Home Cerpen Umum #HATI BUJANG TERLAJAK
#HATI BUJANG TERLAJAK
Ikmal Hakimi
17/7/2016 23:54:43
2,323
Kategori: Cerpen
Genre: Umum
“Wei! Hangpa tau tak yang Pak Ziad hujung kampung tu tak kahwin lagi" mulut Mak Yah bersuara kepada rakan gosip yang lain.

Inilah kerja seharian Mak Yah dan wanita tua di kampung yang akan sering berkumpul di sebuah gazebo dan memulakan cerita.

“Ish! Hang betoi ka ni Yah? Aku macam tak pecayalah!" kata Mak Ros pula.

“Haa. Teman pun agak susah nak percaya. Pak Ziad yang hujung kampung tu tak kahwin lagi? Ish! Bohongla" Mak Unah juga tidak percaya.

Mak Yah mencebikkan bibir. Apa susah sangat orang kampung ini hendak percaya? Memang sah dia lihat dengan matanya sendiri.

Mak Yah masih cuba meyakinkan. “Ya Allah! Aku cakap betoi! Awat hangpa tak percaya kat aku ka? Okey! Pernah tak hangpa nampak Pak Ziad bawak isteri dia pi mana-mana? Tak dak 
kan?" tutur Mak Yah.

Masing-masing mengangguk. Memang tiada pula Pak Ziad bawa isteri ke mana-mana. Keluar rumah pun seorang diri.

Ya lah. Aku rasa apa yang hang cakap betoi la" Mak Unah mula setuju.

“Ada betoi juga apa yang hang cakap. Ish! Kesian juga teman dekat si Pak Zaid tu. Dah tua bangka tapi tak beristeri lagi" kata Mak Ros.

“Itulah. Dah terlajak tua, dah berkedut sana sini, sapa lah yang nak sekarang" kutuk Mak Yah. Yang lain hanya tergelak besar.

Sedap mulut menghina orang di belakang. Yang dihina tidak tahu apa-apa. Hanya dilimpahi dengan pahala yang dicurahkan.

Si penghina. Tak takutkah kamu dengan dosa dan neraka? Mestilah tidak! Kalau tidak mengapa perkara ini masih lagi terjadi.

Pak Ziad yang tidak langsung bersalah dihina dan dicaci oleh Mak Yah kerana statusnya bujang terlajak. Mak Yah memang sudah biasa dengan perangainya. Membawa mulut kepada orang ramai.
.....

“Hihihi...Ziad! Ziad! Apalah nak jadi dengan kau tu. Dah la terlajak tua" Mak Yah tergelak kecil sambil jarinya tangkas bermain telefon pintar. Masih terasa geli hatinya bila difikirkan tentang Pak Ziad.

Tiba-tiba, anak Mak Yah, Kafira datang dan duduk berhadapan dengan Mak Yah. Kafira hanya memandang wajah Mak Yah yang masih seronok memikirkan tentang Pak Ziad.

“Mak! Kafira nak cakap sikit" tegur Kafira. 

Lantas, Mak Yah meletakkan telefon pintarnya.

“Kacau je lah kau ni. Cepat sikit cakap tu" Mak Yah mengerutkan dahi. Mana tidaknya, tengah seronok bermain game.

Kafira masih lagi memandang wajah emaknya sambil tangannya disilangkan. Mak Yah naik hairan dan mula menyoal.

“Apesal kau ni? Muka macam marah sikit"

“Tolonglah Mak" Kafira mula bersuara selepas itu. Nadanya seperti merayu kepada Mak Yah.

“Apa yang tolong?" tanya Mak Yah pelik. Perlakuan anaknya terlalu pelik sehinggakan mengundang perasaan hairan dalam diri Mak Yah.

Apa pula minta tolong? Apa kena dengan Kafira harini? getus hati Mak Yah.

“Mak! Tolonglah berhenti bergosip tentang Pak Ziad. Kafir dengar semuanya petang tadi" marah Kafira.

Mak Yah terkejut. Tetapi, dia langsung tidak menghiraukan kata-kata Kafira.

