Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi JODOH BUAH MANGGA
JODOH BUAH MANGGA
15/6/2016 07:23:56
3,133
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Izz Hafiz Dhiyauddin bin Mohammad Dzulkarnain!!! Dah nak tercabut pintu bilik ni mak ketuk tak mau jugak bangun!!!” 


“Mak… bulan puasa ni. Takkan nak keluarkan aura awek rockers mak. Satu kampung boleh dengar jeritan ala-ala langsuir Puan Semah ni…”Hafiz buat-buat gosok telinga. 


“Bertuah punya anak bujang. Orang bulan puasa tambah pahala bukan buat taik mata.” Puan Semah menarik telinga anak bongsunya. Orang tengah marah boleh pulak dia buat lawak. Dah setengah jam dia mengetuk pintu bilik Hafiz. Mula-mula ketuk sopan santun tapi lama-lama ketuk pintu ala-ala ganas. 


“Aduh...duh mak sakit telinga orang ni.” Hafiz mengaduh sakit. Puan Semah melepaskan telinga Hafiz. Pandai pulak mengaduh. Dia duduk di katil bujang anaknya. Walaupun Hafiz dah terjaga tapi tak pasti boleh bangun lagi. Kalau dia tinggal peratusan untuk Hafiz tidur semula adalah seratus peratus.


“Telinga comel warisan Puan Semah ni jadi telinga Dumbo pulak. Kang mak jugak yang malu anak teruna hensem mak telinga Dumbo” Hafiz mengusap telinganya yang perit. Mak kalau dah marah sambil sebut nama penuh mesti ada apa-apa. Mak tersayang biasanya marah-marah manja je. Bukan marah ala-ala Incredible Hulk macam ni.


“Mak nak mintak tolong kaitkan buah mangga kat depan rumah tu. Isteri abang Azlie kamu tu mengidam nak buah mangga. Abang Azlie ada urusan kat pejabat tanah…” Puan semah menyampaikan hasratnya elok-elok. Hilang sudah aura rockersnya. Marah dia sekejap je.


“Abang Azli sampai… kenapa mak tak kejut awal-awal boleh Hafiz jumpa dia.” Hafiz tiba-tiba semangat. Bukan senang nak jumpa sepupunya itu. Jumpa pun semasa hari raya je. 


“Dia hantar isteri dengan adik ipar dia lepas tu terus pergi pejabat tanah dengan Pak Lang Naim kamu.” 


Hafiz mengendur. Terus tarik selimut kembali. Malam-malam nantilah jumpa abang Azlie. Sekarang sambung tidur.


“Tarik selimut pulak dia…”


Pap! Satu tamparan berbisa hinggap di punggung Hafiz. Aura Hulk Hogan pulak muncul. Hafiz terus terbangun. Apa pulak salah dia kali ni. Nampak muka Puan Semah yang serius dia tahu mesti ada yang dia lupa.


“Aduh bisanya… mak tak buang bisa tangan mak ke. Kang mandul Hafiz ni tak dapat cucu kang. Mak jugak yang marah.” Hafiz menggosok punggungnya yang bisa. Tangan kanan mak ada tahi lalat sebesar lalat. Kalau tampar orang memang bisa berbisa.


“Mak cakap apa tadi… mintak tolong kaitkan buah mangga kan. Kamu tarik selimut buat apa. Buatlah benda-benda berfaedah sikit bulan Ramadan ni takkan tido aje.” 


“Yalah-yalah… orang nak basuh muka kejap.” Batalkan hasrat nak qada tidur. Sebelum kecederaan lebih serius baik dia buat arahan Puan Semah tu. Abang Azlie pun satu kenapa tak kaitkan mangga untuk isteri tu baru pergi pejabat tanah.


“Pokok mangga yang tengah tu tau… bukan yang belah kiri atau kanan.”


