Home Cerpen Thriller/Aksi ADIKKU SAYANG
ADIKKU SAYANG
NORAZIZAM
18/7/2016 22:02:33
2,028
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Di dalam kegelapan malam minggu ini, merupakan rahmat bagi kami. Pada malam inilah kami dapat bersuka ria dan melepaskan gian setelah enam hari bekerja, dengan penuh peraturan dan disiplin. 

Untuk menghilangkan kebosanan yang semakin mencengkam, jalan inilah yang kami rasa amat sesuai sekali. Di hujung Jalan Melewar menghala ke Jalan Tun Perak telah sedia berderet beberapa buah motosikal berkuasa 150cc.

Beberapa bulan yang lalu, bertapa susahnya aku cuba menyakinkan ketua kumpulan ‘GLAMOUR’ untuk menjadi ahlinya. Mereka tidak yakin, yang aku dapat membawa tuah kepada mereka. Aku akan buktikan malam ini.

“Hello Gang!”

“Hello Man. Apalah kau ini… kenapa lambat? Janji kau macam mana? Kalau lambat sedikit tadi, habis kita semua kena sapu, kau tahu”

“Sorrylah brother, aku lewat sedikit sahaja. Aku susah mahu keluar, boss besar dekat rumahku belum tidur lagi. Okay brother, aku dah ready ini, aku janji pastikan kemenangan milik kita malam ini”

“Okay set. Lain kali jangan macam ini. Kau buat aku susah. Dendanya kau pastikan kemenangan”

“Okay. Ya aku pasti menang, kau tengoklah nanti ”

Deruman bunyi motosikal memecah keheningan malam itu. Masing-masing penunggang mahu menunjukkan kehandalan masing-masing. Aku yang baru menceburi bidang ini terasa hebat. Aku melajukan lagi pecutan motosikalku. Aku tidak peduli sama ada bising atau tidak.

 Yang aku tahu, malam ini aku mesti menang. Kalau tidak, habislah Amat tidak mempercayaiku lagi. Selekoh demi selekoh aku lalui dengan bergaya, macam pelumba professional litar lumba formula one. Aku mahu pastikan kemenangan malam ini, milik kumpulan kami.

Di akhir perlumbaan, kumpulan kami menang. Amat amat bangga atas kehebatanku. Ketika ini aku merasa maha hebatnya. Keletihan sedikit sebanyak mula terasa. Kami meraikan kejayaan itu hingga ke pagi. Aku terlalu letih ketika selesai jamuan.

 Aku perlu segera pulang sebelum ayahku bangun dari tidur, untuk solat Subuh. Jam ketika itu telah melewati pukul tiga pagi. Dalam perjalanan pulang, aku terlihat berbalam-balam sesusuk tubuh wanita berjalan perlahan-lahan di lorong itu.

Aku merasa kehairanan kerana masih ada lagi manusia yang berjalan malam. Yang peliknya wanita pula itu. Aku menghampiri wanita itu. Mendengar bunyi motosikalku, wanita itu seakan terhenti. Aku mematikan enjin. Wanita itu menoleh memandangku. Aduh… manisnya… Aku tidak dapat melihat keseluruhan tubuhnya kerana diseliputi tudung labuh dan jubahnya itu. Aku mula terasa ingin berkenalan dengannya.

“Cik adik…, boleh abang bertanya”

Gadis itu hanya merenung kearahku dengan sepasang matanya yang ayu itu.

“Siapa nama cik adik ini? Di mana cik adik tinggal? Boleh abang tolong hantarkan?”

Gadis itu hanya terus-terusan memandangku. Aku mula terasa seram. Tetapi sifatku yang tidak mudah putus asa, terus mencuba lagi. Gadis itu akhirnya kalah. Mungkin dia tiada pilihan lain lagi. Atau mungkin juga kerana kepenatan berjalan, akhirnya pelawaanku diterima. 

Aku menghantarnya hingga ke muka pintu sebuah rumah berkembar, dua tingkat di Taman Sena. Aku kembali semula meneruskan perjalananku pulang ke rumah. Aku tiba di rumah, apabila azan Subuh kedengaran berkumandang di surau berhampiran.

