Home Cerpen Thriller/Aksi MANGSA CINTA
MANGSA CINTA
NORAZIZAM
2/7/2016 16:39:24
2,695
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Hari yang kelam telah kembali cerah. Titik-titik hujan sedikit demi sedikit beransur reda. Bau hapak di lorong tempat penginapanku beransur kurang. Dengan keadaan menggigil, baju yang basah kuyup, aku menghampiri tempat yang selalu menjadi persinggahanku setiap malam.

 Sialan…, siapa pula perempuan yang berani tidur di situ? Berani dia menceroboh kawasanku. Berani dia tidur di tempatku tanpa izinku. Aku menghampiri perempuan itu. Hatiku marah serta mendesak untuk bertindak kasar. Tetapi tanganku tidak sampai untuk berbuat demikian.

 Hati kecilku berkata-kata ‘Kasihan, wanita secantik ini terpaksa tidur di tempat ini’. Wajahnya yang putih bersih, rambutnya yang ikal walaupun telah lama tidak diurus, matanya yang bulat serta bulu mata yang lentik, kening yang teratur. Semuanya itu masih jelas menunjukkan yang dia seorang yang cantik. Walaupun ketika itu, dia hanya dilitupi sepasang baju lusuh yang dimakan usia.

 Ya…tetapi kenapa perempuan secantik ini berada di sini. Rasanya aku tidak sabar ingin mengetahui kisahnya. Wahai perempuan!, lekaslah terjaga dari lenamu, aku ingin mengetahui kisahmu. Seperti dapat membaca gerak hatiku, perempuan itu terjaga dari lenanya. Dia seakan terperanjat melihat kehadiranku disisinya.

“Jangan…jangan…, aku tidak mahu lagi, aku tidak mahu!!!”

Jeritan perempuan itu dengan nada sayu, memecah suasana.

“Kenapa dengan kau? Aku tidak berbuat apa-apa, kau yang menceroboh tempatku. Seharusnya aku berhak menghalaumu”

“Maafkan aku, aku terlalu keletihan tadi. Lagipun aku tidak tahu lagi ke mana mahu pergi”

“Siapa kau sebenarnya, aku lihat kau bukan seorang yang susah. Wajahmu cantik. Tempatmu sepatutnya bukan di sini. Ya…, sepatutnya kau diletakkan di istana”

“Cukup…cukup…, aku telah jelak dengan pujian seperti itu, kerananyalah aku telah hancur”

Perempuan itu memberhentikan kata-kataku, lalu terus menangis teresak-esak. Aku merasa kaget. Hatiku mendesak untuk mengetahui kedudukan sebenar. ‘ Kenapa dia menangis? Kenapa?’

“Apa masalahmu, jika tidak keberatan ceritalah kepadaku. Mana tahu, ada yang boleh kutolong. Lagipun kitakan ke senasib”

Terukir sebuah senyuman di wajah perempuan itu, mukanya kembali ceria. Harapanku kian berbunga. Perempuan itu merenungku dengan matanya yang bulat itu tanpa berkelip-kelip. Aku merasa gelisah, tenungannya menakutkan aku. Dia seperti mencari kejujuran hatiku. Mungkin tindakannya untuk memastikan yang aku tidak memperdayakannya.

“Cerita aku tidak seindah mana. Cukuplah aku katakan, kesilapanku lah yang membawa derita padaku. Apa kau masih mahu mendengarnya?”

Aku hanya mengangguk laju. Dia ketawa kecil melihat telatahku. Dia membetulkan rambutnya yang mencecah bahu itu dengan tangannya. Dia mengalih duduk menghadap kepadaku.

“Baiklah…, aku akan menceritakannya. Lagi pun kau kelihatan bersungguh-sungguh. Aku juga tahu kau tidak seperti mereka kan”

Aku terperanjat dengan pernyataan mendadak itu, macam dia tahu isi hatiku. Aku mengangguk sebagai jawapan. Dia tersenyum lagi, lalu meneruskan ceritanya. Aku hanya mendengarnya dengan asyik.