“Sibuk ja kau ni! Pergi masuk bilik!" suruh Mak Yah. Kafira hanya menatap wajah emak. Memohon agar emak berubah dengan segera.

Kafira masih tidak mengalah. “Mak! Tolonglah jangan menghina orang lain. Mak tak tahu apa perasaan mereka. Janganlah mak mengutuk bujang terlajak. Kafira malu!" tegas Kafira.

Mak Yah menjegilkan mata. Hatinya sudah panas. Pantas sahaja dia mencapai telefonnya dan melangkah pergi dari situ.

Kafira ditinggalkan berseorangan. Dia menarik nafas.
.....

Malam itu juga, Kafira mengambil telefonnya dan terus membuka Twitter.

“Assalamualaikum. Kepada ‘bujang terlajak' yang ingin meluahkan perasaannya, boleh personal message saya sendiri. Boleh sertakan dengan #Hati Bujang Terlajak" Kafira terus menaip dengan laju.

Lantas dia menekan butang send dan terus menunggu.

Dalam masa 30 minit sahaja, mesejnya telah banyak mendapat ‘retweeted' dan ‘like'.
Kafira terus memeriksa Twitter miliknya dan mendapati bahawa terdapat lebih kurang tiga puluh personal message yang dihantar kepadanya. Mulut Kafira terlopong serta merta.

Selepas sahaja dari itu, Kafira terus membuka satu persatu mesej yang dikirim. Dia mula meneliti setiap mesej.
.....

Kes 1, #Hati Bujang Terlajak#AhmadTarmizi

“Salam...Sebenarnya, saya agak malu-malu untuk meluahkan isi hati yang lama terbuku. Tetapi, alang-alang cik sudah tawarkan diri, saya mahu melepaskan juga"

“Saya adalah seorang bujang terlajak yang sudah berumur 49 tahun. Hahaha...Satu tahun sahaja lagi untuk menghabiskan separuh abad"

“Tapi, bukannya kerana tak mahu kahwin atau tak ada calon. Cuma ibu saya sakit tenat dan terlantar"

“Tiada sesiapa dalam adik beradik saya yang mahu menjaga makan dan minum ibu. Jadi, saya berkorban demi ibu yang tercinta"

“Saya sudah berazam, yang saya tak akan kahwin untuk menjaga ibu. Biarlah kata-kata yang dilemparkan kepada saya tentang ‘bujang terlajak'. Apa yang lebih penting bagi saya adalah kasih sayang terhadap ibu yang melahirkan kita"

“Tanpa ibu, siapalah kita bukan? Syurga itu di bawah tapak kakinya"

Itu sahaja daripada saya #AhmadTarmizi. #Hati Bujang Terlajak #Assalamualaikum
.....

Kes 2. #Hati Bujang Terlajak#MatSufian

“Aku tak mahu cakap panjang. Apa yang aku nak beritahu kau yang aku sangat respect dengan abang aku. Dia penghidap HIV sejak dari kecil dan tiada sesiapa yang nak kahwin dengan dia"

“And sampailah sekarang, dia mati dan memang tak sempat langsung berkahwin. Aku memang respect gila dengan dia. Tabah dengan kutukan saudara mara dan rakan-rakan. Sehinggalah suatu hari dia pergi dan mengejutkan semua orang"

“Bila semua orang dapat tahu tentang hal sebenar, barulah diorang minta maaf"

“Itu sahaja luahan aku untuk abang aku. Aku takkan lupakan abang aku"

“Assalamualaikum"

#Mat Sufian #Hati Bujang Terlajak#UntukAbangYangTercinta
.....

Kes 3. #Hati Bujang Terlajak#NirmalaArman

“Ini kisah yang aku lalui. Aku nak ringkaskan semuanya. Kenapa aku bujang terlajak? Sebab aku langsung tak percaya dengan perempuan. So, aku pun tak kahwinlah"

“Cuba bayangkan, ditipu dan dipermainkan oleh 5 orang perempuan berturut-turut? Hmm...Pengalaman itulah yang aku rasa"

“Memang bukan semua perempuan yang suka mempermainkan lelaki. Hanya nak harta. Tetapi, aku dah tutup pintu hati rapat-rapat. Biarlah aku hidup keseorangan walaupun umur dah mencecah 46 tahun"

#NirmalaArman #Hati Bujang Terlajak #LegaHati
....

