Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
128,069
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
10.2✓
Tajuk : Dunia Dewasa, Lautan Manusia, dan Lolipop (Bhgn 2).



APRIL 2013



12:30 tengahari. Waktu lunch bermula. Hari ini tiba-tiba aku rindukan nasi goreng kampung yang selalu aku makan di foodcourt berhampiran. Laptop aku padam dan dompet aku capai. Perut aku mula berkeroncong minta diisi. Lima minit kemudian aku sudah berada di hadapan lif, menekan butang turun.


Tiba-tiba bahu aku dipeluk dari belakang. 


"Hidayah~ Where are you going? Won’t you have lunch with us?”


Elena sedang tersenyum di sebelah kiri aku. Bau minyak wanginya menjolok hidung. Terlampau kuat bagi aku. Kelihatan tiga orang lagi kawan sekerja lelaki masuk ke dalam lif bersama Elena. Aku tak tahu nama mereka tapi aku andaikan mereka satu kumpulan dengan Elena. Kami hanya berbalas senyum dan mengangguk sedikit sebagai tanda sapaan. 


Elena masih seperti hari-hari biasa ketika bekerja. Berskirt pendek atas lutut, berambut merah keperangan bertocang satu, dan berbau sitrus yang menyengat hidung. Itulah Elena yang aku ingati. 


“Oh.. No.. Sorry. Today I need to go somewhere else, so I'm in a rush now.”


Sungguh penipuan keluar dengan mudah dari mulut aku. Bagaimana harus aku katakan pada Elena bahawa hari ini aku ingin bersendirian, makan makanan yang aku rindu, dan hanya duduk memerhati manusia sekeliling hingga otak aku tepu. Iya, hobi melepaskan penat aku sedikit pelik. Lagi pula lidah aku sudah bosan menjamah makanan barat atau Jepun jika keluar makan bersama kawan sekerja. 


Sampai di Ground Floor kami pun berpisah. Elena ke kiri dan aku ke kanan. 20 langkahan kemudian, aku menoleh sekali ke belakang melihat Elena, dia masih sedang berbual mesra bersama kawan-kawannya membelakangkan aku. Aku sambung langkah kaki ke arah bangunan di seberang jalan. 


Rentapan yang agak padu pada lengan kiri aku membuatkan aku terdorong ke belakang. Langkahan kaki aku terhenti lalu aku pandang ke kiri. Seorang wanita sedang tersenyum lebar di sebelah kiri aku, nafasnya sedikit termengah-mengah seolah baru lepas berlari.


"Hidayah! Are you going for lunch now? Are you alone?”


“Ah… yeah...” perlahan aku balas sambil memberikan senyuman kecil. Pandangan aku yang seolah bertanya 'siapa kamu' dapat dibaca oleh wanita itu.


“You can’t possibly forget about me already, are you?”


Aku mula tersenyum panik. 

“Umm.. not really.. I think...”


“It's Layla. We met this morning at pantry. How forgetful can you be, you are still young.”


Aku lihat rambutnya. Diikat getah polka dot berwarna pink, menarik rambutnya kemas ke belakang. Aku jatuhkan pandangan pada kakinya. Kasut tumit tinggi berwarna pink putih itu mengingatkan aku. Iya, aku lihat kasut ini pagi tadi di pantri. 


Ah.. perlahan aku hembus nafas bersalah. Aku melupai lagi seseorang. Masih belum melekat di memori ciri-ciri wanita ini rupanya. Hanya senyuman mampu aku beri. 


Kini kami berada di foodcourt melati. Ramai orang sedang berpusu-pusu membeli makanan. Aku mula mencari meja kosong. Aku menuju ke meja yang selalu aku duduk jika aku datang ke foodcourt ini. Ternyata masih kosong. Aku segera melabuhkan punggung. Aku katakan pada Layla bahawa dia boleh membeli makanan dahulu sementara aku menjaga meja. 


Pemilihan harian aku sangat mudah, jika aku berseorangan. Aku memilih untuk pergi ke restoran yang sama setiap hari, memilih untuk makan makanan yang sama, minuman yang sama, memilih untuk duduk di meja yang sama. Habit harian aku merupakan ulangan semalam, seperti playback video. Rentak harian aku hanya akan berubah jika aku bersama orang lain. Aku memilih untuk mengikut apa yang mereka mahu, makan di tempat baru yang mereka cadangkan, makan makanan yang mereka rasakan sedap. Tapi perubahan membuatkan aku resah. Perubahan yang kecil di sekeliling membuatkan aku melupai seseorang, membuatkan aku takut.


Selang 10 minit kemudian Layla datang ke meja kami, membawa makanan dalam dulang. Aku katakan dia boleh mula makan dahulu sementara aku membeli makanan. 


15 minit kemudian aku kembali ke meja bersama nasi goreng kampung berserta telur mata, menu biasa bagi aku. Layla aku lihat masih belum menjamah makanannya. Aku tanyakan, dan dia katakan mahu menunggu aku supaya kami boleh habis makan serentak. 


Sepanjang makan Layla banyak menceritakan kisah-kisah semasa, tentang tugasnya di ofis, juga tentang projek syarikat kami yang patutnya disiapkan dalam tempoh dua bulan. Aku hanya mendengar, sambil sesekali mengangguk dan bersetuju dengan apa yang dikatakannya. 


Aku tidak banyak memberikan tumpuan sebenarnya tentang topik yang sedang dibualkan. Mata dan memori aku lebih tertumpu pada ciri-ciri fizikal Layla. Aku melihat herot mulutnya setiap kali dia bercakap atau ketawa. Sedikit lipatan di hujung matanya ketika dia tersenyum. Dan matanya. Sepasang mata itu mungkin boleh membuatkan aku ingat kepada Layla. Jujurnya aku masih rasa bersalah kerana melupai dia sebentar tadi. Malah sudah dua kali sebenarnya aku melupai dia. Jadi sekarang aku sedang cuba mengingati ciri-ciri fizikal Layla supaya aku takkan mengulangi perkara yang sama. 


“You aren’t paying attention to what I’m saying isn’t it? Why are you looking at me like that?”

Perlahan soalan dari Layla itu membuatkan aku kembali pada realiti. 


Aku berdehem sedikit membetulkan emosi yang tersentak. 

“You have green eyes with brown outer lining.”

Perkataan yang spontan dari aku itu membuatkan Layla tertawa kecil.


“And you have a dark brown eyes, a deep one,” Layla membalas apa yang aku katakan sebentar tadi. Dia masih tersenyum memandang aku.

Previous: 10.1✓
Next: 10.3✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.