Aku menyusup masuk senyap-senyap ke bilikku. Nasib baik ayahku sudah berada di surau, Ketika berada di bilik, isi rumah ini telah pun terjaga semuanya. Dalam keletihan, aku tidur hingga matahari telah meninggi, nasib baik hari ini cuti.

 Setelah bersarapan lebih kurang, aku mencapai topi keledar dan keluar semula. Leteran ibuku tidak aku endahkan, sudah menjadi kebiasaan sejak aku memasuki alam remaja. Aku telah berjanji dengan Amat dan ahli kumpulanku yang lain untuk pergi ke Port Dickson.

Aku pulang bila kelam malam mula mencecah bumi. Hatiku tergerak untuk melalui rumah gadis semalam, aku tidak sempat bertanyakan namanya. Aku ingin lihat wajahnya sekali lagi. Apabila aku tiba di rumah tersebut, kelihatan rumah itu sunyi sahaja. 

Mataku mula liar menjelajah kawasan rumah tersebut. Tiba-tiba mataku terpaku kepada sesusuk bayang-bayang yang amat aku kenali. Sudah pasti gadis itu yang kutemui semalam. Aku lihat gadis itu, sedang termenung di beranda tingkat atas rumah tersebut.

Aku merenung dan terus merenung gadis itu. Mungkin menyedari akan kehadiranku di situ, gadis itu berlalu masuk ke rumah. Semasa gadis itu di ambang pintu, aku lihat wajahnya yang ayu bertambah seri di bawah sinaran cahaya lampu. Kelihatan rambutnya yang panjang mengurai, lebat dan hitam itu. Huh! Cantiknya…Ngigaulah aku malam ini. Aku puas menatap wajahnya malam ini, walaupun aku tidak dapat berbual dengannya.

Aku pulang ke rumah dengan hati yang ria dan lega, puas sekali. Malam ini, aku tidak mahu kemana-mana lagi. Aku tidak mahu hilangkan bayangan gadis itu di mata hatiku. Malam ini seisi rumah hairan dengan sikapku, tersenyum ke sana, tersenyum ke sini dalam berkhayal. Selalunya pantang gelap, aku pasti tidak lekat di rumah. Biarlah mereka hairan, kini aku telah jumpa gadisku.

Keesokkannya, pagi-pagi lagi aku melalui kawasan rumah gadis tersebut. Sepintas lalu, aku melihat ke jendela berhampiran beranda itu. Aku tunggu dan tunggu. Gadis itu masih tidak menampakkan bayangannya. Aku melihat jam tanganku, sudah lewat ini.

 Aku kehampaan. Aku meneruskan perjalanan ke pejabat. Di pejabat, kerjaku serba tidak kena, ada-ada saja yang salah dalam pekerjaanku.. Ini sudah kes teruk, baru sehari aku berjumpa gadis itu, sudah angau. Aku mesti juga berjumpa dengannya.

Petang ini setelah selesai tugas di pejabat yang aku buat ala kadar sahaja, aku melalui kawasan rumah gadis itu lagi. Di tempat semalam dan waktu yang sama, aku melihat gadis itu di situ. Di beranda yang berjendela itu. Aku masih tidak dapat bersua dengannya. 

Hendak masuk ke kawasan rumah tersebut, aku tidak punya keberanian. Aku takut kerana aku masih tidak tahu nama gadis itu. Mana mungkin aku terus menyerbu sahaja. Setiap hari, perkara yang sama aku lakukan terus menerus. Aku tidak tahu apa yang aku cari, yang pastinya aku rindukan wajah itu.

Setelah hampir dua bulan aku berkeadaan begitu, menjadi perindu wajah ayu si gadis yang tidak aku tahu namanya, aku mula rasa bosan. Bosan dengan keadaan yang tidak tentu penghujungnya. Ah…, lebih baik lumba motor, ada juga faedahnya. Sekurang-kurangnya poket terisi juga.

