Home Cerpen Alternatif ERTI PERSAHABATAN
ERTI PERSAHABATAN
NORAZIZAM
18/7/2016 22:02:32
1,877
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif
Suasana yang nyaman dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, membuatkan langkahku semakin cepat untuk sampai ke sekolah. Hari ini merupakan hari pertama aku di alam persekolahan menengah. Alam persekolahan yang penuh dengan ranjau hidup, jika kita tidak tabah menghadapinya. Alam persekolahan rendah, telah aku hadapi dengan suka dan duka. Aku masih ingat lagi, semasa aku di dalam darjah tiga dan lima, aku sering kali diserang penyakit lelah yang memang aku hidapi sejak kecil lagi. Akibat dari itu, aku sering kali tidak hadir ke sekolah, pelajaranku sering tertinggal. Mujurlah aku mempunyai seorang sahabat karib yang sanggup menolong dan membantuku di dalam menghadapi pelajaran yang tertinggal itu.

Mujurlah dengan bantuan sahabatku itu aku telah berjaya menamatkan persekolahan rendah sehingga darjah enam. Kalau tidak mungkin aku terpaksa mengulang semula di dalam darjah enam, mungkin gagal dalam peperiksaan darjah itu. Sekarang aku telah berjaya ke sekolah menengah. Aku berjanji untuk mencapai kejayaan yang lebih baik di alam persekolahan menengah ini. Aku gembira kerana dapat melanjutkan persekolahan di sekolah menengah ini, yang menjadi idamanku selama ini.

Setelah meletakkan basikal di tempatnya, aku segera melangkah ke kantin sekolah baru ini. Di sana telah sedia ada rakan-rakanku di sekolah rendah dahulu.

“Hai Zilah!, macam mana cuti kali ini. Liza harap Zilah gembira. Ya lah…, hampir enam tahun kita bersama sebagai kawan karib.. Liza amat kasihan melihat nasib Zilah semasa di sekolah rendah dahulu. Mujurlah Zilah ini cerdik juga orangnya, kalau macam Liza ini entahlah…, agaknya tidak sempat ke sekolah menengah, duduk di rumah sajalah nampaknya.”

Aku hanya tersenyum menyambut percakapan sahabatku Lizawati, yang telah banyak menolongku mengharungi alam persekolahan rendah dahulu. Liza cantik orangnya, rambutnya lurus dan panjang. Diikat rapi dengan reben merah kegemarannya mencecah bahu. Matanya bulat dan mulutnya kecil, sekecil mulut anak patung kegemaranku. Aku sering teringat Liza, bila aku melihat anak patungku itu. Aku dengan Liza memang menjadi sahabat baik sejak kecil lagi kerana kebetulan rumah kami berdekatan. Tetapi Liza lebih beruntung kerana dia adalah anak orang berada. Kedua-dua ibu bapanya bekerja. Bapanya pernah menjadi guru kelas aku semasa darjah lima. Bapanya juga sering membantuku semasa menjadi muridnya dan dianggap seperti anak sendiri. Ibu Liza seorang telefonis dan cantik seperti anaknya juga. Aku senang dengan keluarga Liza.

Liza popular di sekolah rendah dahulu kerana disamping kecantikkannya, dia juga seorang pengawas sekolah. Aku tidak popular kerana aku agak pemalu orangnya dan tidak pernah memasuki mana-mana persatuan di sekolah rendah dahulu. Aku dan Liza kini beriringan berjalan-jalan melihat sekolah baru ini. Kami ditegur oleh kawan-kawanku yang lain. Setelah puas kami melihat sekeliling kawasan sekolah yang cantik ini, kami kembali semula ke kantin. Di sini kami berbual-bual dengan rakan-rakanku Rohani, Salmah dan Faridah. Kumpulan kami yang agak gila-gila sedikit kadang-kadangnya.