“Ya Puan Semah… anakanda menurut perintah.” Pandai pulak baby dalam perut Kak Anis dia memilih. Nak mangga dari pokok yang tengah bukan kiri atau kanan. Hafiz menyarungkan baju t-shirt. 


Selepas membasuh muka Hafiz melangkah longlai menuju ke halaman rumah. Malam tadi dia tak tidur gara-gara baca novel. Novel habis di baca setengah jam sebelum bersahur. Sambil pejam mata sambil suap nasi. Selesai subuh terus cari tilam dan bantal.


Hafiz mengambil galah yang di sandarkan di tepi pokok. Rumah mak Semah ada tiga pokok mangga di halaman rumah. Pokok mangga yang tengah satu-satunya pokok yang berbuah mangga muda. Dua pokok lagi mangganya dah masak. Patutlah baby nak buah pokok mangga yang tengah.


Satu persatu mangga jatuh berguguran. Hafiz cukup puas hati dengan kerjanya. Dia pun tak pasti cukup atau tidak buah yang digaitnya. Dia gait lagi. Mak pun tak cakap banyak mana kak Anis nak.


“Dah banyak sangat ni…”


Hafiz terpaku. Merdunya suara itu menyapa gegendang telinganya. Irama merdu itu terus membuatkan hatinya terusik dan jantungnya bergerak kencang. Belum lagi matanya melihat keindahan seorang insan ciptaan Allah. Sang bidadari tersesat ke dunia ke. Hafiz peluk galah ditangannya. 


“Saudara… assalamaualaikum.”


“Waalaikumsalam… saya nak gait hati saudari boleh tak?” wahai mata. Cubalah beralih sikit. Bulan puasa ni tak baik tambahkan dosa. Gadis manis berbaju kurung berwarna merah jambu itu tak lepas dari renungannya.


“Hah. Apa yang saudara cakap tadi.”


Hafiz tak menjawab. Akalnya suruh dia menjawab namun hatinya suruh dia diam dan lihat. Bukan selalu Allah menghadirkan bidadari ke halaman rumahnya.


“Izz Hafiz Dhiyauddin!!!!” jeritan langsuir Mak Semah lagi. 


“Oh mak kau…” Hafiz terkejut dan galah yang di peluknya hampir terlepas. Boleh pulak melatah depan bidadari cantik ni.


“Hehehehe…”


Gadis itu tergelak kecil sambil menutup mulutnya. Hafiz terpesona lagi. Tak boleh jadi ni hati dia bagai di gam oleh gadis ni. Hafiz tersenyum malu. Apa pulak kata gadis itu tengok dia melatah macam ni. Hafiz meletakkan galah ke tempat asalnya.


“Encik Hafiz ni kelakarlah…” 


Hafiz senyum. ‘Eh dia kenal kita.


“Kak Anis nak sebiji dua je bukan banyak-banyak macam ni. Tapi bagus jugak boleh buat kerabu mangga untuk berbuka nanti.”


Hafiz masih lagi tersenyum. ‘Dia pandai buat kerabu mangga. Kegemaran kita.’


“Saya Aina adik Kak Anis. Saja ikut kak Anis raya kat kampung tahun ni. Nak merasa jugak beraya kat kampung ni. Asyik beraya kat KL je bosan jugak.” 


‘Dia raya kat sini. Raya ada seminggu lagi.’ Hafiz tersengih. Ada peluang dia nak berkenalan dengan Cik Aina yang cantik manis ni. Kalau abang Azlie tak marahlah.


“Ada plastik tak nak isi buah mangga ni. Banyak sangat ni tak boleh pengang je.” Aina mula tak selesa bila jejaka di hadapannya asyik tersengih dan tersenyum silih berganti.


“Ada plastik ni. Saya tolong kutipkan. Cik Aina berdiri diam-diam je.” Hafiz mengutip buah mangga muda satu persatu hingga penuh satu plastik. Rezeki orang mengandung.


“Terima kasih…” Aina senyum. 


