumun perawan hancur. Ketibaannya disambut deretan alat memintal benang dan mesin tenunan serta...

Dua gadis yang sedang menahan ketawa. Daripada lunak pandangan tiba-tiba Raden Inu mencerlung.

"Abaikan mereka."

Susuk Ken Tambuhan menghadang pandangan Raden Inu. Namun mudah sahaja dia ditolak ke tepi.

"Kau dan kau, berhutang nyawa denganku. Atau mahu kulangsaikan segera di sini," gertak Raden Inu.

Sekali lagi Ken Tambuhan meletakkan dirinya di antara Ken Penglipur, Ken Tadahan dan Raden Inu.

"Ah, apakan daya. Tuan memilih mereka daripada Geringsing Wayang rupa-rupanya."

Sengaja Kem Tambuhan melirihkan suara agar perhatian Raden Inu beredar kepadanya.

Durja Raden Inu berubah. Tatapannya kembali lunak.

"Aku berharap apa yang akan dikau persembahkan benar-benar berbaloi."  

Ekor mata Raden Inu mengerling gadis-gadis di belakang Ken Tambuhan.

Ken Tambuhan mengiringi Raden Inu ke anjung balai. Sehelai kain tenunan tergantung pada batang kayu berkerawang. Cahaya matahari yang bolos melalui tingkap kaca menyuluh terang corak tenunan.

Sebaik memandang corak tenunan, mata Raden Inu membulat. Dadanya berombak. Nafasnya kasar. Sukar untuk dia percaya apa yang dilihat. Ketika dia memaling muka ke jendela, dua bibir yang dikemam bergetaran. Cairan jernih mula memenuhi bebola matanya.

Ketika itu juga seekor burung menyelinap masuk. Burung mematuk-matuk sanggul, kepala Raden Inu.

"Jangan Bayan," larang Ken Tambuhan.

Raden Inu sekadar menepis, menggoyang-goyangkan kepala, memusing badan. Dia masih larut dalam kolam perasaan. Tak semena-mena ikat sanggulnya terlepas. Begitu juga dengan topeng muka. Ketika Raden Inu tunduk mencapai topeng, naluri memberitahu sesuatu. Perlahan-lahan dia menoleh.

Kenapa dengan Ken Tambuhan?

Gadis itu bagai keteguran. Wajahnya pucat. Rautnya tidak membiaskan sebarang perasaan. Manakala renungannya penuh khayalan. Ketika dia jatuh terduduk, anak matanya tak lepas memandang Raden Inu.

"Puteri!"
Ken Tadahan dan Ken Penglipur bergegas mendapatkan Ken Tambuhan.
"Kenapa Puteri? Perkara apa mengganggu puteri? Ceritakan kepada kami."

Ken Tambuhan menolak  tangan rakan. Berkali-kali dia cuba bangun. Biarpun longlai dia terus melangkah merapati Raden Inu.

Keadaan Ken Tambuhan menenggelamkan remuk perasaan Raden Inu. Warasnya belum kembali sepenuhnya. Dia gagal membaca maksud laku Ken Tambuhan.

Mata mereka kini sama-sama basah atas sebab yang hanya mereka ketahui. Raden Inu sekadar menyaksikan titis air mata yang mengiringi setiap langkah Ken Tambuhan. Ketika gadis itu berhadapan Raden Inu, tangisnya pecah. Sejurus, Kenn Tambuhan ketawa dalam sedu.

Apa maksud kelakumu, aria ningsun?

Tatkala tangan kiri Ken Tambuhan mencapai tangan kanan Raden Inu lalu dijulang ke hadapan, jantung Raden Inu yang sedia berdetakan laju terasa mahu melompat keluar dari rongga dada. Ken Tambuhan juga mengangkat tangan kanannya. Tapak tangan mereka kini bersatu.

Puspa Kencana, dikaukah itu duhai belahan jiwa kanda?

Setelah jemari mereka saling bertaut, bagaikan menari, Ken Tambuhan memusingkan badan di bawah jambatan tangan mereka.

Satu pusingan.
Dua pusingan.

Aria ningsun belahan jiwa kanda.
Durga gemilangmu pandang tak jemu.

Leka memerhati Ken Tambuhan, Raden Inu tak sedar tangan kirinya telah terangkat untuk mengulit pipi Ken Tambuhan.

"Ampun patik, paduka. Patik tak tahu paduka sudi mencemar duli bertamu ke mari. Seisi kota taman Angsana berbesar hati menerima kunjungan paduka."

Usai sembah Mak Inang, seisi balai kini tunduk menyembah.

Kecuali Ken Tambuhan. Manis wajahnya kini pudar. Dari celah serbu air mata, panah tajam matanya menghunjam  deras Raden Inu.














Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.