Home Cerpen Islamik KESEDARAN
KESEDARAN
NORAZIZAM
2/7/2016 16:39:24
1,586
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik
“Hai seorang saja, boleh abang temankan”

“Cantiknya…, bertambah manis jika cik adik tersenyum”

“Janganlah sombong sayang…, nanti tak laku baru tahu”

Usik sekumpulan pemuda kepadaku. Aku terus berlalu dari situ. Aku tidak memperdulikan suara-suara seperti itu lagi. Entah kenapa, suara-suara seperti itu, sering menganggu aku akhir-akhir ini, kemana-mana aku berada. 

Adakah ini dugaanMu ya Allah? Adakah ini godaan dunia, sifat masyarakat dunia? Ya Allah, aku amat benci keadaan ini, setelah segala yang aku miliki dan tempoh selama ini. Dulu aku bukan seperti ini, aku seorang gadis yang lincah dan bebas liar. Aku mempunyai keluarga yang agak bahagia. 

Kebahagiaan kami penuh dengan kegembiraan, dengan senda gurau. Keluargaku sungguh harmoni sekali. Kami hidup di kawasan yang mewah. Permintaanku tidak pernah dihalang oleh orang tuaku. Semuanya dituruti mereka, sehinggalah bila aku sudah pandai balik larut malam, bertukar teman lelaki dan sering meminta wang. Itu semua tidak pernah kedua orang tuaku menyoalnya.

Mereka hanya diam sahaja, mungkin bagi mereka itu hanya salah satu kegiatan pemuda-pemudi zaman ini. Anggapan mereka salah, anak mama dan papa ini, sebenarnya memerlukan kasih sayang dan perhatian dari mereka. Kebahagiaan keluarga kami digugat, bila mama mula pandai berpersatuan, bila papa lebih pentingkan kerjanya sebagai ahli koperat daripada kami anak-anaknya.

Semenjak papa dinaikkan pangkat, papa sering tiada di rumah, walaupun di hujung minggu. Bagi mama pula, ketiadaan papa merupakan rahmat baginya kerana mama boleh giat berpersatuan. Mama juga sudah pandai berhias, sering dijemput dan dihantar oleh lelaki lain, apabila mama keluar berpersatuan.

 Kakak dan abangku juga, apa kurangnya dengan mama. Mereka juga keluar untuk mencari hiburan dunia dan menjauhkan diri dariku yang dianggap masih mentah. Mama tidak pula melarang sikap abang dan kakakku, bagi mama dia dapat berhias cukuplah. Malah urusan rumahtangganya diserahkan bulat-bulat pada Mak Limah orang gaji kami.

Kebahagiaan yang aku nikmati sejak kecil kini tergugat. Aku merasa sunyi tinggal di rumah seorang diri, yang hanya bertemankan kesepian. Aku mula berkawan dengan budak-budak yang sama sepertiku, dahagakan kasih sayang. Kami sering saja keluar rumah, mengunjungi disko-disko, pesta-pesta dan apa saja bentuk hiburan, asalkan dapat mengubat kesepian.

 Kami juga sudah pandai meneguk minuman yang mengkhayalkan. Aku sering pulang dalam keadaaan mabuk dan tidak terurus. Mama hanya mengeleng saja tanpa memperkatakan apa-apa. Kelakuanku makin hari semakin liar, aku juga sudah pandai menghisap morfin, ganja dan benda-benda semacam itu. Aku sering mengugut mama, merampas apa saja yang ada pada mama, jika kemahuanku tidak dituruti. Aku juga sering khayal dan kerana ini jugalah maruahku hampir tergadai.

Peristiwa itu seperti baru saja berlaku. Aku sering menangis bila teringatkan peristiwa itu. Sekarang aku di sini, di tempat yang serba damai ini. Aku keseorangan kini, tiada teman dan keluarga. Aku di sini, di sebuah kampong yang disaluti dengan rahmat-rahmat Allah. Sering berkumandang suara azan, hembusan bayu dan suara-suara ungags. 