Perlahan-lahan air mata Kafira bergenang. Betulkah semua ini? Tidak dia sangka yang bujang terlajak juga menghadapi seksa di dunia. Sedangkan ada orang yang masih mengata.

Kafira mahu Mak Yah cepat-cepat berubah daripada dibelenggu dosa.

Ya Allah! Berdosakah dia selama ini kerana hanya membiarkan Mak Yah bebas bergosip? Berdosakah Kafira selama ini kerana hanya diam sewaktu dia boleh berbicara kepada Mak Yah?

Jika dia pun ada dosa, Kafira akan betulkan segala-galanya......

Kecoh satu kampung angkara mulut Mak Yah yang celopar tahap kritikal. Boleh dikatakan setiap daripada penduduk kampung sudah tahu dengan status Pak Ziad sebagai ‘bujang terlajak'.
Dimana sahaja Pak Ziad berjalan, di situlah mesti ada kata perlian dan hinaa. Tapi, Pak Ziad hanya tersenyum kelat biarpun hatinya luka. Tiada apa yang boleh dia lakukan.

Hari ini, Kafira terus berlari pergi ke rumah Pak Ziad. Sampai sahaja di pintu hadapan, dia terus mengetuk muka pintu dengan perlahan. Sebelum itu, dia juga agak terkejut dengan rumah Pak Ziad yang sangat kecil. Memandangkan rumah Pak Ziad berada jauh daripada penduduk kampung, tiada sesiapa yang pernah melalui rumahnya.

“Assalamualaikum" ucap Kafira untuk kali pertama.

Tiada sahutan. Suasana sunyi sepi ditemani bunyi cengkerik.

Buat kali ketiga Kafira memberi salam, juga tiada sahutan. Dengan kerisauan, Kafira memulas tombol pintu yang berkarat dengan perlahan-lahan.

Lantas dia matanya terpaku pada satu susuk tubuh badan yang sudah terkujur di atas lantai.

“Ya Allah! Pak Ziad!" Kafira terus berlari dan terduduk bersebelahan Pak Ziad. Mulutnya tidak berhenti beristighfar.

“Pak Ziad! Saya panggil penduduk kampung untuk minta pertolongan ya?" Kafira cuba melangkah pergi untuk mendapatkan bantuan.

Tetapi, Pak Ziad menarik tangan Kafira sebaik sahaja Kafira mengangkat punggung.

“Tak apa Kafira! Masa Pak Ziad dah tiba. Uhuk! Uhuk.." Pak Ziad berbicara lemah. Kafira yang mendengar sudah luluh hati.
Bergenang-genang air matanya jatuh dek melihat Pak Ziad yang sedemikian rupa.

“Tapi, Pak Ziad..."

Pak Ziad mengenggam erat tangan Kafira.

“Kafira tau kan...kenapa Pak Ziad ni, ‘bujang terlajak'?" sempat lagi Pak Ziad bercakap mengenai perkara itu.

Kafira menggeleng-gelengkan kepala sambil tangannya memaut tangan Pak Ziad.

“Hahaha..uhuk..uhuk..Cuba Kafira tengok sekeliling rumah Pak Ziad" suruh Pak Ziad dengan nadanya yang lemah.

Setelah disuruh oleh Pak Ziad, mata Kafira melilau dan memandang bahagian dalam rumah Pak Ziad. Setiap inci dilihat oleh Kafira.

Rumah Pak Ziad sangat usang. Tiada barang-barang yang baru ataupun masih elok.

“Pak Ziad ni miskin, tiada harta. Tiada sesiapa yang hendak kahwin dengan Pak Ziad" tutur Pak Ziad.

Kafira menatap kembali wajah Pak Ziad.

Oh! Jadi inilah punca sebenar kenapa Pak Ziad terlajak bujang. Kemikinan.

Kafira hanya setia mendengar.