Deringan loceng menandakan waktu sekolah tamat. Kelihatan setiap blok bangunan dan tingkat-tingkat blok sekolah, kelihatan pelajar lelaki perempuan berpusu keluar dengan ketawa riang. Hari ini tamatnya penggal persekolahan untuk tahun itu. Jadi masing-masing bergegas untuk segera pulang dan memulakan rancangan masing-masing untuk mengisi cuti penggal itu.

“Zaty…, selamat bercuti. Apa yang kau mahu buat cuti kali ini”

“Tidak tahu lagi Hanom, aku ingat mahu cari kerja sementara. Lagi pun tahun depan kita aka menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, aku ingin membayar yuran peperiksaan sendiri. Kau tahulah keluargaku, bukannya orang senang. Kau pula macam mana Hanom”

“Aku fikir juga macam itu Zaty, kita sama-sama cari kerja ya. Kerja apa yang boleh kita buat”

“Apa-apa pun boleh. Asalkan ianya halal”

“Okay, aku akan beritahu kau jika aka dapat pekerjaan ya”

Okay. Bye… Selamat bercuti Hanom. Jangan lupa ya”

Beberapa hari selepas itu, aku telah dihubungi Hanom. Hanom mengajakku untuk pergi bekerja di sebuah hotel sebagai penyambut tetamu. Pada mulanya aku tidak mahu kerana aku tahu penghuni hotel bukan selalunya baik. Tetapi atas desakan Hanom dan memandangkan keluargaku yang susah, aku bersetuju dengan cadangaan Hanom. Kami sama-sama bersetuju untuk menghadiri temuduga keesokkan harinya.

Aku melangkah ke bilik temuduga dengan hati yang berdebar-debar. Aku merasa gelisah melihat gelagat mereka Mereka melihatku dari atas hingga ke bawah.

“Sila duduk”

Aku duduk dengan agak kaku dan hati yang berdebar-debar.

“Cik Roszaty binti Hamzah”

“Ya, saya”

“Cik Roszaty tahu tugas yang akan Cik Roszaty lakukan”

“Setahu saya sebagai penyambut tetamu”

“Ya, betul. Adakah Cik Roszaty fikir yang Cik Roszaty layak dengan kerja ini”

Aku tergamam kerana aku taahu tidak sesuai dengan kerja itu, memandangkan pakaianku itu. Aku lihat penemuduga-penemuduga itu terseryum melihat gelagatku. Aku tidak perlu memberi jawapan. Cara yang paling baik ialah meninggalkan bilik itu.

“Nanti dulu Cik Roszaty. Jangan terburu-buru, sebenarnya anda diterima bekerja di sini. Jumpa saya semula pagi esok”

Aku tergamam seketika, lantas mengucapkan terima kasih pada Encik Fauzi itu dan penemuduga yang lain. Aku segera bergegas mendapatkan Hanom, yang telah pun selesai temuduganya sebelum aku. Hanom pun telah diterima bekerja juga. Keesokan harinya, aku dan Hanom pergi ke Hotel Melati untuk mendaftarkan diri.

“Cik berdua ini, Cik Roszaty dan Nor Hanom ya”

“Ya…” jawab kami serentak.

“Sila ikut saya”

Kami mengikut arah yang dibawa oleh penyambut tetamu itu. Dia membawa kami ke sebuah bilik persalinan yang indah dan cantik.

“Cik Roszaty dan Nor Hanom boleh salin pakaian dahulu. Pakai baju yang disediakan itu. Setelah selesai beritahu saya. Saya tunggu di luar”

Aku dan Hanom terpegun melihat dua pasang baju yang amat cantik terletak di atas sebuah meja. Kami meneliti baju itu. Rasa aku, aku tidak sanggup memakai baju itu. Dengan sikapku sebagai gadis desa, rasanya malu untuk memakai baju itu.

