Home Cerpen Seram/Misteri ADA APA DENGAN LIF
ADA APA DENGAN LIF
22/4/2016 16:51:48
2,183
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

ADA APA DENGAN LIF

“Kau jangan lupa pesan kami ni jangan sesekali naik lif kat depan ni. Kau kena guna lif kat hujung sana.” Pesan Yusof. Masuk ni sudah tiga kali pesanan tu diulang. Asri yang duduk di sebelah Yusof hanya mengangguk.

“Kenapa tak boleh guna… kan lebih dekat dengan rumah ni. Nak pergi hujung sana jauhlah…”Faisal tak puas hati. Takkan dia nak bazir masa semata-mata nak naik lif hujung. Jauh jugak tu.

“Kalau kau sayang nyawa kau ikut je cakap kami ni. Banyak songeh pulak… nak sewa tak nak sewa ni.” Dengus Asri. Geram sangat dengan orang yang suka melawan dan tak faham bahasa ni. Nak cakap lebih-lebih kang takut tak jadi menyewa pulak. Tak cakap banyak pulak tanyanya.

“Yalah…yalah…”Faisal mengalah. Mana nak cari bilik sewa murah macam ni kat KL. Walaupun tinggi di tingkat sebelas mengenangkan kewangan dia akur. Nampaknya dia kena ikut jugak syarat tuan rumah. Emak dah pesan pandai-pandailah bawa diri. Hormat orang lain jangan nak ikut kepala sendiri. Lif tu berhantu agaknya. Tapi kenapa mesti takut manusia kan lebih tinggi darjatnya dari syaitan dan iblis. Semua orang ni pengecut agaknya.

Untuk sebulan Faisal patuh kepada pesanan berbaur arahan tegas dan ugutan dari kawan-kawan serumahnya. Bila diugut soal hidup dan mati dia pun kecut. Dia muda lagi baru nak mula kerja. Bercinta pun belum lagi.

“Adik naik lif ni ke?” Faisal bertanyakan soalan kepada seorang kanak-kanak yang baru keluar dari lif. Dia kerling jam di tangan. Sudah hampir waktu maghrib.

“Boleh je bang naik lif ni… orang je takut. Tak ada apa-apa pun. Harap badan je besar tapi pengecut… jomlah kita naik sama-sama.” jawab kanak-kanak itu sambil tersengih. Tangan dihulur oleh kanak-kanak itu. Tanda ajakan. Dia tak pernah lihat pun kanak-kanak itu sebelum ini. Anak siapa dia ni.

Faisal terasa sesuatu di tengkuknya. Kenapa dia tiba-tiba rasa seram sejuk. Wajah kanak-kanak itu terasa lain. Dia tak berniat pun untuk naik lif itu namun tangannya tiba-tiba terangkat sendiri untuk menyambut huluran tangan kanak-kanak itu. Seakan ada kuasa yang memukau dia untuk mengikut kata kanak-kanak itu.

“Faisal! Kau cakap dengan siapa tu…” panggilan Asri mengembalikan Faisal ke dunia nyata. Faisal menoleh ke arah Asri.

“Ada adik…ni.” Faisal menunjukkan kanak-kanak di hadapannya. Tapi tiada sesiapa di situ. Bulu romanya tiba-tiba tegak berdiri. Baru sesaat tadi dia bercakap dengan seorang kanak-kanak di situ tapi sekarang sudah tiada. Betul ke apa yang dia lihat atau cuma khayalan saja. Faisal mengosok-gosok lengannya. Bulu romanya tegak berdiri diurut perlahan. Mahu mengurangkan rasa takut yang tiba-tiba bertandang.

“Hati-hati sikit kalau nak tegur orang waktu senja macam ni. kadang kita tak tau betul orang atau bukan orang… baca apa-apa yang patut. Aku tau kau takut.” ujar Asri sambil menepuk bahu Faisal. Faisal menurut saranan Asri. Memang betul dia tiba-tiba rasa takut tadi. dia membaca surah-surah yang dia ingat dalam hati.

