Home Cerpen Islamik KENANGAN SEMALAM
KENANGAN SEMALAM
NORAZIZAM
25/6/2016 11:27:22
1,727
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

“Boleh saya bercakap dengan Rosli”

“Rosli yang mana satu ini cik. Ada tiga orang Rosli di sini”

“Saya tidak ingat pula nama penuhnya”

“Macam mana ini, berkawan dengan orang tidak tahu nama penuh. Lain kali cik tanya nama penuhnya”

“Ada dia beritahu tetapi saya yang tidak ingat. Tidak mengapalah encik, nanti kalau saya ingat, saya telefon balik”

“Hai cepat sangat hendak letak. Rosli tiada, tidak boleh ke cik berbual dengan saya saja”

“Tidak menganggu encik ke?”

“Tidak. Ini waktu rehat saya.

Hampir sejam aku berbual dengan gadis ini, sehingga tidak sedar masa berlalu. Ada kelainan gadis ini dari gadis-gadis sebelumnya yang pernah aku kenali.

“Boleh beri nombor telefon awak tak”

“Hendak buat apa beri pada awak nombor telefon saya”

“Saya hendak berkenalan lebih rapat dengan awak. Saya tidak pernah menceritakan hal peribadi saya dan keluarga kepada orang lain yang baru saya kenal. Tetapi dengan awak, saya boleh bercerita pula. Awak ini lainlah. Itu sebabnya saya hendak berkenalan dengan awak”

“Saya bukan makhluk asinglah, saya manusia macam awak juga. Itu kelebihan saya agaknya. Nama saya susah hendak sebut, nanti berbelit lidah awak dan asyik salah sebut macam orang lain itu”

“Beri sajalah, atau awak tidak sudi berkenalan dengan saya”

“Saya suka berkenalan dengan semua oranglah. Eja dan sebut nama saya elok-elok ya. Hafal…nanti senang hendak sebut masa akad nikah”

“Baik… nanti saya hafal. Siapa nama cik adik ini dan nombornya”

“Memang pelik dan susah hendak sebut dengan betul. Saya harap tidak tersalah sebut nanti. Saya perlu berjumpa dengan awak. Saya rasa macam sudah kenal lama dengan awak sepanjang kita berbual tadi. Nanti saya telefon awak, setkan waktu dan tempat. Saya hendak sambung kerja ini. Waktu rehat sudah habis”

“Okay, saya tunggu. Awak kerja itu berhati-hati ya. Assalamualaikum”

‘Waalaikumusalam”

Hatiku mendesak untuk terus bertanya namanya. Nasib baik ada sambutan. Dia memberikan namanya serta alamat dan nombor telefonnya sekali. Berjaya juga jerat aku rupanya. 

Dia tidak tahu aku benar-benar sudah terpikat dengannya. Maafkan aku gadis. Sejak hari itu hatiku mendesak untuk mengenalinya lebih rapat. Akhirnya aku berjaya mengenalinya. Tidak sangka dia begitu mesra denganku dan peramah pula itu.

Tetapi apakah malang, sehingga kini aku tidak dapat berjumpa dengannya. Ada-ada sahaja halangan melintang. Hatiku sudah terpikat dengannya. Tidak boleh ditukar lagi dengan gadis lain. Macam mana ya. 

Okay, macam ini sahaja. Mungkin ada sebab tertentu Allah tidak izinkan kami berjumpa. Aku rasa tidak mahu berpisah lagi dengannya. Apa cara sekalipun, aku berusaha untuk mendapatkannya. Ya…akan aku suruh sahaja ibuku melamarnya. Bagaimana, bagus tidak cadanganku?

Sebulan kemudian, ibuku dan beberapa orang saudaraku yang lain mengaturkan untuk pergi melamarnya. Aku dengan debar menunggu keputusan yang akan dibawa pulang. Cantikkah orangnya. Tentu cantik agaknya. Kalau tidak cantik pun tidak apa. Hatiku benar-benar telah terpikat dengannya.

 Hati, kenapa tidak sabar-sabar. Ketika ibuku pulang dengan rombongan peminangan itu, aku tidak sabar-sabar menanti keputusannya. Ibu hanya tersenyum melihat gelagatku. Apabila mengetahui keputusannya dari mulut ibu, akulah manusia yang paling bahagia sekali hari itu.

Sekarang usia perkahwinanku melewati tiga puuh tahun. Kini usiaku telah melewati setengah abad. Hari ini hari perkahwinan anak sulungku. Ya… sudah tua rupanya aku. Aku masih ingat lagi malam pertama aku bersama isteriku. Dia begitu malu sekali. Aku lihat dia sungguh ayu dan manis dalam pakaian pengantin songket itu. 