Ya… kini aku temui dunia sebenarnya. Dunia yang dituntut oleh Allah. Di sini aku mempelajari segala ilmu agama. Aku telah insaf kini, selama ini aku disaluti oleh dosa-dosaku. Aku kini bahagia yang sebenar-benar bahagia, di samping keluarga angkatku yang baik terhadapku. 

Aku merasa gembira dengan keharmonian rumah keluarga angkatku. Di sini aku mempunyai abang yang benar-benar memahami perasaanku. Abang Salleh menganggapku sebagai adik kandungnya, kebetulan dia sendiri tidak mempunyai adik atau saudara lain. Dialah yang telah banyak mengajar aku erti hidup sebenarnya.

Menurut cerita bapa angkatku, aku dijumpai pengsan di tengah jalan dalam keadaan yang kusut masai. Kebetulan dia baru balik dari membawa teksi yang menjadi sara hidup keluarga ini. Aku teringat pada hari peristiwa itu berlaku, aku dalam keadaan khayal yang terlampau sangat. Tanpa aku sedari, aku telah berada dalam pelukan teman lelakiku pada malam itu. 

Aku tersedar apabila aku terasa sesuatu yang berat menghempapku. Aku tersentak dan nyaris-nyaris maruahku tergadai pada malam itu, aku segera menolaknya dengan sekuat hati. Aku segera berlari meninggalkannya, dengan keadaaan mabuk yang masih bersisa dan tidak tentu arah. 

Sedar-sedar aku telah berada di samping keluarga ini. Keluarga yang menerapkan cahaya keimanan kepadaku. Aku bertaubat kini…, ya taubat yang sebenar-benarnya. Aku kini bukan Mas Ayu yang dahulu. Aku bukan lagi gadis lincah seperti dulu. Aku kini telah menjelma sebagai Mas Ayu yang baru. Segala-galanya baru, aku sekarang baru dari segi pakaianm mahupun kelakuanku. 

Aku amat bersyukur kepadaMu ya Allah, yang memberikan aku petunjuk ke jalan yang benar. Tetapi hairan, dalam pakaian aku seperti inilah, aku semakin sering diganggu. Walaupun inilah cara hidupku dahulu, teerlalu megah dengan usikan-usikan pemuda di tengah jalanan, terlalu megah dengan siulan-siulan mereka. Sekarang aku teramat benci dengan perkara-perkara begitu. Aku amat benci…benci…

“Assalamualaikum”

Suara seorang lelaki memeberi salam menegurku. Suara ini seperti yang pernah aku kenal. Sambil menjawab dalam hati, aku segera menoleh kearah suara itu. Berdiri di hadapanku adalah seorang pemuda yang berserban dan berjubah. Aku terpegun sebentar, rupanya orang yang menegurku, adalah juga orang yang hampir-hampir menodaiku dulu. Aku segera melangkah untuk meninggalkannya.

“Tunggu dulu Ayu…, aku ingin berbicara denganmu”

“Perlu apa lagi Man, tidak cukupkah dosa-dosa yang kita perbuat selama ini. Apakah kau tidak sedar lagi.”

“Aku memohon maaf padamu Ayu, selama ini aku juga sepertimu, mencari sesuatu yang boleh menyedarkan diriku. Setelah kau tinggalkan aku malam itu, aku sedar akan ketelanjuranku dan kini aku benar-benar berubah Ayu, seperti mana kau juga. Jika Ayu tidak keberatan, sudikah Ayu menjadi temanku, teman yang sebenarnya. 

Teman yang sama-sama mengharungi sisa-sisa hidup dengan penuh keimanan. Aku tidak pernah melupakanmu Ayu, orang yang mula-mula menyedarkan aku dari dunia sesat itu. Aku selama ini selalu mengikut perkembanganmu tetapi aku tidak sepertimu. Aku musafir bersama jemaah tabligh, sambil mendekatkan diri lagi kepada 

Allah Yang Maha Pengasih. Aku tidak punya keluarga lagi, tetapi syukurlah kini aku telah mempunyai pekerjaan sebagai guru agama. Itulah ceritaku selama ini Ayu, semenjak peristiwa malam itu” Amran mengakhiri ceritaanya.