“Jom kita naik lif sana… ingat pesan kami. Jangan sesekali kau naik lif ni. walaupun yang ajak tu awek paling cantik kau pernah tengok…”

Faisal diam. Ada apa dengan lif tu. Apa yang dia tak tahu. Pelbagai persoalan timbul di benaknya namun untuk bertanya dia tak berani. Dia mengikut langkah Asri seperti orang bodoh. Fikirannya kosong saat ini.

Selepas dari kejadian itu Faisal selalu beringat untuk tidak menegur sesiapa yang berhampiran dengan lif. Malah dia sanggup parking motor sejauh mungkin untuk mengelak lif berhantu tersebut.

“Abang tolong saya bang… adik saya terperangkap dalam lif.” Seorang perempuan cantik berkebaya merah menarik lengan Faisal. Dia sedang menunggu lif untuk naik ke atas.

“Lif mana?” Faisal kaget. Siapa pula perempuan berkebaya merah ni. Mungkin orang baru pindah atau pengunjung di situ.

“Sana… lif sana. Tolonglah bang… kesian adik saya. Tak ada siapa nak tolong saya ni.” perempuan itu terus merayu-rayu. Faisal jadi serba salah. Tak di tolong kesian pulak. Tapi lif yang dimaksudkan lif berhantu tu. Kesian pulak melihat perempuan ni merayu-rayu. Cantik pulak tu.

“Tolonglah bang… kesian adik saya.” Rayu perempuan itu lagi diiringi dengan air mata. Faisal jadi simpati. Dia mengangguk. Perempuan itu tersenyum dan menarik tangan Faisal.

“Faisal… Faisal…” terdengar namanya di panggil tapi dia tak dapat nak menoleh. Pandangannya terarah ke depan. Tangannya seakan di gam oleh perempuan tadi. Senyuman manis perempuan itu membuatkan dia khayal.

Lif terbuka. Faisal dapati lif itu kosong. Mana pula adik perempuan tu. Baru Faisal terinagt akan pesanan Asri minggu lepas. Jangan ikut sesiapa pun naik lif ni walaupun di ajak perempuan cantik. Faisal cuba menarik tanggannya tapi gagal. Badannya jugak tak mahu bekerjasama walaupun otak sibuk menegah namun kaki tetap melangkah. Peluh mula membasahi dahinya.

Akhirnya kaki sudah pun melangkah masuk ke dalam lif. Dadanya berdegup kencang. Siapa perempuan ni. Kenapa dia seakan di pukau. Persolan yang timbul terbiar tanpa jawapan. Pintu lif tertutup. Dia nampak Asri sedang melambainya dengan muka cemas. Perempuan itu senyum sinis. Terdengar bunyi ketawa yang sangat pelik.

“Kau siapa… apa kau nak dari aku?” tanya Faisal. Dia takut tapi cuba beranikan diri untuk bertanya.

“Saya sunyi tak ada teman…” jawab perempuan itu diiringi hilaian ketawa yang meyeramkan. Perempuan itu menoleh. Faisal terkejut. Lampu lif tiba-tiba berkelip-kelip.

Tiada lagi rupa yang cantik melainkan wajah yang betul-betul mengerikan. Kulit yang halus dan putih tadi bertukar menjadi berkedut-kedut dan kemerahan. Mata yang cantik dan memukau tadi hampir terkeluar dari soketnya sebelah. Sebelah lagi masih elok. Gigi yang cantik dan putih bersih bertukar menjadi kehitaman. Sedikit demi sedikit susuk tubuh tadi bertukar menjadi makhluk yang paling mengerikan. Sebelah muka perempuan itu kelihatan hancur. Faisal menutup matanya. Takut melihat wajah seram itu. Dia mula menggigil. Apa pulak yang makhluk ni mahukan dari dia.

“Kita ada kawan baru ke kak…” satu suara muncul.

Faisal buka matanya sedikit. Kanak-kanak tempoh hari. Tapi fizikal kanak-kanak itu berubah sedikit demi sedikit sama seperti perempuan tadi. Dia nampak susuk tubuh yang terlalu kurus kering sehingga menampakkan tulang rangka. Sama seperti kakaknya, tubuh kanak-kanak itu hanya nampak isi sahaja.