“Hai Man!, mana kau pergi selama ini. Sekali untung terus cabut ke. Macam ini susahlah aku”

“Alah… aku ada hal la. Okay apa projek malam ini”

“Tunggu di Padang Merdeka jam 12.00 tengah malam ini. Jangan lewat tahu”

“Okay. Pass…”

Malam itu sekali lagi aku berlumba. Hilang segalanya dari ingatanku seketika. Yang aku ingat mesti menang malam ini. Amat malangnya, aku tiada tuah. Aku tidak dapat memenangi perlumbaan itu. Aku kesal kerana tidak banyak berlatih selama ini. Amat sedikit kecewa, tetapi dia tahu aku telah mencuba. Aku berjanji padanya akan menebus kekalahan ini. 

Aku akan berusaha dan berlatih bersungguh-sungguh supaya boleh menang di lain kali. Aku tidak mahu kecewakan Amat lagi. Aku mahu puaskan hatiku dengan berlumba dan memenuhi poketku yang sering kering sebelum hari gaji. Maklumlah gaya hidup remaja kini, agak tinggi pembelanjaannya.

Begitulah aku lakukan pada setiap malam minggu. Aktiviti lamaku kembali sudah. Ibubapaku puas berleter dan melarang, aku buat tidak tahu sahaja. Hak aku untuk berhibur, aku sudah besar, tahulah aku memilih jalan hidup. 

Hinggalah pada suatu hari, aku lihat gadis gilaanku di tempat aku pertama kali berjumpa dengannya tempoh hari. Kali ini aku lihat dia seperti merenung sesuatu.

“Hai Cik Adik…, jumpa lagi kita”

Gadis itu terperanjat, mukanya pucat. Dia seperti ketakutan. Gadis itu terus berlari meninggalkan aku. Aku membiarkan sahaja dia pergi. Aku merasa hairan, apakah salahku? Aku terus pulang, sambil fikiran melayang-layang mengingati peristiwa tadi. Besok aku pastikan akan cuba memberanikan diri, berjumpa keluarga gadis itu, supaya segala kemusykilanku terjawab.

Petang esoknya, seperti biasa aku memasuki kawasan rumah gadis tersebut. Aku sudah nekad. Walau apapun terjadi, aku mesti berjumpa dan berkenalan dengan gadis itu. Kakiku melangkah dengan cepat. Loceng pintu aku bunyikan. Selang beberapa minit seorang wanita separuh umur melangkah ke pintu.

“Ya…, encik hendak cari siapa?”

“Emmm, tuan rumah ini ada”

“Oh! Encik Murad. Ada di dalam. Silakan masuk encik”

Wanita separuh umur itu mempersilakan aku masuk tanpa merasa curiga padaku, walaupun ini kali pertama dia melihatku. Nampaknya penghuni rumah ini sentiasa bersangka baik, aku membuat anggapan. Aku melangkak dengan hati-hati. Fikiranku ligat berpusing mencari idea untuk bertemu dan berbual dengan tuan rumah ini.

“Duduklah encik. Nanti saya panggilkan Encik Murad”

Aku duduk di sofa empuk yang tersusun kemas di ruang tamu rumah tersebut. Cantik sungguh rumah ini, hiasan rumah ini ringkas sahaja tetapi rapi. Bunga-bunga menghiasinya, sulaman-sulaman berbingkai di dinding, menunjukkan ada tangan-tangan halus dan seni membuatnya. Aku sungguh kagum.

Sedang aku memerhati keadaan rumah ini, seorang lelaki separuh umur keluar ke ruang tamu. Perwatakannya masih segak dan tampan. Walaupun ada terdapat garis-garis halus yang menjangkau umur. Sudah pasti orang ini ayah si gadis, aku segera berdiri menyambut kedatangannya. Lelaki ini menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku sambut dengan khuatir, takut dimarahi oleh lelaki ini.

“Assalamualaikum, ada apa-apa yang boleh pakcik tolong anak?”