 Tudungnya yang labuh dan bertutup muka itu kusingkap dengan perlahan dan teratur. Maka terserlahlah wajah yang selama ini menjadi rahsia. Cantik dan lembut wajah itu. Selesai berdoa, aku lakukan segalanya terhadap isteriku itu seperti wajibnya. Hari itu juga isteriku menangis di dalam pelukanku.

Ya… malam ini malam pengantin untuk anakku pula. Adakah dia akan mengalami seperti ibunya. Anakku Murnirah gadis yang baik. Diasuh dan diberikan didikan agama secukupnya. Murnirah telah berjaya dalam menuntut ilmu dan kehidupan masa depannya. Nasib baiklah Halim, menantuku orang yang berakhlak mulia. Selain Murnirah. Anak-anakku yang lain aku memberi mereka didikan dunia dan akhirat.

Muhammad Hidayat anakku yang kedua, telah menjadi pemuda yang segak dan tampan. Di usianya 23 tahun, telah banyak mewarisi sikapku. Dia amat rapat dengan ibunya. Ibunya turutkan sahaja kemahuan Muhammad Hidayat. Aku kerap melarang isteriku supaya jangan memanjakan Muhammad Hidayat. Isteriku hanya berkata,

“Anak muda, biarkan dia merasai alam remajanya”

Sebagai pegawai muda di Kementerian Pertahanan, aku akhirnya mengalah dengan sikap Muhammad Hidayat. Biarlah dia bermanja dengan ibunya. Lagipun dia bukan selalu bersama kami. Ada sahaja tugas ‘demi negara tercinta’ dilakukan.

Siti Umairah, berlainan sekali daripada kakaknya Murnirah. Anak ini terlampau pemalu, hingga ada yang mengatakan dia sombong kerana tidak menyambut salam perkenalan. Dia tidak seaktif kakaknya.

 Di sekolah pun, Siti Umairah hanya bertemankan buku-buku dan beberapa orang kawan karib sahaja. Di usia remajanya yang baru menjangkau 21 tahun, perkembangan Siti Umairah amat nyata.

Siti Umairah lebih elok rupa paras dan perwatakannya daripada Murnirah. Anak ini sekarang aku hantar ke Universiti Islam Antarabangsa. Itu mahunya. Cita-citanya murni. Ingin menjadi doktor. Aku cadangkan dia ke Universiti Malaya sahaja tetapi dia tidak mahu.

 Katanya, mahu mendalami bahasa Al-Quran, dia mahu brtutur menggunakan bahasa itu. Elok juga begitu. Sekurang-kurangnya, dia dapat menguasai bahasa itu. Aku yang melewati setengah abad ini, masih lagi tidak dapat menguasai bahasa itu dengan baik.

Dentuman bunyi pintu kereta ditutup menganggu khayalanku. Seorang anak muda yang berpakaian ranggi memasuki rumah. Sambil memberi salam, dia berlalu terus ke biiknya. Muhammad Hafizi rupanya.

 Anak inilah yang kadang kala meruntuhkan kesabaranku. Anak ini amat susah dibentuk. Lihat sahaja pakaiannya. Lain benar dengan abang dan kakak-kakaknya. Mahunya berjalan dan berseronok sahaja. Aku tidak pernah melarang, selagi dia tahu menjaga diri. Tahu tanggungjawabnya kepada pencipta-Nya.

Aku bersyukur juga kerana Hafizi masih tahu agamanya dan adat timur. Biarlah dia begitu. Sejak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lepas hingga kini, Hafizi tidak dapat sebarang pekerjaan. Itulah antara sebab dia mencari keseronokan di luar.

 Bosan tinggal di rumah. Kadang-kadang dia turut menyertai, mana-mana rombongan belia yang dianggotainya melakukan aktiviti kemasyarakatan. Hafizi amat suka bergiat dengan teater dan drama. Ada juga sekali-sekala ditawarkan berlakon oleh beberapa syarikat penerbitan drama, tetapi berapa sangatlah bayarannya.

 Aku sudah acap kali menyuruh Hafizi mencari kerja lain tetapi tidak diendahkannya. Akhirnya aku tidak mampu lagi melarangnya. Sekarang ini, dia tidak pernah menyusahkan aku lagi. Malah amat tahu menilai budi orang tuanya selama ini.

“Abang, apa yang dimenungkan tu.”

“Tiada apa-apa, ingatkan anak-anak.”

“Yalah, tak sangka, sudah besar kesemuanya. Siti Munirah pun sudah bernikah. Tidak lama lagi, seorang demi seorang meninggalkan kita. Begitu cepat masa berlalu, terasa pula tuanya kita ya bang.”