Kami sungguh rancak berbual, kadang kala diselangi dengan helai ketawa kami. Tanpa kami sedari, kelincahan kami diperhatikan oleh seorang pemuda yang agak kacak orangnya, tercegat di suatu sudut. .Aku yang mula-mula menyedarinya, aku agak pemuda ini orang baru di kawasan ini, kerana kami tidak pernah melihatnya di sekolah rendah dahulu. Aku mencuit Liza, Liza memandangku dengan wajah sedikit kehairanan. Dengan suara yang agak perlahan seperti berbisik, aku memberitahu Liza.

“Liza…, cuba lihat di sudut sana itu. Lihat tidak seorang pemuda yang kacak itu. Dia memerhatikan kita sejak tadi.”

Mendengar kata-kataku itu, kawan-kawanku dengan serentak menoleh ke arah pemuda tersebut, melambai-lambaikan tangan seperti kebiasaan kami bila bertemu dengan kawan baru. Pemuda itu dengan spontan tunduk, beredar dari situ. Mungkin dia merasa malu diperhatikan demikian rupa. Kami tuduh-menuduh antara sesama sendiri kerana peristiwa tersebut, tetapi kemudian gelak kembali di atas perbuatan kami yang sedikit kebudak-budakan itu. Tetapi di hatiku, aku ingin sekali mengenali pemuda tersebut. Setelah rancak berbual tanpa kami sedari, loceng memulakan hari baru di sekolah menengah ini berbunyi.

Dalam ratusan pelajar pada hari itu, aku tercari-cari pemuda tersebut di dalam perhimpunan, tetapi aku hampa kerana mustahil aku dapat mencarinya. Aku mula menumpukan perhatian kepada pengumuman pengetua. Aku merasa terkejut dan sedikit kehampaan kerana menurut pengetua, kami diasingkan kelas lelaki dan perempuan, tidak seperti di sekolah rendah dahulu. Aku juga berpisah dengan Liza dan kawan-kawanku yang lain. Jadi aku keseorangan di kelas yang baru itu. Di kelas yang baru ini, aku mula memepelajari hakikat aku keseorangan. Aku mula mengorak langkah berkenalan dengan beberapa orang rakan kelasku, tetapi aku tidak berhasil untuk rapat dengan mereka, mereka terlalu asing denganku. Sifat dan kelakuanku berlainan dengan mereka.

Saat yang paling gembira dalam tahun pertama aku di sekolah ini adalah apabila aku, Liza, Rohani, Faridah dan Salmah berjumpa di waktu rehat dan lepas sekolah. Kami tetap kekalkan persahabatan kami dahulu, malah bertambah erat lagi apabila kami sama-sama dapat menjadi pengawas sekolah. Kebetulan pula, pemuda yang kami nampak pada hari pertama itu, menjadi pengawas juga dan dia berjaya menjadi ketua pengawas.

Kini aku tidak lagi perlu mencari atau merisik lagi tentangnya, kami sering berjumpa di perjumpaan pengawas yang diadakan setiap minggu. Namanya Amran, berasal dari Teluk Intan, Perak. Seorang berdedikasi, bertanggungjawab, kacak, peramah dan suka bergaul dengan sesiapa sahaja. Sikapnya ini membuatkannya cepat popular dan dikenali oleh semua pelajar dan guru-guru. Dia juga menjadi rebutan perempuan, malah kami berlima pun sukakannya. Di antara kami berlima, Liza yang berjaya tetapi aku tidak terkilan kerana aku sedar dengan sifat diriku, Liza memang padan dengannya.

Tahun demi tahun berlalu, kini peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pun tiba. Aku, Liza, Rohani, Faridah dan Salmah begitu tekun menjawap periksaan dan kami yakin kami boleh lulus dengan cemerlang. Sebelum ini, kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksan ini, kerana peperiksaan ini adalah tangga pertama kami menuju kejayaan. Aku, Liza, Rohani, Faridah dan Salmah sering kelihatan kemana-mana saja untuk mengulangkaji pelajaran, tetapi kadang-kala Liza tidak bersama kami bila dia bersama Amran. Antara kami tidak pernah menegur perangai Liza kerana itu adalah haknya. Kami yakin, Amran juga rajin belajar dan kami harap Amran dapat menunjuk ajar Liza bukan sekadar kawan sahaja.