“Waalaikumusalam pakcik. Nama saya Lokman. Sebenarnya saya…saya…”

“Teruskan nak…, jangan segan. Pakcik rasa kita baru kali ini bertemu bukan”

“Benar pakcik. Saya telah lama ingin berkenalan dengan penghuni rumah ini. Saya selalu melalui kawasan rumah ini, ada sesuatu yang menarik saya ke mari. Pakcik…, saya rasa pakcik mempunyai seorang anak perempuan kan”

Mulut ini kenapalah cepat sangat. Mungkin Encik Murad mencurigai kedatanganku. Aku melihat Encik Murad. Encik Murad hanya berdiam diri. Kemudian kulihat bibirnya mengukir senyum. Huh… lega, nasib baik Encik Murad tidak marah dengan pertanyaan gelojohku itu.

“Ya… Haniza. Kenapa? Lokman kenal dengan dia”

“Tidak…Ya…Tidak…”

Encik Murad hanya terus tersenyum melihat gelagatku.

“Begini pakcik. Saya mengenal Haniza beberapa bulan yang lalu. Ketika itu saya lihat Haniza berjalan seorang diri di hujung kawasan perumahan ini. Waktu itu lebih kurang jam tiga pagi. Saya berhenti dan mempelawa menghantarnya pulang kerana saya merasa hairan, seorang perempuan berjalan seorang diri dini hari. 

Pada mulanya dia ragu-ragu, tetapi kemudian dia menerimanya. Saya hairan sepanjang perjalanan dia tidak banyak bercakap. Walaupun saya berusaha berbual dengannya. Dia masih terus diam sahaja.

Keesokannya, saya datang ke rumah ini lagi untuk bertemu dengan Haniza. Saya lihat dia di beranda termenung seperti memikirkan sesuatu. Apabila ternampak saya, Haniza segera masuk ke dalam. Saya tidak punya keberanian untuk terus menyerbu masuk, semata-mata untuk berjumpa Haniza. Tambahan lagi Haniza mengelak berjumpa saya, seperti dia tahu saya ingin berjumpa dengannya.

Selang beberapa bulan kemudian, saya jumpa Haniza lagi di tempat yang sama pertama kali saya jumpa dengannya. Haniza kelihatan terperanjat dan lari ketakutan apabila melihat saya. Saya tidak tahu kenapa Haniza ketakutan melihat saya. Saya ingi sekali mengetahui kisahnya. Itupun jika pakcik tidak keberatan.”

Aku tidak memberitahu yang aku hampir setiap hari berulang ke rumah ini sejak pertemuan pertama. Malulah aku nanti. Haniza… Haniza… manis nama itu, semanis tuannya. Apakah rahsia dirimu?

“Begini Lokman. Sebelum itu, pakcik harap Lokman dapat memaafkan kelakuan Haniza itu. Begitulah kelakuannya sejak arwah abangnya yang sangat disayangi meninggal dunia. Haniza akan berkunjung ke tempat itu hampir setiap malam minggu. Patutlah beberapa bulan yang lepas, Haniza kelihatan gembira melakukan kerja-kerja harian, agaknya semasa pertama dengan Lokman itu.

Sehinggalah baru-baru ini dia seperti ketakutan dan bercakap seorang diri semula. Haniza sangat manja dengaan abangnya. Apa yang dia hendak, semua abangnya turutkan. Mereka memang rapat dari kecil lagi, sejak arwah isteri pakcik meninggal. Haniza pada mulanya tidak begitu. Haniza seorang gadis yang periang, lincah dan manja. Kemana abangnya pergi, dia akan ikut sama. Sebagai seorang gadis yang rapat dengan abangnya, sudah tentu segala kegiatan abangnya dia ikut serta. Suatu hari…”

“Kenapa pakcik? Apa yang sudah terjadi?”

“Ya… suatu malam minggu, Harizat dan Haniza baru balik menonton wayang. Haniza dengan riangnya sibuk bercerita mengenai wayang yang ditontonnya itu. Abangnya Harizat seperti biasa melayannya. Ketika hendak melintasi jalan memotong masuk ke kawasan ini, sebuah motosikal laju merempuh motosikal yang ditunggangi mereka. Harizat tidak dapat mengawal motosikal lalu terlanggar tiang telefon.