“Macam ana Hanom, kau lihatlah baju ini”

“Pakai sajalah. Lagi pun bukannya salah, sekadar pakaian saja kan”

Dengan berat hati aku pun mencuba baju itu. Sesak nafasku bila memakainya. Aku melihat diriku, di cermin di hadapanku. Aku tidak mempercayai penglihatanku. Nor Hanom pun kagum dengan diriku.

”Hei Zaty! Cantiknya…”

“Kau pun apa kurangnya Hanom”

“Sudahlah, mari kita keluar”

Apabila kami keluar saja, penyambut tetamu tadi terpegun sejenak tetapi dia lantas mengajak kami ke bilik Encik Fauzi. Setelah menerima isyarat masuk, kami pun masuk.

“Encik…, ini dia Cik Roszaty dan Cik Nor Hanom”

“Terima kasih Kathy. Awak boleh tinggalkan mereka. Sila duduk Cik Roszaty dan Cik Nor Hanom”

Kami duduk di depan Encik Fauzi, untuk menerima arahan-arahan lanjut darinya. Encik Fauzi hanya merenung kami sambil tersenyum seperti ada sesuatu terukir di fikirannya. Kami gelisah menunggu arahan darinya.

“Macam inilah yang saya mahu. Kecantikan asli itu terserlah sudah. Ditambah sedikit bahan solek, bertambah menawan lagi”

Kami hanya tersipu malu, tetapi kami masih tidak tahu tugas kami sebenarnya.

“Begini…, awak berdua ditugaskan sebagai penyambut tetamu khas. Maksud saya, saya mahu awak berdua sebagai penyambut tetamu biasa dan juga ditugaskan melayani tetamu-tetamu di hotel ini. Bagaimana setuju?”

“Maksud encik, kami perlu melayani kehendak pengunjung hotel ini, tetapi encik kami bukanlah semurah itu. Kami ada maruah, mari Hanom, kita tinggalkan tempat ini”

“Nanti dulu Cik Roszaty, jangan salah sangka. Awak berdua hanya melayani tetamu yang tidak tahu sesuatu tempat di Kuala Lumpur ini, terutamanya pelancung luar negara. Bukannya semua.

Aku hanya tersenyum dengan kesilapanku itu, lalu meminta maaf kepada Encik Fauz.sekali lagi. Encik Fauzi hanya tersenyum memahami. Nor Hanom mengeleng-geleng melihat gelegat gopohku itu. Kami akhirnya bersetuju dengan tugas itu.

Semenjak hari itu, bermulalah tugas kami. Aku yang pada mulanya malu akan tugasku itu, akhirnya telah menjadi kebiasaan bagiku. Pakaianku yang cara lama telah terasa janggal. Aku merasa lebih selesa dengaan pakaian yang menampakkan susuk tubuhku. Aku merasa diriku cantik berpakaian demikian.

 Wajahku yang bersih telah mula dinodai dengan palitan warna alat solek. Wajahku bertambah cantik. Aku merasa megah dengan diriku kini. Nor Hanom hanya sederhana saja berdandan, dia menjalankan tugasnya dengan baik. Tidak seperti aku yang mempunyai maksud tertentu di sebalik ini semua. Aku ingin menjadi popular dan glamour.

Rakan-rakanku kian bertambah. Dari kelas bawahan hinggalah kelas atasan. Semuanya telah menajdi temanku. Aku yang sebelum ini tidak mengerti hidup mewah, amat gembira dengaan keadaanku kini. Tidak siapa yang menyangka, anak kampung dari keluarga yang susah, boleh bertukar menjadi seorang puteri di kota metropolitan ini.

 Aku gembira sekarang. Di dalam usiaku yang muda remaja, perasaan kasih sayang tetap timbul. Aku mula menyayangi seorang eksekutif muda bernama Firdaus. Dia sungguh kacak dan bergaya. Lebih menarik lagi, misainya yang nipis dan teratur itu.