“Tapi, kalau Kafira nak tau, Pak Ziad tak kisah. Kenapa? Sebab ini adalah ujian daripada Allah. Pak Ziad kena terima yang Allah sudah tetapkan Pak Ziad untuk membujang hinggalah ke akhir hayat" jelas Pak Ziad yang masih lemah.

Sekali lagi air mata Kafira jatuh bertalu-talu. Ya Allah! Rupa-rupanya, banyak juga penderitaan yang ditanggung oleh Pak Ziad. Ditambah lagi dengan kutukan orang kampung yang langsung tidak tahu akan hati budi Pak Ziad.

“Kafira, bagitau orang kampung yang Pak Ziad nak minta maaf dekat mereka" pinta Pak Ziad.
Kafira tidak faham. Mengapa terlalu tabah dan mulia hati orang tua yang dihina angkara status ‘bujang terlajak' ini?

“Pak Ziad tak pernah buat salah dekat orang kampung. Orang kampung yang..." tidak sempat untuk Kafira menghabiskan kata-kata.

Pak Ziad mencelah. “Pak Ziad dah lama maafkan mereka. Kafira...Pak Ziad...perlu pergi dulu" perlahan-lahan mata Pak Ziad tertutup sehingga rapat.

Mata Kafira terbeliak. Pak Ziad! Pak Ziad dah tak ada!

Kafira memeluk tubuh Pak Ziad erat-erat. Dia menangis semahu-mahunya.

“Innalilah" perlahan saja mulut Kafira mengucap.
.....

Suasana sayu di tanah perkuburan. Semua orang kampung berkumpul dan menguruskan jenazah Pak Ziad.

Mata Kafira bergenang lagi.

Dalam kesepian itu, kedengaran suara-suara sayup orang kampung pada telinga Kafira.

“Tengok tu. Aku sedih la dengan si Ziad tu. Tak sempat nak merasa perkahwinan" Mak Yah berbicara perlahan.

“Tu la. Ish! Siapalah suruh dia jadi bujang terlajak" balas rakan gosip Mak Yah yang lain.
Kafira sudah memejamkan mata dan mengetap gigi. Kemarahannya sudah hampir meletus.

“Sudah! Kenapa masih nak mengata kepada Pak Ziad? Dia tak salah" nada Kafira mengejutkan semua orang kampung termasuk Mak Yah.

“Pernah tak kita fikir kenapa Pak Ziad membujang sampai sekarang. Hmm..tak pernah. Apa yang kita tahu adalah mengumpat" sambung Kafira.

Suasana ketika itu sudah sunyi sepi. Kafira memerhati setiap penduduk kampung.

“Kalau nak tahu, Pak Ziad bukannya tak nak kahwin. Tapi, keadaannya yang miskin, tiada harta yang membawa dia kepada bujang terlajak. Dia cakap dekat saya, dia terima semua ni"

“Begitu tabah hatinya. Dia minta maaf kepada kita semua. Dan dia bagitau bahawa dia dah maafkan kita semua. Kenapa mulut korang semua jahat sangat?" Kafira marah.

Dia mahu mempertahankan maruah Pak Ziad.

Mak?" soal Kafira sambil memandang Mak Yah. Mak Yah hanya mengelak pandangan.

“Tolonglah! Fikirkan hati dan perasaan bujang terlajak. Takkan lah kerana status itu, dia dihina, dicaci" tutur Kafira.

“Kita tak tahu hati mereka. Kenapa kita masih nak menilai orang? Cerminlah diri sendiri sebelum menilai orang lain" kata Kafira. Air matanya jatuh ke pipi.

Lalu, Kafira melangkah pergi dari tanah perkuburan itu setelah meluahkan segalanya. Dia meninggalkan orang kampung yang sudah tertunduk.

-Senang sahaja kita menilai orang lain tanpa mengetahui nawaitu yang sebenarnya. Jikalau begitu, senang sahaja kita mencari dosa yang akan membuatkan kita tersungkur ke dalam neraka-

TAMAT...

"Jangan menilai buku daripada luaran mahupun dalaman. Nilai lah apabila kita meneliti, memahami dan mendalami setiap muka surat pada buku itu"

ikmal hakimi




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.