Di bilik peperiksaan, aku lihat Amran begitu tenang menjawap, begitu juga rakan-rakanku yang lain. Tetapi Liza…, aku lihat dalam keadaan gelisah dan asyik mengeluh. Aku agak hairan dengan perangai Liza ini, tidak mungkin Liza belum bersedia kerana Liza juga menghadiri kelas tiusyen, tidak seperti kami yang hanya berharap pada pengajaran cikgu di sekolah sahaja. Oh! Liza…Liza… Setelah bulan demi bulan berlalu, keputusan peperiksaan pun tiba. Aku, Rohani, Faridah dan Salmah Berjaya memasuki kelas aliran Sains tetapi sungguh malang bagi Liza, dia gagal memasuki aliran Sains, hanya mampu ke kelas Sastera saja, Sejak hari itu, Liza semakin berjauhan dari kami.

Aku, Faridah dan Amran sekelas dalam tingkatan empat sains Edwards. Sementara Rohani dan Salmah Berjaya memasuki Sekolah Menengah Teknik kerana keputusan mereka lebih baik dari kami. Maka aku bertambah kesunyian kerana kumpulan kami telah berpecah. Liza pula semakin rengang dari aku, Faridah mahupun Amran. Aku tertanya-tanya sendiri, kenapa terjadi begitu persahabatan kami kierana aku merasa sedih di atas peristiwa ini. Maklumlah aku dan Liza telah berkawan sejak kecil lagi Kami tidak pernah berpisah atau bertegur sapa, tetapi sekarang sikap Liza telah banyak berubah dan peristiwa ini merunsingkanku. Aku mesti mencari punca kenapa Liza tidak mahu lagi berkawan dengan kami, menjauhkan diri dari aku terutamanya. Adakah Liza begitu kecewa dengan keputusannya itu. Sungguhpun Liza tidak mendapat apa yang dihajaatinya tetapi aggregatnya sungguh baik bagi kelas aliran sastera dan berjaya memasuki kelas perdagangan.

Adakah dengan keputusan itu, Liza merasa begitu kecewa hingga sanggup menjauhkan diri dari kami. Liza… Liza…, aku tidak mengerti dengan sikapmu kini. Aku tidak mahu Liza bersikap demikian dan ini akan mengganggu pelajarannya. Seterusnya mungkin merosakkan masa depan Liza sendiri. Sejak akhir-akhir ini, aku semakin rungsing dengan perangai Liza, ianya menganggu pelajaranku. Aku sering dimarahi oleh guru kerana tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Kerja sekolah sering aku tersilap, hari ini aku beberapa kali melakukan kesilapan. Aku berjanji menemui Liza semasa waktu rehat nanti. Aku tidak perduli, sama ada Liza mahu dengar kataku atau Liza memarahiku. Asalkan aku dapat menghilangkan runsing di hatiku, seterusnya menyelesaikan masalah antara kami.

Loceng menandakan waktu rehat sudahpun berbunyi, aku menyedari waktu yang berlalu, bergegas keluar untuk berjumpa dengan Liza. Aku mencari-cari Liza di tempat yang selalu kami pergi semasa kami sama-sama belajar dahulu. Betul tekaanku, aku lihat Liza termenung seorang diri di bawah pokok yang disediakan kerusi. Tempat yang kami sering kunjungi bila mengulangkaji dan berbual-bual di waktu rehat. Aku menghampiri Liza.

”Hai Liza!, kenapa termenung ini… ada masalah ke? Boleh Zilah tolong?” lalu aku pun duduk di si Liza.

Liza tidak mempedulikan segala pertanyaanku tadi. Liza hanya memandang sekilas kepadaku, lalu kembali termenung. Aku cuba lagi memujuknya.