Di suatu hari minggu, kebetulan aku cuti hari itu, Firdaus mengajak aku ikut bersama-sama ke Genting Highlands. Aku yang sememangnya telah mengidam ke tempat seperti itu menurut saja. Alangkah gembiranya hati dapat bersama dengan orang tersayang. Kami ke sana dengan kereta mewah Firdaus berwarna biru. Sampai di sana, kami memasuki rumah rehat yang tersergam indah di situ. Sambil minum, kami berbual mesra.

“Zaty…, kau gembira di sini sayang”

“Em..em… tambah lagi bersama kau Fir”

“Zaty sayang, usiamu masih muda. Kenapa tidak meneruskan pelajaran. Fir tahu… sayang seorang yang bijak”

“Fir… untuk pengetahuanmu, aku memang ingin menyambung pelajaran dan meneruskan cita-citaku. Aku tidak mahu bekerja sebegini selamanya. Aku orang susah Fir, keluargaku hanya bergantung hidup padaku. Ayahku telah lama pergi, meninggalkan segala tanggungjawabnya kepada ibuku seorang. Aku berazam untuk membahagiakan ibuku, dengan kemewahan yang tidak pernah dikejapi kami selama ini”

Firdaus mendengarnya dengan teliti, sambil tersenyum bermakna.

“Bagaimana kalau Fir carikan Zaty kerja yang lebih lumayan pendapatannya, dari yang sayang dapat sekarang”

“Tetapi Fir, bukan ke Zaty hendak bersekolah lagi”

“Zaty boleh belajar sambil bekerja sayang. Nanti Fir bantulah sayang belajar. Fir pun kasihan melihat nasib sayang begini. Bagaimana, setuju sayang?”

Apabila Firdaus berkunjung ke Hotel Melati, hatiku sentiasa berdebar-debar. Aku menyambutnya dengan senyuman penuh makna. Firdaus melayanku dengan penuh kasih sayang. Hubungan kami semakin hari, semakin rapat, mesra sekali. Namun begitu, aku masih tidak tahu latar belakang hidup Firdaus. Nor Hanom telah menasihatiku berkali-kali, supaya berhati-hati dengan Firdaus. Aku tidak menghiraukan nasihat Nor Hanom, aku tahu Nor Hanom cemburu di atas perhubungan kami. Lagipun aku yakin dengan kejujuran Firdaus.

Aku leka dengan janji-janji manis Firdaus sehinggalah tiba suatu hari. Seorang wanita yang berkulit kuning langsat dan cantik molek memasuki Hotel Melati, menghampiri aku yang kebetulan hari itu bertugas di kaunter.

“Boleh saya berjumpa Cik Roszaty”

“Ya, saya Roszaty. Ada yang boleh saya bantu cik…”

“Saya Cik Rohaini. Ada beberapa perkara yang hendak saya bincangkan dengan Cik Roszaty”

“Kalau begitu Cik Rohaini, sila tunggu sebentar. Saya mahu meminta izin untuk berhenti rehat”

Aku pergi ke bilik Encik Fauzi untuk mendapat kebenaran keluar. Setelah itu, aku segera mendapatkan Cik Rohaini yang masih menunggu di kaunter. Aku mengajak Cik Rohaini ke ruang tamu hotel tersebut. Setelah duduk dan memesan minuman, aku bertanya akan tujuan sebenar Cik Rohaini datang untuk berjumpa denganku.

“Boleh saya tahu apa yang Cik Rohaini hendak bincangkan dengan saya itu? Ada sesuatu yang penting ke?”