“Hai abang. Kita jumpa lagi…” suara kanak-kanak tadi bertukar garau. Dia nampak tangan kanak-kanak itu yang hanya tinggal tulang temulang. Kanak-kank itu berusaha untuk mencuit hidungnya. Mak… tolong mak! Faisal jerit dalam hati.

Faisal cuba menjerit lagi tapi suaranya seakan tersekat di kerongkong. Terasa pasir memenuhi tekaknya sakit dan pedih. Kakinya juga terasa berat. Peluh mula mengalir ibarat air hujan. Jantungnya juga berkerja terlebih keras. Faisal seakan terdengar degup jantunga sendiri. Dia cuba bertenang. Dia cuba membaca surah-surah dan ayat Al-Quran yang dia tahu tapi otaknya tiba-tiba kosong.

‘Ya Allah bantu hambamu Ya Allah…’ Faisal berdoa dalam hati.

“Kau tak akan dapat lari dari sini… kau milik aku!” perempuan tadi mendekati Faisal. Bau hanyir mula menusuk hidungnya. Tangan perempuan itu mencengkam pipinya. Perempuan itu menggeselkan pipinya ke pipi Faisal. Dia terasa pipinya lembab. Dia jeling pipinya dan lihat lihat ada sisa-sisa kulit. Matanya membulat. Ngeri dan jijik. Faisal cuba menjerit lagi namun gagal.

“Yea... yea adik ada kawan baru…”

Faisal berusaha bersunggu-sungguh untuk melarikan diri. Tapi makin kuat dia berusaha makin sakit kakinya. Seluruh tubunya juga terasa kesakitan. Setiap inci tubuhnya yang disentuh perempuan tadi seakan di tusuk sembilu. Pedih dan sakit.

“Allah… Allah…” akhirnya Faisal berjaya menyebut kalimat Allah.

“Tak guna!” perempuan itu menampar Faisal. Hampir terteleng dia dibuatnya. Terasa pipinya pedih. Dia nampak kuku tangan peremuan itu penuh dengan darah. Mungkin pipinya sudah luka kerana terkena kuku. Sakitnya hanya Allah yang tahu.

“Allah… Allahuakbar!” Faisal bersuara sekuat hatinya. Menyebut nama Allah membuatkan makhluk tadi kepanasan.

“Akak… adik panas kak…” kanak-kanak tadi menunduk dan menutup telinganya.

“Kau memang jantan tak guna! Kau dah buat adik aku sakit!”

Pang!! Satu tamparan hinggap lagi di pipi Faisal. Kali ini lebih kuat dari tadi hingga Faisal memuntahkan darah. Perempuan itu mengangkat jari telunjuknya ke arah Faisal. Badan Faisal bergerak sendiri ke belakang hingga akhirnya melekat ke dinding lif. Perempuan tadi kelihatan sangat marah. Matanya bertukar merah menyala.

“Aku memang pantang kalau orang buat adik aku nangis!” perempuan itu mendekat ke arah Faisal.

“Allahhuakbar! Allahuakbar!” jerit Faisal. Hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya. Secara tiba-tiba mulutnya lancar membaca ayat kursi. Dia membaca sekuat-kuatnya beruang-ulang kali.

“Arrghh!!!” perempuan itu dan adiknya sama-sama menjerit sambil menutup telinga. Terasa seakan lif bergoncang kuat. Faisal meneruskan bacaannya. Sebelah kakinya sudah boleh digerakkan. Badannya juga sudah tak melekat lagi. Perlahan dia menggerakkan sebelah lagi kakinya sambil tak putus-putus membaca ayat kursi.

“Arrghh!!!” jeritan perempuan itu dan adiknya bertambah nyaring. Faisal menutup telinganya yang terasa sakit. Lif bergegar semakin kuat. Faisal bergerak menuju ke depan lif. Dia menekan butang lif tapi tak berfungsi. Dia meneruskan bacaannnya dan berdoa agar dapat lepas keluar dari situ.