“Sudahlah Man, peristiwa lama jangaan dikenang. Syukurlah kau telah sedar. Mengenai permintaanmu, jika kau benar-benar ikhlas dan suci hatimu, disamping keredhaan Allah. Terpulanglah pada budi bicara keluargaku. Aku tidak menolaknya, semoga Allah merestui niat baikmu. Man… tentu kau ingat lagi rumahku, datanglah menyatakan hajatmu itu kepada keluargaku. Insya-Allah akan terkurnia niat sucimu. Aku pergi dulu Man. Assalamualaikum”

“Walaikumusalam. Terima kasih Ayu, aku benar-benar mengharapkannya. Ya…, semoga Allah merestui niatku ini. Aku akan kunjungi rumahmu membawa hajatku”

Amran lalu meninggalkan aku mengenangkan peristiwa sebentar tadi. Aku terlihat beberapa orang pemuda tersenyum-senyum melihat kea rah kami. Aku merasa malu dan rasa bersalah, segera aku berlalu dari situ. Aku menahan sebuah teksi untuk menuju ke rumahku. Rumahku yang dahullu, rumah yang membuka sejarah hidupku. Aku terlalu rindu dengan suasana sebelum aku terjebak dengan semua ini.

Aku memohon untuk kembali kepada keluargaku setelah berpisah sekian lama. Mereka melepasku dengan linangan air mata tetapi mereka membenarkan, setelah aku berjanji akan kembali semula kepada mereka, sekiranya keadaan tidak seperti mana yang aku kehendaki. Aku berdoa agar segalanya pulih seperti dahulu apabila aku semakin hampir dengan rumahku. 

Setibanya aku di rumah yang serba indah, menjadi syurga kepada keluargaku, aku semakin berdebar-debar. Aku takut mereka tidak menerimaku, setelah aku meninggalkan rumah ini sekian lama, juga perubahan diriku sendiri. Aku perlahan-lahan memasuki halaman rumahku. Rumah itu kosong sahaja, sesunyi semasa aku meninggalkan rumah itu.

Aku merasa takjub kerana banyak yang telah berubah. Rumah ini nampak bersih, tiada lagi hiasan-hiasan yang berbentuk binatang dan gambar-gambar yang kurang sopan. Rumah ini mula digantikan hiasan-hiasan dengan bingkai-bingkai yang terdapat ayat-ayat suci Al-Quran. Tetapi ya.. kenapa rumah ini kosong, tidak berperhuni. 

 Tidak mungkin keluargaku telah berpindah kerana rumah itu adalah kenangan papa kepada mama sempena ulangtahun perkahwina mereka. Lagipun rumah inilah hasil titik peluh papa yang pertama dapat dibuktikan. Aku segera ke dapur, di mana Mak Limah selalu berada. Aku bersyukur, rupanya masih ada orang di rumah ini. Mak Limah sedang bekerja di dapur. Aku menghampirinya, lalu memberi salam.

“Assalamualaikum, Mak Limah”

“Waalaikumusalam”

Mak Limah menyahutnya seraya berpaling ke belakang. Dia merasa terkejut melihatku, lalu terus menerpa ke arahku

“Oh Ayu!, sudah lama Ayu menghilang. Kemana Ayu pergi selama ini nak…, kami risau memikirkannya. Apa khabar kau Ayu?”