“Saya kawan kepada Firdaus. Kami telah lama berkenalan. Jadi saya tahu hubungannya dengan Cik Roszaty. Saya mendapat alamat Cik Roszaty ini pun darinya. Menurutnya Cik Roszaty cantik dan pandai bergaya. Saya tertarik dengan ceritanya, sebab itulah saya berjumpa dengan Cik Roszaty. Apa kata kalau saya tawarkan Cik Roszaty pekerjaan lain dengan pendapatan yang lebih lumayan dari yang Cik Roszaty dapat sekarang”

“Maksud Cik Rohaini…”

“Begini…, saya dari agensi iklan. Saya ditugaskan untuk mencari muka baru untuk agensi iklan kami. Adakah Cik Roszaty setuju menjadi salah seorang model saya. Kalau setuju, hubungi saya di alamat ini okay”

Sambil Cik Rohaini menyerahkan sekeping kad.

“Terima kasih Cik Rohaini, nanti saya fikirkan dan akan menghubungi cik nanti”

Cik Rohaini berjabat tangan dengan senyuman mesra. Aku menghantarnya hingga ke pintu hotel. Selepas itu, aku kembali ke kaunter untuk menjalankan tugas-tugas seperti biasa. Malam itu apabila di asrama, aku bertanya pendapat Nor Hanom.

“Hanom…, kau nampak tidak perempuan yang bertanyakan aku di kaunter siang tadi”

“Nampak… kenapa? Aku lihat lama kau berbual dengannya. Apa ceritaanya, boleh aku tahu?”

“Memang aku hendak cerita pada kaulah ini. Sebenarnya perempuan tadi dari agensi iklan. Aku ditawarkan untuk menjadi salah seorang modelnya. Kau pun tahu, aku memang minat dengan kerjaya sebagai peragawati kan. Bergaya dan glamour. Gaji yang ditawarkan lumayan kau tahu. Aku rasa, aku hendak terima tawaran ini. Apa pendapat kau?’

“Entahlah Zaty, aku kurang arif dengan pengiklanan ini, aku rasa baik kau selidik dahulu. Kau sepatutunya tahu sama ada benar atau tidaknya sesuatu syarikat iklan itu. Aku takut kau tertipu nanti. Model kemana, tubuh kau yang hancur”

“Yalah…, aku tahu. Ini dia kad yang diberikan kepadaku. Menarik juga nama agensinya ‘Pelangi Malam’. Lagipun Firdaus yang memberikan nama dan alamatku padanya. Tidak mungkin mereka hendak tipu pula. Aku tahu Firdaus amat sayangkan aku, dia tidak mungkin menipu dan menjualku”

“Aku ini cuma mengingatkankan sahaja. Terpulanglah pada kau Zaty. Baik kata kau, baiklah. Kau pun bukannya anak kecil lagi. Cuma kau harus ingat, sekolah akan dibuka tidak beberapa hari lagi. Tahun ini pula kitaa akan menghadapi peperiksaan Sijil tinggi Pelajaran Malaysia, yang akan menentukan arah dan matlamat kita sebagai seorang pelajar. Oleh itu berhati-hatilah ya”

“Terima kasih Hanom. Aku tidak akan lupa atas sokongan dari kau ini. Gaji pertama aku nanti, aku belanja kau ya. Tentang sekolah itu janganlah kau risau, aku akan cuba hadapi kedua-duanya dengan seimbang. Kau tahu bukan, aku memang memerlukan wang untuk adik-adik dan aku sendiri. Masa inilah peluang yang aku nanti-nantikan. Doakan aku berjaya ya, Hanom”

“Emmm okay, tetapi dengan syart jangan lupakan aku dan keluargamu. Janji, hantar berita selalu”

“Okay…, aku janji”

Keesokkan harinya aku menghantar surat berhenti kepada Encik Fauzi. Aku segera menghubungi Cik Rohaini, menyatakan persetujuan untuk menjadi modelnya. Setelah itu, aku pergi ke agensi Cik Rohaini. Tempatnya sungguh eksklusif Cik Rohaini menunjukkan aku sebuah bilik yang lengkap dengan dan perabut mewah.