“Sayang sajalah yang dah tua, abang tidak lagi.”

“His!, mengada-ngada orang tua ini. Kenapa ada hajat hendak kahwin lagi satu ke?”

“Sayang izinkan. Kalau izinkan, hari ini pun boleh.”

“Emmm, gatalnya.”

Merayaplah tangan halus yang dimakan usia itu ke lenganku yang tidak beralas. Terasa perit cubitannya. Isteriku berlalu meninggalkan aku melayani khayalanku semula. Mungkin dia sibuk untuk mengemaskan saki baki majlis perkahwinan siang tadi. Itulah isteriku Nur Hidayah. 

Sejak perkahwinanku dengannya hingga kini, tidak sedikit pun aku merasa jauh hati dengan Nur Hidayah. Nur Hidayah isteri yang baik. Isteri yang patuh dan taat kepada aku, suaminya. Walaupun kadang kala ada pertelingkahan antara kami, tetapi tidaklah sampai membawa perceraian. Syukur kepada-Nya, memberikan aku isteri yang sebaik Nur Hidayah.

Masih aku teringat, sewaktu usia perkahwinan kami menjangkau setahun. Aku memberikan Nur Hidayah sepasang baju tidur nipis. Dia seperti enggan menerima dan memakainya. Aku mengusiknya dengan menyatakan, aku akan lebih tergoda jika dia memakai baju itu. 

Akibatnya aku menerima cubitan yang halus dan amat perit itu. Semenjak itu juga, Nur Hidayah tidak membantah lagi jika aku membelikan sesuatu untuknya. Nur Hidayah akan senyum dengan rianya. Malah kami sering memberi hadiah dan membelikan sesuatu antara kami.

 Boleh dikatakan segala keperluan Nur Hidayah, aku yang beli dan aku yang pilih. Manakala segala keperluan aku, Nur Hidayah yang beli dan Nur Hidayah yang pilih. Jarang sekali kami beli sendiri keperluan masing-masing.

Pernah satu ketika, aku terpandang sepasang baju gaun yang amat indah dan ketat di pinggang. Waktu itu aku berjalan dengan kawanku Sazali. Dia agak kaget, bila aku membeli baju itu. Dia bertanya untuk siapa. Aku katakan untuk isteriku Nur Hidayah. Dia tidak percaya dan bertanya lagi. Setelah aku memberi jawapan yang sama, barulah dia percaya. Dahinya sedikit berkerut. Aku hanya tersenyum sahaja.

Tiada siapa yang tahu, Nur Hidayah seperti bidadari di rumah. Nur Hidayah tidak menutup tubuhnya dengan pakaian yang dipakai ketika di luar rumah. Jubah dan tudung labuhnya, bukan pakaian Nur Hidayah di rumah. Skirt, gaun, seluar, baju pendek dan semua yang menggoda nafsu lelaki ketika di luar rumah, dipakai oleh Nur Hidayah jika bersama kami sekeluarga.

Nur Hidayah lebih cantik dari wanita-wanita lain, yang berhias bersolek di luar rumah. Segala yang dibuat oleh wanita lain di luar rumah, dilakukan juga oleh Nur Hidayah untukku di rumah. Inilah yang membuatkan aku sering duduk di rumah apabila bercuti. Apa yang aku mahu lagi, semuanya telah Nur Hidayah lakukan untukku. Malah yang telah menjadi halal untukku.

Nur Hidayah pandai bergaya, dalam segala segi rumah tangga, menggoda bila bersama aku. Macam mana aku tidak tertarik dengan gaya manjanya itu. Pernah teman pejabat memperliku kerana pasti berkurung di rumah, walaupun ketika bercuti. 

Maklumlah berkahwin dengan ustazah. Anggapan mereka salah, Nur Hidayah lebih hebat di rumah. Nur Hidayah tidak pernah menyakiti hatiku, kalau dimarah dan ditegur, dia diam saja. Tanpa bantahan sehinggakan aku rasa bersalah dan sedar sendiri akhirnya.

Nur Hidayah seorang ibu yang baik. Anak-anak kami semuanya diasuh olehnya. Nur Hidayah tetap bekerja sebagai seorang ustazah di sebuah sekolah agama. Dulu pernah aku menyuarakan untuk mengambil pembantu rumah. Nur Hidayah membantah, katanya dia boleh asuh sendiri. 

 Menurutnya, kalau pembantu rumah mahu baik hari tidak mengapa, baru dia mahu terima pembantu rumah. Aku tahu Nur Hidayah cemburu. Dia takut aku meninggalkannya. Nur Hidayah isteriku, percayalah suamimu ini seorang yang setia. Hanya dirimu seorang ratu hidupku, tiada lain.