“Baik makcik, panjang kisah Ayu ini makcik. Sebenarnya Ayu telah terjebak dengan dadah dan hampir-hampir lagi Ayu ternoda makcik. Mujurlah Ayu sempat melarikan diri dan berjumpa dengann seorang yang baik hati sebagai keluarga angkat Ayu. Ya makcik…,selama ini Ayu berada bersama mereka, yang memberi ajaran agama kepada Ayu. Kini Ayu kembali sebagai Ayu yang baru makcik. Ayu tidak mahu peristiwa lama berlaku kembali dalam hidup Ayu. Oh ya makcik…, tiada seorang pun Ayu nampak tadi, senyap saja rumah ini”

“MasyaAllah Ayu… kenapalah Ayu tidak menghantar berita selama ini. Mujurlah Ayu selamat dan ada juga insan yang sudi menolong, kalau tidak… tidak tahulah makcik apa akan terjadi. Syukurlah Ayu selamat dan telah berubah. Keluarga Ayu semuanya pergi mendengar ceramah agama di masjid. Kejap lagi, baliklah mereka itu.

 Semenjak Ayu meninggalkan kami, rumah ini gempar dan mula menampakkan perubahan. Mama dan papa Ayu, telah mula sedar tanggungjawab mereka. Mama Ayu telah berhenti berpersatuan tetapi sekali-sekala itu dia pergi keluar juga untuk mendengar ceramah agama dan bercampur dengan jiran sekeliling. Papa Ayu pula, di samping sudah mula pulang awal, dia juga rajin bergaul serta mendalami agama. 

Abang dan kakak Ayu pun sudah berubah. Mereka sudah mula lekat di rumah dan juga mula memperdalami agama. Kini semuanya telah berubah Ayu, makcik harap keadaan begini akan tetap kekal kerana makcik sayangkan keluarga ini. Makcik tidak mempunyai keluarga lain. Jika keluarga ini susah, makcik turut susah” Mak Limah mengakhiri ceritanya dengan terharu.

Aku merasa gembira beercampur sayu mendengar cerita perubahan keluargaku. Setelah meneguk secawan air, aku segera menolong Mak Limah dengan kerja-kerja yang perlu diselesaikan untuk makan malam. Sambil menolong Mak Limah, aku teringat peristiwa di mana kami sekeluarga makan bersama-sama. 

Di masa itu, waktu makanlah merupakan waktu yang aku gemari kerana waktu inilah kami sekeluarga dapat berkumpul bersama, di samping senda gurau yang sering kali menghiasi suasana. Sedang aku leka menolong Mak Limah, terdengar dentuman bunyi pintu kereta ditutup. Keluargaku sudah balik rupanya. 

 Mereka agak terkejut pada mulanya melihatku. Ya lah…, siapa sangka gadis yang lincah dulu telah berubah seperti ini tetapi kemudiannya mereka kelihatan gembira lalu menerpa kearahku. Walaupun mereka tidak banyak berubah, tetapi sekurang-kurangnya mereka telah sedar dan mula mendekati Yang Maha Esa. Aku bersyukur kehadratMu ya Allah…

Setelah berpeluk-pelukan gembira, mereka pun mula menanyakan berbagai-bagai soalan dan segala peristiwa yang berlaku kepadaku. Aku cuba menjawapnya satu persatu dan menceritakan peristiwa yang berlaku kepadaku satu demi satu. Mendengar ceritaku, papa berjanji kepada kami untuk pergi menemui keluarga angkatku. 

Kata papa lagi, jika keluarga angkatku setuju, dia ingin menjodohkan abang Salleh dengan kakakku Siti Murni. Setelah papa berkata begitu, aku menoleh kepada kakak lalu mengiatnya. Kak Murni hanya tersipu-sipu malu di atas usikanku. Abangku Firdaus hanya tersenyum saja melihat gelegat kami, begitu juga papa dan mama.

Aku cuba membayangkan keadaan Kak Murni disandingkan nanti dan bila keluarga angkatku menjadi keluargaku juga, bila abang Salleh menjadi abangku juga. Suasananya tentu indah nanti dan semoga hajat kami ini direstuiMu ya allah. Aku juga teringat di atas pertemuanku dengan Arman tadi. 

Aku tersenyum sendiri, semoga Allah memberi rahmatNya kepada kami. Ini semua berlaku adalah di atas kesedaran kami di atas kesalahan kami selama ini. Syukurlah segalanya berjalan dengan baik akhirnya. Semoga kebahagiaan kami akan kekal berperpanjangan.

Mac 1988

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.