Hafiz memerhatikan Aina hingga hilang dari pandangan. Rumah Pak Lang Naim dekat sebelah je tapi terasa macam jauh di sana. Jodoh dia dah sampai ke. tak pernah hati dia rindukan seseorang yang baru dia jumpa.


“Boleh nampak ke muka dia kat bumbung rumah Pak Lang kamu tu.”


Hafiz terkejut. Bila pulak mak sampai ni. Dah merah muka putih Hafiz. Kena tangkap dengan mak sendiri. Malunya. Hafiz terus meluru ke dalam rumah. Puan Semah geleng kepala. Malu-malu meow pulak. Puan Semah senyum sendiri. Harap-harap dia dapat bakal menantu dlama masa terdekat ni.


*****


“Tidur lagi anak bertuah ni. Hari-hari tidur je. Mentang-mentang cuti… Hafiz, ada tender gait buah lagi. Kamu nak ke tak. Cik Aina dah tunggu kamu kat bawah pokok tu.”


Cik Aina. Hafiz terus bangun. Bidadari yang cantik manis. Puan Semah mencebik. Sebut nama Aina terus saja bangun. Memang dah angau ni. Tuan Penulis dah jatuh hati ke. Lepas ni cerita seram jadi cerita cintalah gamaknya.


“Mak tak suka ke kalau orang ada teman… siap buat muka macam tu. Hilang kecantikan asli Puan Semah ni.” Hafiz memang suka mengusik.


“Baguslah tu. Tak larat mak nak baca novel seram kamu. Sekali sekala nak baca novel cinta jugak. Mana tau mood jatuh cinta ni boleh menghasilkan novel cinta dari penulis Dhiya Dzulkarnain. Nama macam perempuan.” Boleh pulak timbul isu nama ni.


“Mak jugak yang bagi nama Dhiyauddin kan… apa salahnya pakai Dhiya.”


“Tak salah… dah cepat pergi. Nanti bosan Cik Aina kamu tunggu.”


Hafiz senyum. Novel cinta Dhiya Dzulkarnain akan muncul di pasaran.


*****


“Assalamualaikum Cik Aina maaf lama tunggu saya.”


“Takpe… seronok jugak lepak-lepak bawah pokok ni.” Demi kakak tersayang dia sanggup tunggu setengah jam pun takpe.


“Nak mangga muda lagi ke?”


Aina angguk. 


“Cik Aina tau tak dalam banyak-banyak buah, buah apa yang paling orang suka…” sambil memilih mangga yang mana nak di gait Hafiz lemparkan soalan. Aina garu kepala yang berlapis tudung. Kenapa pulak dia di tanya soalan cepumas ni.


“Entahlah… buah tembikai kot.” Aina bantai jawab. Dia mana tahu buah apa orang paling suka. Dia pun bukan suka sangat makan buah ni. 


“Salah, jawapannya.... buah hati… saya rasa semua orang suka buah hati. Sayangkan buah hati. Tak begitu Cik Aina. Takkan Cik Aina yang rupawan ni tak ada buah hati.” soalan pasal hati rupanya. Nak tanya terus terang segan pulak. Nasib baik dia masih mampu bina ayat-ayat berbaur cinta ni.


“Saya gadis biasa je bukan rupawan pun. Mana ada orang yang sudi nak jadi buah hati saya…” Aina merendah diri. Kata abang Azlie sepupunya itu pendiam dan dingin dengan perempuan. Tapi apa dia tengok sekarang macam menggatal je.


“Ok kalau macam tu saya nak jadi buah hati awak boleh tak?” Hafiz tersengih. Tak sangka dia tengah lamar awek. Satu benda yang paling tak masuk akal dia fikirkan. Jiwanya lebih kepada thriller dan seram bukan cinta.


“Saya tak minatlah ada buah hati ni. Tak ada faedah pun.” tegas Aina.


Hafiz tunduk malu. Salah ayat ke atau dia tak cukup hensem buat Cik Aina. Mak… anak mak failed bab ayat-ayat cinta ni. Tak jadi buat novel cinta.