Aku ingat lagi,semasa membesarkan anak-anak kami, Nur Hidayah begitu letih dan nampak kurang sihat. Namun wajahnya tetap ceria dengan telatah anak-anaknya. Sebaik sahaja balik sekolah, Nur Hidayah terus membuat kerja rumah.

 Diberi anak-anak makan, bersiap kemas disuruh mengulangkaji. Nur Hidayah mengajar sendiri anak-anak kami mengaji. Suaranya yang merdu itu, membuatkan aku begitu khusyuk mendengarnya.  Anak-anak yang degil menghafal dimarahinya.

 Aku tidak campur, jika Nur Hidayah memarahi anak-anak kerana Nur Hidayah tidak mahu aku terkasar dengan anak-anak. Menurut Nur Hidayah, nanti anak-anak takut denganku jika berbuat demikian. Nur Hidayah mahu anak-anak hormatkan aku sebagai ayah mereka dan bukannya ditakuti.

Begitulah anak-anak kami membesar di bawah asuhan Nur Hidayah. Sekarang aku amat bersyukur, anak-anak kami membesar dengan penuh didikan agama. Anak-anak kami malah bekerjasama dalam segala segi. 

Masih kuingat lagi, Munirah membelikan Hidayat sebuah bola sebagai ganti bola Hidayat yang hilang. Hidayat menangis berminggu-minggu sebab kehilangan bola tersebut. Munirah tidak mahu Hidayat menangis lagi. Tabungnya dipecahkan.

 Bola baru Hidayat dibelikan di kedai mamak depan rumah kami. Begitu juga Hidayat, amat rapat dengan Munirah. Jika budak-budak nakal mengusik kakaknya, Hidayat akan berlawan dengan mereka. Kalah atau menang dia tidak peduli. Asalkan dia dapat mengajar budak-budak nakal itu, supaya tidak mengacau kakaknya lagi.

Kadang kala comot baju Hidayat sebab bergaduh itu. Nur Hidayah memarahi Hidayat. Hidayat tahu dia salah tetapi dia ingin menolong Murnirah, kakaknya. Begitulah Murnirah dan Muhammad Hidayat, membesar dengan tolong menolong dan rapat antara satu sama lain. 

Sikap mereka ini, diikuti pula oleh Siti Umairah dan Muhammad Hafizi. Aku amat gembira mereka bersifat begitu. Walaupun mereka bergaduh, hanya sebentar. Nanti riuh lagi mereka bermain. Sikap mereka bukan setakat peringkat anak-anak saja, malah hingga kini mereka masih mengekalkan sifat itu.

Lihatlah beberapa bulan ini. Masing-masing sibuk menjalankan tugas masing-masing. Muhammad Hidayat sibuk mencari khemah dan kerusi meja. Siti Umairah sibuk menolong Murnirah menyiapkan barang-barang hantaran dan lain-lain yang bersangkut paut dengan majlis perkahwinan. 

Muhammad Hafizi yang nakal itu, tidak kurang sibuknya. Tidak saangka dibawanya kawan-kawan menolong di hari ini. Siap dengan kamera video disewakannya. Aku membantah tindakan Hafizi kerana bagiku tidak elok ditayang-tayang upacara perkahwinan Murnirah ini. 

Hafizi menjawap, majlis ini sekali seumur hidup, mestilah ada sesuatu untuk kenangan. Di akhir-akhir ini, Nur Hidayah bertambah sibuk dan kelihatan risau. Takut majlis tidak berjaya. Syukurlah, segalanya telah berakhir. Siti Murnirah telah selamat bernikah dengan Halim, pegawai di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Abang…, hari sudah larut malam ini, tidak mahu tidur lagi ke?”

Isteriku menghampiriku dengan siap sedia berbaju tidur. Aku renung Nur Hidayah. Wajahnya masih cantik berseri, walaupun kedut usia telah jelas kelihatan. Aku tersenyum lalu beredar dari ruang tamu ke kamar tidur. Sekilas aku melihat ke bilik pengantin. Telah gelap.

Anakku, semoga kau bahagia dengan suamimu dan berjaya melayari bahtera hidup dengan jalan yang benar dan selamat. Anakku Siti Murnirah, jadilah seperti ibumu. Jaga hati suamimu, jangan cepat merajuk. Jangan selalu berkelahi. Ayah doakan, semoga kalian berdua berjaya seperti ayah dan ibu hari ini.

Malam semakin larut, hatiku tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada-Nya. Semoga Dia tetap melindungi keluargaku sehingga akhir hayatku. Semoga hari mendatang seperti hari-hari yang telah lalu. Amin.

Puteri Nur Dis 89’

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.