Faisal cuba membuka lif dengan tanggannya namun gagal. Dia masih lagi meneruskan bacaannya. Dia tahu kalau da berhenti bermakna memberi peluang kepada perempuan itu untuk menyakitinya. Faisal berusaha lagi sehingga dia rasa penat sangat. Tenaganya sudah berkuarangan. Entah berapa lama dia di situ dia sendiri pun tak tahu.

Bacaannya juga mula mengendur dan perlahan. Akhirnya dia jatuh terduduk di hadapan lif. Perempuan itu sudah dapat kekuatan kembali bila suara Faisal mula tenggelam timbul. Faisal nampak perempuan itu berdiri dan menghampirinya. Terlihat seringai perempuan itu tanda kemenangan. Faisal pasrah andai ajalnya sudah tiba. Dia sedaya upaya membaca dua kalimah syahadah. Mak! Ayah! Ampunkan anakmu ini. Faisal menutup mata.

Ting!! Pintu lif terbuka. Sebaik sahaja terbuka kepala faisal jatuh ke atas lantai. Beberapa kelihatan Yusof, Asri dan juga beberapa orang penghuni rumah flet menunggu di depan lif. Mereka beramai-ramai mambaca ayat-ayat suci Al-Quran sejak lepas maghrib tadi.

“Tarik dia cepat…” Yusof menarik badan Faisal keluar dari lif. Asri turut membantu. Dia terlihat Faisal di pimpin makhluk yang mengerikan tadi. Dia lekas-lekas berutahu Yusof dan panggil beberapa orang lelaki lain untuk membantu. Akhirnya selepas tiga jam berusaha untuk membuka lif barulah lif terbuka sendiri. Faisal rebah di kaki mereka. nampak keadaan Faisal sangat teruk dan pipinya berdarah.

“Nah ambik air Yassin ni sapu kat muka dia… kalau dia sedar bagi minum sikit.”

“Dia tak sedar bang.” Kata Asri sambil menepuk-nepuk pipi Faisal.

“Tak apa kita angkat dia masuk rumah…”

****

Faisal membuka mata. Keadaan sangat terang dan terdengar bunyi suara orang sedang berbual-bual. Sakit-sakit badannya dia rasakan. Dia pandang sekeliling. Itu rumah sewanya. Dia perhatikan orang-orang yang sedang ralit berbual. Mereka semua berhenti berbual dan memandangnya dengan penuh simpati.

“Alhamdulillah kau dah sedar…” yusof memanjatkan kata syukur.

“Siapa perempuan dengan budak tu…” tanya Faisal. Dia seakan baru bangun dari mimpi yang panjang dan menakutkan. Tapi dia ingat segala apa yang terjadi. Dia raba pipinya yang terasa pedih.

“Zalika dengan Yusri adik beradik. Dia tinggal kat tingkat paling atas dengan mak den bapak tiri diorang. Bapak tiri diorang ni kaki dera. Suka sangat pukul budak-budak ni. satu hari Zalika bawak yusri lari tapi bapak dia dapat tahu dan kejar sampai masuk lif. Bapak tiri diaorang geram sangat sampai hantuk kepala budak-budak tu kat dinding. Tak puas hati lagi dia pijak-pijak muka Zalika sampai hancur. Budak-budak tu mati dalam lif. Sebab tu lift u dah jadi tempat diorang…” terang Asri. Dia sedikit terkilan sebenarnya kerana gagal menolong Zalika dan Yusri.

“Perkara tu terjadi sepuluh tahun lepas. Sejak tu lif ni memang berhantu. Siapa yang naik lif ni pasti kena kacau. Terutamanya orang baru pindah…”sampuk Yusof.

Kini dia faham. Semua persoalan ada apa dengan lif terjawab sudah. Alhamdulillah Faisal mampu pulih dari peristiwa itu. dia berjanji tak akan terpedaya lagi. adakalanya ketika balik kerja dia ternampak kelibat Zalika dan Yusri di depan lif. Seakan melambai-lambai ke arahnya megajak dia naik lif. Senyuman Zalika yang menawan tak mungkin dapat dilupakannya. Namun apakan daya mereka di dunia berlainan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.