“Mengapa ini, beritahulah Zilah Liza…, bukankah kita telah berkawan sejak kecil? Aku tidak sanggup melihat Liza berduka, ceritalah pada Zilah ya…”

Liza segera bangun tanpa menoleh padaku, dia pergi meninggalkanku. Aku merasa geram dan marah dengan sifat Liza itu, aku biarkan saja Liza berlalu dari situ. Aku tidak kuasa mengejarnya kerana aku rasa aku tidak bersalah dalam hal ini. Aku mengerti sifat Liza yang sukar dipujuk bila sedang marah. Aku mencari sendiri kesalahanku pada Liza, sehinggakan aku sahabat karibnya sendiri amat dibencinya dan tidak mahu bercakap walau sepatah perkataan pun.

“Hai! Termenung nampak, ingatkan siapalah itu ya…”

Aku tersentak dengan teguran itu, aku segera menoleh ke sisiku, rupanya Amran yang duduk di sebelahku. Mungkin dia seperti aku, gelisah dengan perubahan sikap Liza, aku segera menoleh kea rah Amran, Amran hanya tersenyum saja menyambut pandanganku. Aku sendiri bingung, Amran seperti biasa, tiada apa-apa yang berlaku disekelilingnya. Aku merasa berat untuk bertanya pada Amran. Bukankah Amran kawan Liza? Mungkin dia tahu sesuatu mengenai diri Liza. Maklumlah aku tidak begitu rapat dengan Liza semenjak dia lebih banyak meluangkan waktu untuk Amran.

“Amran…, maafkan Zilah. Zilah ingin bertanya, sama ada Amran tahu sesuatu mengenai perubahan sikap Liza”

Amran seperti terkejut mendengar pertanyaanku.

“Apa yang terjadi pada Liza, aku tidak nampak perubahan sikap pada Liza. Malah aku lihat dia seperti biasa saja tetapi ialah, dia kurang bertegur sapa dengan Zilah. Adakah itu masalahnya?”

“Ya, itulah masalahnya”, lalu aku menceritakan segala-galanya pada Amran dan sikap Liza sebentar tadi.

Amran hanya tersenyum pahit, begitulah sikap Amran tidak pernah lekang senyumannya dari bibir, membuat ramai gadis yang tergoda termasuk diriku. Amran memandang padaku kembali dan segera dia memberitahu kedudukan perkara yang sebenarnya. Menurut Amran, ada beberapa orang kawan kami yang memberitahu Liza bahawa Amran dan aku selalu berjumpa bila Liza tiada di sisi Amran. Menurut cerita Amran lagi, Liza terus berjumpa dengan Amran dan menyerang Amran dengan berbagai-bagai pertanyaan yang menyinggung perasaan. Amran kata lagi, dia tidak tahan dengan tuduhan Liza yang tanpa usul periksa itu, dia hanya mengakui kebenaran cerita itu. Liza marah kepadanya terus berlalu dari situ sambil terisak-isak.

Mendengar penerangan Amran itu, tahulah aku bahawa Liza cemburukan aku sebagai sahabatnya. Memang aku akui, aku memang selalu menemui Amran. Tetapi bukanlah seperti yang disangkakan oleh Liza, hanya sekadar kawan berbincang tentang pelajaran. Tambahan pula. Kami sekelas dan sekumpulan pula. Perkara seperti itu, tidak sepatutnya dicemburui oleh Liza. Sedangkan dalam perbincangan antara aku dan Amran, sering kali juga Amran bertanyakan pendapatku mengenai Liza.

Aku secara jujur, memberitahu dengan perkara-perkara yang elok saja mengenai Liza. Aku tidak mahu Liza terluka di atas perbuatanku. Aku tidak menjangka ini balasan Liza padaku sebagai sahabatnya. Kalau hendak dikutkan, aku lebih berhak berkawan dengan Amran kerana lebih dulu mengenalinya dan sekelas pula itu. Aku sedar siapa diriku, Liza tidak patut cemburu padaku hanya dengan mendengar cerita yang diterima tanpa bertanya padaku. Aku merasa sungguh tersinggung dengan sikap Liza ini dan aku mesti berjumpa dengan Liza untuk bersemuka dengan perkara yang sebenarnya.