Tiang telefon bengkok. Haniza tercampak jauh dari motosikal dan terhantuk di bahu jalan. Harizat pula dihempak motosikal. Kedua-duanya pengsan di tempat kejadian. Yang lebih teruk ialah Harizat, kakinya patah dan kepalanya berdarah akibat hentakan yang kuat. Mereka dibawa ke hospital oleh jiran yang berdekatan dengan tempat kejadian. Harizat tidak dapat diselamatkan. Kepalanya yang menerima hentakan yang kuat itu tidak berfungsi lagi.

Haniza begitu kesal kerana selama ini dialah yang mendesak abangnya mengikut segala kehendaknya. Sejak hari itu Haniza selalu menung dan mengulangi ke tempat kejadian. Haniza amat takut mendengar deruman motosikal semenjak kejadian itu. Begitulah ceritanya Lokman. Pakcik telah lama memujuk dan menasihati supaya Haniza jangan mengingati kisah lama itu. Haniza hanya diam, kadang-kadang dia menangis. Haniza masih menyalahkan dirinya atas kejadian tersebut,

Walaupun begitu Haniza masih tetap melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan oleh seorang wanita seperti biasa. Sebelum abangnya meninggal Haniza tidak suka melakukan semua itu. Menurutnya leceh dan rumit hendak membuatnya. Abangnya selalu menyuruhnya membuat kerja-kerja rumah itu. Haniza hanya menarik muka. Sejak itu tidak lagi Harizat menyuruhnya. Harizat tahu yang Haniza tidak suka ditergur”

Aku terharu mendengar cerita itu. Kini aku faham kenapa Haniza takut denganku. Tiba-tiba aku terpandang sebuah potret yang iras-iras rupaku. Itukah Harizat? Aku mengerti kini, kenapa Haniza masih sudi diajak menumpang motosikalku tempoh hari. Rupanya dia begitu sayang dengan abangnya. Sampaikan dia sangka aku abangnya Harizat.

Sejak pertemuan aku dengan Encik Murad ayah Haniza tempoh hari, aku sering berkunjung ke rumah Haniza. Aku merasa kasihan dengan Encik Murad dan berjanji padanya, untuk membantu memulihkan ingatan Haniza dan menerima realiti keadaan sebenar. Aku cuba berbual dan berlagak seperti Harizat. Aku tahu tindakanku salah tetapi itulah satu-satunya cara supaya Haniza dapat menerima kenyataan. Encik Murad telah menganggapku seperti anaknya. Encik Murad tahu aku lakukan semua ini kerana Haniza.

Haniza sudah mahu berjumpa dan berbual dengaanku. Hubungan kami menjadi rapat. Kegiatanku bersama geng ‘Glamour” ditinggalkan. Sikap dan kemesraan Haniza, membuatkan aku berubah terus dari amalan dan kelakuanku selama ini. Aku tidak mahu lagi melukakan hatinya. Haniza menganggap aku seperti abangnya.

 Harizat begitu baik bagi Haniza, jadi kenapa aku tidak mencontohinhya. Haniza begitu mesra denganku. Segala masalah termasuk yang peribadi diceritakan padaku. Haniza tidak murung lagi. Kini wajahnya bersiri-siri. Mukanya sentiasa dihiasi senyum. Suaranya lembut dan lunak merdu.

Haniza sudah mahu bergiat aktif semula. Pelajarannya mula terserlah. Aku bangga kerana dapat menolong Haniza. Aku gembira kerana gadisku telah berubah. Haniza sudah pandai bergaul semula. Aku sedar Haniza sangat rapat dan menyayangi seorang jejaka yang tampan. Haniza sering bercerita kepadaku perihal jejaka idamannya, Menurut Haniza, dia tidak berani bersuara menyatakan perasaannya kepada jejaka tersebut. Adab seorang muslimah tidak membenarkan berbuat demikian.