“Saya cuma nak buah hati yang halal buat saya untuk menjadi pasangan sehingga syurga Jannah saya. Jadi tak perlu kot buah hati ni.”


Muka Hafiz yang mendung mula bersinar-sinar kembali. Bunga-bunga cinta yang layu mula mekar mewangi. Macam ni kena siapkan rombongan meminang secepat mungkin. Tuan punya badan dah bagi isyarat.


“Kalau macam tu saya sudi jadi buah hati halal Cik Aina…” 


“Encik Hafiz kita baru kenal dua tiga hari… takkan dah yakin saya mampu jadi pendamping yang terbaik untuk encik Hafiz. Ada nampak petanda cinta di wajah saya ke?” 


Hafiz senyum. Pamerkan lesung pipi yang comel. ‘Pandainya dia bermadah. Kalah penulis tersohor Dhiya Dzulkarnain ni.' Tapi dia penulis Thriller mana pandai madah-madah macam ni. Petanda cintanya Hafiz yang pendiam dah bertukar jadi ulat bulu yang gedik-gedik.


“Jodoh dari Allah. Kalau dia berkehandak sehari saja sudah cukup untuk kita kenal. Kenal bertahun bukan tiket untuk bahagia Cik Aina. Petanda cinta hanya hati yang tahu.” Hafiz bangga dengan dirinya. Dia pun sudah mula bermadah ayat bunga-bunga.

"Saya nak cari petanda ikhlas di wajah Encik Hafiz ni. Lelaki kan ada sembilan akal. Mana tau akal tu digunakan ke jalan yang salah."

Bukan mudah nak mengayat cinta Cik Aina ni. Susah juga rupanya. Itulah asyik tulis novel thriller je skill mengayat awek pada skala kosong. Ada nampak muka tak ikhlas ke.


“Bersaksikan pokok mangga ni saya ikhlas nak jadi buah hati halal Cik Aina. Sudilah kiranya Cik Aina terima buah mangga muda ni sebagai tanda lamaran hati saya.” Hafiz menghulurkan sebiji mangga muda yang diambil dari tanah. Lamaran hati dengan buah mangga. Memang sangat kelakar.


Aina mengekek ketawa tapi di ambilnya buah pemberian Hafiz. Betul kata Hafiz jodoh dari Allah. Kalau Allah berkehendak kenal sehari pun boleh jadi pasangan bahagia hingga ke syurga Jannah. Kenal bertahun bukan tiket untuk bahagia. Dia dah serik untuk bercinta dan kecewa. Mungkin sampai masanya dia bercinta selepas nikah. Lagi bagus.


“Tapi Encik Hafiz kena lepas tapisan Tuan Haji Mukmin dulu. Dia askar pencen yang sangat garang. Abang Azlie pun nyaris-nyaris tak lepas.”


Hafiz kecut perut. Dia lupa pulak bapak mertua abang Azlie ni bekas askar. Tengok misai lentik macam A Galak dalam cerita Gerak Khas. Memang menakutkan. Boleh ke dia lepas. Abang Azlie yang kerja arkitek pun nyaris tak lepas. Dia lagilah susah, penulis cabuk aje pun. Tapi demi Cik Aina apa saja dia akan buat. 


“Tapi jangan risau… dia peminat kipas susah mati Dhiya Dzulkarnain. Gerenti lepas.” 


Hafiz senyum riang gembira. Tak sangka ada peminat yang dah veteran. Paling tak sangka Aina tahu dia penulis. Kena bagitau mak cepat. Peminangan dia pasti diterima seratus peratus. Syawal nanti boleh nikah terus.Cik Aina rupawan akan jadi miliknya. Dia dah gila sebab melamar gadis yang tak sampai seminggu dia kenal. Tapi ini semua urusan Allah. Kenal sehari tak bererti tak akan bahagia.


TAMAT


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.