Sekarang Amran dan aku di dalam keadaan serba salah. Kami sayangkan persahabatan kami dengan Liza tetapi Liza sendiri kurang faham dan salah mengerti dengan perhubungan kami. Aku merasa kesal dengan sikap Liza itu, memandangkan kami tidak pernah berenggang sejak dulu lagi. Aku segera meninggalkan Amran apabila loceng berbunyi dan berjanji untuk menyelesaikan masalah ini, apabila aku berjumpa dengan Liza semasa pulang dari sekolah. Amran hanya mengangguk, sambil tersenyum padaku tanda terima kasihnya.

Sepulang dari sekolah petang itu, selesai solat Zohor, aku segera bersiap untuk pergi ke rumah Liza. Rumah Liza yang kira-kira selang dua tiga rumah dari rumahku. Aku yang telah lama tidak ke rumahnya, merasa serba salah juga kerana takut ditanyai oleh emak Liza yang agak mesra denganku. Aku mempercepatkan langkahku untuk segera sampai ke rumah Liza. Di halaman rumahnya, aku ternampak tukang kebunnya iaitu Pak Mat lalu menegurnya.

“Assalumualaikum Pak Mat, Liza sudah balik sekolah ke?”

Aku terasa sedikit keganjilan pada pertanyaanku itu. Mana kan tidak, selama ini kami selalu pulang bersama-sama.

“Waalaikumusalam, Oh Zilah! Liza ada nampaknya balik tadi. Masuklah… Cik Puan pun ada di rumah nampaknya. Pakcik tidak dapat berbual panjang, banyak kerja yang hendak diuruskan. Oh ya…, kenapa sudah lama tidak nampak muka kamu Zilah?”

Pertanyaan seperti inilah yang cuba aku elakkan tetapi takdir, tiada siapa yang dapat menentukan.

“Maafkan saya pakcik kerana menganggu. Sebenarnya bukannya saya tidak mahu datang kemari. Sejak kebelakangan ini, banyak kerja sekolah yang perlu dibuat.”

Pak Mat hanya tersenyum mendengar peneranganku itu, mungkin kerana dia pun mempunyai anak yang masih bersekolah. Aku mengelak untuk menyatakan perkara sebenarnya kepada Pak Mat, kerana mungkin Pak Mat tidak mengerti tentang masalah remaja masa kini. Aku segera meninggalkan Pak Mat menyiapkan kerjanya lalu menuju ke pintu hadapan rumah Liza, terus aku memberi salam. Salamku disambut dari dapur, Cik Rohana datang menyambut kedatanganku.

“Oh Zilah…, kenapa sudah lama tidak namapak? Hendak jumpa Liza ya…, nanti makcik panggilkan. Makcik ini tengah sibuk di dapur tadi. Malam nanti kawan pakcik hendak datang, tidak dapatlah makcik hendak sembang dengan Zilah ya, maafkan makcik”

“Tidak apalah makcik, memang hajat saya datang ini, hendak jumpa dengan Liza. Menyusahkan makcik saja”

“Tidak susah, lagipun Zilah sudah lama tidak datang ke sini. Sekali-sekala datang ini, apa salahnya makcik susah-susah sedikit. Lagi pun, kalau tidak kerana Zilah dan Liza berkawan, nampaknya sampai bila pun makcik tidak mungkin kenal dengan jiran-jiran. Maklumlah makcik ini sentiasa sibuk dengan tugas dan persatuan. Manalah cukup masa untuk berbual dengan jiraan-jiran. Kalau ada majlis itu, barulah makcik dapat meluangkan masa. Macam makcik dengan emak Zilah tidak pernah berjumpa, hajat itu memang hendak ke rumah Zilah bila-bila masa nanti. Oh ya…, emak Zilah apa khabar, sudah lama makcik tidak mendengar cerita.”