Haniza meminta aku abangnya, menolong menanyakan untuk kepastian hubungan mereka kepada jejaka idamannya. Sebagai abang angkat yang sangat menyayanginya, melebihi kasih sayang adik abang, cemburuku tetap ada. Kalau boleh, aku sendiri ingin memilikinya sebagai suri hidupku. Gerak geri Haniza segalanya menjadi penghitunganku kini. Aku sering membayangkan Haniza disampingku. Alangkah bahagianya hidupku sekiranya impianku menjadi kenyataan.

Tetapi kini, ya kini. Apakah aku mesti pergi ke rumah Haniza lagi esok. Jika aku tidak pergi, pasti Haniza kecewa. Mungkin Haniza akan kembali seperti dulu. Berpisah dirinya dengan dunia nyata. Aku tidak mahu gadisku seperti itu. Aku tidaak mahu orang sekeliling mengata-ngata Haniza, yang tidak elok. Aku tidak mahu gadisku disakiti hati dan peraasaannya lagi. Aku mahu Haniza yang sekarang. Seorang gadis yang ceria, menampakkan lagi keayuannya. Biarlah aku korbankan perasaanku untuk kebahagiaan Haniza adikku.

Adikku…, kau tidak mengerti perasaan abangmu ini rupanya. Kemesraanmu telah aku salah mengertikan. Aku akan kehilanganmu adik. Adakah aku salah mencintaimu adik. Esok ya… esok kau bukan lagi milikku. Kau akan dikongsi antara aku, ayahmu Encik Murad dan jejaka itu.

Yang lebih penting, kau akan dimiliki oleh jejaka itu. Ya… dia berhak memilikimu. Aku tahu adik, kau sangat menyayangi jajaka itu dari cerita-ceritamu kepadaku. Aku mengajar dan menasihatimu yang sewajarnya sebagai seorang abang. Aku tahu, aku silap di sini. Kenapa aku tidak begitu berani menyatakan perasaanku yang sebenar padamu dik? Kenapa? Ya… Kenapa? Sudahlah dik, rupanya kau menganggap kemesraan kita hanya sekadar kemesraan adik dan abang. Aku yang silap menilai kemesraanmu itu. Aku tahu hatiku kecewa demi hari kebahagiaanmu esok. Namun aku bahagia dik. Benar-benar bahagia.

Maafkan abang adik. Aku masih tidak mengerti hatimu. Rupanya kau benar-benar kesal dengan perbuatanmu dulu. Kau benar-benar terasa kehilangan seorang abang yang sangat-sangat kau sayangi. Maka diriku kau jadikan ganti. Begitukah sebenarnya adik? Kalau benar begitu, maaf adik, maafkan abang. Abang berjanji akan sentiasa merestui kebahagiaanmu bersama jejaka pilihanmu itu.

Namun adik, pesan abangmu ini, janganlah kau lukakan hati jejaka itu seperti kau melukakan hatiku. Kau tidak bersalah adik tetapi abang yang silap penghitungan menilai sikapmu. Abangmu ini tidak mahu adik rasa bersalah. Percayalah adik, abang rela kau pergi. Jangan lupa pesan abangmu ya. Jadilah suri yang baik dan solehah ya adik. Berjanji ya…

Pinta abang lagi, doakan abang juga mendapat jodoh segera ya. Nanti kita boleh saling berkunjung. Kita akan tetap seperti dulu. Punya kemesraan dan sayang menyayangi seperti semalam. Semoga kita tidak berpisah lagi adik. Adik… pesan abang lagi, jika kau tidak bahagia, kembalilah pada abangmu ini dik. Abang sedia menanti kedatanganmu sejak dulu lagi. Apakah daya dik, suratan takdir menentukan segalanya. Percayalah adik, abang berjanji akan tetap melindungimu sehingga akhir hayat abang. Abang akan tetap menyayangimu sampai bila-bila. Tidak salahkan adikku sayang.

Disember 1989

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.