“Inilah bilik awak Cik Roszaty. Selepas mandi dan salin pakaian, jumpa saya di pejabat”

Setelah Cik Rohaini pergi, aku teliti bilik itu dengan mata yang galak. Mataku tertumpu pada deretan pakaian di almari yang terbuka itu. Seram dan ngeri aku memikirkan keadaan baju-baju itu. Semuanya singkat hingga ke paras peha. Bahagian dada terbuka luas.

Jikalau adapun yang labuh, terbelah sana terbelah sini. Aku rasa tidak sanggup untuk memakainya tetapi apakan daya, itu semua perkara biasa dunia model. Setelah mandi dan berpakaian sutera biru air laut yang berleher luas dan sedikit labuh, aku segera pergi mendapatkan Cik Rohaini.

“Emm… sudah siap pun. Cik Roszaty kelihatan lebih cantiki dan menarik dengan pakaian begini. Bagaimana kalau kita mulakan kerja kita sekarang?”

Aku tidak segera menjawab pertanyaan Cik Rohaini kerana aku lihat Firdaus dan dua lelaki lain berada di situ. Mereka merenungku dengan pandangan yang sungguh ganjil. Aku melihat silih berganti kepada Firdaus, dua lelaki itu dan kemudian Cik Rohaini dengan wajah yang cemas.

“Jangan takut Cik Roszaty, mereka Cuma jurukamera dan pegawai iklan kami saja. Lagi pun bukan ke Firdaus ada…”

Penjelasan Cik Rohaini itu mempunyai erti yang mendalam. Aku merasa curiga juga. Tetapi aku yakin dengan adanya Firdaus, aku akan selamat di sini. Aku mengangguk setuju akhirnya.

“Begitulah. Perkenalkan Encik Azmi sebagai jurukamera. Encik Halim sebagai pengarah iklan dan Encik Firdaus sebagai eksekutif pemasaran iklan. Cik Roszaty boleh ikut mereka sekarang untuk pengambaran. Firdaus! Uruskannya”

‘Okay, serahkan segalanya pada saya”

Firdaus menerima arahan dengan senyuman bermakna kepada Cik Rohaini.

“Okay Zaty sayang, mari ikut Fir”

Aku malu dengan kata-kata Firdaus itu, tambahan pula di depan Cik Rohaini, tapi dihatiku bahagia sekali. Aku lihat Cik Rohaini hanya tersenyum sambil mengangguk ria. Aku tidak tahu kenapa dia mengangguk begitu.

Aku berjalan beriringan dengan Firdaus, sementara Azmi dan Halim berjalan di belakang kami. Setibanya di suatu bilik gelap, aku ditolak masuk dengan kasar oleh Firdaus. Ketika itu tiada lagi wajah lembut dan penyayang. Segalanya bertukar sebaliknya. Firdaus dengan kasarnya membuka baju yang kupakai ketika itu. Aku cuba melawan segala tindakan Firdaus yang biadap itu.

“Apa ini semua Fir, mana janji-janji Fir selama ini. Kenapa kau tipu aku Fir? Sampai hati kau membuat begini padaku. Mana cinta dan kasihmu selama ini? Kau ingat aku perempuan murahan. Aku tidak sangka sifat kau lebih daripada binatang. Syaitan!!!

“Panggg”

Hinggap tamparan kasar dari tangan Firdaus, yang selama ini digunakan untuk membelaiku. Aduh… pedihnya, aku tidak rasa lagi kelembutan ketika itu. Yang aku terima kini hanya kekasaran semata-mata. Tiada wajah yang menunjukkan belas ehsan kepadaku ketika itu. Semuanya seperti melahap tubuhku bulat-bulat.

“Okay Zaty. Sekarang ikut sahaja arahan kami. Kalau kau hendak tahu, inilah dia Firdaus pengoda yang telah memikat beratus gadis untuk tujuan perniagaan kami. Apa lagi yang kau mahu, tidak lama lagi kau tentu ‘glamour’ di hati pelanggan kami. Kalau kau mahu selamat, ikut saja arahan kami”

Firdaus dengan bangganya memperkenalkan diri, yang menghancurkan masa depan gadis-gadis sepertiku.