“Khabar baik makcik, emak sihat sahaja buat masa ini. Emak pun seperti makcik, berhajat hendak datang kemari tetapi sekaraang ini susahlah sedikit. Adik-adik Zilah itu susah kerenahnyha, terutama sekali bila di rumah orang”

“Begitulah budak-budak Zilah. Duduklah dulu, nanti makcik panggilkan Liza ya”

Cik Rohana berjalan menuju arah ke dapur sambil melaung memanggil Liza. Tidak berapa lama kemudian, Liza turun dalam keadaan yang tidak terurus. Matanya kelihatan merah seperti orang yang baru lepas menangis. Sebelum sempat aku menanyakan kepadanya, Liza terlebih dahulu meminta maaf dariku.

“Maafkan Liza, Zilah. Mengenai peristiwa pagi tadi, sebenarnya Liza runsing tentang perkara-perkara yang terjadi pada Liza. Liza tidak sepatutnya menyalah anggap persahabat kita selama ini. Liza tidak sepatutnya cemburu pada Zilah, selama ini Zilah tidak pernah menyinggung perasaan Liza, mahupun menyakiti Liza. Malah selama ini Zilah begitu mengambil berat tentang diri Liza. Liza keliru dan terburu-buru bertindak bila mendengar berita itu. Liza sangkakan Amran sukakan Liza selama ini. Selama persahabatan Amran dengan Liza, dia begitu mengambil berat tentang diri Liza. Rupanya salah jangkaan Liza, apabila dia sendiri mengaku kebenaran cerita itu.”

Liza terus menangis tersedu-sedu setelah mengeluarkan isi hatinya tentang peristiwa yang berlaku antara kami. Aku segera menghampiri Liza.

“Liza… apa yang Liza katakana ini, Zilah tidak faham. Selama ini persahabatan kita sungguh baik sekali kenapa tiba-tiba sahaja Liza bersikap demikian? Memang Zilah akui, Amran ada berjumpa dengan Zilah tetapi seperti yang Liza ketahui , bahawa kami hanya berbincang mengenai pelajaran. Itupun Liza mencurigai persahabatan kita. Salahkah perbuatan Zilah itu Liza? Kalau perkara itu salah, maafkan Zilah ya Liza. Walau pun Zilah rapat dengan Amran tetapi tidak bermakna Zilah ingin merampas Amran dari Liza. Perbuatan itu kejam namanya, lagipun sebagai seorang sahabat karib dari kecil, tidak tergamak Zilah berbuat demikian. Lagipun, banyak lagi lelaki di dunia ini, di sekolah kita pun ramai. Bagi Zilah, buat masa ini, lebih baiklah Zilah tumpukan kepada pelajaran sahaja. Amran berkata demikian kerana merasa kecewa dengan sikap Liza itu. Liza cubalah memahaminya, sifat Liza telah banyak menunjukikan perubahan semenjak keputusan tempoh hari. Zilah harap selepas peristiwa ini, persahabatan kita kembali jernih ya”

Dengan lemah Liza mengangguk setuju. Liza telah berhenti menangis, dia memandangku dengan mata yang mengambarkan perasaan hatinya dan senyum yang terukir. Memang sejak mula Liza rapat dengan Amran lagi, aku menyedari hakikat sebenar hubungaan mereka. Hubungan antgara mereka melebihi hubungan sebagai sahabat. Aku hanya mampu merestuinya, merasa gembira jika mereka benar-benar bahagia. Kini tugasku sudah selesai, aku tidak mahu melihat mereka gagal dalam pelajaran hanya kerana hubungan mereka ini. Besok…, aku akan memberitahu berita gembira ini pada Amran, tentu dia gembira. Esok dan hari-hari yang mendatang, aku harap persahabat kami akan terus baik dan benar-benar mengerti erti persahabatan.

Februari 1988

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.