“Ya.. Cik Zaty manis, sekarang kau berdiri di sudut itu menghadap kamera, kemudian dengar arahan kami seterusnya”

Aku hanya mampu menurut arahan Halim, mataku digenangi air mata. Kekasaran Firdaus tadi sudah menjelaskan segalanya. Hilanglah harapanku, hancurlah hidupku selepas ini. Aku menyesali tindakanku yang tidak mempercayai dan mengikut nasihat Nor Hanom. Aku memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Firdaus, kekasih hati yang kini menghancurkan hidupku. ‘Kau sungguh kejam Firdaus, sampai hati kau merosakkan masa depan gadis daif sepeertiku’

Aku teringat ibu, adik-adik dan kawan-kawanku. Aku teringsat persekolahanku. Ah… segalanya telah hancur kini. Dalam keadaanku yang amat memalukan itu, potretku diambil dari berbagai sudut dan gaya. Bermulalah detik hitam dalam hidupku. Selepas pengambaran yang mengaibkan itu, Firdaus memelukkan erat.

“Kau marah Zaty, kau tetap kepunyaanku. Aku akan bertanggungjawab atas segalanya. Aku janji, aku akan membantumu sayang”

Aku hanya memasamkan muka. Hatiku panas membakar. Perasaan benci menguasai diri, terhina dengan perbuatan Firdaus. Aku tahu janji-janji Firdaus hanya palsu semata-mata. Yang dia tahu, hanya untuk memuaskan nafsunya semata-mata. Ya…, kini aku benar-benar menjadi sampah masyarakat. Aku malu untuk kembali kepada keluargaku.

Aku menjadi manusia yang tidak punya perasaan lagi. Aku telah kehilangan cinta dan kasih sayang yang aku harap-harapkan selama ini. Segalanya telah hilang. Sehingga kini, aku mencari dimanakah letaknya kejujuran dan kasih sayang sesama manusia. Cintaku kepada Firdaus digunakan untuk menghancurkan hidupku. Sejak hari itu, aku mencari dan terus mencari cinta dan kasih sayang. Aku tidak menemuinya. Dalam keadaan aku begini, bertambah sukar untuk menemuinya, malah aku dipandang rendah di sisi masyarakat.

Suatu hari aku diselamatkan oleh seorang yang baik hati. Keluarlah aku akhirnya dari dunia itu. Tetapi kebahagiaan ku hanya sebentar. Pemuda itu mati akhirnya dilanggar kereta. Kereta yang dipandu oleh Firdaus. Aku meraung menangisi nasibku. Di dalam usiaku yang melewati setengah abad, aku tidak mampu lagi menyara hidup. Aku hanya berharap belas ehsan manusia sekeliling kini. Aku tidak mahu kembali ke kampung asalku kerana mengelakkan keluargaku mendapat aib. Biarlah mereka menganggapku ghaib dalam kamus hidup mereka.

Aku merasa terharu mendengar cerita perempuan itu. Aku lihat wajahnya semakin tenang, setelah menceritakan segalanya padaku. Perempuan itu lalu memandankku dengan wajah yang sayu..

“Maafkan aku kerana membuat kau bersedih. Ah… sudahlah, aku tidak mahu ceritaku ini membebankanmu. Cukuplah sekadar menenangkan hatiku saja. Maaf kerana tumpang berteduh di tempatmu ini tanpa izinmu”

Perempuan itu berlalu meninggalkan aku, mengingati semula ceritanya tadi. Aku tahu ceritaku hampir serupa dengan ceritanya. Bezanya aku sendiri yang memilih jalan ini. Aku lalu termenung mengingati kisah-kisahku pula. Huh! Nasib perempuan, semuanya menjadi mangsa cinta lelaki. Penyelidikanku masih belum tamat. Aku perlu meneruskannya lagi. Akan aku jadikan satu cerita yang menarik untuk tatapan umum.

Disember 1989

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.